20
Hari ini genap sebulan usia perkahwinan Afini dan
Yus. Dalam tempoh sebulan ini, banyak perkara baru yang dia pelajari
terutamanya mengenai diri Yus dan dunianya. Kini mereka tinggal di kondominium
Yus.
Pertama kali dia
menjejakkan kaki ke rumah ini adalah sebagai insan yang tedesak dan menemui
jalan buntu. Sewaktu itu jugalah dia bertemu dengan bapa mentuanya buat kali
pertama dan yang paling tidak dapat dilupakan, dia terpaksa menandatangani
surat perjanjian yang disediakan oleh Yus sehingga menjerumuskan dirinya ke
dalam permainan ciptaan lelaki itu.
Sikap Yus? Terus terang
dia merasakan yang dirinya sukar untuk memahami lelaki itu. Ada kalanya Yus
bersikap kasar. Namun, ada ketikanya pula Yus begitu prihatin dan bersikap
penyayang. Sehingga kadangkala dia menjadi lupa status diri Yus. Cara pandangan
mata dan sikap romantik Yus sering kali menduga imannya. Tetapi dia bersyukur
kerana Yus tidak pernah lagi mengulangi kesilapan yang pernah dilakukannya
sewaktu kali pertama dia terpaksa tidur
sebilik dengan lelaki itu.
Yang lebih
menggembirakan hatinya, Yus bersetuju sewaktu dia meminta untuk diberikan bilik
berasingan. Cuma mereka terpaksa tidur sebilik andai bapa Yus dan emaknya
datang ke kondominium itu.
Sudah hampir setengah
jam Ainal menghadirkan dirinya di bilik Zakaria dan sepanjang tempoh itulah
Ainal mencanang tentang perihal Afini. Namun rasa tidak puas hati kian bermukim
di hati Ainal apabila sahabat di hadapannya itu hanya membisukan mulutnya.
Zakaria bagaikan patung. Sedikit respons pun tidak ditunjukkan Zakaria.
“Kau ni kenapa
Zakaria?” soal Ainal tidak berpuas hati dengan sikap sahabatnya semenjak
kebelakangan ini.
“Aku okey.”
“Okey kepala otak kau!
Aku bukan main lagi cerita dengan kau bagai nak rak. Tapi kau buat bodoh aje.”
“Aku dengarlah kau
cakap… yang kenduri rumah Yus dengan Afini tu bukan main meriah lagi. Biasalah
tu, hantaran dah 15 ribu. Kalau tak meriah lagi, tak tahulah aku.”
“Tulah, aku dah cakap
dengan kau yang Afini tu kahwin dengan Yus sebab dia nakkan duit si Yus tu.
Kalau tak, takkanlah dia sanggup nak hidup dengan mamat gay tu,” cerita Ainal.
“Hmm…” Hanya itu sahaja
yang keluar dari mulut Zakaria.
Ainal tidak suka
respons yang diberikan sahabatnya itu. Lain benar sikap Zakaria daripada biasa.
“Kalau betullah Afini tu bukan mata duitan, takkan dia nak minta hantaran
sampai RM 15 ribu. Betul tak?” Dia masih cuba menarik perhatian sahabatnya itu
untuk turut serta dalam mengumpul dosa.
“Lantaklah! Dia nak
kahwin dengan gay ke? Apa ke? Tak ada kena mengena dengan aku!” Suara Zakaria
tinggi.
Ainal terkejut dengan
reaksi Zakaria. Bukan reaksi seperti ini yang dijangkakannya. “Kau ni kenapa?
Tiba-tiba nak naik angin pulak. Entah-entah kau ada hati dekat Afini?”
Zakaria menghembuskan
nafas berat.
Ainal merenung Zakaria
seketika. “Betullah kau sukakan Afini? Patutlah masa kenduri kahwin Afini
dengan Yus kau tak datang. Sejak bila kau sukakan perempuan tu?”
“Sejak aku kenal siapa
dia!”
“Maksud kau?” soal
Ainal tidak dapat menduga akan maksud kata-kata sahabatnya itu.
