BAB 12

Tahun 2022...

Fail dan kertas yang berselerak di atas meja ditenung dengan penuh rasa serabut. Matanya berasa senak melihat segala data syarikat yang diusahakan sendirian selama tiga tahun sejak kebelakangan ini.

Tali leher yang membeliti leher kemudiannya ditarik perlahan. Baju kemeja berlengan panjangnya juga ditarik hingga ke siku. Lantas, kepalanya dipangggung. Penat betul kerjanya sebagai CEO!

"Tuan muda, bapak bawakan teh chamomile." Entah bila Pak Yanto muncul di depannya, dia tak perasan.

"Terima kasih, pak," ucap Zakry tanpa memandang wajah pekerjanya.

"Bapak sarankan tuan muda berhenti dulu buat kerja. Dah tiga hari bapak nampak tuan muda tak tidur," ujar Pak Yanto.

Dalam tiga hari ini, apabila Zakry balik dari  pejabat, dia tidak terus menukar pakaian kepada pakaian biasa. Balik-balik je terus masuk ke dalam bilik dan berkampung di situ sampailah nak pergi kerja semula keesokan harinya.

Nasib baiklah dia dan Ibu Yanti sudah masak dengan perangai majikannya yang seorang ini jika stres banyak kerja. Maklumlah, mereka berdua sajalah tempat Zakry bergantung harap uruskan makan minum.

"Aku tak ngantuk, pak," balas Zakry sambil memicit dahi. Ya, tak mengantuk tapi sekarang kepalanya terasa ingin pecah!

Selepas kematian Tan Sri Muda, tanggungjawab menguruskan syarikat terus jatuh ke bahunya. Dia yang sebelum ini sentiasa berfoya-foya dan tidak ambil endah hal pengurusan syarikat mula terasa akibatnya.

Ditambah dengan sakitnya yang didiagnos sebagai tanda-tanda kanser perut, ia betul-betul memberikan tamparan besar buatnya. Mana mungkin dia yang sebelum ini sihat walafiat berkemungkinan terkena penyakit mematikan itu?

"Kalau itu yang tuan muda cakap, bapak tak boleh kata apa. Cepatlah minum teh tu. Semoga fikiran tuan muda lebih tenang," ujar Pak Yanto lalu segera keluar dari bilik kerja majikannya.

Pemergian Pak Yanto diiringi dengan ekor mata sebelum perlahan-lahan, teh chamomile yang dibawa oleh lelaki tua itu diteguk perlahan. Benar, kepalanya berasa lebih ringan apabila aroma teh dan rasa suamnya melalui anak tekak.

Sekarang, jam telah pun menunjukkan pukul 12 tengah malam. Perlahan-lahan, Zakry bangun dari kerusi lalu menapak ke bilik air. Setelah membersihkan diri, dia mengambil wuduk untuk menunaikan solat taubat sebelum tidur.

Ya, dia seorang pendosa. Dosa dengan Allah, Allah yang akan mengampunkannya. Tapi dosa dengan manusia, hanya manusia tersebut sahaja yang boleh memaafkannya. Tanpa kemaafan manusia yang disakitinya, dia berdosa.

"Allahu akbar." Zakry mengangkat takbir lalu memulakan solatnya.

Setelah selesai bersolat yang diakhiri dengan solat witir, dia mencapai naskhah al-Quran lalu membacanya dengan nada sederhana kuat. Bacaannya tidaklah sempurna mana. Tapi dalam masa tiga tahun ini, dia telah berusaha membaca kalam Allah itu dengan baik.

"Semua orang pernah buat dosa, Tengku. Mana ada orang maksum? Hanya Nabi Muhammad SAW je yang tak ada dosa," kata Ustaz Ilyas.

"Tapi, ustaz tahu kan aku macam mana? Aku pernah minum arak, berzina, hina bekas isteri aku, nafikan anak dalam kandungan dia, tuduh dia berzina. Aku cuma tak bunuh orang je lagi, ustaz," pintas Zakry. Wajahnya keruh.

"Walau sebesar mana pun dosa kita, pintu taubat sentiasa terbuka selagi mana nyawa tak sampai di tenggorok," bidas Ustaz Ilyas.

Perbualan dengan Ustaz Ilyas menerjah kembali ke fikirannya. Selama tiga tahun ini, ustaz itulah yang sentiasa tidak jemu-jemu memberinya tunjuk ajar untuk kembali ke landasan Islam.

Ustaz itu jugalah yang sentiasa ada di sisinya ketika sakitnya datang. Ustaz sekali gus perawat perubatan Islam itulah yang berusaha mengubatinya walaupun hasilnya tidaklah menyembuhkan.

Kata ustaz, sakit seakan-akan kanser perut yang dihidapinya berkemungkinan besar angkara santau. Kita tidak boleh menafikan perkara ghaib. Kalau tak, kenapa sakit itu hanya menyerang ketika bulan purnama dan kondisi tersebut kekal tidak berubah?

