BAB 17

Mila menunduk saja di depan ibu dan bapa mentuanya. Kakinya menguis-nguis karpet. Perasaan tidak tenteramnya jelas terlakar di wajah. Tiada lagi ketenangan singgah di atmanya apabila figura Zakry terzahir di depan matanya semalam.

"Mila kenal ke budak tu?" Selamba saja Kiyai Rahman melabel Zakry sebagai budak.

Diam. Mila memilih untuk mendiamkan diri tanpa menjawab soalan yang dikemukakan oleh ayah mentuanya. Sejujurnya, dia berasa ralat. Entah bagaimana mahu memberitahukan kepada orang tua di hadapannya berkenaan dia dan Zakry.

"Tak payah nak sembunyikan apa-apa daripada kami, Mila," pujuk pula Ustazah Latifah.

Pujukan tersebut akhirnya melembutkan juga hati Mila. Lambat-lambat, dia mengangkat muka lalu menentang mata kedua orang tua itu. Dengan senyuman cuba diukir walaupun kurang ikhlas, akhirnya dia membuka mulut.

"Dia bekas suami Mila." Mila kembali menunduk ke bawah.

Kiyai Rahman dan Ustazah Latifah terus terdiam seribu bahasa. Suasana di ruang tamu terus sunyi tanpa suara. Hanya bunyi kipas siling berputar sahaja memenuhi atmosfera.

"Masya-Allah..." Terpacul perkataan takjub dari mulut Kiyai Rahman.

Dia kemudiannya saling berpandangan dengan isterinya. Keduanya kembali senyap. Hanya gerakan anak mata sahaja menjadi isyarat perbualan senyap antara mereka.

Ya, mereka berdua arif akan kisah silam Mila. Bagaimana menantu mereka diangkat darjat menjadi isteri kepada seorang CEO syarikat terkemuka, kemudian dilayan seperti sampah, dan akhir sekali Mila meminta cerai, semua mereka tahu.

Dalam hal ini, sebagai orang berilmu, mereka tidak terus melatah. Jika diteliti melalui cerita Mila berkenaan Zakry tiga tahun lalu dengan Zakry versi baru semalam, perbezaannya bagai langit dengan bumi.

"Mila masih sukakan dia?" Berhati-hati Ustazah Latifah bertanya kepada menantunya.

"Kanda tetap di hati Mila." Laju Mila menjawab.

Jawapan tersebut disambut dengan anggukan oleh baik Ustazah Latifah mahupun Kiyai Rahman. Logiklah jika hanya Hamdan di hati Mila sekarang walaupun suaminya itu telah meninggal dunia setahun lalu akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan balik ke pondok.

Hamdan Wafiq sangat baik dengan Mila. Segala kekurangan gadis itu, Hamdan terima seadanya. Perkahwinan mereka bahagia walaupun tanpa cahaya mata. Atas usaha Hamdan juga, Mila lebih cekap menangkap pelajaran yang diajar.

"Tapi, kenapa baba tengok Mila menangis semalam?" Kiyai Rahman melontarkan 'bom'.

"Tak... Mila..." Mila menggigit bibir.

"Apabila akad nikah dilafazkan, akan ada satu perasaan halus bernama sayang yang dikurniakan oleh Allah kepada pasangan yang berkahwin. Baik perkahwinan itu diaturkan keluarga ataupun secara suka sama suka," selit Kiyai Rahman lagi.

"Jadi, baba rasa Mila masih sayangkan budak tu. Cuma saja hati Mila terlalu sakit dengan apa yang dia dah buat kepada Mila." Tenang Kiyai Rahman menuturkan bicara.

Hujah bapa mentuanya disambut dengan helaan nafas yang memberat memenuhi dada. Allahu. Betul ke? Tapi jika diingat balik, betul juga. Ketika hari akad nikah, tanpa sedar dia tersuka kepada suaminya sendiri.

Atas dasar itulah, dia tetap bertahan walaupun dirinya disakiti dengan harapan suatu hari nanti, Zakry akan nampak dan menghargai kewujudannya. Namun, semua itu hanyalah ilusi apabila dia diseksa sampai keguguran.

Perasaan yang sama juga berlaku ketika akad nikah dengan Hamdan. Tapi, perasaannya kali ini sedikit berbeza berbanding semasa diakadnikahkan dengan Zakry.

Ketika dengan Zakry, dia memandang lelaki itu sebagai putera raja yang tampan lagi gagah. Hatinya dicuri oleh kekacakan Zakry. Tetapi dengan Hamdan, lelaki itu hanya bagaikan seorang kawan yang sentiasa senyum kepadanya tanpa sedikit pun perilaku menyakitinya.

Oh Tuhan, kenapa dengan dia?

"Baba nampak budak tu budak baik. Mungkin selepas tiga tahun Mila tinggalkan dia, dia betul-betul dah berubah," komen Kiyai Rahman lagi.

"Erm. Sebenarnya, kenapa dengan dia, baba?" Mila cuba melencongkan soalan. Cukup-cukuplah cakap pasal Zakry dah berubah!

