“Sayang, mana majalah kegemaran abang?” tanya Adam
sekembalinya dari berjogging. Namun tiada sahutan yang diterima.
“Pergi mandi agaknya,” Adam memutuskan untuk mencari sendiri
majalah yang diinginkannya. “Sayang, nanti bila dah siap mandi, tolong bancuhkan
abang kopi.”
Masih tiada sahutan yang diterima. Adam terus duduk dan
membaca majalah itu sehelai demi sehelai.
“Wah, artikel ni menarik! Sayang, nak abang bacakan untuk
awak?” Adam bersuara teruja. Sudah menjadi kebiasaannya untuk berkongsi apa sahaja
yang menarik minatnya dengan Naimah, isteri kesayangannya. Seperti tadi, tiada
sahutan yang diterima. Namun Adam tidak peduli. Dia meneruskan bacaannya:
Seorang tukang masak mengadu kepada ayahnya. Betapa selama
ini dia merasakan hidupnya diserabuti pelbagai masalah. Selesai satu masalah,
datang pula masalah lain. Dia sudah penat berhadapan dengan semua ini.
Lalu si ayah membawanya ke dapur. Dia mengisi tiga periuk
dengan air dan menunggu sehingga air mendidih. Sesuadah itu, dia mengisi periuk
itu dengan kentang, telur dan biji kopi.
Setelah beberapa ketika, dia memasukkan bahan-bahan tadi ke
dalam tiga bekas yang berbeza. “Anakku, apa yang awak nampak?”
“Kentang, telur dan kopi,” si anak menjawab ragu-ragu.
“Lihat lebih teliti. Sentuh kalau perlu,” ujar si ayah. Si
anak menyentuhnya dan menyedari kentang itu lembut. Kemudian si anak mengambil
telur dan memecahkannya. Selepasi mengupas, dia membelek telur rebus itu. Akhir
sekali, si anak menghirup air kopi. Keharuman aroma kopi membuatkan si anak
tersenyum.
“Ayah, apa makna semua ini?” tanya si anak.
“Kamu lihat! Kentang, telur dan kopi tadi melalui kesukaran
yang sama iaitu air mendidih. Namun reaksinya berlainan. Kentang yang keras dan
kuat menjadi lembik. Telur yang mudah pecah, cecair dalamannya yang hanya
dilindungi cengkerang jadi keras. Namun biji kopi pula unik. Selepas terdedah
kepada air didih, dia mengubah air dan mencipta sesuatu yang baru.”
“Jadi, kamu yang mana satu? Tatkala ditimpa kesusahan dan
ujian, apa respon kamu? Seperti kentang, telur atau kopi?”
Si anak terdiam, lalu si ayah menyambung, “Anakku, binalah
kekuatan dalaman yang kuat agar kita mampu mengharungi setiap cabaran yang
mendatang. Seperti biji kopi.”
“Sebut pasal kopi, mana kopi abang, sayang?” tanya Adam
lagi. Namun apabila masih tiada sahutan yang diterima, dia mula rasa pelik. Dia
bangkit, menuju ke dapur. “Nur Naimah? Di mana awak?”
Sampai di dapur, langkahnya terhenti. Tiada sesiapa di
dapur. Suasana juga sepi. Adam memandang sekeliling. Tiada sesiapa di situ
kecuali dirinya.
“Naimah, abang lupa lagi. Abang lupa sayang dah tak ada.
Naimah, abang rindu.” Sejenak, Adam teringat kata-kata seorang ustaz yang
pernah memberikan tazkirah di surau berdekatan rumahnya.
“Kematian ialah pintu yang setiap orang mesti memasukinya.”
Adam senyum pahit. “Sayang dahpun masuk ke dalam pintu itu.
Giliran abang pula, tak tahu bila. Naimah, abang rindu…”
*****
“Assalamualaikum,” sapa naimah sebaik sahaja dia meloloskan
diri ke dalam perut teksi. Lelaki yang duduk di kerusi pemandu hanya mendiamkan
diri, tidak menjawab salamnya. Naimah pelik, namun sebentar kemudian dia
tersedar sesuatu.
“Ah, maaf! Saya lupa pula awak bukan Islam. Maafkan saya
ya!” Naimah tepuk dahi. “Dah banyak kali naik teksi awak pun, saya masih lupa.
Teruknya saya!”
“Dan sebab awak selalu lupa,” sampuk lelaki itu tiba-tiba.
“Awak kena belanja saya makan aiskrim la. Boleh?”
“Apa? Aiskrim?” Naimah telan liur. “Tapi, saya nak ke
masjid. Bukan ke pusat beli belah!”
“Saya tahu. Saya gurau je la!” lelaki itu ketawa besar
apabila melihat air muka Naimah berubah. “Takkan la saya tak tahu sedangkan
saya yang hantar awak ke sana setiap hari?”
Naimah menghela nafas lega. “Oh ya, sebenarnya saya ada
benda nak tanya. Itu pun kalau awak tak keberatan la.”
“Boleh. Tanyalah. Awak nak tanya apa?” balas lelaki itu
sebelum menyambung, “Oh, awak nak berkenalan dengan saya rupanya! Cakaplah
awal-awal. Nama saya Thomas, kalau awak nak tahu.”
“Hesh, ke situ pula perginya,” Naimah menggerutu. “Saya nak
tanya soalan serius ni. janganlah main-main!”
“Okey, okey. Apa benda yang awak nak tahu sangat tu?”
“Nama awak, saya dah tahu…,” Naimah ketawa kecil melihat
Thomas membuntangkan matanya. “Saya nak tanya, kenapa awak bersungguh-sungguh
nak hantar saya setiap kali saya nak ke masjid? Hari tu masa saya naik teksi
lain, bukan main lagi awak marah saya. Kenapa ya?”
“Eh, kita dah sampai la,” teksi yang dipandu Thomas membelok
ke dalam kawasan masjid. “Tambang kali ni kira percuma sajalah. Saya belanja.”