Malas mahu mengingati lagi keadaan tersebut, Zakry meneruskan kembali bacaan surah al-Mulknya. Dia berharap agar segala dosanya diampunkan dan doanya untuk berjumpa Mila secara depan-depan dimakbulkan oleh Allah SWT.

*****

Mila terpunduk sendirian lagi mengenangkan nasib malang yang menimpanya. Tapi, apa boleh buat? Urusan hidup mati seseorang milik Allah SWT. Walau sekuat mana pun manusia itu lari daripada kematian, tetap saja nyawa akan dicabut apabila tiba saatnya.

"Mila harap kanda bahagia di sana," senyumnya seraya mengusap perlahan gambar Ustaz Hamdan.

Setitik dua, air mata kerinduan menitik di atas bingkai gambar tersebut. Tampan sekali wajah si belahan jiwa pengarang jantungnya. Walaupun tidaklah setampan Zakry, tetap saja wajah tenang itu mencuri hatinya.

Pertemuan pertama mereka agak masam tetapi manis. Ia menjadi lebih manis apabila mereka berdua disatukan sebagai suami isteri oleh Kiyai Rahman, pengerusi Pondok Pengajian Islam al-Ilmi tiga tahun yang lepas.

Masih segar dalam ingatannya, ketika itu dia terlewat masuk ke kelas Tafaqquh Fiddin. Dia yang masuk lambat  terus menjadi pusat perhatian ustaz yang mengajar.

"Kenapa enti (awak) masuk lambat? Kelas dah mula sejam yang lepas," tegur Ustaz Hamdan.

"Err..." Mila menunduk.

Walaupun riak wajahnya terlindung di sebalik niqab, tetap rasa malu menyerbu ke mukanya apabila para wanita di situ terutamanya warga veteran turut memandangnya. Apatah lagi, wajah ustaz itu belum pernah dilihatnya sebelum ini.

"Ana (saya)..." Mila mengetap bibir.

Aduhai, hati! Tolonglah jangan skip beat di sini juga apabila ustaz tampan di meja guru berterusan memandangnya dek mahu menuntut jawapan. Entah kenapa, lidahnya kelu.

Tiada aksara yang mampu diluahkan apabila panahan mata lelaki muda bertag nama Hamdan tajam menikamnya. Ya Tuhan, dia malu!

"Okey, tak apalah." Berputus asa mungkin, Ustaz Hamdan terus membenarkan Mila berlalu ke tempatnya.

Kelas pengajian tersebut kemudiannya berlangsung dengan aman tanpa gangguan. Pengajaran yang disampaikan oleh sang ustaz betul-betul menusuk ke hatinya yang paling dalam.

"Ada apa-apa nak tanya? Kalau tak ada, ana (saya) rasa kita boleh berhenti setakat ni sajalah dulu." Ustaz Hamdan diam bagi memberikan ruang kepada hadirin yang terdiri daripada pelbagai kalangan umur untuk bertanyakan soalan.

Setelah menjawab beberapa soalan daripada pendengar ceramahnya, Ustaz Hamdan mengakhiri kelasnya dengan bacaan doa, tasbih kafarah dan surah al-Asr. Ketika itu jugalah, mata Mila dan mata ustaz itu bertembung buat kali kedua.

Di kala itu, entah kenapa, buat kali kedua, jantung Mila berdegup kencang. Bagaikan ada renjatan elektrik menyapa hatinya. Ya Tuhan, perasaan apakah ini? Sungguh dia tidak mengerti.

"Mila? Mila. Kenapa ni?" tegur satu suara.

Ingatan Mila terhadap memori pandang pertamanya dengan arwah suami yang dicintai serta-merta berkecai. Terburu-buru dia mengesat tubir matanya yang dicemari dengan air mata. Lantas, wajah Ustazah Latifah, sang ibu mentuanya dipandang dengan riak wajah buat-buat gembira.

"Umi..." senyum Mila.

"Teringatkan Hamdan?" tebak Ustazah Latifah. Wajah menantunya ditenung sayu.

"Rasa macam baru semalam kanda ada di sisi Mila." Mila mengetap bibir.

Ya, bukan mudah untuknya menerima kenyataan pemergian sang suami bak malaikat yang diturunkan oleh Allah kepadanya kembali jua kepada Sang Pencipta selepas dua tahun dipinjamkan kepadanya. Hatinya luluh!

"Reda, nak." Lembut Ustazah Latifah mengusap bahu Mila bagi menenangkan gadis itu.

"Dah, tak mau sedih-sedih. Mila ada tetamu tu. Pergilah jumpa dia," ujarnya pula.

"Tetamu? Siapa?" Mila mengerutkan dahi.

"Orang bandar," jawab Ustazah Latifah sambil tersenyum simpul.





 >>> TERUJA NAK BACA LAGI? SABAR TAU.

Previous: BAB 11
Next: BAB 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.