10
Seawal 8.00 pagi, Afini sudah sampai di pejabat.
Dia duduk di sofa lobi. Sewaktu dia tiba tadi, hanya kereta miliknya yang
berada di tempat letak kereta. Tidak terlihat pula kereta Porsche 911 Carrera
berwarna silver milik lelaki itu.
Sesiapa sahaja yang
melihat Yus memandu kereta itu, pasti sudah dapat mengetahui latar belakang
dirinya. Mana tidaknya, harga kereta itu sahaja sudah melebihi RM 800 ribu. Kan
bagus kalau dia mempunyai wang sebanyak itu. Sudah tentu dia dapat menebus
kembali tanah pusaka emaknya.
“Afini…”
Tersentak Afini dari
lamunan tatkala namanya dipanggil.
“Dah lama sampai?” soal
Yus.
“Taklah lama sangat.”
“Silakan…”
Pelik… lain benar
tingkah lelaki ini, tidak seperti semalam. Afini mengekori langkah Yus.
Setelah mengambil
tempat berhadapan dengan Yus. Afini masih mendiamkan dirinya begitu juga dengan
lelaki di hadapannya itu. Keadaan sunyi sepi menyelubungi mereka… Yus masih
membatu dan kadangkala terdengar keluhan berat keluar daripada bibir merah
miliknya. Seperti ada sesuatu perkara yang terlalu sukar untuk diluahkannya.
“Encik Yus… Hmm…
sebenarnya ada apa ya Encik Yus nak berjumpa dengan I?” Afini memecah kebisuan
antara mereka.
Yus mengeluh. “Afini…
sebenarnya I dah tahu perkara sebenar.”
“Perkara sebenar?
Tentang apa?” soal Afini tidak faham.
“You!” jawab Yus
sepatah.
“Saya? Maksud Encik
Yus?” tanya Afini untuk kepastian.
Yus merenung wajah
Afini sekilas. “Afini… semalam Siti jumpa I. Dia dah cerita perihal arwah ayah
you… tanah pusaka milik emak you dan…”
“Dan apa?” soal Afini.
Air matanya mula menitis.
“Afini… you perlukan RM
20 000 sebelum esokkan?” tanya Yus sambil merenung wajah Afini yang dibasahi
air mata. Ikutkan hati dia terasa ingin mengelap air mata yang mengalir di pipi
gadis itu.
Afini diam. Kenapa Siti
tergamak menceritakan masalah peribadinya kepada Yus? Hatinya hancur dengan
pengkhianatan yang dilakukan oleh Siti!
“Kalau Encik Yus suruh
saya datang sini semata-mata untuk memandang rendah dan menunjukkan rasa
simpati pada saya, terima kasih ajelah. Tapi saya tak suka orang pandang rendah
pada saya dan mak saya!” kata Afini tegas bersama linangan air mata.
Cepat-cepat dia menyeka air mata yang mengalir. Dia pantas bangun.
“Afini, tunggu dulu! I
tak pernah pandang rendah pada you. You wanita pertama yang I rasa sedikit
kagum. Selama ni, I ingat semua perempuan sama dengan perempuan jahanam tu!”
‘Perempuan jahanam???
Siapakah yang dimaksudkan oleh Yus?’ Hati Afini tertanya-tanya.
“Tapi… you lain.
Sekurang-kurangnya tak semua perempuan tak guna!”
Afini masih diam.
“Afini… sebenarnya
tujuan I panggil you datang ke sini adalah untuk memberi peluang kepada diri
kita berdua.”
“Kita berdua?” soal
Afini pelik lantas memalingkan wajahnya menghadap Yus semula.
“Hmm… sebenarnya I juga
ada masalah dan I rasa hanya you yang dapat tolong I. Dalam masa yang sama,
hanya I sahaja yang dapat selesaikan masalah you!”
“I tak faham.” Afini
mengerutkan dahinya.
“My dad…”
“Your dad?” soal Afini kian tidak mengerti.
“My dad… dia nak I cari… isteri. Maksud I… dia nak I kahwin.