“Sekali lagi? Baik hati betullah awak ni,” Naimah memasukkan
kembali wangnya ke dalam beg. “Moga Allah merahmati awak dengan cara apa
sekalipun. Terima kasih!”
Thomas tidak terus keluar dari kawasan masjid itu sebaliknya
dia memerhatikan gerak langkah Naimah sehingga dia hilang dari pandangan. Dia
mematikan enjin dan keluar dari teksi lalu berjalan perlahan menuju ke dewan
solat dan berhenti di pintu masuk. Dari situ, dia memerhatikan para Jemaah
sedang mendirikan solat Isya’.
“Orang di barisan belakang mungkin seorang CEO atau
seseorang yang berpangkat seperti Datuk atau Tan Sri. Orang yang di hadapan
mungkin seorang tukang kebun atau pemandu teksi macam aku,” ulas Thomas
perlahan. “Tapi semua tu seakan tak bererti di sini. Kenapa?”
“Kerana di sini, semua orang sama sahaja di sisi Allah,”
jawab seorang lelaki di belakang Thomas. Dia terkejut lalu segera tunduk
hormat. Lelaki itu senyum. “Kenapa tak masuk?”
“Saya… bukan Islam,” jawab Thomas. Perlahan dan lemah. “Saya
tak boleh masuk masjid.”
“Siapa kata?” tanya lelaki itu tenang. “Kan saya dah cakap
tadi, semua orang sama saja di sisiNya. Yang membezakan kami bukanlah pangkat
dan kasta, tapi iman dan taqwa.”
Thomas tidak mengerti, tapi dia anggguk juga. Lelaki itu
senyum. “Suka tengok keadaan ni?”
“Suka. Rasa tenang sangat.”
“Nak belajar tentang Islam?”
Dahi Thomas berkerut. “Ada orang boleh ajarkan saya ke?”
“Saya boleh ajarkan. Awak nak ke?” tanya lelaki itu sekali
lagi. Thomas tidak menjawab, namun matanya bercahaya.
“Kalau awak betul-betul nak belajar, saya boleh ajarkan,”
lelaki itu menghulurkan tangan kanannya. “Nama saya Saiful. Nama awak?”
Senyum. “Thomas.”
*****
Saiful tidak terus bangun setelah
selesai solat Zuhur sebaliknya terus berzikir dan berwirid sendirian. Entah
mengapa, sejak akhir-akhir ini dia sering teringatkan seseorang. Selalu muncul
dalam mimpinya, selalu tersenyum namun terlihat pada wajahnya seperti menyimpan
sesuatu yang berat.
Tanpa sedar Saiful mengeluh.
Gundah hatinya mengenangkan lelaki itu yang sudah lama tidak ditemuinya.
“Kalaulah dia ada di sini sekarang…”
“Assalamualaikum,” sapa seseorang
dari belakang membuatkan Saiful segera menolak. Sebentar kemudian dia tersenyum
lebar.
“Waalaikumsalam. Alhamdulilah,
akhirnya kita berjumpa kembali!” Saiful tidak dapat mengawal perasaannya. “Apa
khabar, Thomas?”
“Adam. Nama saya Adam Khairi.
Awak yang beri saya nama tu, Saiful,” perlahan lelaki itu membetulkan kata-kata
Saiful. Kata-kata yang kemudian dibalas, “Maafkan saya, Adam. Saya lupa.”
Adam senyum. “Tak apa. Saya
maafkan. Apapun, saya sihat, Alhamdulilah. Lama betul kita tak jumpa, kan?”
“Kan? Kali terakhir kita jumpa,
masa awak bernikah dua tahun lepas. Siapa namanya? Naimah, kan?” tanya Saiful
sambil tersenyum gembira. “Mana isteri awak? Ada anak tak?”
“Naimah… dia sudah tiada,” jawab
Adam perlahan. Sebelum sempat Saiful bertanya, Adam cepat menjawab. “Dia pergi
semasa melahirkan anak kami. Anak itu juga tidak dapat hidup lama.”
“Subhanallah!” hanya itu yang
mampu diucapkan Saiful. “Jadi sekarang ni kamu seorang diri? Sendiri?”
Adam angguk. “Semuanya ketentuan
Allah. Apapun, saya redha. Mungkin ada hikmah yang tersirat di sebalik apa yang
berlaku.”
Saiful menepuk perlahan bahu
Adam. “Bagus. Inilah yang patut dicontohi mereka yang lain. Bukan seperti
mereka yang meratapi pemergian yang tersayang. Itu ditegah dalam Islam.”
Adam menggeleng perlahan. “Tapi
saya sunyi. Setiap hari saya teringatkan dia. Kadang-kadang saya macam rasa dia
masih ada di rumah, berborak dengan saya.”
“Itu normal,” balas Saiful
perlahan. “Itu lumrah kita sebagai manusia. Saya sendiri pun, sentiasa rindukan
arwah ibu saya walaupun saya redha akan pemergiannya.”
“Adam senyum. “Sebab tu saya
datang sini, cari awak. Boleh juga mengubat kesunyian saya. Boleh kan?”
“Oh, sebab itu rupanya! Saya
ingatkan awak datang sini sebab rindukan saya,” balas Saiful mengusik. “Tertipu
rupanya saya. Tak nak kawan la macam ni!”
Sengaja Saiful memuncungkan
mulutnya, seolah-olah dia benar-benar merajuk. Ternyata tindakannya membuatkan
Adam ketawa besar, namun sebentar kemudian dia tersedar sesuatu. “Saiful, kita
di masjid, bukan pasar.”
“Saya tahu,” jawab Saiful.
“Bukankah menyenangkan saudara sendiri itu juga amalan yang mendatangkan
pahala?”
Adam terkejut. “Saudara? Saya
ingatkan awak anggap saya seperti sahabat sahaja. Tambah pula kita dah lama tak
bersua.”
