Julia melangkah perlahan keluar
dari Rumah Solehah itu. Perasaannya bercampur baur. Kata-kata Puan Suraya
bermain-main di cuping telinganya.
"Ingat Julia, ujian
sebenarnya bermula bila awak keluar dari sini, bukannya selama awak di sini.
Tempat ini adalah tempat untuk awak mempersiapkan diri untuk awak menghadapi
cabaran di luar sana," Puan Suraya diam seketika. Julia hanya diam membisu. Namun telinganya
mencerna setiap patah kata pengetua pusat pemulihan akhlak itu.
"Awak penghuni terbaik di
sini. Saya tak mahu awak kecundang di luar sana. Saidina Ali pernah berpesan,
beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam, rugilah orang yang
sama keadaannya dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk
dari semalam."
"Baik puan. Insya Allah,
saya akan ingat pesanan puan," janji Julia bersungguh-sungguh.
"Jangan hanya
berjanji," tegas Puan Suraya. "Bila awak kembali ke sini, saya mahu
awak datang sebagai pekerja atau sukarelawan. Bukan sebagai penghuni.
Faham?"
Julia menarik nafas. Dalam.
Perlahan dia menghembus nafasnya. Berulangkali dia melakukan tindakan itu. Dia
yakin, itu salah satu cara untuknya mencari kekuatan, selain memohon kepada
Yang Maha Esa.
"Yaa Allah, permudahkanlah
urusanku," doanya dalam hati. Langkahnya diteruskan. Destinasinya, rumah
keluarganya.
Rindu. Betapa dia rindu dengan
keluarganya. Entah apalah rekasi ayah, kakak dan adiknya nanti apabila melihat
kepulangannya nanti. Entah suka, entah benci. Julia mengeluh kecil. Namun
langkahnya diteruskan juga.
"Assalamualaikum,"
ucapnya apabila dia telah sampai di hadapan rumahnya. Sunyi. Sepi. Seakan tiada
orang. Mana semua orang pergi?
"Assalamualaikum,"
ucapnya lagi. Kali ini lebih kuat. Seketika kemudian, terdengar suara orang
terbatuk-batuk dari dalam rumah. Julia membetulkan pakaiannya. Mahu kelihatan
sempurna di hadapan keluarganya.
"Waalaikumsalam,"
terdengar suara dari dalam rumah, menjawab salam Julia. Kemudian, pintu rumah
dibuka perlahan. Seorang lelaki keluar, berhenti apabila melihat kelibat Julia
di halaman rumah.
"Ayah...," panggil
Julia sayu. Terlalu rindu dia pada lelaki di hadapannya ini. Lantas langkahnya
laju menghampiri tangga rumah.
"Berhenti!" Terencat
langkahnya apabila mendengar suara keras Pak Othman. Lantas dia mendongak,
memandang wajah itu. "Ayah, saya dah balik..."
"Kau siapa?" bentak Pak
Othman. "Aku tak kenal kau!"
"Ayah...," air mata
gadis itu mula mengalir. "Ini Julia, yah. Anak ayah."
"Aku tak ada anak nama
Julia! Anak aku dah mati!" bentak Pak Othman lagi. "Aku tak ada anak
yang menconteng arang ke muka aku. Tak ada! Kau pergi! Jangan datang sini
lagi!"
"Ayah..."
"Kau tak faham bahasa ke?
Pergi dari sini sebelum aku naik hantu!" suara Pak Othman sudah naik satu
oktaf. Perlahan Julia berpusing, mahu melangkah pergi.
"Kalau aku nampak kau kat
sini lagi, aku repot polis!"
Air mata Julia terus mengalir
tanpa henti.
*****
"Ayah halau dia macam tu
je?" tanya Syafika. Buntang matanya menfengar cerita Pak Othman. Bagaikan
tidak percaya, adiknya sudah dibebaskan dari pusat pemulihan akhlak.
"Habis tu, kau nak aku buat
apa?" tanya Pak Othman. "Kau nak aku sambut dia dengan mesra, jemput
dia masuk rumah ni dengan tepak sirih di tangan? Begitu?"
"Tak adalah sampai macam tu
sekali, ayah. Tapi Julia tu kan anak ayah. Jauh mana pun dia pergi, buruk mana
pun lakunya kat luar sana tu, dia tetap anak ayah," nasihat Syafika
lembut. "Lagipun, dia baru je keluar. Mana lagi dia nak pergi kalau bukan
pada keluarga sendiri?"
"Aku tak ada anak macam
tu!" bentk Pak Othman keras. "Aku tak ada anak yang menconteng arang
ke muka aku. Melumur tahi ke rumah ni. Kau dah lupa macam mana kita dipulaukan
sebab dia?"
"Saya tak pernah lupa,
ayah," jawab Syafika. Nada suaranya masih lembut seperti tadi. "Tapi
ayah juga kena ingat, baik buruk macam mana sekalipun, dia tetap anak ayah.
Adik saya."
"Pak Othman bangun.
"Kalau kau rasa nak bela biawak hidup tu macam dulu, kau pergilah cari
dia! Entah kat mana dia sekarang ni. Kat lorong belakang tu rasanya. Ambil
benda haram tu!"
Pak Othman terus melangkah ke
bilik. Pintu bilik dihempas kuat. Tergeleng Syafika melihat telatah ayahnya
itu. Perlahan Syafika bangkit menuju ke biliknya. Sebuah album lama dikeluarkan
dari rak buku. Dibeleknya perlahan. Tangannya terhenti apabila gambar Julia
kelihatan. Syafika senyum. Rindu sungguh dia pada adiknya itu.
"Mana kau sekarang,
Julia?"
*****
Terbatuk-batuk Julia seketika.
Dia mengurut dadanya perlahan. Namun semangatnya untuk mrngalunkan ayat-ayat
al-Quran masih belum luntur. Dia meneruskan bacaannya. Lama, dia tenggelam
dalam lautan ayat-ayat cinta daripada Allah itu.
Dia sentiasa ingat pesanan Imam
al-Ghazali yang disampaikan oleh Zarina, sukarelawan yang sering datang ke
Rumah Solehah. "Carilah hatimu di tiga tempat. Temui hatimu sewaktu bangun
membaca al-Quran. Tetapi jika tidak kau terima, carilah hatimu ketika
mengerjakan solat. Jika tidak kau temui juga, caeilah hatimu ketika duduk
tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah pada Allah,
pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai
hati!"
"Sadaqallahul
'azim....," mushaf itu ditutup dan dijunjung perlahan. Kemudian dia
menghela nafas halus. Penerimaan ayahnya tempoh hari masih segar di ingatannya.
"Kau siapa? Aku tak kenal
kau!"
Air matanya menitis lagi. Entah
untuk kali ke berapa. Kelopak matanya ditutup perlahan. Kenangan manis bersama
keluarga tercinta diimbas kembali.
"Ayah, tu burung apa?"
"Burung murai, nak,"
jawab Pak Othman.
