BAB 2

Mila bungkam di tempat duduknya. Debar di dada semakin rancak. Entahlah, dia tak tahu. Sama ada dia bodoh atau terlebih cerdik, mudah-mudah saja pinangan daripada lelaki tua diterimanya.

Alasannya? Mudah.

Dia mahu keluar daripada belenggu kemiskinan. Dia berharap semoga ada bahagia buatnya setelah lama menderita sejak kecil. Walaupun dia tahu dia mungkin tak layak untuk mendapat secebis kasih sayang, dia masih berharap.

"Anak buangan tetap anak buangan. Mak bapak kau sendiri pun campak kau ke tong sampah, kau ingat ada manusia baik sudi kutip kau jadi bini?"

Ayat itu sentiasa singgah di gegendang telinganya saban hari. Baik ketika pergi kerja atau balik kerja, atau pergilah ke mana-mana pun dalam kawasan itu, ayat itu sentiasa sampai di telinganya.

Tajam sekali ayatnya. Hina sangatkah dirinya?

"Mila..."

Lamunan Mila bersepai. Pak cik baik hati yang ditolongnya semalam kini berdiri di depannya. Pak cik itu jugalah yang menawarkan tawaran untuknya keluar daripada kemiskinan.

"Mila dah sedia?" tanya Tan Sri Muda.

Mila hanya mengangguk perlahan. Malu-malu apabila semua mata memandangnya. Ada yang tersenyum, ada yang mencebik. Namun, dia kekalkan wajahnya dengan senyuman.

Biarlah. Hari itu merupakan hari bahagianya. Hari di mana nasibnya bakal berubah. Dia tak perlu lagi tidur di bawah jambatan. Penderitaannya diganggu oleh lelaki warga asing akan berakhir.

"Aku terima nikahnya Mila Adelia..."

Jauh di sudut hati, Mila bahagia melihat sang lelaki tampan yang sudi memperisterikannya, seorang gadis tak sempurna. Bagai langit dengan bumi perbezaan mereka. Namun, kini mereka berdua bersatu sebagai suami isteri.

Wajah pak cik yang kini bergelar bapa mentuanya pula dipandang sekilas. Nampak air muka orang tua itu turut bahagia. Akhirnya, dia menemukan isteri buat anaknya. Dia berharap agar perangai liar anaknya berubah.

'Mampukah aku layari bahtera rumah tangga ni dengan baik?' Mila mempersoalkan dirinya sendiri.

Sebentuk cincin bertatahkan permata di jari manisnya dipandang. Lama. Mulai saat ini, dia ada duit. Dia ada rumah. Dia tak perlu lagi bekerja sebagai tukang cuci tandas di pelbagai buah bangunan. Kini, dia sudah bebas! Hatinya tersenyum girang.


*****


Majlis pernikahan telah lama selesai. Orang ramai juga semakin beransur pulang. Namun, sedikit pun rasa marah dalam diri Zakry tak hilang. Dia kena kahwin paksa dengan perempuan tak dicintai!

"Pergi dekat isteri kamu," suruh Tan Sri Muda.

"Hish!" dengus Zakry.

Dengan terpaksa, dia menapak juga ke arah Mila yang sedang duduk bersimpuh. Ayu, tapi malang hatinya sikit pun tak terusik dengan kecantikan isterinya. Dia lebih mengingati Trisha. Agak-agaknya, apa reaksi gadis genit jika tahu dirinya sudah berkahwin?

"Kau," panggil Zakry. Dingin.

"A... abang." Mila mengangkat muka.

Melihat wajah suaminya beku tanpa perasaan, Mila menelan air liur. Terasa kelat di kerongkong. Entah kenapa, hatinya berbisik tidak enak dengan semua ini. Apatah lagi, renungan sang suami sangat garang seolah-olah mahu menelannya hidup-hidup.

"Kenapa kau setuju kahwin dengan aku?" bisik Zakry. Matanya tajam menikam wajah isterinya.

"A... aku..." Mila semakin tidak selesa.

"Sebab papa tawarkan duit?" tuduh Zakry.

"Ya..." Mila semakin takut.

"Dasar betina murahan!" Zakry mengetap bibir. Penumbuknya dikepal kemas.