“Saya sudah anggap awak saudara
saya bila saya jumpa awak di pintu masuk masjid ni dua tahun lalu, Adam
Khairi,” ujar Saiful. Adam terharu, lalu dia memeluk lelaki itu erat.
“Terima kasih, Saiful. Terima
kasih,” bisiknya perlahan. Saiful senyum lalu membalas pelukan tersebut.
Kemudian dia berbisi,” Kahwin lagi, Adam, kalau itu mengubat sunyi. Allah lebih
mengerti.”
Adam diam. Tidak membalas
kata-kata itu.
*****
“Mana Susan, Mary? Tak nampak pun dia dari pagi tadi,” tanya
Vincent ketika isterinya itu sedang menuangkan minuman untuknya.
“Awak macam tak kenal anak perempuan awak yang sorang tu,”
jawab Mary selamba. “Hujung minggu begini, ke mana lagi dia mahu pergi kalau
tak ke tasik?”
“Sama macam Thomas,” luah Vincent spontan. “Dulu diorang
selalu berjogging bersama-sama. Terutamanya pada hujung minggu.”
“Kenapa masih diingatkan tentang anak derhaka tu?” suara
Mary tiba-tiba tinggi. Mengejutkan Vincent. “Kenapa dengan awak ni?”
“Kenapa perlu disebut-sebut tentang dia sedangkan dia
sendiri dah lupakan kita? Ada dia datang jenguk kita bila dia dah kahwin dengan
perempuan tu? Ada?”
“Tapi bukan ke awak yang…!”
“Mama! Papa!” suara manis seorang gadis memotong kata-kata
Vincent. “Kami dah balik! Mama dan Papa di mana?”
“Ha, itupun Susan dah balik,” ujar Vincent sedikit gembira.
Namun sebentar kemudian dia tersedar sesuatu. Dia bingkas bangun menuju ke
ruang tamu. “Kami? Susan balik dengan siapa?”
“Mama! Papa!” sapa Susan dengan wajah yang ceria. “Tengok
siapa yang datang ni!”
“Siapa…,” Vincent garu kepala yang tidak gatal. Seorang
lelaki muncul di belakang Susan, membuatkan Vincent benar-benar teruja.
“Thomas!”
“Apa khabar, Papa?” tanya Adam sambil menyalam tangan
ayahnya. Vincent terkejut, namun dia membiarkan sahaja tindakan anaknya itu.
“Baru ingat nak balik rumah?” suara Mary terdengar lantang
dari dapur rumah, mengejutkan mereka bertiga.
Vincent tersenyum pahit memandang Adam seolah-olah
memberitahu, ‘Mama kamu memang begitu sejak peristiwa itu. Adam angguk, seolah
mengerti.
“Mama,” perlahan Susan berjalan menghampiri Mary yang
berdiri membelakangi mereka. “Janganlah macam ni. Abang datang ni sebab nak
jumpa kita semua. Jumpa keluarganya.”
“Keluarga?” bentak Mary keras. “Oh, bila perempuan tu mati,
barulah dia nak datang ke sini! Masa perempuan tu masih hidup, ada dia nak
datang? Ada? Tak ada, kan?”
“Mama…!”
“Sudah!” potong Mary cepat. “Aku tak nak jumpa dia lagi. Kau
suruh dia pergi. Suruh dia pergi! Aku tak nak tengok dia!”
Mary hentak kaki semasa mendaki tangga. Pintu bilik dihempas
kuat. Tindakannya itu benar-benar mengejutkan Susan, Vincent dan Adam sendiri.
“Maafkanlah Mama kamu, Thomas. Dia tak selalu begitu.
Mungkin dia masih marahkan kamu atas tindakan kamu dulu. Dia masih tak dapat
terima hakikat kamu tukar agama sebab nak kahwin dengan perempuan Melayu.”
“Tapi saya masih anaknya. Sampai bila-bila pun hakikat itu
takkan pernah berubah,” jawab Adam sayu. “Saya rindukan mama. Sentuhannya,
kasih sayangnya, masakannya….”
“Kalau begitu, marilah makan bersama-sama. Mama kamu dah
masakkan lauk kegemaran kamu,” ujar Vincent. “Mary memang pelik. Dia kata dia
benci kamu, tapi hari-hari dia masakkan lauk kegemaran kamu. Papa pun tak faham
dengan dia tu!”
Vincent ketawa, namun tidak Adam. Dia senyum nipis. “Maaf,
papa. Saya tak boleh makan makanan tu.”
“Kenapa?”
“Itu… daging khinzir. Haram dimakan oleh kami orang Islam,”
jawab Adam perlahan. Lembut dan berhemah.
Vincent mengeluh. “Keadaan tak akan jadi sesulit ini kalau
kamu tak bertukar agama dulu, Thomas. Tapi masih belum terlambat untuk betulkan
semua ni.”
Dahi Adam berkerut. “Apa maksud Papa?”
Vincent menepuk perlahan bahu Adam. “Kamu masuk Islam sebab
nak kahwin dengan Naimah, kan? Sekarang dia dah mati, dah meninggal dunia. Apa
salahnya kalau kamu kembali ke agama asal kamu?”
“Papa,” panggil Adam lembut. “Memang saya berkahwin dengan
Naimah selepas saya menganut agama Islam. Tapi bukan dia penyebabnya saya
bertukar agama.”
Vincent terkejut. “Papa tak faham.”
“Maaf, Papa. Saya tak boleh penuhi permintaan Papa yang satu
ni. Saya balik dulu. Susan, jumpa lagi.”
“Abang!” panggil Susan. Namun Adam sudah melangkah keluar
dari rumah itu. Vincent mendengus kasar. Wajahnya merah menahan marah.
*****
Zara menolak troli yang penuh dengan bagasi miliknya.
Matanya terus melilau memerhatikan orang ramai di balai ketibaan.
“Mana dia ni? Kata nak datang ambil aku. Tapi bayangnya pun
masih aku tak nampak. Dia ni betul-betul ke ni?” bisiknya perlahan.