"Burung apa?"
"Burung murai."
"Burung apa?"
"Burung murai...," Pak
Othman masih sabar melayan kerenah Julia. Ketika itu dia berusia enam tahun.
"Oooo....," panjang
muncung Julia. "Kenapa burung tu namanya burung murai?"
"Sebab... dia banyak cakap,
macam adik!" lantas Pak Othman mengeletek anak kecil iti. Terkekeh Julia
ketawa menahan kegelian.
Tanpa sedar, Julia senyum.
"Inilah pertama kali kakak
tengok kamu senyum sejak seminggu lalu, Julia," tegur Zarina yang baru
pulang dari kedai. Cepat Julia membuka mata. Namun bibirnya masih mengukir
senyuman. Cuma tidak semanis tadi.
"Lambat kakak balik."
"Kakak tunggu tuan kedai
datang tadi. Itu yang lambat," tutur Zarina sambil mengeluarkan
barang-barang yang baru dibelinya tadi.
Dahi Julia berkerut. "Tunggu
tuan kedai? Buat apa, kak?"
"Tadi kakak tengok ada iklan
jawatan kosong kat kedai tu. Kakak cuba tanyakan kat pekerja kedai tu. Tapi dia
suruh kakak tunggu tuan kedai sebab dia pun tak tahu sangat. Jadi kakak tunggu
la."
"Kerja kosong? Kakak nak
cari kerja 'part-time' ke?"
"Eh, budak bertuah ni! Pukul
kang!" sengaja Zarina membuntangkan matanya. "Kakak tanyakan untuk
awak le, Julia oi. Esok pukul sepuluh, jumpa tuan kedai tu tau."
"Kakak carikan kerja untuk
saya ke?" air mata Julia mula menitis kembali. "Susah-susah kakak
je..."
"Kakak dah berjanji dengan
Puan Suraya, kakak akan bantu awak. Macam kakak bantu bekas-bekas penghuni yang
lain. Bila kakak dah berjanji, kakak akan tunaikan semampu kakak," Zarin
senyum. "Dah, jangan nak buat drama Samarinda kat sini!"
Dalam tangisan, Julia gelak.
*****
"Julia! Sini kejap!"
panggil Zaleha di kaunter sambil mengira wang di kaunter. Julia yang sedang
mengira stok, bergegas ke kaunter apabila mendengar namanya dipanggil.
"Ada apa, bos?"
"Hesh, budak ni!"
gerutu Zaleha. "Kan saya dah cakap, jangan panggil saya bos. Panggil je
Kak Leha. Bos-bos ni, saya geli."
Julia gelak. "Sorry Kak
Leha. Lupa."
Zaleha senyum. "Macam mana
kerja? Seronok? Ke, penat?"
"Biasalah, Kak Leha. Kerja
mana yang tak penat, kan?" senyum manis terukir di bibirnya. "Tapi
saya tak kisah. Asalkan ia halal, cukuplah."
"Bagus," Zaleha
membetulkan duduknya. "Macam ni la yang saya mahukan. Sekarang ni, orang
dah tak fikir semua tu. Apa yang diorang tahu, nak hidup mewah, hidup senang.
Halal haram belakang kira."
Senyum Julia mulai memudar.
"Saya sambung kerja dulu la ek, Kak Leha."
"Eh, nak pergi mana tu? Saya
tak habis lagi," Zaleha mengeluarkan sampul dari dalam laci. "Dah
berapa lama awak kerja kat sini?"
Soalan Zaleha buat Julia
termangu. Dia garu kepala. "Er, saya tak ingatlah, kak."
"Pulak...," Zaleha
senget bibir. "Dah sebulan awak kerja kat sini. Tak ingat?"
Julia menggeleng perlahan. Zaleha
senyum. "Ini gaji pertama awak. Gunakan dengan bijaksana. Jangan beli
benda bukan-bukan," nasihatnya lembut.
Senyum manis Julia terukir
kembali. Perlahan dia membelek sampul tebal yang berisi wang itu. "Gaji
saya, Kak Leha?" tanya Julia seakan tidak percaya.
"Ye la. Gaji siapa
lagi?" jawab Zaleha, geram. " Tak nak, tak apa. Saya ambil
balik."
"Eh, tak!" laju Julia
memeluk erat sampul itu. Wajahnya berseri-seri. Zaleha senyum. "Ni saya
nak bagi nasihat. Dalam apa jua situasi, jangan lupakan ibu bapa. Bagi mereka
sikit, sebelum belanja duit tu untuk benda lain."
"Baik, Kak Leha," Julia
angguk.
"Dah ada rancangan nak buat
apa dengan gaji pertama ni?" tanya Zaleha, sekadar ingin tahu. Julia
senyum.
*****
Bunyi batuk Pak Othman yang
semakin kuat menjadi halwa telinga Syafika sebaik sahaja kakinya melangkah
masuk ke dalam rumah itu. Cepat dia masuk ke dalam rumah dan mencari bayangan
lelaki itu di bilik.
"Ayah," sapanya perlahan.
Dahi Pak Othman diraba perlahan. Tak berapa panas. "Ayah dah makan?"
"Belum. Asyik batuk dari
tadi. Kalau makan nanti, mesti tersembur keluar balik," jawab Pak Othman
perlahan. "Lagipun, ubat dah nak habis."
Terkedu Syafika mendengar
kata-kata Pak Othman. Teringat dengan temujanji ayahnya itu dengan doktor
beberapa minggu lalu.
"Penyakit ayah awak ni dah
semakin serius. Kami terpaksa tambahkan dos ubatnya. Tapi ubat ini mahal
sikit," beritahu doktor itu. Syafika diam, mencongak harga ubat yang perlu
dibayarnya.
"Kakak?" panggil Pak
Othman, mengembalikannya ke dunia realiti. "Ya, ayah?"
"Kita makan sekali ya? Dah
lama kita tak makan bersama," pinta Pak Othman. Syafika senyum. "Saya
solat dulu, ya?" melihat Pak Othman annguk, dia bangun ke biliknya.
Usai solat, dia menadah tangan,
memohon doa. "Yaa Allah, aku tahu Kau takkan turunkan ujian ini jika kami
tak mampu. Dan setiap ujian yang Kau turunkan, akan Kau beri jalannya. Aku
mohon, berikanlah kami kekuatan dalam menghadapi ujianMu ini, Yaa Mujiib..."
Ketika dia meraup wajahnya usai
berdoa, dia teringat surat-surat yang diterimanya sebentar tadi. Hairan juga
dia, kerana selama ini dia jarang menerima surat. Kalau ada pun, hanya bil
utiliti yang perlu dilangsaikan setiap bulan. Perlahan dia membelek surat yang
diterimanya. Tulisan atas sampul itu menarik perhatiannya.
"Macam tulisan Adik,"
Syafika senyum. Bertambah lebar senyuman itu apabila membaca isi kandungan
surat itu.
'Tak banyak yang Adik boleh bagi.
