34
Nyaring iPhone Afini menjerit minta diangkat. Nama Zack
tertera di skrin. Mindanya ligat memikirkan akan tindakan apa yang perlu
diambil. Menerima panggilan itu atau membiarkan sahaja?
‘Ah! Angkat ajelah. Mana tahu ada
hal penting.’ Mulut memberi kata putus dan jari jemari merealisasikan kehendak
hati. “Assalamualaikum, Zack.”
“Waalaikumussalam... Afini, you
sihat?” Terdengar sayu suara di hujung talian.
“Sihat,” jawab Afini sepatah.
Suasana sunyi sebentar. Tidak
betah dengan keadaan itu, Afini memulakan bicara sekali lagi.
“Hmm… Zack, kenapa youcall I?”
“I ada hal penting nak cakap
dengan you. I tak tahu nak luahkan pada siapa. I betul-betul perlukan you
Afini.”
‘Zack perlukan aku? Betulkah Zack
perlukan aku? Sudah lama Zack tidak menuturkan kata-kata seperti itu. Kata-kata
itu bagaikan sudah terkubur saat lelaki itu melayari alam percintaan bersama
Has. Tetapi kenapa setelah bertahun mencintai insan itu, Zack kembali
memerlukan aku?’
"Afini…" lembut Zack
memanggil nama insan di hujung talian.
Mendengarkan kelembutan itu, Afini
tersentak dan dadanya berdebar perlahan. Sudah lama Afini tidak mendengar
kelembutan seperti itu menjamahi halwa telinganya.
"Ya… I dengar. You ada
masalah ke?" Sedikit gugup Afini bersuara.
"Masalah? Entahlah…"
Kata-kata Has tergantung dan sepi menguasai beberapa detik.
"Kalau bukan masalah, habis tu
apa?" Afini memecah suasana.
Terdengar keluhan di hujung
talian.
'Zack mengeluh? Berat benarkah
masalahnya?' gundah hati Afini.
"Afini… you ada masa tak?
Kalau boleh I nak berjumpa dengan you."
Kali ini Afini pula yang
membisukan mulutnya saat mendengarkan permintaan Zack itu. Hatinya berbelah
bahagi. Antara sahabat yang memerlukan dan status isteri yang disandang.
"Afini. Kalau permintaan I
tadi melampau, I minta maaf. I bagaikan lupa yang sekarang ni you dah jadi
isteri orang," sayu benar tuturan Zack kali ini.
"I minta maaf Zack. I bukan
tak nak jumpa you. Tapi"
"Tak apa, I faham."
Belum sempat Afini menghabiskan bicaranya, Zack terlebih dahulu memotong percakapannya.
Rasa bersalah kian menghimpit diri
Afini dengan sikap mudah memahami Zack itu.
"Emm… kalau macam tu, lain
kali ada kesempatan kita jumpa ya. I nak ceritakan masalah I dengan you secara
berdepan. Barulah mudah untuk I meluahkan bebanan perasaan ni. Okeylah Afini, I
ada kerja yang nak dibuat… Assalamualaikum." Bergetar suara Zack menahan
perasaan kecewa dan sedihnya. Afini menyedari perubahan suara Zack itu, namun
digagahkan jua mulutnya membalas salam sahabatnya itu sebelum talian
diputuskan.
'Apa aku dah buat ni? Bukankah
Zack sahabat aku! Kenapa aku sanggup kecewakan dia?! Kenapa?' hatinya membentak
sambil menyesali tindakannya sebentar tadi. Perlahan Afini mengeluh.
Yus mengerling jam di pergelangan
tangannya. 6.30 petang. Ini bermakna sudah hampir setengan jam dia menunggu kehadiran
Jeff yang belum kunjung tiba di kafe itu. Baran Yus sudah menampilkan dirinya.
Berang dengan sikap sahabatnya yang kelewatan kali ini.
"Manalah mamat ni?" Agak
kasar Yus bersoal sendirian sambil jari jemarinya menyeluk kocek seluar dan
mengeluarkan iPhonenya. Lancar juga jari jemarinya mendail nombor handphone Jeff. Namun belum sempat
talian bersambung Yus terlebih dahulu memutuskan panggilan saat terlihat
kelibat Jeff melambai-lambaikan tangannya sambil berlari-lari anak
menghampirinya.
“Sorry, aku lambat,”
termengah Jeff mengambil tempat di hadapan Yus.
“Kau tahu tak, dekat setengah jam
aku bertapa dekat sini tunggu kau,” bebel Yus.
Jeff hanya tersengih.