Matanya terus melilau mencari seseorang sambil tangannya
mencari telefonpintar dari dalam begnya. Baru sahaja dia ingin melekapkan gajet
itu di telinganya, dia terdengar satu suara memanggil namanya. Dia menoleh,
lalu tersenyum. “Aini!”
Sekejapan mereka berpelukan. Kemudian Zara hanya membiarkan
Aini menolak trolinya hingga ke kereta. Celoteh gadis itu benar-benar mengubat
rindu Zara kepada tanah air.
“Aku ingatkan kau tak nak datang jemput aku,” Zara bersuara
ketika mereka sudah masuk ke dalam kereta. “Aku ingatkan aku kena ambil teksi
ke hotel.”
“Kalau iya pun, takkanlah secepat itu kau nak cari aku?”
Aini bersuara mesra. “Kuala Lumpur dengan ‘traffic jem’ tak dapat dipisahkan!
Takkan kau dah lupa?”
Zara ketawa kecil. “Kau masih tak berubah. Masih menepati
janji, walau apa pun halangannya,” Zara senyum. “Untungnya aku jadi kawan kau.
Terima kasih sudi jemput aku.”
“Kalau bukan aku, siapa lagi? Kau bukan ada saudara lain
pun,” balas Aini selamba. Namun sebentar kemudian dia tersedar sesuatu. “Ops,
maafkan aku, Zara. Aku tak bermaksud…!”
“Tak apa. Aku faham,” potong Zara cepat. “Lagipun, betul la
apa yang kau cakap tu. Siapa lagi yang nak ambil aku?”
“Kau… kau marah aku ke?” tanya Aini ragu-ragu. Dia memandang
wajah Zara sekilas. Dadanya berdegup kencang.
“Marah? Tak la. Mana ada,” Zara senyum nipis. “Cuma… ye la,
aku ada rasa terkilan sikit bila kakak aku meninggal hari tu. Aku taka da masa
dia dikebumikan.”
Suasana hening seketika. Aini menumpukan perhatian pada
pemanduan manakala Zara membuang pandang ke luar tingkap. Mereka berdua
ditemani lagu-lagu yang berkumandang deri corong radio yang dipasang Aini.
“Kau tahu mana kubur kakak kau?” tanya Aini memecah
kesunyian. Zara pandang Aini lama, lalu dia geleng kepala. Aini mengeluh halus.
“Aku baru ingat nak ajak kau ziarah kubur dia. Dah macam mana kalau tak tahu?”
“Kejap,” Zara teringatkan sesuatu. Dia membelek telefon
pintar yang sedari tadi dipegangnya. Sebentar kemudian dia senyum nipis.
“Dapat.”
“Apa yang dapat?” tanya Aini pelik.
“Mesej abang ipar aku. Nasib baik aku masih simpan,” jawab
Zara perlahan. “Dia ada bagitahu kat mana kakak ku dikebumikan. Aku je yang
lupa. Kita pergi sekarang yea?”
Aini senyum. “Jom la. Nanti dah sampai rumah kang malas pula
nak keluar balik.”
Sesampainya di kuburan kakak Zara, dia tidak tunggu lama.
Terus dia duduk dan membacakan surah Yasin. Selesai, dia duduk termenung
seketika. Aini tidak ikut serta. Sengaja memberi ruang untuk Zara bersendirian.
“Kakak, maafkan Zara,” bisiknya dalam hati. “Zara tak ada di
sini bukan bermakna Zara dah tak sayangkan kakak. Malah Zara sentiasa doakan
kesejahteraan kakak dan mak ayah kita setiap kali lepas solat. Cuma Zara baru
berkesempatan ziarah kubur kakak hari ini. Maafkan Zara.”
Mata Zara memandang sekitar kubur kakaknya. “Bersihnya kubur
kakak ni. Mesti suami kakak yang jaga. Untungnya kakak ada suami macam ni.”
“Kakak, saya rindu kakak…,” luahnya perlahan. Air matanya
menitis perlahan. Cepat-cepat dikesatnya.
“Sebelum kakak kamu pergi,” suara garau seorang lelaki
mengejutkan Zara lantas dia menoleh ke belakang. Seorang sedang berdiri tidak
jauh dari tempatnya duduk. Dia bangun, sambil mindanya diperah seboleh mungkin.
Siapa dia ni?
“Sebelum kakak kamu meninggal,” kata lelaki itu lagi. “Dia
ada cakap yang dia rindukan adiknya. Tapi dia tahu tuntutan tugas yang kamu
pikul di luar negara. Dia jarang bercakap mengenainya, tapi abang tahu dia
rindukan kamu, Zara.”
Dan barulah gadis itu mengenalinya. “Abang Adam…”
*****
“Apa? Kerja dengan abang ipar kau?” tanya Aini seakan tidak
percaya. “Kau pasti dengan keputusan kau ni?”
“Apa pula tak pastinya?” tanya Zara kembali. “Itu bukan
bisnes orang lain. Kakak aku punya. Abang Adam ada cakap yang perniagaan ni
diserahkan pada aku, seperti yang telah diwasiatkan. Jadi secara tak langsung,
bisnes ni milik aku.”
“Kakak kau jual apa?”
“Jubah,” jawab Zara sepatah. Kemudian dia menyambung, “Kakak
aku ambil tempahan jubah ‘custome-made’ khas untuk orang yang terlebih tinggi,
terlebih rendah, terlebih kurus, terlebih gemuk….”
“Hei, perkataan akhir tu tolong sebut perlahan sikit.
Perkataan tu sensitive tau,” Zara ketawa melihat Aini menarik muncungnya.
“Ala, janganlah merajuk. Nanti kau buat jubah dengan aku
tau. Mesti cantik dengan sazi badan kau yang comel ni.”
“Ye la tu,” Aini masih enggan mengalah. Zara angkat bahu,
lalu bangkit menuju ke dapur untuk mengambil minuman.
