BAB 4

"Siapa tu, sayang?" Trisha memandang lama figura cantik di depan matanya.

Dia akui yang walaupun gadis itu berpakaian simple, namun auranya begitu terserlah. Cuma saja gadis itu tidak seksi sepertinya.

Kalau seksi, mungkin dia akan anggap perempuan itu skandal baru Tengku Zafry. Jika itu terjadi, dia takkan teragak-agak untuk berbuat 'apa-apa' kepada gadis itu.

"Perempuan tu? Sepupu aku dari kampung." Tajam mata Zakry memberi amaran kepada Mila agar tidak membuka mulut.

"Oh, sepupu. Patutlah panggil abang tadi. You nama apa, girl?" Trisha menyelak rambut panjang mengurainya lalu berjalan bak model ke arah Mila yang masih kaku di muka pintu.

Heh, orang kampung kan? Mana pernah tengok pemandangan sebegitu macam orang bandar. Pemikiran orang kampung kolot, terikat dengan adat.

Jadi, dia tak hairan kalau gadis itu memandang kelakuan bebas mereka berdua tadi macam ternampak hantu. Wajahnya pun nampak kelat macam dia orang buat dosa besar.

"Mi... Mila." Mila memberanikan diri menentang anak mata gadis di depannya.

Seksi ya amat gadis yang cuba bermesra dengan suaminya. Agak-agaknya, inikah sebab kenapa Tengku Zakry tak suka berkahwin dengannya? Sebab dia dah rampas kebahagiaan suaminya sendiri ke? Oh Tuhan, dia tak tahu.

"Mila?" Trisha menarik dulang dari tangan Mila lalu meletakkannya di meja kerja Zakry.

"Terima kasihlah buatkan air kopi untuk kekasih I. Sekarang, you boleh keluar." Lembut Trisha menolak badan Mila keluar dari bilik tersebut.

"Bye, Mila. Oh, ya. Nama I, Trisha. Nice to meet you," sambungnya pula sebelum menutup pintu.

Mila? Hatinya hancur berkeping-keping melihat suaminya hanya bungkam di tempat duduk. Tak ada rasa pun nak sekat Trisha daripada mengeluarkannya daripada bilik itu. Sudahnya, dengan hati walang, Mila berlalu pergi dari situ.


*****


Dua jam telah berlalu sejak kejadian tadi. Hatinya terus-menerus dipujuk agar bersabar dengan segala ujian. Jika sebelum ini pun ujiannya lebih berat, takkan dia perlu berhati rapuh untuk ujian kali ini?

"Mila?" tegur Tan Sri Muda.

Kesiannya dia tengok gelagat menantunya yang terpunduk sendirian di pejabatnya. Nak harapkan Zakry datang teman? Haih. Usahkan batang tubuh, bayang anaknya pun dia tak nampak lagi hari ini.

"Ya, papa." Cepat-cepat Mila bangun dari sofa lalu mendepani bapa mentuanya.

"Dah pergi jumpa Zakry?" tanya Tan Sri Muda berbasa-basi.

"Dah. Dia tunjuk dekat Mila pejabat dia. Mila tak sangka pejabat dia besar." Mila memaniskan roman wajah.

"Betul?" Tan Sri Muda mengerutkan dahi.

Seriuslah Zakry berlembut dengan Mila tadi? Macam pelik pula. Tapi, dia segera faham akan kepelikan itu memandangkan mereka berada di tempat kerja. Kalau berkasar dengan perempuan, jatuh saham pula.

"Betul, papa. Mila suka," jawab Mila dengan gembira dibuat-buat.

"Baguslah kalau Mila suka. Mila nak kerja dekat sini?" tanya Tan Sri Muda.

"Err..." Mila menggenggam erat dress labuhnya.

Kerja dekat sini? Serba salah pula dia dibuatnya. Dia tahu konsekuensi yang akan berlaku jika dirinya kerja di sini. Dia kan, isteri tak didendang? Entah apa lagilah yang suaminya akan buat jika dia bersetuju mencurahkan bakti di sini.

"Kalau Mila tak nak pun tak apa. Papa cuma tak nak bagi Mila rasa bosan dekat rumah tu." Bagai memahami resah anak menantunya, Tan Sri Muda bersuara perlahan.