Tapi Insya Allah, Adik akan bagi setiap bulan. Jangan bagitahu Ayah. Nanti dia
tak nak guna pula.'
"Alhamdulilah..... Terima
kasih, Julia...."
*****
Julia tekun menyusun
barang-barang di dalam stor. Tiga pembekal yang tiba hampir serentak membuatkan
mereka agak sibuk pagi itu. Namun dia gembira. Sekurang-kurangnya dengan
kesibukan ini, fikirannya tidak terlalu memikirkan kisah silamnya. Kisah yang
pahit dan hitam.
Di sebelah malam, dia selalu
bertadarus bersama Zarina. Dia bersyukur, di saat keluarganya sendiri
membuangnya, masih ada yang ingin membantunya. Jasa baik Zarina tidak akan
mampu dibalasnya hingga akhir hayat.
Pada hujung minggu, dia sering
mengikut Zarina melawat bekas-bekas penghuni Rumah Solehah yang pernah dia huni
dahulu. Atas inisiatif Zarina dan Puan Suraya, bekas-bekas penghuni Rumah
Solehah akan dibantu dan dipantau oleh Zarina dalam satu tempoh tertentu.
Pemantauan hanya akan berakhir apabila mereka diyakini telah mampu berdikari.
"Kakak, adakah kakak akan
tinggalkan saya macam mana kakak tinggalkan diorang?" tanya Julia pada
suatu hari. Tumpuan Zarina pada tabletnya terganggu apabila mendengar soalan
itu.
"Kenapa cakap macam
tu?"
"Ye la, bila kakak dah yakin
diorang mampu berdikari, kakak dah tak pedulikan diorang lagi dah," Julia
menghela nafas halus. "Nanti mesti kakak buat benda yang sama dengan
Julia."
Zarina senyum. "Kakak bukan
tak pedulikan diorang. Cuma pemantauan tu dah kurang. Diorang pun nak kehidupan
sendiri, ye tak?" tanyanya, cuba memancing perhatian Julia. Namun gadis
itu masih diam membisu.
"Awak tak nak kakak buat
macam tu juga kat awak ke?" tanya Zarina lagi. Perlahan Julia menggeleng.
Sungguh, dia tidak mahu!
"Keluarga saya dah
tinggalkan saya. Kakak saya dah anggap macam kakak sendiri. Keluarga sendiri.
Janganlah tinggalkan saya, kakak..."
"Drama Samarinda dia dah
mula dah..."
"Kakak!" bentak Julia
manja. Zarina ketawa.
"Kakak takkan tinggalkan
awak, dik. Sebab tu, kakak ada perancangan khas untuk awak," ujar Zarina
sebaik tawanya reda. Dahi Julia berkerut. "Perancangan khas? Perancangan
apa tu, kakak?"
"Julia!" suara lantang
Zaleha mematikan lamunan Julia. "Ya, Kak Leha?"
"Datang sini! Ada orang nak
jumpa!" suara Zaleha buat Julia hairan. Orang nak jumpa? Siapa?
"Julia!"
"Saya datang
sekarang!" Sahut Julia spontan.
Sambil dia melangkah, otaknya berputar ligat. Siapa yang tahu aku kerja di sini
selaim daripada Zarina?
"Kak Leha," panggil
Julia. Dia cuba memaniskan wajahnya walaupun jantungnya berdegup kencang. Eh,
kenapa tiba-tiba pula ni?
"Awak kenal dia ni?"
tanya Zaleha sambil jari telunjuk menghala ke seorang lelaki yang berdiri tidak
jauh daripadanya. Julia tergamam saat lelaki itu berpusing menghadapnya.
"Julia..." panggil
lelaki itu sepatah. Hampir ternganga gadis itu melihat kelibat lelaki itu di
sini.
"Abang Hafiz..."
*****
"Dah lama Abang cari
Julia," ujar Hafiz, memulakan perbualan. Julia hanya diam membisu. Dia
menghirup perlahan air suam yang dipesannya. Dia benar-benar terkejut dengan
kedatangan bekas tunangnya ini.
"Macam mana Abang tahu saya
kerja kat sini?" tanya Julia tanpa perasaan. Dia memandang lelaki di hadapannya
ini tanpa berkelip.
"Hari tu," Hafiz
membetulkan duduknya. "Abang nampak Julia dengan kawan Julia kat bandar.
Abang cuba panggil tapi Julia tak dengar agaknya.
Julia diam. Mindanya segera
memutar kembali saat itu. Ketika itu dia menemani Zarina membeli sedikit
keperluan untuk Rumah Solehah. Memang dia ada mendengar suara lelaki
memanggilnya, namun dia buat tidak peduli.
"Bila Julia keluar?"
tanya Hafiz, penuh berhati-hati. Julia dihadapannya ini dirasakan bukan lagi
Julia yang dia kenal suatu ketika dahulu.
"Tiga bulan," jawab
Julia pendek. Dia enggan memanjangkan cerita. Malas. Kalau diikutkan, dia
enggan bertemu dengan lelaki ini. Kalau bukan sebab Zaleha yang seakan
mendesak, dia takkan berada di sini.
"Oh," Hafiz berdehem
seketika. "Kenapa Julia tak balik kampung?"
"Tak perlulah Abang
tahu," Julia mendengus. "Abang nak apa sebenarnya datang cari Julia
ni? Kalau tak ada urusan penting, Julia nak balik kedai. Banyak kerja yang
Julia kena siapkan!" dia bingkas bangun.
"Julia...," panggilan
Hafiz buat Julia menghentikan langkahnya. "Abang... Abang rindu."
Julia ketawa sinis. Rindu?
"Betul, Julia. Abang
betul-betul rindukan Julia. Selama tiga tahun ni, Abang hanya fikirkan
Julia," luah Hafiz, jujur.
"Abang cakap apa ni?"
tanya Julia, tidak percaya dengan kata-kata lelaki itu.
"Abang yakin Julia akan
kembali ke pangkal jalan. Abang yakin, sebab Abang sayangkan Julia...!"
"Cop. Abang kata Abang
sayangkan saya?" potong Julia cepat. "Kalau betul Abang sayangkan
saya, kenapa Abang tak tolomg saya masa saya ketagih dulu? Kenapa Abang tak
cakap apa-apa masa mak Abang nak putuskan pertunangan kita dulu? Kenapa Abang
tak pernah jenguk saya masa saya di Rumah Solehah?"
Tinggi suara Julia. Puas hatinya
dapat meluahkan apa yang terpendam di dada, biarpun semua mata kini memandang
ke arahnya.
"Abang... Abang....,"
tergagap-gagap Hafiz ingin menjawab pertanyaan Julia itu.
"Tiga tahun, Abang. Tiga
tahun saya di Rumah Solehah. Sorang pun tak pernah jenguk saya. Waima keluarga
saya sekalipun. Bukannya korang tak tahu pun Rumah Solehah tu kat mana. Tapi
apa yang saya dapat? Dan sekarang, Abang nak cakap yang Abang rindukan saya?