“Kau pandai menjahit ke, Zara?” Aini bertanya tiba-tiba.
“Setahu aku la, kau dengan jarum mana boleh dekat-dekat. Asyik nak tercucuk
orang je.”
“Kau mempersoalkan kebolehan aku, Aini?” jerit Zara dari
dapur. Kuat. Aini ketawa besar. “Betul la. Kenyataan kan?”
Tersenget-senget bibir Zara semasa keluar dari dapur. “Ya,
aku memang tak ada bakat menjahit pun. Aku dahpun cakap pasal benda ni pada
Abang Adam. Tapi dia cakap yang arwah kakak ada upah beberapa tukang jahit.
Jadi aku hanya uruskan hal jualan dan pemasaran.”
“Oh, macam tu,” muncung Aini panjang sedepa. “Kiranya kau
hanya bantu abang ipar kau la ni? Macam tu?”
“Lebih kurang macam tu la,” jawab Zara. “Tapi aku rasa, dia
yang akan bantu aku nanti. sebab dia ada kata yang dia malas nak uruskan semua.
Entahlah.”
“Jangan dia lepas tangan, sudahlah,” Aini membetulkan
duduknya. “Sebab aku nak pesan sesuatu kat dia ni. Penting sangat.”
“Apa dia?”
“Jangan bagi Zara pegang jarum.”
“Oi!”
“Amboi, senyum lebar nampak,” terdengar suara Adam
membuatkan Zara terkejut lantas membuka matanya. “Mengelamun sampai ke mana
tu?”
“Er… bila abang sampai?”
“Baru je,” Adam melabuhkan duduknya di hadapan Zara. “Tengok
Zara macam ni tadi, abang malas nak kacau. Tapi bila tengok Zara senyum macam
tu… risau juga abang.”
“Risau? Kenapa?”
“Ye la, takut orang lain nampak, diorang ingat Zara dah
gila.”
“Abang!” Zara membulatkan matanya. Adam ketawa. Dia bangun.
“Mana pesanan yang perlu diposkan hari ni? Biar abang hantar. Lepas tu nak
terus bawa teksi.”
“Kat tempat biasa la. Zara baru lepas bungkuskan,” jawab
Zara sambil tersenyum. Dia hanya memerhatikan Adam mengambil bungkusan itu,
tidak jauh daripadanya.
“Abang.”
“Ya?”
“Kenapa bukan abang je yang uruskan bisnes ni? Ini semua
milik kakak. Memang, Kak Naimah kakak kandung saya. Tapi dia isteri abang.”
“Abang ketawa kecil. “Abang tak betah berada di sini. Tak
sesuai. Abang lebih suka keluar, ambil udara segar, jumpa ramai orang.”
“Tapia bang…!”
“Zara lebih sesuai di sini. Abang nampak potensi Zara,”
potong Adam cepat. “Dah la. Abang dah lambat. Abang pergi dulu.”
“Abang! Abang!” panggil Zara namun Adam sudah hilang dari
pandangan. Cepat-cepat dia berlari mengejar Adam. “Abang!”
Langkah Adam terhenti di tepi jalan. Lantas dia menoleh ke
belakang, melihat Zara. “Eh, Zara ni dah kenapa? Nak buat drama Samarinda ke
kat sini?”
“Abang…,” termengah-mengah Zara apabila sampai di hadapan
Adam. Hamper putus nafasnya. Laju betul dia jalan!”
“Tak payahlah nak pujuk abang lagi. Abang selesa begini.
Hidup sebagai pemandu teksi, memanglah orang nampak susah. Tapi tidak pada
abang. Sekurang-kurangnya abang tidak menyusahkan sesiapa.”
“Abang! Apa ni?” suara Zara sedikit tinggi. “Saya bukan
kejar abang sebab tu la!”
“Habis tu?”
“Ini!” Zara menghulurkan sesuatu. “Telefon ni! Abang terlupa
ambil di atas mesja tadi. Lepas ambil bungkusan tu, abang terus keluar.”
Adam tepuk dahi. “Abang lupa. Abang betul-betul lupa. Terima
kasih, Zara. Sanggup pula kejar abang sampai ke sini.”
“Kuat sangat pengaruh TV kat abang ni. Sampai saya kejar
abang pun, abang ingat saya tengah berdrama. Apa la,” cebik Zara. Disambut oleh
tawa besar Adam.
Tanpa mereka sedari, gelagat mereka diperhatikan. Sepsang
mata memandang mereka dengan penuh rasa meluat. Sebentar kemudian pemilik mata
tersebut menghubungi seseorang.
“Aku ada tugas untuk kau.”
*****
Alam ini apa?
Manusia ini siapa?
Dari mana aku datang?
Hidup ini apa?
Kematian itu apa?
Bagaimana keadaan akan
datang?
Adakah lagi ‘hidup’
selepas hidup ini?
Aku datang, aku tidak
tahu dari mana? –tapi aku datang jua-
Aku menempuh JALAN
terbentang di depanku
… Lalu aku berjalan
Akan selamanyakah aku
berjalan
Sekalipun akum ahu
atau tidak mahu
Bagaimana caranya aku
datang?
Bagaimana aku dapat
menempuh JALAN?
Aku tidak tahu!
Akukah yang
mengendalikan diriku dalam hidup ini?
Atau aku dikendalikan?
Adam membaca sekali lagi puisi Al-Thalasim karya Ilia Abu
Mahdi itu. Dia terkenangkan saat-saat dia melamar naimah menjadi isterinya.
“Naimah, saya ada sesuatu nak bagitahu awak ni. Penting
sangat.”
Naimah kerut dahi. “Sejak bila pula ada sesuatu yang serius
antara kita? Kelakar la awak ni. Nak cakap sesuatu, cakap sajalah. Jangan buat
suspen pula!”
“Sebab tu saya nak cakap semua ni sekarang. Awak mungkin
nampak antara kita tak ada apa-apa. Tapi tidak pada saya,” nafas ditarik dalam.