“Dia lain. Kau tahu tak
kenapa aku selalu kutuk dia dulu?” mendatar suara Zakaria.
Ainal menggeleng.
“Sebab… aku cemburu!
Cemburu bila aku tahu yang dia ada hubungan dengan si mamat gay tu! Aku ingat
lepas aku kutuk dia, hati aku akan lega. Tapi tak! Hati aku makin sakit.
Bertambah sakit bila aku dapat tahu yang dia akan berkahwin dengan Yus. Aku tak
boleh terima, apatah lagi nak tengok dia orang bersanding.” Zakaria
berterus-terang.
“Kenapa kau tak pernah
beritahu aku?” soal Ainal.
“Untuk apa? Untuk kau
gelakkan aku sebab sukakan Afini tu?” tempelak Zakaria.
Ainal rasa terpukul
dengan kata-kata yang dituturkan oleh Zakaria. Memang dia tidak dapat menafikan
yang dia sering mentertawakan Afini sementelah mengetahui perihal wanita itu
bersama Yus.
“Afini tak sama
langsung seperti apa yang kau canangkan dekat budak-budak ofis kita. Dia lain… pertama
kali dalam hidup aku, aku bertemu dengan wanita yang mempertahankan kebenaran.
Kau bayangkan kita yang lelaki ni selalu kutuk belakang kalau kita tak sukakan
sesuatu perkara. Tapi dia tak! Kalau dia rasa benda tu betul dan boleh
dipertahankan, sedaya upaya dia akan berusaha. Lagi satu… dia mudah memaafkan
orang. Tapi tipulah aku cakap, kalau aku sukakan dia hanya kerana sikap dia tu.
Setiap kali aku pandang wajah dia, aku rasa… aku nak sentuh pipi dia, aku nak
belai wajah dia dan aku nak bahagiakan dia. Tapi itu semua mustahil! Dia dah
jadi isteri orang,” kata Zakaria penuh sayu.
Ainal pula masih tidak
percaya yang sahabat baiknya itu dalam diam amat mendambakan insan yang sering
dihinanya.
Afini yang sedari tadi
mendengar perbualan dua sahabat itu, memalingkan tubuhnya untuk segera beredar
sebelum kehadirannya di hadapan bilik tersebut dikesan. Tetapi saat dia memalingkan
tubuhnya, terlihat jelas dipenglihatannya akan riak wajah bengis Yus yang
berkedudukan sangat rapat dengan tubuhnya itu.
Adakah Yus mendengar
segala bicara dua sahabat yang berada di dalam bilik yang terbuka sedikit daun
pintunya itu? Yus kelihatan sangat marah. Wajahnya tika ini ibarat harimau yang
ingin menerkam mangsanya dan Afini tahu siapakah mangsa-mangsanya itu! Ainal
dan Zakaria!
Namun sebelum Yus
bertindak di luar kewarasan, Afini segera memegang lembut tangan suaminya itu
dan menggeleng berserta pandangan sayu. Harapannya agar Yus menghentikan
niatnya itu. Dia faham benar akan sikap Yus, di saat syaitan menguasai lelaki
itu hanya kelembutan yang dapat menyedarkannya.
Jam sudah mengenjak
ke pukul 11.00 malam. Afini berada di bilik tidur, memikirkan semula kata-kata
Ainal dan Zakaria sewaktu di pejabat tadi. Kata-kata Ainal mengenai dirinya
tidak benar sama sekali. Andai Ainal mengatakan dirinya seorang mata duitan,
mengapa perlu dia menolak saat bapa mentuanya ingin memberikan RM 24 ribu sebagai
wang hantaran.