Gitu?"
Suasana hening seketika. Hafiz
tunduk. Kalah dia dengan Julia yang sedang berdiri di hadapannya ini. Tidak
disangka usahanya untuk kembali ke pangkuan gadis itu akan menjadi sesukar ini.
Sungguh!
"Macam ni je la,
Abang," suara Julia memecah kesunyian. "Apa kata Abang balik, kahwin
je dengan sesiapa yang jadi pilihan hati mak Abang. Jangan cari saya lagi.
Assalamualaikum."
Dan seiring dengan ucapan salam
itu, Julia melangkah keluar dari restoran itu, meninggalkan Hafiz termangu
sendirian. Apabila dirasakan langkahnya sudah agak jauh, dia mengesat air
matanya.
Aku kena kuat!
*****
Deringan telefon bimbit yang
memecah kesunyian tengah malam itu begitu mengganggu tidur Tina. Dia mendengus
kasar. Siapa pula yang sibuk sangat malam-malam ni, rungut hatinya.
“Helo.”
“Tina, kau kat mana?” tanya Julia
di hujung talian. Tina menghela nafas halus. Dia rupanya…
“Aku kat rumah ni. Baru nak
tidur,” jawabnya, separuh berbohong. “Kau bergaduh dengan ayah kau lagi ke?”
“Ha…,” suara Julia separuh
merengek.”Aku bergaduh lagi dengan ayah aku. Bosanlah macam ni. Aku
terkongkong. Tak bebas! Aku nak tumpang kat rumah kau, boleh?”
“Boleh je,” jawab Tina sambil
menguap. “Esok aku datang ambil kau la.”
“Ala, tak payah susah-susah,”
ujar Julia. “Aku dah ada kat depan rumah kau ni.”
“Apa?” terus bangkit Tina dari
pembaringan apabila mendengar kata-kata Julia. “Kau dah sampai? Cepatnya!”
“Aku dah tak tahan dah, Tina.
Lagi lama aku tinggal dengan keluarga aku, lagi serabut kepala aku. Boleh jadi
gila!”
“Oh, okey. Aku turun sekarang.”
Tidak sampai seminit, Tina sudah
membuka pintu untuk Julia. Muka gadis itu keruh. Tiada senyyum yang terukir di
wajahnya.
“Kau kenapa?” tanya Tina pelik.
“Ayah aku tu la. Dia suruh aku
sambung belajar. Tapi aku tak nak. Aku nak kerja. Dapat gaji. Dapat duit. Boleh
enjoy!” luah Julia geram. “Tapi ayah aku cakap, kalau aku lawan cakap, dia
takkan mengaku aku anak dia.”
“Oh, aku ingatkan apalah tadi,”
balas Tina perlahan. “Jadi kau nak kerjalah ni?”
“Boleh ke? Kau boleh tolong aku
ke? Dapatkan kerja?” tanya Julia sedikit teruja. Matanya bercahaya.
“Boleh,” janji Tina. “Tapi
sekarang ni jom kita tidur. Aku mengantuk!”
*****
Wajah Julia berseri-seri hari
ini. Setelah sebulan bekerja di kedai bunga itu, hari ini dia menerima gaji
pertamanya. Belum pernah dia memegang duit sebanyak itu selama ini. Dia
gementar.
“Hah!” sergah Tina membuatkan
Julia terkejut. Buntang matanya melihat ulah temannya yang terkekeh ketawa
melihatnya terkejut.
“Leka lagi!” Tina melabuhkan
duduknya di sebelah Julia. “Tahulah orang tu dah dapat gaji pertama…”
Kata-katanya mati apabila Julia
menyerahkan beberapa keeping not biru kepadanya. “Apa ni?”
“Duit sewa bilik bulan ni,” jawab
Julia datar.
“Eh, tak payahlah! Duit tu kau
boleh simpan. Buat enjoy!” Tina ukir senyum manis. Kata-katanya itu buat Julia
teringat sesuatu.
“Kau kata nak enjoy kat tempat
baru kan? Kat mana?”
Senyum manis Tina masih belum
hilang. “Nanti malam kau ikut aku. Nak?” Julia tidak menjawab, namun matanya
bercahaya. Tahulah Tina, Julia teruja.
*****
“Seronoknya tempat ni!” jerit
Julia nyaring, melawan hiruk pikuk di dalam kelab malam itu. Kepalanya
digoyangkan mengikut irama lagu.
“Seronok kan? Lagi seronok kalau
ambil ni!” Tina menghulurkan beberapa keping pil berwarna putih dan merah
kepadanya. Tanpa ragu, Julia menyambut dan menelannya. Kepalanya digoyangkan
lagi. Lama-kelamaan dia makin hanyut dalam dunia yang diciptanya sendiri.
“Belum tengah bulan, duit dah
habis!” rungut Julia pada satu hari. Dia membelek beg duitnya. Hanya tinggal
beberapa keping not hijau. “Gaji lambat lagi. Macam mana ni?”
“Relaks la,” Tina bersuara
selamba. “Kau nak kerja lebih tak? Tapi senang. Kau boleh enjoy pada masa yang
sama.”
“Kerja apa tu?” tanya Julia. Tina
mengukir senyum, yang hanya dia yang memehaminya.
*****
Sudah lima bulan dia bekerja di
kedai bunga itu. Sudah lima bulan juga dia bekerja secara sambilan. Ya, dia
kini pengedar pil khayal di kelab itu. Dia semakin hanyut dalam dunianya
sendiri. Wang yang diperolehinya semakin banyak. Namun semakin banyak juga yang
dihabiskannya.
“Julia!” terdengar namanya
dipanggil kuat oleh tuan kedai. Julia terpisat-pisat bangun. “Apalah yang dia
bising ni….”
“Apa nak jadi dengan awak ni?”
tuan kedai sudah mula membebel. “Setiap hari saya nampak awak tertidur masa
kerja. Awak nak kerja kat sini ke tak ni? Kalau awak tak nak kerja…!”
“Saya boleh berhentilah!” potong
Julia, membentak. Dia menghempaskan buku catatan di atas meja. Kemudian dia
keluar dari kedai bunga itu.
“Ingat orang hadap sangat la nak
kerja kat sini!”
Tuan kedai itu hanya
menggelengkan kepala.
*****
“Julia, aku nak kenalkan kau
dengan seseorang,” ujar Tina ketika mereka sedang asyik melayan alunan muzik di
kelab malam itu. Ketika itu Julia baru sahaja selesai mengedarkan pil-pil
khayal kepada pengunjung di kelab itu. Kelincahan Julia membuatkan dia cepat
dikenali dan ini memudahkan kerjanya.
“Siapa?” Julia mengerutkan dahi.
Pelik. Hampir semua pengunjung kelab ini dikenalinya. Siapa pula yang Tina
maksudkan ni?
“Sayang! Sini!” jerit Tina sambil
tangannya diangkat tinggi, menggamit perhatian seorang lelaki yang baru masuk
ke kelab itu. Raut wajah lelaki itu cukup membuatkan kening Julia bercantum
rapat.