“Naimah, sudikah awak kahwin dengan saya?”
Tawa Naimah mati tiba-tiba. “Awak ni biar betul! Kahwin?
Awak ni mabuk ke? Dah berapa botol arak awak telan tadi?”
“Saya mana pernah minum arak!” suaranya tinggi tiba-tiba.
Mengejutkan Naimah. Sebentar kemudian Adam tersedar. Dia sengih. “Respon
spontan. Maafkan saya.”
Naimah senget bibir. “Awak mabuk ke awak tak mabuk ke, awak
serius ke dengan kata-kata awak ni?”
“Saya serius la. Apa, awak ingat saya main-main ke?”
“Tapi awak… tapi saya…,” tergagap-gagap Naimah jadinya.
“Tapi awak bukan Islam! Kita tak boleh kahwin!”
“Oh, itu…,” Adam senyum, lalu mengeluarkan sesuatu dari dalam
dompetnya. Kemudian dia menyerahkannya pada Naimah. “Nah. Tengok ni.”
“Apa ni?” ragu-ragu Naimah menerimanya. “Kad mualaf? Nama…
Adam Khairi?” Naimah terkejut. Matanya mencari mata Adam. “Kad ni awak punya?
Awak dah masuk Islam?”
“Ya,” jawab Adam sambil angguk, membuatkan Naimah ternganga.
Kad mualaf itu dibaca sekali lagi. “Awak buat semua ni sebab saya ke?”
“Eh? Sebab awak? Tak la, mana ada,” lelaki itu senyum.
“Awak, awak percaya pada cinta?”
“Hah?” terkebil-kebil Naimah mendengarnya. Dahinya berkerut
seribu. Hati kecilnya berbisik halus. Itu bukan tajuk lagu ke?
Adam pandang langit yang dihiasi bintang-bintang. “Cinta itu
sangat indah. Sangat suci. Hanya orang-orang yang memahami, tahu erti cinta
sejati. Ramai yang meragui, tapi tidak hati ini.”
Adam pandang Naimah yang kelihatan bingung. “Awak pernah
tanya, kan? Kenapa saya beria-ia nak hantar awak ke masjid dan tak benarkan
saya naik teksi orang lain? Sebab, saya suka ke masjid. Di sini, siapa pun
kita, apa pun status kita, di hadapan Allah kita semua sama saja. Itu yang saya
suka tentang Islam.”
Naimah seakan tersedar dari lamunan. Dia pandang Adam
dalam-dalam. “Tadi tu, awak bercakap tentang cinta Allah? Begitu?”
“Ya,” jawab Adam. “Saya ingin mengejar cinta Dia. Dalam
perjalanan ini, saya jumpa awak. Saya nak bawa awak bersama dalam perjalanan
ni. Sudi tak jadi isteri saya?”
Naimah diam. Namun sebentar kemudian dia mengangguk
perlahan. Tindakannya itu seudah cukup membuatkan Adam tersenyum lebar. “Terima
kasih.”
Deringan telefon yang kuat membuatkan lamunan Adam terlerai.
Lantas dia bangkit dan mendapatkan telefon pintarnya yang terletak tidak jauh
daripadanya. “Assalamualaikum. Ya, Zara. Ada apa?”
Diam seketika. Namun air muka Adam berubah sama sekali.
Tiada senyuman yang terukir seperti tadi. “Zara kena tangkap basah?”
*****
"Abang tak sangka, Zara sanggup buat benda macam
ni," Adam bersuara serius. "Zara dah tak ingat dosa pahala ke? Sampai
sanggup buat benda macam ni?"
"Abang, tolong la dengar cakap Zara. Sumpah, Zara tak
kenal pun dengan dia tu!" rayu Zara entah umtuk kali ke berapa. Dia
mengesat air matanya lagi.
"Tak kenal? Habis tu macam mana sampai boleh kena
tangkap basah?" suara Adam mulai meninggi."Tak kenal ke, buat-buat
tak kenal? Apa, dia tu suami orang ke?"
"Abang!" terduduk Zara mendengar tuduhan Adam.
"Sampai hati abang tak percayakan Zara. Demi Allah, bang. Zara bukan orang
macam tu."
"Abang kecewa dengan Zara," luah Adam.
"Banyak yang Naimah ceritakan pasal Zara masa dia masih hidup. Ternyata,
apa yang abang dengar tak sama dengan apa yang abang nampak sekarang ni."
Zara menggeleng perlahan. "Sampai hati abang tuduh Zara
macam tu. Zara masih ingat dosa pahala. Zara masih ingat keluarga. Zara masih
ingat Allah!"
Adam tersentak. Kata-kata Zara begitu menyentap jiwa. Sampai
sekarang masih melekat di fikirannya. Bgitu mengganggu, sehingga membawanya ke
masjid ini.
"Jadi apa yang awak nak buat sekarang ni?" tanya
Saiful, sebaik sahaja dia selesai membaca Al Quran. "Awak dah tak
percayakan Zara, adik ipar awak sendiri. Bukan orang lain."
"Tak tahu la," Adam mengeluh kasar. "Separuh
dari hati saya mengatakan yang dia tak bersalah. Tapi, bukti dah ada depan
mata. Semuanya... Entahlah."
"Kadang-kadang mata pun pandai menipu, Adam," luah
Saiful spontan. "Bukti depan mata tu pun boleh dipalsukan. Boleh diadakan.
Boleh diwujudkan. Semuanya untuk mengaburi mata kita."
"Maksud awak?"
"Sebenarnya, saya pun tak percaya Zara sanggup buat
macam tu. Saya yakin dia tak bersalah. Dan saya juga kesiankan dia. Malam tu, dia
langsung tidak diberi peluang untuk membela diri. Awak la, langsung tak bagi
peluang tu."
Adam kerut dahi. "Saya pula?"
"Kita harus beri peluang untuk kedua-dua pihak
menyatakan kebenaran. Ya, kita akan tahu yang salah satu pihak akan berbohong.