"Tak apa, papa. Mila seronok berada dekat rumah. Ada Pak Yanto dan Ibu Yanti teman. Nanti, Mila boleh belajar masak dengan Ibu Yanti." Segera Mila menutur kata bagi menolak secara halus pelawaan bapa mentuanya.

"Okeylah kalau macam tu," akur Tan Sri Muda.

Jawapan bapa mentuanya segera membibitkan rasa lega di dalam hati Mila. Di sini, apa je dia boleh buat? Kelayakannya hanya sekolah menengah pendidikan khas. Dia gadis lembam.

Orang kena ajar banyak kali kepada dia, barulah dia boleh faham. Itu pun kalau tak bernasib baik, selepas beberapa minit, dia akan lupa apa yang diajar. Natijahnya, orang akan bencikan dia juga.

"Mari balik, Mila. Dah pukul 5 petang," ajak Tan Sri Muda.

Ajakan tersebut disambut dengan senyuman suka. Dia senang hati dapat balik ke rumah. Setidak-tidaknya, hatinya tidak sakit melihat kemesraan suaminya dengan Trisha.


*****


Zakry menolak kasar pintu bilik Mila lalu batang tubuh isterinya yang sedang duduk di meja solek ditolak kasar. Gelegak hatinya dengan insiden petang tadi masih belum sirna.

Sumpah dia bencikan perempuan yang berada di depannya sekarang. Sudahlah hidup menumpang, ada hati pula pergi ke pejabat. Betina ini sengaja nak kikis harta dia!

"Apa abang buat ni?" Perlahan-lahan, Mila bangun daripada terjelepoknya. Sengal di punggungnya terasa berbisa.

"Kenapa kau tunjuk muka hodoh kau di pejabat tadi?" jerkah Zakry.

Turun naik nafasnya menahan marah membara di dalam hati. Hodoh? Tak, Mila tak hodoh pun. Gadis itu cantik persis bidadari. Senang kata, lagi cantik daripada Trisha.

Sejujurnya, dia terpegun melihat penampilan sopan gadis itu tadi. Tapi, dek ego, dia tutup hatinya dengan mengatakan Mila hodoh.

"Maafkan Mila. Mila janji takkan tunjuk dah muka Mila di pejabat abang." Mila menunduk ke lantai. Pedih hatinya dimarahi oleh suami sendiri.

"Maaf, maaf. Eh, kau tahu tak aku dah muak dengar maaf kau?" Zakry masih tak berpuas hati.

Terasa ringan saja tangannya ingin melekap ke wajah isterinya. Dasar perempuan tak sedar diuntung. Kalau dah masuk ke dalam keluarga dia tu, buatlah gaya orang ada-ada. Ini, tak. Lemah!

Dia perhatikan saja lagak Mila petang tadi sepanjang berada di dalam pejabat. Ikut orang suruh buat apa, semua Mila buat. Cuci cawan, mop lantai, susun kertas, dan banyak lagilah.

Mila diambil kesempatan oleh pekerja di situ sedangkan mereka tahu yang gadis itu ahli keluarga pengerusi syarikat. Sakit hatinya melihat keadaan tadi! Tak boleh ke Mila pertahankan diri sendiri walaupun sedikit?

"Kau suka sangat kan buat kerja bibik? Fine! Mulai esok, kau jadi bibik. Tugas kau bersihkan kawasan rumah ni. Jangan bagi aku nampak ada satu habuk pun melekat kat tangan aku. Faham?" arah Zakry. Herdikannya lebih terserlah.

"Fa... faham." Mila mengangguk takut.

Gerun hatinya melihat tangan kekar Zakry bagaikan bila-bila masa saja akan singgah di pipinya dengan kelajuan maksima. Kalau itu berlaku, pijar dan berbirat pipinya dek ditampar.

"Bagus. Ingat, kalau kau bagitahu papa, aku akan kerjakan kau cukup-cukup. Mampus!" ugut Zakry seraya meludah ke muka Mila.

Puas hatinya melihat wajah terkejut perempuan berstatus isteri paksa relanya. Lantas, tanpa berlengah lagi, dia segera keluar dari bilik itu lalu bilik tidurnya sendiri dituju bagi membersihkan diri.

Tepat jam 8 malam nanti, dia ada projek besar bersama rakan-rakan hidung belangnya yang lain. Masa muda mesti enjoy meh!



Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.