“Kenapa kau lambat?”
“Aku ada hal sikit nak uruskan
tadi. Tu yang lambat.” Jeff meletakkanenvelope besar berwarna tanah di atas meja.
“Kalau dah tahu ada hal tak
payahlah nak suruh aku keluar jumpa kau. Masa telefon tadi, bunyi macam ada hal
penting. Bila nak jumpa, kau pulak lambat,” bebel Yus lagi.
“Kau dengan Afini macam mana?”
tanya Jeff untuk menghentikan bebelan sahabat baiknya itu.
Wajah Yus terus bertukar riak
sedih. Terasa sayu hatinya dan bebal otaknya memikirkan perihal dirinya dan
Afini. Tidak tahu apa lagi yang harus dilakukannya agar insan yang amat
dicintainya itu dapat memaaf dan menerima dirinya kembali. Kali ini rajuk Afini
terlalu lama. Terseksa jiwanya.
“Tak okey lagi?” Jeff mula
berteka-teki.
Yus menggeleng. “Aku buntu. Tak
tahu nak buat apa lagi. Afini merajuk gila dengan aku.”
“Kau tak cuba minta maaf dengan
dia?”
“Bukan setakat minta maaf, aku
sanggup rendahkan diri aku, mengaku yang akulah punca kenapa semua ini terjadi.
Tapi, dia masih tak dapat nak maafkan aku.” Yus mengeluh.
“Pelik jugak. Selalunya Afini tak
adalah keras hati sangat. Arwah ayahnya yang kejam tu pun dia boleh maafkan.
Inikan pulak kau?”
Yus mengeluh lagi.
“Yus, kau rasa Afini ada perasaan
dekat kau tak? Yalah... kalau dia tak ada perasaan dekat kau, takkan sampai
sekarang dia masih terasa hati dengan kau? Mungkin dia pun mencintai kau?” teka
Jeff.
“Mustahillah Afini ada hati dekat
aku. Mustahil… Aku yakin sampai saat ini dia hanya mencintai Zack,” kata Yus
penuh yakin.
“Dahlah... kita lupakanlah pasal
Afini. Sekarang kau beritahu aku, kenapa beria-ia sangat kau nak jumpa aku?
Sampai tak menyempat nak tunggu esok.” Jeff membetulkan duduknya. Dia memandang
tepat ke arah Yus.
“Kenapa kau pandang aku macam tu?”
Yus meluahkan ketidaksenangannya.
“Yus, aku rasa, aku tahu macam
mana caranya nak buat Afini maafkan kau.”
“Maksud kau? Kau tahu apa yang
harus aku buat supaya Afini memaafkan aku?”
Jeff mengangguk.
Berdebar dada Yus menanti butir
bicara yang akan keluar dari mulut sahabatnya itu. Apakah yang ingin
dicadangkan oleh Jeff?
MALAM menampakkan bayangnya
setelah matahari terbenam dari terus menyinarkan SANG suria. Andai waktu lain
kesayuan malam seperti ini mampu menenangkan hatinya, namun tidak untuk kali
ini. Biarpun selembut dan senyaman mana angin yang telah menjamah tubuhnya,
masih tidak mampu menurunkan gelodak di jiwa dan debaran di dada.
Sungguh! Dia masih tidak tenteram
menerima kunjungan irama ketidaksenangan semenjak pertemuannya dengan Jeff
siang tadi. Keluhan yang entah keberapa kali terpacul di bibir saat dirinya
teringat cadangan Jeff.
‘Apa aku nak buat ni?’
Yus melangkah perlahan ke arah kerusi
dan melabuhkan punggungnya. Matanya sudah terhala pada sampul surat pemberian
Jeff petang tadi. Perlahan tangannya mencapai
sampul surat itu. Dia membuka dan mengeluarkan beberapa keping gambar di
dalam sampul itu. Dia begitu terkejut saat pertama kali melihat gambar itu di
hadapan Jeff.
Yus meneliti gambar yang dipegangnya. Dia
kenal dengan perempuan yang sedang tersenyum sambil memeluk lengan lelaki yang
amat dibencinya. Kerana lelaki itulah dia kehilangan kemanisan zaman
kanak-kanaknya dan kerana lelaki itu jualah zaman remaja dan dewasanya
diseliputi kebencian. Walaupun gambar lelaki yang amat dibencinya itu telah
menarik perhatiannya pada awalnya, tetapi setelah mengetahui kaitan yang
terjalin di antara Afini dan wanita yang sedang tersenyum bahagia di pandangan
matanya saat ini telah memberikan impak kejutan yang lebih hebat.