Cuma kita tak tahu pihak yang mana satu benar, mana satu bohong."
Adam diam. Memberikan ruang untuk Saiful meneruskan
kata-katanya. "Cuba dengar penjelasan daripada Zara. Apa sebenarnya jadi
pada malam tu. Saya dah dengar dan saya yakin dia tak bersalah. Dia
diperangkap."
Adam diam. Dia cuba menghadam kata-kata Saiful itu apabila
azan Asar berkumandang. Tanpa banyak bicara, dia bangkit menunaikan rukun Islam
kedua itu. Selesai, dia memeriksa telefon pintarnya.
"Boleh saya cakap sesuatu?" tanya Saiful. Tanpa
menunggu jawapan daripada Adam, dia meneruskan kata-katanya. "Saya rasa
la, awak kecewa sangat dengan dia sebab awak ada hati dengan dia."
"Hah?"Adam terkejut. Saiful senyum sambil
memandangnya. "Sayang awak padanya, lebih daripada seorang abang ipar kepada
adik iparnya. Lakukanlah sesuatu sebelum terlambat. Kerana bukan semua orang
dapat peluang kedua."
"Saiful, saya pergi dulu. Adik saya cari," ujar
Adam lalu bangkit dari duduknya. Saiful hanya menghantarnya dengan pandangan
mata. Setibanya di teksi, dia membaca mesej di telefon pintrnya kembali.
'Datang rumah malam ni kalau mahukan kebenaran. - Susan.'
"Kebenaran? Tentang apa?" bisik Adam perlahan.
*****
“Makanan kegemaran Thomas lagi?” tanya Vincent sebaik
melihat makanan yang terhidang di atas meja. “Dah tak ada lauk lain yang hendak
dimasak?”
“Kenapa? Awak dah muak ke?” tanya Mary geram. “Kalau dah
muak, tak payahlah makan. Biar saya masakkan lauk lain untuk awak.”
“Heh, tak payah nak membazir. Yang ini pun dah cukup,”
Vincent mencapai pinggan dan mula menyenduk nasi. “Belanja bulan ni lari
sikit.”
“Lari?” tanya Mary pelik. “Dah kenapa pula lari? Belanja
kita macam biasa je kan? Tak ada yang luar biasa, kan? Atau awak ada simpan
perempuan lain kat luar?”
“Ada ke situ pula awak ni,” Vincent mendengus. “Biasalah.
Benda-benda macam ni kita tak boleh jangka.”
“Ye la tu,” Mary jeling tajam ke arah Vincent. “Kalau saya
tahu ada benda buruk yang awak buat di belakang saya, siaplah awak saya
kerjakan.”
Mata Vincent membulat. “Kerjakan saya? Macam mana tu?”
Vincent garu dagu. “Awak nak bagi saya adik Susan ke?”
“Merepek!” bentak Mary geram. “Malas saya nak layan awak.
Makin dilayan makin menjadi-jadi.”
“Mana pula Susan ni?” Vincent segera mengubah topik
perbualan. “Sejak akhir-akhir ni dia selalu tiada di rumah.”
“Dia ada di bilik. Katanya nak tunggu Thomas datang,” Mary
kembali membawa minuman. “Oh ya. Ini semua bukan saya yang masak tau. Susan
suruh kawan dia yang masak. Jadi Thomas boleh makan tanpa banyak masalah.”
Vincent senyum. “Awak dah tak marahkan Thomas lagi ke?”
“Marah macam mana sekalipun, anak tetap anak,” balas Mary
selamba. “Dia tak lupakan kita pun, saya dah cukup bersyukur. Setiap minggu dia
datang ke rumah jenguk kita, walaupun dia tahu saya akan marahkan dia. Kesabaran
dia buat saya jadi sejuk hati.”
Vincent senyum. Namun senyumnya mati apabila melihat Susan
ke meja makan. Masam wajahnya. “Kenapa dengan kamu ni?”
“Papa,” panggil Susan, serius. “Saya benar-benar tak sangka,
papa sanggup buat benda terkutuk macam ni.”
Vincent tergamam. Mary terkejut. “Apa ni, Susan? Pap kamu
buat apa? Dia simpan perempuan lain ke?”
“Lebih teruk daripada itu,” jawab Susan geram. Dia merenung
tajam ke arah Vincent. “Mengaku sajalah, papa. Ini semua kerja papa kan?”
“Apa yang kamu cakap ni, Susan?” tanya Vincent
tergagap-gagap. “Jangan kamu nak tuduh papa sebarangan!”
“Ini bukan sekadar tuduhan, papa. Bukti dah ada,” Susan
menyerahkan keratan surat khabar
kepadanya. “Papa kenal lelaki dalam berita ni, kan?”
Vincent telan liur. “Ini berita tentang orang kena tangkap
khalwat. Mana kamu dapat berita macam ni, Susan?”
“Saya tanya. Papa kenal orang dalam gambar ni?”
“Tak. Kenapa?”
Susan senyum. Dia menghulurkan sekeping gambar kepada
Vincent. Gambar tersebut dilihat Mary, yang membuatkan dia terkejut besar.
“Awak bagi duit kat lelaki ni, Vincent? Patutlah duit
belanja bulan ni lari!” suara Mary sedikit tinggi. “Untuk apa awak bagi duit
kat dia?”
“Sebagai upah untuk dia ditangkap basah bersama perempuan
ni, adik ipar Abang Thomas!” jawab Susan. Matanya mencari mata Vincent yang
tertunduk. “Betul kan, papa?”
Vincent mendongakkan kepala. “Kalau betul pun, kenapa?
Perempuan tu dan keluarganya hanya jadi penghalang untuk Thomas kembali kepada
kita. Apa yang papa buat hanya menghapuskan penghalang tu. Salah ke?”
“Salah tetap salah, papa!” kedengaran suara Adam dari ruang
tamu. Vincent dan Mary terkedu. Susan senyum. “Abang memang dah ada di sini
dari tadi. Dan dia dengar semuanya.”