"Bukan..." Mila ingin membela diri.

"Pergi mampus dengan semua tu!" cantas Zakry.

"Kau takkan bahagia dengan aku!" bisiknya pula. Keras.

Udara di sini dirasakan berbahang panas. Tanpa berlengah, cepat-cepat dia berlalu pergi dari situ meninggalkan Mila terkontang-kanting seorang diri. Pipit nak bahagia dengan enggang? Dalam mimpi sajalah!

Melihat suaminya menghilangkan diri di sebalik keramaian tetamu, Mila tunduk menekur lantai. Setitis dua air matanya nenitik ke karpet baldu. Dia sudah menjangkakan perkara ini akan terjadi jua. Jadi, kenapa dirinya tetap lemah?

"Mila," panggil Tan Sri Muda.

"Papa." Cepat-cepat Mila menyeka air mata. Dia tak nak bapa mentuanya tahu dia menangis.

Tan Sri Muda menghulurkan senyuman buat menantunya. Kejamkah dia menyeksa perasaan gadis malang itu? Tapi, dia hanya nakkan yang terbaik buat anaknya sendiri.

"Mari makan," ajaknya.

"Tak apalah, papa. Mila kenyang lagi," tolak Mila penuh sopan.

Namun, tolakannya ditolak mentah-mentah oleh orang tua itu. Dia dipaksa juga untuk pergi makan. Pandangan sinis beberapa orang tetamu baik lelaki ataupun perempuan, dia terpaksa hadap. Ya Tuhan, penat sungguh hidupnya.


*****


"Kau ni memang takde baju lain ke? Selekeh gila. Aku nak tengok pun tak lalu," marah Zakry.

Panas hatinya apabila balik saja kerja, wajah isterinya terpampang di depan mata. Kalau pakai cantik-cantik, tak apalah. Ini, tak. Macam orang gaji saja dia menengoknya.

"Mi... Mila..." Mila tunduk menekur lantai.

Bukan dia tak ada baju. Tapi, baju inilah yang dirasakan terbaik untuk dia pakai hari ini. T-shirt dengan kain batik sarung. Salah ke? Senang untuk dia bergerak ke sana ke mari di rumah besar ini.

"Kau dah bisu ke, betina?" tengking Zakry.

Terenjut bahu Mila apabila ditengking sedemikian rupa. Betina? Murah sangat harga dirinya di mata suaminya. Ya, dia tahu yang dirinya tak disukai oleh Zakry. Tapi, dia kan isterinya yang sah? Tak boleh ke Zakry berlembut sikit dengannya?

"Abang..." Lembut Mila bertutur. Hatinya cuba disabarkan.

"Semak gila aku nampak muka kau. Pergi!" halau Zakry.

"Pergi ke mana?" Mila bertanya. Polos.

"Kau ni takde otak ke macam mana, hah?" Kemarahan Zakry bertambah dua kali ganda.

Pengemis manalah papanya kutip untuk dijadikan isteri kepada dia yang kaya-raya ni? Dasar perempuan murahan. Apa yang membuatkan papanya begitu bertegas untuk mengambilnya sebagai menantu? Sumpah dia tak faham.

"Tak... ni kan... rumah Mila juga?" tanya Mila takut-takut.

Ya, betul. Rumah besar ini selamat menjadi miliknya sebaik sahaja Zakry melafazkan "aku terima nikahnya". Itu janji Tan Sri Muda kepadanya sebelum dia bersetuju untuk berkahwin dengan Zakry.

"Rumah kau?" Zakry ketawa semahu-mahunya.

Tak guna punya papa! Kenapa rumah besar yang diidam-idamkannya selama ini diserahkan kepada Mila? Dia menurut kata dengan berkahwin dengan gadis itu pun sudah cukup baik. Apa sebenarnya perancangan orang tua itu?

"Ya, rumah Mila." Mila menjawab penuh tertib.

Dia cuba menentang pandangan mata suaminya. Tapi, tak lama. Dia tak mampu. Jegilan mata suaminya sangat dalam dan tajam. Hatinya berasa kecut dengan sorotan mata suami paksa relanya. Ya Tuhan, apa akan jadi dengan nasibnya selepas ini?


Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.