“Apa harus aku lakukan sekarang?”
Perlahan mulut Yus bersoal sendirian.
Yus memasukkan semula
gambar-gambar yang dipegang. Otak masih berkira-kira untuk membuat keputusan.
Lama, masih tiada kata putus yang diambil.
“Ah! Apa jadi pun jadilah! Yang
penting Afini perlu tahu!”
Yus mengatur langkah keluar dari
biliknya dan bilik Afini menjadi sasaran tujuan.
Selesai menunaikan solat Isyak, Afini memenjarakan dirinya di
dalam bilik. Itulah kebiasaan yang sering dilakukan semenjak berlaku
perselisihan faham antara dia dan Yus. Andai sebelum ini mudah benar dia
memaafkan lelaki itu, tetapi berlainan kali ini. Bukan niatnya untuk menghukum
Yus, tetapi biarlah kali ini Yus belajar erti kemaafan yang sebenarnya agar dia
lebih menghargai setiap kemaafan yang diterimanya.
Dia teringat pula perbualan dia
dan Zack di telefon petang tadi. Masalah yang dihadapi Zack amat
merunsingkannya. Pening kepalanya memikirkan penyelesaian terbaik yang harus
dicadangkan kepada sahabatnya itu. Andai diikutkan kelancangan mulutnya, mahu
sahaja rasanya dia menyuruh Zack meninggalkan kekasih hatinya itu. Tetapi andai
cadangan itu yang diberikan, apa pula reaksi Zack nanti? Adakah Zack akan fikir
yang dia mencemburui Has?
‘Apa yang harus aku lakukan!’
jerit hati Afini. Dia mengeluh. Digaru-garunya kepala yang tidak terasa gatal
akibat minda yang masih berusaha memikirkan cadangan yang harus diberikan
kepada Zack. Namun, tingkahnya itu termati saat telinganya dapat mendengar
ketukan perlahan di pintu. Dalam kemalasan, dia mengatur jua langkahnya.
“Nak apa?” soal Afini, malas.
“I ada hal sikit nak bincang
dengan you,” lembut Yus bersuara sambil matanya memandang sayu ke arah Afini.
Ah! Yus memang begitu, selalu sahaja
menghadirkan kelembutan dan kesayuan agar Afini berasa simpati terhadap
dirinya. “Cakap ajelah dekat sini.”
“Hmm… kita bincang di ruang tamu.
I tunggu you.”
Belum sempat Afini memberi
keputusan, Yus berlalu pergi. Geram hati Afini.
10 minit kemudian, baru dia
melangkah ke ruang tamu. Dia duduk berhadapan Yus. Di meja kopu, sudah
terhidang dua cawan Milo panas
“Hmm… you dah makan?”
‘Soalan jenis apa pulak yang mamat
ni tanya? Bukan ke petang tadi aku makan dengan dia? Belum tua lagi dah
nyanyuk!’ omel hati Afini.
“You lupa ke? Petang tadi bukan
kita makan sama-sama? You nak apa sebenarnya? Tak payah nak buang masa I.”
Suara Afini sedikit kasar.
Terlihat riak serba salah di wajah
lelaki yang kian aneh tingkahnya ini. Dipegang perlahan lehernya. Afini tahu
seandainya Yus bertingkah seperti itu, pasti ada perkara yang memberatkan
otaknya. Apa pula masalahnya kali ini? Apakah kaitan permasalahan Yus dengan
Afini? Suasana bungkam menyelubungi mereka. Dia tidak lagi betah dengan situasi
ini. “Kalau you tak ada apa-apa yang nak dibincangkan, I masuk bilik dulu.”
Afini bangkit dengan niat untuk
kembali ke biliknya. Tetapi sepantas kilat, Yus berdiri dan mencapai jari
jemarinya. Dia terkejut dengan sikap suaminya itu. Berdebar dadanya. Matanya
pula masih tepat memandang ke arah Yus akibat reaksi terkejut yang masih belum
reda.
“Afini… sudi tak you keluar dengan
I hari Ahad ni? I nak bawa you pergi satu tempat.”
‘Nak ajak aku keluar? Pergi mana?
Penting sangatkah kehadiranku untuk menemaninya? Apa sebenarnya muslihat Yus?’
Hati Afini diasak soalan demi soalan. Debaran pula menambahkan kesakitan yang
sedia ada. Mata Afini masih memandang tepat ke arah Yus dan hatinya sudah
meluahkan syak wasangka. Kini, hanya mulutnya sahaja yang masih tidak mampu
untuk bersuara.