Menurut Dato Haalim,
jumlah itu diberikan sempena usianya yang ke 24 tahun. Tetapi dengan sopan, dia
meminta pihaknya menolak. Dia tidak mahu orang mengatakan yang dia mengahwini
Yus semata-mata kerana kemewahan lelaki itu. Lagi pula, Afini bukanlah terlalu
jahil untuk membeza apa yang wajib dan apa yang tidak dalam sesebuah
perkahwinan. Dalam Islam sendiri, sebenarnya tidak terdapat pun hantaran
kahwin. Apa yang ada dan diwajibkan ke atas pihak lelaki adalah mas kahwin
ataupun mahar. Malahan wang hantaran ini bukanlah budaya yang dianjurkan Islam
tetapi ianya dicedok dari barat.
Afini turut meminta Yus
memujuk bapa mentuanya untuk membatalkan niatnya sewaktu dia beria-ia ingin
mengadakan majlis perkahwinan mereka di hotel bertaraf lima bintang. Tujuan dia
berbuat begitu tetap sama sebagaimana dia menolak pemberian RM 24 ribu daripada
pihak Yus sebagai wang hantarannya.
Terdengar pintu utama
dibuka. Afini yakin Yus baru pulang. Semenjak duduk sebumbung dengan lelaki
itu, Yus kerap kali pulang lewat. Pada fikirannya, mungkin Yus terlebih dahulu
bertemu dengan ‘buah hatinya’ untuk melepaskan rindu. Dia tidak ambil peduli
tentang hubungan sulit Yus dengan Jeff.
Sebelum berkahwin pun,
dia sudah jangkakan perkara ini akan berlaku. Tetapi dia bersyukur kerana Yus
masih tahu menghormati dirinya dengan tidak membawa pulang ‘kekasih hatinya’
itu dan tidak menjadikan kondominium ini sebagai tempat mereka bermadu asmara.
Selang beberapa minit,
pintu bilik Afini pula diketuk dari luar. Dia segera mengesat linangan air
mata. Matanya sudah bengkak kerana terlalu banyak menangis. Langkah diatur
untuk menghampiri daun pintu dan saat pintu dibuka, terlihat wajah Yus
memandang sayu ke arahnya.
“I nak bincang sikit
dengan you,” tutur Yus lembut.
Afini suka nada Yus bercakap dengannya saat
ini. ‘Alangkah baiknya andai lelaki di hadapannya ini adalah lelaki sejati yang
boleh dipeluk dan didakap.’ Dia mengekori langkah Yus ke meja makan.
“Dah makan?” soal Yus
persis seorang ayah menyoal anaknya.
Afini menggeleng.
“Kenapa tak makan? Tak
lapar?” soal Yus lagi sambil tangannya meletakkan nasi ayam yang dibungkusnya
di dalam pinggan dan dihidangkan kepada Afini. “Makan, nanti sakit susah,”
tutur Yus masih berlembut.
Sikap prihatin Yus menyebabkan Afini semakin
lupa bahawa dirinya bukanlah insan yang dicintai oleh lelaki di hadapannya ini.
“Afini… makanlah,”
pujuk Yus lagi.
Mendengar nada suara
Yus, hati Afini terpujuk. Dia segera menyuap nasi ayam ke mulutnya.
Yus memandang wajah
mulus Afini. Ingin sahaja dia memeluk erat insan yang amat disayanginya untuk meredakan kesedihan yang menggunung
sehingga menyebabkan mata isterinya itu kelihatan bengkak. Pandangan matanya
beralih pandang ke bibir merah milik Afini. Di saat ini, nafsu lelaki miliknya
kian memuncak.
“Hmm… tadi you kata nak
bincang. Pasal apa?”
Persoalan yang
diutarakan Afini menyedarkan Yus untuk segera mengawal dirinya agar tidak
melakukan apa yang dikehendaki oleh nafsunya tika ini. “Tak… I nak bincang…
pasal Ainal dan Zakaria.”
“I dah agak you nak
bincangkan pasal tu. Dahlah... lupakan aje apa yang you dengar. Mulut tempayan
kita boleh tutup tapi kalau mulut orang, kita tak boleh nak kawal.”
“Habis, you nak biar
macam tu aje? Dia orang fitnah you!” Suara Yus tinggi.
“Fitnah? You rasa apa
yang dia orang cakapkan tu fitnah?”