“Thomas!” Vincent segera bangun, mendapatkan Adam. “Maafkan
papa. Apa yang papa buat ni hanya untuk satukan keluarga kita kembali.”
“Matlamat tidak menghalalkan cara, papa,” keluh Adam. “Saya
tetap anak papa dan mama walau kita sudah berlainan agama. Hakikat itu takkan
pernah berubah walaupun sampai hujung nyawa.”
Vincent tertunduk, lalu menangis. “Maafkan papa…”
“Papa tak salah dengan saya,” jawab Adam perlahan. “Papa
salah dengan Zara. Minta maaf dengannya. Papa tentu tak suka kan kalau orang
bermain dengan maruah papa?”
Tanpa menunggu lama, Adam melangkah keluar dari rumah itu.
Sempat dia bersalam dengan Mary dan memeluk Susan erat tanda terima kasih.
Panggilan Vincent langsung tidak diendahkan. Fikirannya kini hanya pada satu.
Zara!
*****
“Jadi, macam mana?” tanya Aini. Dia turut mendengar cerita
Adam tentang peristiwa yang menimpa Zara. “Kau nak maafkan diorang tak?”
“Maafkan?” tanya Zara kembali. “Maruah aku tercalar, Aini.
Aku dituduh buat benda yang aku sendiri tak pernah buat, dan tak akan buat.
Orang hilang kepercayaan kat aku sebab hal ni. Kau rasa, aku patut maafkan
diorang?”
Sengaja ditekankan perkataan ‘kepercayaan’ itu sambil
matanya tajam menikam wajah Adam. Lelaki itu tunduk, mengakui kesalahannya.
“Kau ni…,” tegur Aini. “Orang tu buat macam ni ada sebabnya.
Dia tak nak kehilangan anak dia. Ya, memang matlamat tidak menghalalkan cara.
Tapi apa salahnya kau maafkan dia? Bukan luak pun apa-apa.”
“Lelaki yang ditangkap basah dengan Zara itu pun dah mengaku
kesalahan dia dan dia minta maaf atas semua yang berlaku. Dia nak jumpa Zara
tapi dia malu. Dia rasa bersalah sangat buat benda ni hanya kerana wang.”
Zara diam. Tidak bersuara sepatah pun. Sikapnya itu
membuatkan mereka gelisah. Adam pandang Aini lalu berbisik perlahan. “Macam
mana ni?”
Aini menarik nafas dalam sebelum bersuara. “Zara, kau tentu
pernah dengar kan, tentang satu hadis Qudsi ni. Aku bacakan balik untuk kau
takut-takut kau lupa.
“Nabi Musa telah bertanya kepada Allah, wahai Tuhanku!,
manakah hamba-Mu yang lebih mulia menurut pandanganMu?” laluAllah Azza wa Jalla
berfirman,“Ialah orang yang apabila berkuasa (menguasai musuhnya) dapat segera
memaafkan.”
Aini senyum. “Tidaklah kurang kemuliaan seseorang apabila
memaafkan. Tapi seseorang itu terlihat hina apabila seseorang telah meminta
maaf, dan kita tak mahu memaafkannya.”
Zara diam. Namun kata-kata Aini mulai meresap masuk ke dalam
jiwanya. Aini bangkit, menuju ke dapur. Tinggallah Adam dan Zara berdua di
ruang tamu itu. Adam bangkit, berdiri di belakang Zara.
“Maafkan abang yang tidak percayakan Zara. Abang sebenarnya
kecewa dengan Zara masa tu, sebab…,” kata-katanya terhenti, menyebabkan Zara
menoleh. “Sebab apa?”
“Sebab abang… sayangkan Zara,” luahnya perlahan. Pipinya
terasa panas. “Abang hanya sedar abang sayangkan Zara lepas peristiwa tu. Abang…,”
keluhnya perlahan. “Abang pergi dulu.”
“Abang,” langkah Adam terhenti apabila mendengar panggilan
Zara. “Abang tahu tak, Zara kecewa bila abang tak percayakan Zara. Sebab…”
“Sebab?” Adam pula yang menoleh. “Sebab apa, Zara?”
“Sebab Zara pun sayangkan abang!” Zara segera menutup muka.
Dia menangis perlahan. Aini yang baru keluar dari dapur tergamam mendengar
pengakuan Zara.
“Zara mula sayangkan abang sejak Zara ambil alih perniagaan
kakak. Tapi abang suami kakak. Tak sepatutnya Zara khianati kakak…!”
“Boleh aku cakap kau sengal?” potong Aini tiba-tiba.
Terkejut Zara dan Adam mendengarnya. “Kenapa kau cakap macam tu?”
“Walaupun Abang Adam ni abang ipar kau, tapi kau masih boleh
kahwin dengan dia sebab kakak kau dah tak ada. Jadi buat apa kau simpan
perasaan tu?”
“Mana la aku tahu…,” rengek Zara manja. Kemudian dia
tersedar, Adam masih ada di ruang tamu. Dia tertunduk malu.
“Korang ni kahwin je la, senang…,” Aini masuk kembali ke
dapur. Sempat dia mengenyit mata ke arah Adam. Lelaki itu senyum.
“Zara maafkan abang tak?” tanya Adam. Perlahan Zara
menggeleng. Adam terkejut. “Eh? Kenapa pula?”
“Abang kena buat sesuatu kalau nak Zara maafkan abang.”
“Apa dia?”
“Belikan Zara rumah.”
“Boleh je bila kita dah kahwin nanti,” Adam senyum simpul.
“Zara nak kahwin dengan abang tak? Kalau tak, abang kahwin dengan Aini je la.”
“Tak boleh!” jerit Zara. “Tak boleh kahwin dengan Aini.
Dengan Zara… takpe.” Jawapan gadis itu benar membuatkan Adam gelak besar. Dia
gembira.
TAMAT