Sebab dia dah tahu yang I ni… gay! Jadi I rasa hanya you yang boleh berlakon
menjadi isteri I dan sebagai ganjarannya I akan selesaikan masalah tanah pusaka
mak you tu.”
Afini bagaikan tidak
percaya dengan apa yang sedang didengarnya kini. Apa sebenarnya yang sedang
difikirkan oleh lelaki yang masih memandangnya saat ini? Adakah dia berfikir
yang dia akan bersetuju?! Adakah dia fikir yang maruahnya semurah itu? Tak guna
punya jantan!!!
“Hei! Kau dengar sini
baik-baik! Kau ingat aku ni apa hah? Perempuan murahan yang kau boleh gunakan
untuk ikut rancangan bodoh kau tu! Kalaupun aku terpaksa merempat di tepi
jalan, aku takkan jadi isteri kau!So,
lebih baik kau jangan pernah berangan untuk pergunakan aku!”
Puas hati Afini dapat
melepaskan amarahnya terhadap lelaki yang sememangnya tidak tahu untuk
menghormati maruah dirinya. Langkah untuk meninggalkan bilik itu diatur namun,
terasa tangannya disentap.
“Nanti dulu, Afini. I
faham perasaan you sekarang. Mungkin you tak dapat fikir secara rasional. Ambil
ni… Seandainya you ubah fikiran, I nak you datang ke alamat ini selepas solat
Maghrib. Kalau boleh… pakai baju kurung warna ungu yang you pakai hari tu.”
Sekeping kertas yang tercatit alamat di atasnya bertukar tangan.
Seandainya semalam hati
Afini sedih kerana dia tidak lagi diperlukan oleh lelaki itu untuk menabur
bakti di syarikatnya tetapi kini hatinya bagaikan dilanda tsunami tatkala
dirinya ditawarkan untuk turut serta dalam sandiwara perkahwinan lelaki tak
guna itu. Adakah dia kelihatan seperti wanita yang mudah untuk dipermainkan di
mata lelaki itu? Apatah lagi dia ditawarkan untuk menjadi pelakon utama dalam
menutupi keaiban hubungan Yus dan Jeff. Begitu hinakah dia di mata Yus?
Sewaktu Afini ingin
ke keretanya, dia mendengar suara Siti memanggil namanya.
“Afini… Tunggu Afini.”
Afini masih meneruskan
langkahku laju. Tidak mahu Afini melihat wajah sahabatnya itu tika ini.
“Afini! Tunggu Afini!”
Kali ini Siti berjaya
meraih lengan Afini. “Afini… tunggu! Aku nak jelaskan sesuatu…”
“Nak jelaskan apa?! Nak
jelaskan yang kau dah khianati aku! Tak cukup lagi ke kau tengok aku menderita!
Tak cukup ke? Kenapa kau khianati aku Siti? Kenapa?”
Siti terdiam. Dia
merenung wajah sahabatnya yang sudah dibasahi air mata.
“Sampai
hati kau buat aku macam ni Siti. Kau orang yang aku paling percaya. Tapi kau…”
Afini tidak berdaya meneruskan kata-katanya. Air matanya kian laju menuruni
pipi.
Siti berasa serba salah
melihat keadaan Afini. Dia cuba mencapai tangan Afini, namun Afini pantas
menepis.
“Afini… aku minta maaf.
Tujunan aku hanya satu. Aku nak tolong kau tapi aku tak ada duit. Hanya Yus yang dapat bantu
kau.”
“Memang kau dah tolong
aku. Kau dah tolong tambahkan rasa benci aku pada lelaki tak guna tu!” marah
Afini lagi. Dia mengatur langkah meninggalkan Siti.
Siti hanya mampu
memandang langkah Afini.
Sepulangnya Afini dari
melawat kubur arwah ayahnya, dia terlihatkan kelibat seorang insan yang amat
dikenalinya. Wanita itu terus menerpa ke arahnya saat pintu kereta dibukanya.
“Afini kau pergi mana
tadi?” soal Siti sebaik sahaja Afini masuk ke dalam rumah.