“Kenapa you cakap macam
tu pulak? Dia orang tak kenal you. Dia orang tak tahu you macam mana.”
“Betul. Dia orang tak
kenal I… tapi tak ada beza pun sama ada dia orang kenal atau tak. Sebab memang
kenyataannya I sanggup kahwin dengan you semata-mata kerana duit. Jadi apa yang
dia orang katakan tu ada kebenarannya,” sayu suara Afini.
“Afini…” Hanya
kata-kata itu sahaja yang mampu keluar dari mulut Yus.
“You dah lupa ke? Dulu
you pernah cakap yang I jual maruah I untuk kahwin dengan you sebab duit RM 20
ribu tu. You dah lupa?”
Mana mungkin Yus boleh
melupakan perkara itu. Saat diri dikawal api kemarahan dan kebencian terhadap
wanita yang bernama Nur Kamiilah, tempiasnya pula terkena kepada Afini
sementelah Afini yang berada di sampingnya tika itu. Penyesalan bertubi-tubi
hadir dalam dirinya selepas apa yang diungkapkan pada wanita yang amat
dicintainya ini. “I minta maaf,” tutur Yus ikhlas.
“Tak apa. I tahu you
cakap semua tu sebab you tengah marah atau mungkin sebab you tak kenal siapa I.
Jadi situasinya sama dengan apa yang berlaku sekarang. Ainal dan Zakaria tak
kenal dan tak tahu pun I ni macam mana sebenarnya. Jadi lebih baik kita lupakan
sahaja dan maafkan orang yang terlalu cetek pengetahuannya.”
‘Mengapa mudah benar
insan di hadapanku ini memaafi insan lain? Tidakkah dia berasa terseksa dengan
fitnah dan tohmahan yang dilemparkan?” Hati Yus tertanya-tanya tentang sikap
Afini.
“Tapi I tak boleh nak
biarkan sahaja perkara ni. I dah ambil keputusan untuk memecat Ainal dan
Zakaria! Sebab tulah I nak minta you sediakan surat pemecatan untuk mereka
berdua.”
“What?” Tanpa sedar Afini sudah menjerit.
Tidak disangkanya
sejauh itu tindakan yang ingin dilakukan oleh Yus. Memecat Ainal dan Zakaria
bermakna kedua mereka akan hilang punca pendapatan. Apakah yang akan terjadi
sekiranya Ainal dibuang kerja? Bagaimanakah dia ingin menampung kehidupannya
bersama isteri yang tidak bekerja? Anaknya masih kecil dan sudah tentulah
perbelanjaan untuk membeli susu serta keperluan lainnya memerlukan kos yang
tinggi.
Zakaria
pula? Walaupun dia masih bujang, tetapi sudah pasti jualah dia mempunyai ibu
bapa yang ingin disara. Itu tidak termasuk dengan kereta Honda yang dipakainya
memerlukan sejumlah wang untuk dibayar, rumah dan kerpeluan lainnya juga memerlukan
nilai yang sama… wang!
“Yus, I tak rasa apa
yang you fikirkan itu adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ni.
Syarikat perlukan dia orang.” Afini cuba melembutkan hati Yus.
“I boleh cari sepuluh
orang yang lebih berkualiti daripada dua ‘orang mangkuk’ tu.”
Setelah merasakan apa
yang diutarakan sebentar tadi masih tidak dapat menghentikan niat Yus, Afini
pantas berterus terang tentang apa yang sedang berada di mindanya saat ini.
“Yus… cuba you bayangkan kalau you buang Ainal. Macam mana dia nak tampung
kehidupannya? Apatah lagi isterinya tidak bekerja dan anaknya pula masih kecil.
Zakaria pula, dia mesti ada ibu bapa yang nak disara. Kalau dia kehilangan
kerja, macam mana dia nak jalankan tanggungjawab dia sebagai seorang anak.”
Yus terdiam. Dia tidak
menyangka setulus itu hati insan yang memandang simpati ke arahnya saat ini.
