BAB 1

Tiga tahun lepas...

Mila merenung ke luar tingkap. Hatinya merintih sendiri mengenangkan nasib malang yang selalu menimpanya sejak lahir hingga kini. Kadang-kadang, dia terfikir adakah Tuhan tidak sayangkannya?

Dia dibuang oleh ibu bapanya sejak bayi. Kata pengurus rumah anak yatim, dia dijumpai oleh orang ramai di dalam kotak di kawasan tong sampah. Ketika dia dijumpai, badannya merah-merah akibat digigit semut dan kerengga.

Ketika dijumpai juga, suaranya hampir tidak keluar dek kesejukan menerpa diri. Badannya mula kebiruan. Dia telanjang tanpa seurat benang di badan. Dia kelaparan. Bibirnya kering merekah.

Sejak kecil, dia dibuli pula oleh anak-anak yatim di rumah asuhan anak-anak yatim. Semua orang menggelarnya sebagai anak luar nikah. Dia dipandang serong oleh masyarakat.

Apabila usia menginjak remaja, pun nasibnya kekal malang. Ya, tubuh badannya cantik. Kerana kecantikan itulah, dia selalu diganggu oleh lelaki gatal lagi miang baik bertaraf pemuda ataupun pak cik tua.

Kini, di saat usianya meningkat dewasa, ujian yang dihadapinya semakin banyak. Kerana kecantikannya juga, dia tak lepas daripada menjadi mangsa buli kaum wanita.

Dek risau teman lelaki atau suami mereka dikebas olehnya, mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk menghalaunya keluar daripada masyarakat. Dia difitnah, dikeji dan dihina.

"Ya Tuhan..." Mila mengeluh halus.

Pandangannya dibuang ke depan. Pemandangan lautan begitu indah. Apatah lagi, angin sore menampar lembut pipinya. Tapi, sayang. Siang dan malam, pemandangan itulah yang menjadi tontonan matanya.

Ya, di bawah jambatan inilah dia berumah. Usahkan menyewa rumah,  menyewa bilik pun dia tak mampu. Duitnya habis dikebas oleh si durjana para penyangak yang sentiasa mengintai peluang untuk membulinya.

Dia... gelandangan di negeri sendiri. Dia tak mampu melawan walau sedikit pun. Dia tak mampu mempertahankan dirinya sendiri. Dia, Mila Adelia tak seperti gadis lain. Dia... gadis lembam.


*****


Tan Sri Muda mengeluh perlahan. Bingkai gambar arwah isterinya diusap lembut. Lambat-lambat, bibirnya mengukir senyuman pedih. Zalimkah dia kepada Mila Adelia?

Dia hanya mahukan yang terbaik kepada gadis itu. Gadis yang berhati suci itu juga layak mendapat bahagia. Tapi, kini, dia mempersoalkan tindakannya. Betul ke dengan cara ini, Mila akan gembira?

"Abang buat semua ni sebab terhutang budi, Mah." Gambar arwah isterinya diusap penuh kasih.

"Kalau tak sebab Mila, abang pun dah arwah," tuturnya lagi.

Masih segar di diingatannya ketika dia hampir dilanggar oleh kereta. Pada masa itu, dia tiba-tiba pitam ketika melintas jalan. Kalau tak disebabkan Mila menariknya ke belakang, mungkin dia sudah melambung ke atas jalan.

"Kalau abang meninggal, Zakry macam mana?" Terkenang dia akan ulah Tengku Zakry si anak tunggalnya. Memang memeningkan kepala!

Masuk kerja, lambat. Mentang-mentang syarikat itu bapak dia punya, langsung tak berdisiplin. Awek keliling pinggang. Gatal. Buaya darat. Suka tengking pekerja. Sebut saja apa yang buruk, semua dia ada.

"Abang harap Mila dapat ubah Zakry." Tan Sri Muda menunduk.

"Tapi, abang takut juga kalau dia aniaya Mila." Bibirnya digigit perlahan.

"Tapi, kalau abang tak kahwinkan Mila dengan Zakry, Mila yang akan sengsara." Dia bercakap lagi seolah-olah isterinya ada di depan.

Tan Sri Muda melepaskan lagi keluhan. Dia tahu yang Mila mungkin akan menjadi mangsa kekejaman Zakry. Tapi, dia yakin gadis itu dapat mengubah anaknya.

Mila seorang gadis yang lemah lembut. Bukankah api dapat dipadamkan dengan air? Seperti mana dia dahulunya seorang yang baran, akhirnya lembut juga hatinya apabila berkahwin dengan arwah isterinya yang memang jenis lembut orangnya.

"Ya Allah, permudahkanlah urusan pernikahan Zakry dan Mila," doanya.

Rancangnya, dia akan memberi kemewahan kepada gadis itu. Cukuplah hatinya pedih melihat kedaifan hidup gadis tersebut. Sebaik sahaja berkahwin dengan Zakry, hidup Mila akan baik. Harapnya.


*****


ZAKRY mendengus kasar apabila mendengar keputusan papanya. Hatinya menggelegak marah dengan kata putus tersebut. Sakit jiwanya apabila sang ayah menyuruhnya berkahwin dengan gadis bukan dambaannya.

"Ingat, Zakry. Kalau kau tak nak kahwin dengan Mila, aku akan bekukan semua aset kau." Tan Sri Muda bangun dari kerusi lalu melangkah ke muka pintu.

"Okey, fine. Kalau tu yang papa nak, fine. Zak boleh kahwin dengan betina tu. Tapi, jangan harap Zak akan layan dia seperti isteri." Zakry memandang tajam wajah papanya.

"Papa tak kisah." Tan Sri Muda terus keluar dari pejabat anaknya.

Melihatkan itu, Zakry semakin diamuk geram. Papa tak kisah? Bohong semuanya! Orang tua itu mana pernah tak kisah kalau bab layanan rumah tangga. Baginya, isteri adalah bidadari yang mesti dilayan sebaik mungkin.

"Hish!" Zakry menumbuk meja.

Hatinya semakin berasap. Mila Adelia. Nama gadis itu secantik tuannya tetapi sayang, miskin. Tengku Zakry Zuhair kahwin dengan perempuan miskin? Oh, man. Langsung tak sekufu. Buat malu muka saja dia kahwin dengan perempuan tak berharta.

"Sayang..."

Dalam hatinya menggerutu marah, tiba-tiba muncul pula Trisha di muka pintu. Stresnya bertambah dua kali ganda. Apa dia mahu cakap kepada teman wanitanya mengenai hal tadi? Sungguh papanya betul-betul menyakitkan hati.

"Ada apa, baby?" Zakry merangkul pinggang teman wanitanya.

"Baby rindu you." Lisya melentokkan pula kepalanya ke dada Zakry.

"I pun rindu dekat baby," balas Zakry.

Malas mahu mempedulikan sesak fikirannya, dia membawa Trisha keluar. Biarlah petang ini dia menghabiskan masanya dengan wanita tersebut. Esok lusa, pangkatnya berubah. Dia akan bergelar suami.

Jadi, biarlah dia bersuka ria sesuka hatinya sebelum dirinya terikat. Ah, dia benci dengan nasib yang bakal menimpanya. Semuanya suck!

Ps: Book ni percubaan pertama sy tulis genre romance/sad romance. Minta maaf atas segala kekurangan. ðŸ˜…


Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.