Afini memandang Siti
sekilas. Hatinya masih tidak dapat memaafkan perbuatan Siti. “Kenapa kau datang
sini?” soalnya kasar.
“Afini, kenapa cakap
macam tu? Tak baik… kesian Siti. Dekat tiga jam dia tunggu Afini balik. Afini
pergi mana tadi?” tegur Imah.
“Afini melawat kubur
ayah.”
Imah terdiam.
“Mak… Afini masuk dulu,
nak bersihkan badan,” kata Afini sebaik sahaja ternampak perubahan pada wajah
emaknya. Dia tidak dapat meneka samada emaknya sudah memaafkan ayahnya ke
belum.
Siti mengekori langkah
Afini.
“Afini… aku nak minta
maaf. Niat aku hanya satu… aku nak tolong kau. Maafkan aku, Afini,” pinta Siti
sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik Afini. Dia duduk di birai katil Afini.
Afini masih membisu.
“Afini… tolong jangan
buat aku macam ni. Aku tak boleh kehilangan kau sebagai sahabat baik aku.
Tolong Afini…say something.
Please…” Air mata Siti
mengalir laju.
Hati Afini menjadi
sejuk apabila melihat air mata Siti. Dia yakin, niat Siti suci untuk membantu
dirinya. Tapi, niat baik Siti itu disalahgunakan oleh Yus untuk mengikat Afini
dalam rancangan kotornya.
“Siti…” Afini terus
memeluk tubuh sahabat baiknya dengan erat. Tidak mungkin jua kerana salah faham
ini, dia sanggup memutuskan persahabatan yang sudah terjalin hampir enam
belas16 tahun itu. “Siti… maafkan aku.”
“Tak, Afini. Aku yang
salah. Kau tak salah apa-apa… aku nak minta maaf kalau apa yang aku lakukan
semalam menyebabkan kau ada masalah dengan Yus. Aku tak ada niat,” kata Siti,
jujur.
Di saat Siti menyebut
nama lelaki yang amat dibenci oleh Afini itu, tangisannya kian menjadi.
“Apa Yus cakap kat kau
tadi?” tanya Siti.
Afini mengeluh. Dia
mengesat air matanya. Selepas itu, dia
menceritakan apa yang berlaku semasa pertemuan dengan Yus.
“Kalau aku jadi kau
Afini, aku tumbuk muka jantan tu! Dia ingat dia tu siapa! Tak guna!” marah Siti
sebaik sahaja Afini menamatkan ceritanya.
“Entahlah, Siti. Aku
sendiri tak faham kenapa dia boleh terfikir sampai begitu sekali.”
Siti masih menggenggam
erat tangan sahabatnya itu. Menyuntik
sedikit kekuatan. “Habis apa kau nak buat sekarang?”
“Yang mana satu? Pasal
hal tanah pusaka mak aku atau pasal jantan tak guna tu?!”
“Tanah pusaka mak
kaulah,” jawab Siti.
Afini mengeluh.
“Entahlah… aku tak tahu. Aku betul-betul buntu. Tak tahu nak buat apa. Aku tak
kisah kalau aku hidup merempat. Tapi… aku tak tak sanggup nak biarkan mak aku
terpaksa merempat kerana kehilangan tanah pusaka ni. Hanya inilah sahaja peninggalan
arwah atuk aku. Aku tak tahu apa akan jadi pada mak aku, kalau dia tahu perkara
sebenar.”
“Kalaulah aku boleh
tolong kau… kalau aku tahu perkara macam ni akan berlaku, aku takkan guna duit
simpanan aku untuk uruskan hal perkahwinan aku. Aku sanggup tundakan. Tapi
sekarang, aku tak tahu macam mana nak tolong kau.”
“Apa kau cakap ni Siti?
Kau ingat kalau kau serahkan duit simpanan kau, aku akan terima? Tak Siti! Tak!
Aku takkan sanggup perjudikan kebahagian kau!. Hanya kau sahabat terbaik yang
pernah aku miliki. Aku nak kau bahagia.”
Pelukan yang tadinya
terlerai kini bertaut semula dan lebih erat.