BAB 7

Ralit betul Tan Sri Muda memerhatikan menantunya menghidangkan makanan. Cekap dan sopan. Layanan Zakry kepada Mila juga lebih baik daripada sebelumnya.

"Duduk, Mila. Mari makan." Dengan senyum simpul, dia mengarahkan menantunya agar segera duduk.

"Baik, papa," senyum Mila.

Dia memerhatikan raut wajah tua tersebut sekilas pandang sebelum pandangannya tumpah pula kepada suami di sisi. Dalam diam, hatinya libang-libu. Pandai betul Zakry berlakon di depan papa!

"Sayang, nak abang suapkan?" tanya Zakry.

"Tak apalah," tolak Mila.

Anak matanya dilarikan daripada memandang wajah sang suami. Sejujurnya, dia tak tahu selama mana lagi dia boleh bertahan hidup dalam kepura-puraan.

"Mila, Zakry nak suap tu. Layankan je." Kembang hati Tan Sri Muda apabila melihat gaya Zakry.

Selepas tiga minggu dia meninggalkan rumah atas urusan kerja di luar negara, Zakry dilihat semakin banyak berubah. Mungkin, doanya supaya sang anak dilembutkan hati dimakbulkan oleh Tuhan.

"Baik, papa," akur Mila lalu merelakan dirinya disuap oleh Zakry.

Nasi yang masuk ke dalam mulutnya ibarat pasir. Terasa kesat dan berbutir-butir. Ya Allah, kalaulah papa tahu apa yang anaknya buat sepanjang tiga minggu ketiadaannya di sini, papa takkan senyum macam tu sekali.

Bermula pada petan kain telekungnya dilempar ke dalam bilik air, kemudian dirinya ditumbuk dan dibalun macam punching bag sesuka hati oleh Zakry, hidupnya bagaikan di dalam neraka.

Setiap malam, Zakry akan memaksa dia melayani nafsu besarnya. Kalau tak nak layan, bersiap sedialah badannya menerima tendangan dan terajang. Isteri kena layan batin suami, kata Zakry.

Itu cerita pada waktu malam. Siang hari pula? Dia dijadikan seperti hamba. Segala kerja rumah baik di dalam mahupun luar rumah, dia yang perlu selesaikan. Zakry mahu rumah itu bersih tanpa habuk sebesar zarah!

Sepanjang tiga minggu itu jugalah, Zakry berpesta liar di rumah itu. Arak dan wanita menjadi hidangan wajib di samping karaoke bersama rakan-rakannya yang berhidung belang dan bermata keranjang.

"Mila? Eh, termenung pula. Ni makan lagi," tegur Zakry seraya memberikan isyarat penuh amaran keras kepada Mila.

Melihatkan itu, terus Mila membuka mulut lalu menelan makanan yang disuap oleh suaminya. Nak melawan? Dalam mimpi sajalah. Belum pun sempat dia nak angkat suara, pasti Zakry akan terlebih dahulu memukulnya sekuat hati.

Sungguh, sumpah dia berasa kesal berkahwin dengan Zakry. Tan Sri Muda begitu baik, tapi tak sangka anaknya begitu jahat. Kalaulah dia tahu...

Dia tiada tempat untuk mengadu. Tiada siapa pun akan percaya bahawa dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Zakry begitu bijak menderanya tanpa meninggalkan bekas di kawasan terdedah!

"Papa bersyukur kau dah berubah, Zak. Macam tulah anak papa. Mila, terima kasih sudi terima Zakry dalam hidup Mila," ucap Tan Sri Musa.

Ucapan bapa mentuanya dibalas dengan anggukan perlahan dan senyuman dibuat-buat. Ya Allah, kalaulah papa tahu betapa menderitanya dia di sini....


*****


"Kau ingat eh, siap kau kalau kau mengadu." Zakry menutup pintu bilik Mila lalu mendepani gadis itu.

Malam ini, dia mahu membuat perhitungan dengan Mila. Papa sudah balik, jadi dia tak nak aktiviti jahatnya diketahui oleh orang tua itu. Padanya, dia pecah di perut, jangan pecah di mulut. Manalah tahu jika Mila bermulut tempayan.

Mila pula apabila melihat wajah Zakry, terus perasaan kecut perutnya datang lagi. Tapi, malam ini, dia telah bertekad mahu cuba melarikan diri daripada cengkaman lelaki tersebut.

"Mila... Mila..." Mila berundur ke belakang.

"Kau tu bini aku. Aku laki kau. Aku berhak atas diri kau. Aku nak buat apa pun, suka hati akulah kan?" Zakry merapati Mila.