“Sayang, kenalkan inilah kawan I
yang I cakap tu. Julia, ini boyfriend aku, Azman,” ucap Tina mesra. Julia dan
Azman bersalaman. Ada rasa kekok yang wujud antara mereka berdua.
“Korang berboraklah dulu. Aku nak
pergi sana kejap,” sekelip mata, Tina sudah hilang dalam lautan manusia.
Tinggalkan Julia dan Azman di situ.
“Tak sangka, tunang abang aku ada
kat sini,” ujar Azman, memulakan bicara. “Orang kampung semuanya cari kau, tahu
tak?”
Julia mendengus halus. “Dan kau,
apa yang anak imam buat kat sini? Bukan sepatutnya kau ada kat rumah ke?
Tahajud ke, mengaji ke .…”
“Kita sama je, Julia. Kau dan
aku. Sama je,” Azman Meneguk minuman yang baru tiba. “Kau jaga perut kau, aku
jaga perut aku. Senang.”
“Semudah itu?” Tanya Julia sambil
menjeling ke arahnya. “Aku bukan baru kenal kau hari ni. Tak ada maknanya kau
setuju tanpa kepentingan sendiri.”
“Julia, Julia…,” Azman menggeleng
perlahan. “Kau tahu apa yang bermain di fikiran aku. Kenapalah kau kena
bertunang dengan abang aku, bukannya aku?”
Kata-kata Azman membuatkan Julia
cepat menoleh. Belum sempat dia menjawab kata-kata itu, Tina tiba-tiba muncul. “Hai!
Seronok berbual?”
Julia hanya senyum sambil
menikmati muzik yang dimainkan. Kata-kata Azman akhirnya luput ditelan waktu.
*****
“Apa?” hampir menjerit Julia saat
mendengar permintaan Azman di hujung talian. Gila! Ini benar-benar gila! “Kau
dah tak ada benda lain ke nak aku buat?”
“Kau ada pilihan lain ke, Julia?
Tak ada!” Azman ketawa sinis. “Apa yang kau kena buat adalah tunaikan
permintaan aku. Apa yang susah sangat?”
“Mengarut!” bentak Julia. “Kalau
permintaan lain aku boleh pertimbangkan. Tapi ini…!”
“Kenapa, kau berat hati?” potong Azman
cepat. Geram pula Julia dengannya. Kalau dah namanya lelaki…
“Bukan susah sangat pun
permintaan aku tu. Tidur dengan aku, satu malam je. Kan senang!”
“Hoi mangkuk!” Julia menggerutu.
Dia ingat benda tu senang? “Kenapa kau tak minta dengan Tina je? Kenapa kau kena
minta dengan aku?”
“Sekarang ni aku tengah cakap
dengan siapa? Dengan kau kan? Bukan dengan Tina, kan? Jadi aku minta dengan kau
la, bukan Tina! Lagipun, dah selalu sangat aku dengan dia. Bosan juga
kadang-kadang…”
Julia mendengus geram. “Kau sedar
tak apa yang kau cakap ni? Berzina tu berdosa besar tau! Kau ingat sikit aku ni
siapa dengan kau! Aku ni tunang abang kau! Kau tu anak imam!”
“Sedar pun kau tu siapa!” bentak
Azman di hujung talian. “Habis selama ni kau jadikan kelab tu sebagai rumah
kedua kau, sampai kau lupakan ayah kau, bagus pulak!”
Kata-kata Azman buat Julia
terdiam. Berfikir.
*****
“Tina!” jerit Julia sambil
tangannya diangkat tinggi, cuba menggamit perhatian gadis itu yang sedang
menari di tengah keriuhan di kelab itu. Tina angkat tangan, membalas panggilan
Julia. Sebentar kemudian dia menghampiri gadis itu yang sendirian menikmati
minuman.
“Kau kenapa? Stok tak cukup ke?
Kalau tak cukup…,” Tina kalut mengambil sesuatu di dalam beg silangnya.
“Tak apa, stok aku banyak lagi,”
potong Julia cepat. “Aku cuma nak cakap sikit dengan kau,” sambungnya perlahan.
“Apahal? Macam serius je,” Tina
sempat melambai kepada beberapa orang pengunjung kelab itu yang baru tiba.
“Aku rasa…. Aku nak cuci tangan
la.”
“What?” Tina terkejut. Tak ada
angin, tak ada ribut… “Kenapa tiba-tiba je?”
“Well, aku saja je…,” takkan aku
nak bagitahu kau yang boyfriend kau buat gila dengan aku kot? Getus Julia dalam
hati.
“Kau nak taubat ke?” Tina ketawa
sinis. “Ala, rileks la. Kita ni muda lagi. Nak taubat, bila tua nanti la.”
“Kalau sempat tua,” ujar Julia
perlahan. “Kalau kita mati sebelum kita tua, macam mana?”
“Kau yakin ke yang kau takkan
sempat tua nanti?”
“Kau yakin ke yang kau akan hidup
esok?”
Tina terdiam. Namun hanya
seketika. “Kau nak cuci tangan, silakan. Tapi, kau ingat kau boleh lepas macam
tu je ke?”
Dahi Julia berkerut. “Maksud
kau?”
“Aku…!”
“Polis!” laungan seorang
pengunjung mengejutkan mereka. Suasana menjadi kecoh seketika. Julia hanya
melihat kelibat Tina hanya sesaat sebelum dia hilang di celah-celah orang
ramai.
“Tina!”
“Polis! Anda semua sudah
dikepung!”
*****
"Jadi...," Zarina tidak
tahu ingin berkata apa lagi. Dia tergamam mendengar cerita Julia. Cerita yang
selama ini, tidak pernah diberitahu kepada sesiapa, walaupun ketika dia di
dalam Rumah Solehah.
"Saya tak pernah beritahu
sesiapa sebab ayahnya orang yang dihormati. Bukan ketua kampung, jauh sekali
YB. Tapi dia sentiasa ada di saat orang lain memerlukan bantuan. Dan saya
simpan rahsia itu erat-erat sampai sekarang. Kakak orang pertama yang tahu
pasal ni." Julia tunduk. Memori bersama keluarga kembali menerjah minda.
"Pasal Hafiz...,"
kata-kata Zarina mengembalikannya kepada realiti. "Macam mana pulak awak
boleh bertunang dengan dia?"
Julia senyum. "Kami ditunangkan
sejak kecil. Ayah saya dan ayahnya buat perjanjian untuk satukan kami bila kami
dah habis belajar. Kebetulan bila saya ditangkap, dia sedang bercuti
semester."
"Dia belajar di mana?"
"Al Azhar, Mesir."
"Untungnya kamu."
Julia menggeleng. "Tidak,
kakak. Dia yang srbenarnya rugi dapat saya. Dia punya segalanya, sedangkan
saya... saya cuma insan yang hina. Jurang antara kami... terlalu banyak
bezanya."
