Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Bab 25

"Kenapa lama sangat tak datang jenguk nenek?” soal Maria. Izdan tersenyum pahit.

“Nenek tak marah Iz?” tanyanya pula. Maria terdiam mendengar soalan lelaki itu.

“Bukan salah Iz. Buat apa nenek nak marah pula,” jawabnya dengan tenang.

“Iz malu nek. Malu dengan keluarga nenek. Iz malu pada Adwa,” luah Izdan.

“Boleh nenek tanya?” tanya Maria. Izdan mengangguk lambat.

“Kenapa Iz ambil masa lama sangat nak beritahu Iz sayangkan Adwa?” soalnya. Izdan tunduk memandang jari jemarinya.

“Macam mana nenek tahu?” tanyanya kembali. Maria tergelak kecil.

“Nenek dah kenal kamu berdua sejak kecil. Iz pun nak tipu nenek?” balasnya separuh mengusik. Izdan menggaru kepalanya. Dia memang agak segan dengan telahan tepat orang tua itu.

“Entah lah nek. Memang sejak mula Iz dah silap. Sebenarnya Iz takut. Takut dengan reaksi Adwa. Iz tak nak dia tinggalkan Iz sebab perasaan Iz ni,” jawabnya dengan senyuman hambar.

“Kalau Iz silap lagi, mungkin Iz akan kehilangan Adwa buat selamanya. Nenek dengar ada orang nak datang merisik Adwa. Padan dengan muka Iz,” kata Maria separuh memerli. Izdan terdiam mendengar kata-kata Maria. Walaupun dia sudah menjangka akan hal itu, namun dia tetap kecewa mendengarnya.

“Selagi Adwa tak jadi isteri orang, Iz masih ada peluang. Ambil lah peluang tu kalau Iz betul-betul serius dengan Adwa,” sambung Maria separuh menasihati. Izdan tersenyum membalas pandangan Maria. Maria tidak perlu ingatkan dirinya kerana memang itu yang dia akan lakukan.

                                  *****

“Mama, betul ke ada orang nak datang?” tanya Adwa sambila memandang tepat ke arah Tania yang sedang menuangkan jus oren ke dalam gelasnya.

“Macam mana Adwa tahu?” soal Tania agak hairan. Dia memandang Maria yang duduk di sisi Adwa. Maria hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.

“Ibu?” soalnya tidak puas hati.

“Ibu tak cakap apa pun,” balas Maria. Adwa menoleh memandang neneknya.

“Nenek pun tahu?” soalnya pula.

Aunty Jasmine memang ada datang jumpa mama. Mereka bercadang nak datang rumah kita. Tapi mama tak bagi tarikh lagi bila mereka boleh datang. Sebab mama tak tanya Adwa lagi. Mama memang nak beritahu Adwa. Tapi sejak akhir-akhir ni mama tengok Adwa sibuk sangat. So, memang tak sempat nak beritahu Adwa,” beritahu Tania. Adwa menggelengkan kepalanya.

“Adwa tak setuju,” balasnya dengan nada tegas.

“Kenapa? Mereka belum pun datang rumah tapi Adwa dah tolak,” celah Maria.

“Nek, Adwa tak nak fikir pasal kahwin sekarang ni. Banyak benda lagi Adwa nak buat,” jawab Adwa dengan kening berkerut.

“Sayang, mama dan nenek memang tak paksa Adwa. Tapi tak salah kalau mereka datang dulu. Tak elok tolak mereka macam ni. Mereka datang dengan niat baik,” kata Tania separuh memujuk.

“Nenek dan mama sama aje. Tak pernah faham kemahuan Adwa,” balas Adwa sebelum bangun dari kerusinya. Dia bergegas naik ke tingkat atas meninggalkan kedua-duanya. Tania mengeluh perlahan.

“Biarkan dia tenang dulu,” kata Maria.

“Nia dah tak tahu macam mana nak pujuk Adwa,” keluhnya. Maria hanya diam mendengar keluhan wanita itu.

                                 *****

Adwa merenung langit yang gelap. Dia melepaskan keluhan perlahan. Baru sahaja dia dikejutkan dengan pengakuan Fuadzi, kini Tengku Hadwan turut membuatnya tidak tenang. Adwa memandang telefon yang dipegangnya sedari tadi. Dia menarik nafas dalam sebelum menekan nombor Tengku Hadwan.