Tidak terfikir langsung olehnya yang Afini akan berfikir seperti itu. Setelah
dirinya dihina dan difitnah, mengapa wanita ini masih memikirkan tentang masa
depan kedua lelaki jahanam itu. “I tak fahamlah you ni! Dia orang buat jahat
pada you pun, you masih nak fikirkan tentang dia orang lagi!”
Afini hanya mendiamkan
diri mendengar kata-kata Yus.
“Entah-entah you pun
dah maafkan apa yang arwah ayah you dah buat pada you dan mak you!” Sinis
sekali nada suara Yus.
Afini hanya diam.
“Baiklah, kalau you tak
nak I buang dua orang lelaki jahanam tu, I nak tanya you satu soalan? I nak you
jawab dengan jujur!”
Afini terus memandang
ke arah Yus dan mengangguk.
“Hmm… Ijust nak tahu. Tentang… you dengan arwah ayah you. Maksud
I, adakah you dah maafkan arwah dengan apa yang dia dah lakukan pada you dan
mak you?”
Mengapakah soalan ini
yang diutarakan? Tidak adakah soalan lain lagi yang boleh difikirkan oleh
lelaki ini? Mengapa ingin dibuka balutan yang menampal duka di hati Afini
terhadap apa yang telah dilakukan oleh arwah kepada dirinya dan emaknya itu?
Setelah
melihat Afini hanya berdiam diri, akhirnnya Yus bersuara. “Maaf… kalau you tak
dapat nak jawab, tak apa.” Perasaan bersalah menjalar di segenap ruang hati
milik Yus tatkala melihat insan yang dicintainya ini sudah bergenang air
matanya akibat persoalan yang diutarakannya sebentar tadi.
“Tak apa. Tak perlu
minta maaf. You tak salah,” kata Afini seraya menarik dalam nafasnya sebelum menyambung
semula bicara.
“Tipulah kalau I
katakan yang I dah lupakan semua pengkhianatan arwah ayah pada I dan mak.
Derita akibat perbuatan ayah sampai sekarang ada kesannya. I terpaksa berkahwin
dengan you… itu akibat yang paling jelas. Setiap kali I fikirkan balik, mesti I
akan menangis… sakit, terseksa itu semua pasti akan hadir tiap kali terfikirkan
perbuatan arwah ayah. Tapi, sejahat dan sekejam mana pun perbuatan dia, dia
tetap ayah I! Lelaki yang membolehkan kehadiran I di muka bumi ini. Lelaki yang
selayaknya mewalikan I. Dia tetap ayah I! Jadi tak mungkin jugakan kalau orang
lain I boleh maafkan. Kenapa… tak ayah I sendiri?”
“Maksud you… You dah
maafkan dia?”
“Betul! I dah maafkan
segala kesilapan arwah ayah terhadap apa yang telah dilakukannya kepada kami
dua beranak!”
Membulat mata Yus
mendengar setiap patah perkataan yang keluar dari mulut Afini. Dia tidak
menyangka hati wanita itu begitu lemah sehingga sanggup memaafkan lelaki
sekejam arwah ayahnya.
“Lemah! Lemah betul
you, Afini!” marah Yus.
Afini hanya tersenyum. “You silap. Sebenarnya
perkara yang paling sukar untuk dilakukan adalah memaafkan! Hanya orang yang
tabah sahaja dapat melakukannya. Berbeza dengan kebencian… semua orang mudah
membenci, kerana itu perkara yang paling senang kita lakukan. Jadi agak-agak
you siapa di antara dua golongan ini yang lemah?”
Yus rasa terpukul
dengan kata-kata Afini itu, namun kerana keegoan dia menidakkan kebenaran
kata-kata insan yang masih mengukirkan senyuman ke arahnya. “Kenapa you mudah
untuk memaafkan orang? Walaupun apa yang dilakukan terhadap you begitu kejam?”
“Sebab nama I… Nur
Afini! Bukannya Mohd. Yusuf!”
Bersama kata-kata itu
pandangan mata mereka bertaut.