"Julia...," Zarina
merangkul bahu gadis itu erat. "Siapa kita dulu tidak menentukan siapa
kita sekarang, tapi apa yang kita buat harini menentukan apa yang akan jadi
esok. Ya, memang dulu Julia seorang yang liar dan tersilap lsngkah akibat salah
memilih kawan. Tapi awak dah sedar dan bertaubat atas kesilapan awak tu. Jangan
biarkan kisah silam awak menghantui diri awak. Mumgkin orang lain akan
menghentam awak atas apa yang awak buat dulu. Tapi awak lebih kenal siapa diri
awak berbanding mereka."
Zarina mendekatkan bibirnya ke
telinga Julia. "Jika sudah tiada bahu untuk bersandar, ingatlah masih kita
masih ada dahi untuk bersujud."
Julia memandang Zarina dengan
mata yang tidak berkelip.
*****
"Apa?" melengking suara
Mak Asmah mendengar permintaan anaknya. "Kau nak jadikan budak penagih tu
isteri kau?'
Hafiz diam. Tunduk mendengar
setiap butir bicara emaknya. Langsung tidak diangkat muka untuk menjawab
kata-kata itu.
"Dari dulu lagi aku memang
tak suka kau ditunangkan dengan budak liar tu! Aku ingatkan bila dia dah masuk
penjara, kamu semua sedar yang dia tu tak layak jadi menantu Imam Mustapha. Rupa-rupanya
kamu semua masih tak sedar lagi!"
"Mak," barulah Hafiz
mendapat keberanian bersuara. "Dia bukan masuk penjara. Dia cuma masuk
Rumah Solehah je."
"Rumah Solehah tu kan pusat
pemulihan akhlak! Sama juga macam penjara!" buntang mata Mak Asmah mendengar
kata-kata Hafiz "Sama saja pusat pemulihan akhlak tu dengan penjara.
Tempat orang-orang yang tak baik!"
"Tak sama, mak," balas
Hafiz. "Julia pun dah tak macam dulu. Nampak dah matang. Saya pernah jumpa
dia."
"Jumpa dia? Kat mana? Kat
kelab? Kat hotel murah? Kat lorong belakang?" jerkah Mak Asmah. "Adik
kamu, Azman, jumpa dia kat tempat-tempat macam tu la dulu!"
Hafiz menggeleng perlahan.
"Mak, tak semestinya dia pernah pergi ke tempat-tempat macam tu, dia akan
kembali ke sana. Lagipun, Azman kata dia jumpa Julia kat sana, dia pergi sana
sekali ke? Apa pula yang dia buat kat sana?"
"Dia pergi jumpa kawan
dia!" suara Mak Asmah sudah naik satu oktaf. "Lagipun, Azman tu kuat
iman! Tak mudah tergoda! Bukan macam Julia tu! Baru kena cuit sikit dah hanyut!
Macam tu ke kau nak buat isteri?"
"Assalamualaikum,"
terdengar suara Imam Mustapha dari luar rumah. Segera mereka menjawab salam
tersebut. Samar-samar terlihat kelibat Imam Mustapha tunduk, mengambil capal
yang dipakainya tadi untuk diletakkan di rak kasut.
"Apa yang bising sangat tu,
Asmah? Dari jauh saya boleh dengar suara awak. Jelas pula tu," tegur Imam
Mustapha sebaik kakinya melangkah masuk ke rumah. "Kecoh sangat, macam ibu
ayam bertelur je."
"Anak awak ni!"
kelantangan suara Mak Asmah masih belum berkurangan. "Dia cakap dia dah
jumpa bekas tunang dia!"
"Hafiz jumpa Julia?"
tanya Imam Mustapha sedikit teruja. "Dah lama abah tak jumpa dia. Sihat ke
budak tu? Bila dia keluar?"
"Sihat, abah. Baru tiga
bulan," jawab Hafiz ceria. Menambahkan lagi api kemarahan Mak Asmah.
Wanita itu mendengus kuat.
"Malas aku nak cakap dengan
kamu berdua ni! Anak-beranak sama je!" Mak Asmah bingkas bangun menuju ke
bilik. Sengaja pintu dihempas kuat. Tanda protes!
"Abah...," Hafiz
pandang wajah Imam Mustapha yang kelihatan selamba. Hairan dia melihat reaksi
abahnya setenang itu. Siap senyum lagi!
"Gaya askar dia dah sampai
dah...," Imam Mustapha gelak kecil. "Dia marahkan abah sebenarnya tu,
sebab abah tak sokong dia. Hafiz jangan risau. Pandailah abah pujuk dia."
Hafiz hanya diam sambil
menganggukkan kepala.
"Nanti ajaklah Julia datang
rumah." pelawaan Imam Mustapha buat Hafiz buntu. Mahukah gadis itu?
*****
“Betul ke ayah nak pergi masjid
ni? Ayah kan tak sihat,” tanya Syafika sekali lagi. Dia risau dengan keadaan
kesihatan Pak Othman yang semakin teruk sejak akhir-akhir ini. Keadaan dirinya
yang datang bulan tidak memungkinkannya menemani ayahnya ke masjid. Namun Pak
Othman tetap berkeras. Dia teringat kisah seorang lelaki, Ibn Khafif yang menghidap
sejenis penyakit. Apabila penyakit itu menyerang, dia tidak boleh bergerak
langsung. Lalu apabila azan dikumandangkan, dia pun digendong orang ke masjid.
Ada orang pernah berkata kepadanya : "Kalaulah tuan tidak memaksa-maksa
diri tuan.”Lantas dia membalas : "Jika kamu mendengar 'hayya alassolah'
tetapi kamu tidak nampak aku di saf, maka carilah aku di kubur!"
“Tapi Kakak tak boleh masuk
masjid,” sayu suara Syafika menerjah gegendang telinga Pak Othman. Dia senyum
memandang anak perempuannya itu.
“Tak apalah, Kakak. Ayah jalan
kaki je,” ujar Pak Othman perlahan.
“Ayah ni… kan masjid tu jauh dari
rumah ni. Takkan ayah nak jalan kaki?” Syafika mengeluh halus. “Macam ni je la.
Kakak hantar Ayah sampai depan masjid. Nanti bila dah habis solat, Kakak ambil
Ayah. Boleh?”
“Dah macam ambil budak balik
sekolah je,” ujar Pak Othman separuh bergurau. Syafika senyum.
“Dulu, masa Kakak dengan Adik
sekolah, Ayah selalu hantar dan ambil kitorang,” cerita Syafika tanpa menyedari
perubahan air muka Pak Othman. “Apa salahnya sekarang ni Kakak pula yang buat
macam tu. Bukannya selalu.”
Seperti yang dijanjikan, Syafika
menghantar Pak Othman sehingga ke pintu masjid dengan menaiki motosikal.
Janjinya, dia akan datang menjemput ayahnya itu pulang usai solat Isya’. Pak
Othman akur dengan perancangan anaknya itu. Perlahan dia masuk ke dalam masjid.