“Saya nak jumpa awak esok,” kata Adwa apabila panggilannya bersambung. Tengku Hadwan agak berdebar mendengar suara tegas gadis itu.

“Boleh awak. Awak rindu saya ke?” soalnya separuh mengusik.

“Selamat malam,” ucap Adwa sebelum menekan punat merah. Tengku Hadwan terkedu. Agak lama dia menatap telefonnya sebelum menaip sesuatu.

-Selamat malam Adwa.

Adwa hanya membaca mesej lelaki itu tanpa berniat untuk membalas. Jujur dia selesa dengan lelaki itu biarpun baru mengenalinya. Namun dia belum bersedia untuk menerima seseorang dalam hidupnya. Adwa mengeluh lagi.

                                *****

Tengku Hadwan hanya membalas dengan tenang pandangan tajam Adwa.

“Dah berapa lama kita kenal?” soal Adwa tiba-tiba.

“Masuk empat bulan,” jawab Tengku Hadwan dengan senyuman.

So, kenapa awak nak hantar keluarga awak datang rumah saya?” soal Adwa lagi tanpa senyuman. Tengku Hadwan menarik nafas perlahan. Dia meletakkan kedua-dua tangannya di atas meja.

“Kita memang baru kenal Adwa. Hubungan kita pun tak terlalu rapat. Saya faham kenapa awak nak marah saya,” katanya.

“Dah tahu tapi awak tetap buat!” marah Adwa. Dia memang sudah tidak mampu bersabar dengan karenah orang yang ada di sekelilingnya. Terutama Izdan, Fuadzi dan lelaki itu sendiri. Dia bukan robot. Tengku Hadwan mengangguk tenang.

“Kalau Adwa belum bersedia, Wan tak akan paksa. Wan faham. Tak apa nanti Wan batalkan rancangan nak datang rumah Adwa,” balasnya dengan senyuman.

“Senyum sikit. Tak cantik buat muka macam tu,” usiknya. Adwa mendengus geram.

“Saya tak suka beri harapan pada orang. Awak jangan berharap pada yang tak pasti. Saya tak nak awak kecewa sendiri,” katanya dengan nada tegas.

“Tak apa. Saya dah biasa. Sebelum ni saya pernah kena yang lebih sakit. Hampir tak nak teruskan hidup,” balas Tengku Hadwan perlahan.

“Saya serius Hadwan,” kata Adwa.

“Kalau saya tak serius tak mungkin saya nak hantar keluarga saya datang rumah awak. Macam awak kata, kita baru kenal. Tapi saya dah mula takut kehilangan awak,” balas Tengku Hadwan kini dengan riak wajah serius. Adwa mengeluh. Perbualan mereka terhenti apabila pelayan datang menghidangkan makanan yang dipesan.

“Makan lah,” jemput Tengku Hadwan sambil meletakkan sudu di atas pinggan gadis itu. Adwa hanya memandang telatah lelaki itu. Dia tidak tahu mengapa perasaan bersalah menghantui dirinya saat itu.

                               *****

Lufia memandang sahaja Balqish yang menarik kerusi di hadapannya. Dia sebenarnya agak keberatan mahu bertemu dengan gadis itu. Namun apabila Balqish mengatakan ada hal penting berkaitan Adwa yang mahu dia beritahu, akhirnya Lufia setuju.

“Tak nak minum?” tanya Balqish sambil memanggil pelayan.

“Tak apa,” jawab Lufia pendek. Balqish mengangguk sambil memesan minumannya.

“Kau nak beritahu apa?” soal Lufia tidak sabar. Balqish menarik nafas perlahan.

“Aku tahu kalau aku beritahu kau, memang kau tak percaya. Sebenarnya aku bingung tak tahu nak beritahu siapa. Antara kau, Adwa dan Iz, aku rasa kau yang perlu tahu dulu hal ni,” balasnya sebelum berhenti sejenak. Berkerut kening Lufia.

“Fuad ada jumpa aku hari tu. Dia beritahu aku yang dia sayang Adwa,” sambung Balqish. Lufia tergelak kecil.