Galak matanya memandang wajah takut isterinya. Ya, reaksi wajah itulah yang dia mahu! Jiwanya puas setiap kali mendengar Mila menjerit dan merayu minta dilepaskan.

"Ja... jangan dekat." Langkah Mila tersekat di meja solek. Turun naik dadanya melihat kemaraan manusia syaitan itu.

"Kenapa? Kau dah tak suka aku ke? Nak cerai? Huh! Jangan mimpilah. Kau ingat aku bodoh nak ceraikan kau sekarang?" Pantas Zakry mencekak rambut Mila lalu menariknya sekuat hati sampai meraung gadis itu dibuatnya.

"Berani sangat kan kahwin dengan aku? Rasakan!" Zakry melepaskan cengkamannya pada rambut Mila lalu menolak kepala gadis itu ke bucu dinding.

Efek tolakan tersebut boleh tahan kuat sampaikan berbunyi hentakan kepala. Mila pula apa lagi, semakin merintih kesakitanlah jawabnya. Apatah lagi, kepalanya berdarah!

"Kau dah nak mati ke? Alah, aku tak puas lagilah seksa kau," bisik Zakry seraya menerajang pula perut, peha dan betis Mila. Semua pukulannya dituju di tempat yang boleh ditutup dengan pakaian.

"Abang... hentikan. Sakit!" raung Mila semahu-mahunya.

Sumpah dia sakit! Sakit hati dan sakit fizikal bergabung menjadi satu. Dia betul-betul tak tahan lagi. Kesabarannya dalam menghadapi perangai brutal si suami telah sirna.

Entah walau berapa kali dia cuba melawan, tapi semuanya gagal. Namun, malam ini dia akan cuba juga cari jalan keluar walaupun terpaksa gunakan cara kasar. Dia dah tak kisah jika digelar pembunuh sekalipun!

"Sakit? Sakit ke?" jerkah Zakry.

"Mari aku buat kau lagi sakit!" tengkingnya lalu mencekik leher Mila sekuat hati.

Syaitan telah merasuki sepenuh jiwa Zakry. Mila di matanya hanyalah perempuan murah seperti pelacur di lorong gelap yang selalu dilanggannya setiap minggu.

"Aa... abang..." Mila terkapai-kapai mencari nafas.

Nafasnya sesak diperlakukan sedemikian ganas oleh lelaki bergelar suami. Badannya dihimpit sampai ke meja lampu tidur. Tangan kekar tersebut mengunci kemas badannya!

Dalam keadaan itu, akal sihatnya tidak mampu lagi berfikir dengan betul melainkan tanpa berfikir panjang, pantas tangannya mencapai lampu tidur lalu menghayunkannya sekuat hati ke kepala Zakry.

"Betina sundal!" tempik Zakry. Marahnya naik bertingkat-tingkat apabila dapat dirasa kepalanya bagaikan mahu pecah.

Dia cuba memegang Mila sekali lagi namun gadis itu lebih agresif bertindak. Buat kali kedua, kepalanya dihentak pula dengan pasu bunga kecil yang diperbuat daripada tanah liat. Berkecai pasu bunga itu!

"Matilah kau!" jerit Mila sekuat hati.

Dendamnya kepada Zakry begitu membara. Amukannya terhadap penjahat itu tidak dapat dikawal lagi. Kalau Zakry boleh memperlakukannya seperti binatang, takkan dia tak boleh?

"Tak guna!" Zakry merentap tangan Mila lalu menolaknya masuk ke bilik air. Darah yang mengalir laju di kepalanya sendiri diseka kasar. Tak guna punya perempuan!

"Lepaskan akulah!" Mila semakin kuat meronta namun sayangnya, Zakry lebih mendominasi keadaan.

"Sayang... syhh..." Zakry mencekak rambut Mila lalu mendongakkan muka isterinya ke atas.

"Ni rasa ni. Berani kau lawan aku?" jerkahnya pula.

Botol syampu di atas tab mandi dicapai lalu dia menuangkan syampu tersebut ke mata Mila. Geram segeram-geramnya dia akan kelakuan berani mati si isteri. Sekarang, biar Mila rasa azab bila lawan cakap dia!

"Jangan! Jangan!" tempik Mila sekuat hati seraya menendang-nendang betis Zakry. Oh Tuhan, pedih!

Namun, rayuan tersebut ditulikan. Semakin dirayu semakin seronok dia membuli gadis itu. Jeritlah puas-puas, memang takkan ada siapa pun dengar jeritan itu. Puas hatinya!



Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.