Pak Othman sedar banyak mata yang
memandang ke arahnya sebaik sahaja dia melangkah masuk ke ruangan masjid itu.
Pandangan mata itulah yang menjadi santapan matanya dan Syafika setiap kali
mereka mengunjungi masjid itu sejak tiga tahun yang lalu. Dia sudah tidak
kisah. Cuma apabila dia dan Imam
Mustapha bertentang mata, segera dia menundukkan wajahnya. Perasaan malu masih
menebal dalam dirinya, apatah lagi bila mengenangkan dia yang beria-ia mahu
Julia ditunangkan dengan Hafiz ketika mereka masih remaja.
Pak Othman duduk di salah satu
tiang dalam masjid itu, agak jauh dari orang ramai. Matanya tertutup seketika,
sambil telinganya mendengar kuliah Maghrib yang disampaikan oleh ustaz yang
dijemput khas dari bandar.
“Adik, tolong susun selipar tu
elok-elok ye. Takut nanti hilang pula bila bersepah macam ni,” tegur seorang
jemaah wanita kepada kanak-kanak yang asyik bermain di luar masjid. Suara
wanita itu menarik perhatian Pak Othman. Dia menoleh, melihat seorang wanita
sedang mengusap mesra ubun-ubun kanak-kanak yang berada di situ. Spontan dia
senyum. Kalaulah Julia yang berada di tempat gadis itu…
“Allahuakbar!” suara Pak Othman
agak kuat sehingga menarik perhatian gadis itu. Segera dia menghampiri Pak
Othman. “Pakcik tak apa-apa?”
“Oh, tak ada apa-apa,” Pak Othman
cuba menenangkan keadaan. “Pakcik teringatkan anak pakcik. Agaknya dia sebaya
kamu, nak.”
Gadis itu senyum. “Kalau rindu,
sedekahkanlah Al Fatihah untuknya, pakcik. Moga dia sihat sejahtera.”
Pak Othman angguk. “Nama anak ni
siapa?”
“Zarina.”
*****
Langkah kaki Julia seperti biasa
malam itu. Namun tidak fikirannya. Menerawang, memikirkan peristiwa yang
berlaku petang tadi. Peristiwa yang berlaku di kedai, semasa Zaleha keluar atas
urusan penting.
“Terima kasih, datang lagi yea,”
ucapnya mesra kepada semua pelanggan yang datang ke kedainya. Senyum manis
diukir bagi menarik perhatian pelanggan untuk kembali membeli belah di sini.
Julia bahagia. Walaupun gaji yang diperoleh tidak seberapa, namun ia adalah
hasil titik peluhnya yang halal. Sekurang-kurangnya, dia tidak lagi kembali
kepada Tina dan Azman.
“Hai, Julia!” suara Tina yang
kuat dan lantang mematikan lamunan Julia. Haduh, panjang umur mereka ni. Baru
saja disebut, getus hati Julia.
“Hai, Tina. Hai, Azman,” sapanya
acuh tidak acuh. Reaksinya itu cepat dikesan oleh Tina. Lantas dia merangkul
bahu Julia erat.
“Kau okey tak ni? Sihat tak?”
tanya Tina prihatin. Julia senyum pahit.
“Aku sihat. Alhamdulilah.”
“Baguslah,” ujar Tina cepat.
“Apapun, aku nak ucapkan terima kasih sebab kau tak buka cerita pun pasal
kitorang masa kau kat dalam. So, bila kau nak mula kerja balik ni?”
“Mula kerja?” Julia kerut dahi.
Sebentar kemudian dia mengerti. “Oh…. Tina, kan aku dah cakap yang aku nak cuci
tangan.”
“Bila masa kau cakap?”
“Sebelum aku kena tangkap.’
Tina terdiam seketika. “Okey, itu
sebelum kau kena tangkap. Masa tu, duit kau tengah banyak. Sekarang ni, takkan
kau masih nak cuci tangan? Berapa sen sangat la kau dapat dengan kerja kat
sini?”
“Sekurang-kurangnya kerja yang
aku buat ni halal. Gaji aku halal. Aku tak merosakkan orang lain,” Julia
bersuara tegas. Sesekali dia menjeling Azman yang setia mengikut Tina dari
tadi.
“Haih, sejak bila pula kau
prihatin pasal halal haram ni?” Tina bertanya sinis. “Tiga tahun kat dalam tu
dah cukup untuk cuci otak kau tu? Sebab tu kau nekad nak cuci tangan?”
Julia tidak menjawab. Matanya
memandang Tina dan Azman silih berganti. Satu keluhan berat dilepaskan.
“Cakaplah apa kau nak cakap. Yang pasti, aku tetap dengan keputusan aku.”
“Whatever,” Tina sudah malas mahu
memujuk Julia. “Tapi lepas ni kalau kau rasa sesak ke, perlukan duit ke, kau
jangan cari aku!”
“Aduh!” pantas Julia menggosok
kepalanya perlahan. Terlalu lama dia mengelamun sehinggakan dia terhantuk di
dinding rumah. Nasib baik rumah sendiri.
Dia memandang kiri kanan, tiada orang. Bagus! Tak adalah aku malu nanti,
hehehe. Cepat-cepat dia membuka pintu pagar. Eh, tak kunci! Kemudian Julia
perasan yang pintu rumahnya tidak ditutup.
“Kakak…,” kata-katanya terhenti
apabila melihat sekujur tubuh yang sedang duduk di ruang tamu. Terkedu dia
seketika. Lelaki itu yang menoleh apabila mendengar suaranya, turut tergamam.
“Maaf pakcik, ni je air yang
ada…,” Zarina yang keluar dari dapur, menatang minuman untuk lelaki itu
tersenyum melihat kelibat Julia di muka pintu. “Buat apa tercegat kat situ,
Julia? Jom masuk. Awak tentu penatkan.”
“Zarina, dia ni…,” lelaki itu
tidak meneruskan kata-katanya.
“Iya, pakcik. Dialah adik angkat
saya. Yang tinggal dengan saya. Yang sentiasa bantu saya, yang selalu menangis
setiap malam rindukan ayahnya. Kenapa, pakcik?”
“Julia….”
“Ayah….”
Lidah Zarina tiba-tiba kelu. Perlahan
Julia melangkah ke hadapan, mendekati Pak Othman. “Ayah… masih bencikan saya
ke?”
Pak Othman dia. Satu-persatu
kata-kata Zarina singgah kembali ke lubuk mindanya. “Dia memang seorang yang
rajin. Mengotakan kata-katanya masa mula-mula keluar dari Rumah Solehah dulu. Walaupun
dibuang keluarga, dia tetap hantar wang belanja setiap bulan. Setiap malam,
dalam tahajudnya, dia mendoakan keluarganya dapat menerimanya semula.”