"Mila kan dah tau dia kena santau," bidas Kiyai Rahman. Eh, budak ni! Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula.

"Tak sembuh lagi ke?" Terlopong Mila mendengar jawapan babanya. Sudah tiga tahun kot!

"Baba syak orang yang santau budak tu dah mati. Sebab tu susah sangat nak buang 'ibu santau' bomoh Siam dalam diri dia," ujar Kiyai Rahman.

"Oo..." Panjang muncung Mila mengangguk faham.

"Mila, baba harap Mila dah maafkan budak tu," senyum Kiyai Rahman seraya memandang redup wajah menantunya.

Mila terseksa, Zakry pun terseksa. Tapi jika nak dibandingkan dengan Mila, Zakry lebih terseksa. Mila hanya diseksa oleh Zakry selama sebulan sahaja. Tapi Zakry terseksa akibat santau tuju sudah tiga tahun lebih. 

Mengikut pengetahuannya, santau tuju memang boleh membawa maut. Namun begitu, nyawa seseorang dipegang oleh Allah SWT. Hanya Dia yang berkuasa menghidup dan mematikan makhluk-Nya.

Iblis memang kuat, tapi Allah lebih berkuasa kerana iblis juga makhluk ciptaan Allah.

'Kasihan betul budak tu,' sambung Kiyai Rahman di dalam hati.

'Kasihan betul budak tu,' sambung Kiyai Rahman di dalam hati.

Kalau diikutkan, dia mahu cuba merawat Zakry sampai sembuh. Tapi, apabila mengenangkan kesibukan anak muda itu dalam menguruskan projek bertaraf mega yang berkait rapat dengan pondoknya, dia tiada solusi.

Mana mungkin Tengku Zakry boleh tinggalkan syarikatnya terkontang-kanting tanpa nakhoda dalam masa beberapa ketika? Karamlah jawabnya operasi syarikat itu kalau dia tidak menjumpai pemangku jawatan CEO yang sesuai.

"Berat sungguh ujianmu, nak," keluh Kiyai Rahman perlahan.

*****


Zakry berjabat tangan dengan Tuan Ahmad lalu merendahkan sedikit badannya sebagai tundukan hormat kepada pelabur dari Dubai itu. Perjanjian usahasama mereka telah pun selamat termeterai sebentar tadi.

"Semoga projek kita berjalan lancar," ujar Tuan Ahmad.

"Insya-Allah, tuan." Senyuman Zakry begitu meyakinkan.

"Jumpa lagi bulan depan," pamit Tuan Ahmad.

Pemergian ahli perniagaan itu diiring dengan pandangan mata sampailah kereta yang membawanya hilang dari perkarangan bangunan syarikat. Hanya selepas itu barulah Zakry dapat melepaskan nafas lega.

"Tahniahlah, Zakry." Tiba-tiba, satu suara asing menegurnya sebaik sahaja dia ingin mengorak langkah masuk ke dalam bangunan.

"Uncle Jusa." Rasa tidak senang terus menyelinap ke dalam hati Zakry.

Figura seorang lelaki berkot kelabu menghiasi pandangannya. Wajah itu manis memandangnya tapi dia tahu, wajah semanis gula itu hanyalah topeng. Kalaulah dapat dibuang topengnya, pasti semua orang dapat lihat betapa berulatnya muka si talam dua muka itu.

"Uncle buat apa dekat sini?" tanya Zakry seadanya.

"Nak lawat anak saudara uncle la. Salah ke?" Tengku Jusa menarik senyuman plastik.

"Terima kasih sajalah, uncle." Zakry mencebik seraya meneruskan langkahnya yang terbejat.

"You're so rude, Tengku Zakry," komen Tengku Jusa.

Sekali lagi, langkah Zakry terhenti. Ringan saja buku limanya ingin dilayangkan ke muka orang tua itu. Tapi, apabila mengenangkan si pengacau keamanannya merupakan adik kepada papa, marahnya ditahan sebaik mungkin.

Dirinya dibuat-buat pekak tidak mendengar komen provokasi tersebut. Uncle Jusa sengaja datang ke sini untuk mengacau ketenteramannya. Atau, lebih teruk, orang tua itu ada skema jahat. Jadi, daripada dia melayan, baiklah dia persetankan saja.

"Tuan nak balik sekarang ke?" Johar yang sedari tadi mengikutnya sibuk bertanya.

"Wajib balik," jawab Zakry seraya menarik tali lehernya yang terasa mencekik leher.

Wajahnya yang terasa panas berbahang disentuh perlahan. Tidak semena-menanya, ketawa kecil terbit dari mulutnya yang juga terasa pahit. Haih, malang sungguh dirinya. Sudahlah jatuh, tertimpa tangga pula.

'Berapa lama pula kau akan 'tidur' lepas ni, Tengku Zakry?' soal dirinya sendiri. Bala. Dah. Datang!

Previous: BAB 16
Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.