“Ayah, kalau ayah masih bencikan
saya…,” suara sayu Julia menyedarkan Pak Othman. “Saya redha…”
“Ayah mana yang tak sayangkan
anaknya?” tanya Pak Othman datar. Tergamam Julia dan Zarina mendengarnya. Pak Othman
mendepangkan tangannya sambil tersenyum nipis. Kolam air mata Julia bergenang
tiba-tiba.
“Ayah!” Julia terus menerpa ke
arah ayahnya dan sekejapan, dia sudah berada dalam dakapan itu. Pak Othman
memeluk anaknya erat.
“Ayah rindu Adik….!”
Zarina berulang kali mengesat
airmatanya. Bibirnya mengukir senyuman. Sesekali dia mengucapkan syukur, doa
Julia dimakbulkan akhirnya.
*****
Syafika keluar dari bilik dengan
wajah berseri-seri. Bibirnya sentiasa mengukir senyuman. Tambah lebar senyuman
itu apabila melihat Pak Othman bersiul0siul keriangan di ruang tamu. Perlahan langkahnya
diatur ke dapur.
“Jangan masuk! Adik tak siap
masak lagi!” terdengar suara Julia kuat di dapur. Terkejut Syafika dibuatnya.
“Apa yang dibuatnya lama sangat
kat dapur tu?” gerutu Syafika. Dia senget bibir.
“Adalah! Kakak pergi temankan
Ayah dulu. Biar Adik selesaikan peperangan kat sini dulu!” kata-kata Julia buat
Syafika tergelak kecil. Masuk dapur dikatakan berperang? Ada-ada sajalah adik
aku sorang ni…
“Biarkanlah dia, Kakak. Dia dah
lama sangat tak balik tu. Biarkanlah dia nak berperang ke apa ke,” ujar Pak
Othman yang mendengar dari tadi. “Adik, jangan sampai meletup dapur tu!”
laungnya.
“Beres!” laung Julia pula. Bertambah
kuat tawa Syafika mendengarnya. Tergeleng-geleng kepalanya melihat gelagat dua
beranak itu. Dia melabuhkan duduknya di samping ayahnya yang sedang membaca
surat khabar.
“Seronok Kakak, Ayah. Akhirnya Ayah
dah terima Adik semula,” ujar Syafika memulakan bicara. Dia senyum. Dan dia
melihat senyum di bibir Pak Othman.
“Air dicincang tak akan putus,
Kakak. Walau macam manapun, dia tetap anak Ayah,” Syafika angguk kepala
perlahan mendengar kata-kata ayahnya.
“Baguslah kalau Ayah fikir macam
tu,” Syafika menoleh seketika apabila mendengar derapan kaki Julia yang
menghampiri. “La, yang dikatanya berperang kat dapur tu, buat cucur udang je?”
Julia tersengih sambil menatang
seteko air dan sepinggan cucur udang. Diletakkan di hadapan Pak Othman. “Ayah….”
“Anak Ayah ni nak kahwin ke?”
usik Pak Othman. Disambut tawa Syafika. Disusuli muncung panjang sedepa oleh
Julia. Bertambah kuat tawa orang tua itu.
“Ayah, Adik serius ni,” Julia
membetulkan duduknya. “Adik nak minta maaf sebab selama ni Adik banyak
kecewakan Ayah. Adik tak dengar cakap Ayah, Adik banyak malukan Ayah di mata
orang kampung….”
“Apa yang lepas tu biarlah lepas,”
potong Pak Othman. “Apa yang penting sekarang ni Adik dah sedar dan dah
berubah. Ayah harap lepas ni Adik tak kembali ke dunia hitam tu.”
Syafika senyum. Dia mengusap
perlahan ubun-ubun Julia. “Adik Kakak dah matang dah. Dah boleh kahwin!”
“Ayah, tengok Kakak ni…,” Julia
kembali memuncungkan mulutnya. Pak Othman geleng kepala sambil sambung baca
surat khabar. Sebentar kemudian…
“Adik,” panggil Pak Othman. “Ni Azman,
anak Imam Mustapha, kan?”
Julia bangkit, duduk di sebelah
ayahnya. Dia melihat surat khabar yang ditunjukkan Pak Othman. “Ye la. Tapi kena…!”
Julia tidak dapat meneruskan kata-katanya. Reaksinya menarik perhatian Syafika.
“Kenapa, Ayah?”
Pak Othman tidak berkata apa-apa,
sebaliknya dia menyerahkan surat khabar yang dipegangnya kepada Syafika. Anaknya
it uterus menyambut surat khabar tersebut dan membaca berita itu dengan kuat. “Pasangan
pengedar ditembak mati. Allah…… ni Azman!”
Julia diam. Rahsia Azman sebagai
pengedar dadah terbongkar jua. Kata-kata Tina suatu ketika dulu bermain di
fikirannya.
“Kita ni muda lagi. Nak taubat, bila
tua nanti la.”
“Kalau sempat tua,” ujar Julia
perlahan. “Kalau kita mati sebelum kita tua, macam mana?”
“Kau yakin ke yang kau takkan
sempat tua nanti?”
“Kau yakin ke yang kau akan hidup
esok?”
“Julia,” pangggilan Syafika
menyedarkannya daripada lamunan. “Iya?”
“Adik nak pergi rumah Imam ke?”
tanya Syafika. Julia senyum lalu menggeleng. Dia takut lebih banyak rahsia
Azman yang terbongkar nanti. Biarlah dia tidak pergi. “Kalau Ayah nak pergi,
tak apalah. Kakak boleh temankan, kan?”
“Ayah tak nak pergilah,” dahi Pak
Othman berkerut. “Macam-macam Mak Asmah tu caci maki keluarga kita dulu, masa
dia nak putuskan pertunangan Julia dan Hafiz. Hati ni masih sakit.”
“Ayah,” Julia pegang tangan Pak
Othman erat. “Antara salah satu hak Muslim terhadap Muslim yang lain adalah
apabila dia meninggal, kita hantarnya ke kubur. Ayah pergilah,” pujuknya
lembut. Pak Othman terdiam lama. Kemudian barulah dia mengangguk. Julia senyum.
Sepeninggalan Pak Othman dan
Syafika, Julia menghubungi Zarina dan menceritakan apa yang terjadi. “Betul ke
apa yang saya buat ni, Kakak?”
“Julia, yakini apa saja tindakan
yang dah awak buat. Sebab awak buat kerana diri, bukannya kerana orang lain. Lagipun,
menyimpan aib orang lain tu bagus apa. kalau kita tutup aib orang lai, Insya
Allah, Allah akan tutup aib kita,” Zarina memberikan pandangannya. “Lepas ni,
dugaan awak akan jadi lebih hebat. Tapi ingatlah, kalau sudah tiada bahu untuk
bersandar, kita sentiasa ada dahi untuk bersujud.”
“Baik kak,” jawab Julia dan
kemudian dia menamatkan panggilan. Julia mengeluh halus dan memandang ke
langit. Kata-kata Zarina tadi kembali bermain-main di telinganya.
Ya, aku harus kuat!
TAMAT