“Kau nak buat cerita lagi? Tak cukup apa yang kau dah buat sebelum ni? Apa yang kau tak puas hati sangat pada Adwa?” soalnya dengan perasaan geram. Balqish ingin membalas namun dia batalkan hasratnya apabila melihat pelayan menghantar pesanannya.

“Aku faham kenapa kau tak percayakan aku. Aku tak kisah. Yang penting aku dah beritahu kau pasal ni. Aku tak pasti kalau Fuad dah beritahu Adwa atau tak hal ni. Tapi hari tu dia cadang nak beritahu Adwa,” balas Balqish. Lufia menggeleng. Sukar untuk dia percaya lagi kata-kata gadis itu setelah apa yang berlaku.

“Kalau betul apa yang kau beritahu ni, kenapa nak beritahu aku dulu? Kenapa kau tak beritahu Adwa dulu?” soalnya masih tidak berpuas hati.

“Aku dah malu nak jumpa Adwa. Lagipun mana mungkin Adwa akan percaya apa yang aku akan beritahu nanti. Aku cuma tak nak hubungan Iz dan Fuad retak sebab hal ni,” jawab Balqish dengan kening berkerut.

“Hal ni tak akan selesai kalau pun kau beritahu aku. Kau nak aku buat apa? Halang Fuad? Beritahu Iz yang Fuad sayang Adwa? Atau kau nak aku beritahu Adwa lagi supaya larikan diri?” soal Lufia bertalu dengan perasaan geram. Balqish mengeluh.

“Bukan macam tu Luf,” balasnya dengan nada perlahan. Lufia bangun dari kerusinya.

“Aku balik dulu,” katanya sebelum berlalu. Balqish hanya memandang langkah gadis itu. Kelu lidahnya untuk menahan.

                               *****

“Adwa,” tegur satu suara. Adwa yang sedang memilih barang dapur untuk makan malam menoleh ke arah gerangan yang menegurnya. Dia tidak terkejut melihat Izdan yang tenang berdiri tidak jauh dari tempatnya. Kedai itu memang dekat dengan kawasan rumah mereka.

“Sihat?” tanya Izdan apabila Adwa tidak mengendahkan kehadirannya.

“Kalau saya sakit tak lah saya ada depan mata kau ni,” balas Adwa kasar. Izdan tersenyum mendengar jawapan gadis itu. Dia lega kerana Adwa masih sudi membalas pertanyaannya.

“Adwa, dua minggu lagi Iz nak balik kampung. Nak pesan apa-apa tak?” tanyanya semula. Adwa terdiam mendengar pertanyaan lelaki itu.

Kampung?

Rindunya dia dengan kampung.

“Tak payah lah. Kalau saya nak, saya boleh balik sendiri,” balas Adwa sebelum berlalu ke kaunter. Izdan mengangguk perlahan. Selepas membayar Adwa terus beredar ke keretanya. Masuk sahaja dalam kereta, Adwa menarik nafas dalam. Lega dia dapat melarikan diri daripada lelaki itu. Adwa memang tidak boleh lama dengan Izdan. Lagi lama dia dengan lelaki itu, lagi lemah lututnya.

                             *****

Masuk sahaja dalam bilik pejabatnya, Adwa agak terkejut melihat jambangan ros di atas mejanya. Dia menarik kad yang terselit pada jambangan tersebut.

Fuadzi?

Adwa mendengus geram. Dia pantas mencari telefon yang ada dalam beg tangannya. Nama Fuadzi pantas dicari. Memang dia ada menyimpan nombor lelaki itu kerana urusan kerja. Kini dia berfikir semula untuk menyimpan atau menyekat terus lelaki itu.

Hello Fuad, apa ni? Berapa kali saya nak bagi awak amaran? Jangan hantar apa-apa benda dengan saya. Saya tak suka terima hadiah!” marah Adwa apabila panggilannya bersambut.

Sorry Adwa, ni Qish. Fuad ada kat bilik air,” balas Balqish yang kebetulan mengajak Fuadzi untuk sarapan bersama hari itu. Berkerut kening Adwa memandang telefonnya. Dia pantas menekan punat merah. Jambangan bunga dicapai lalu dicampakkan ke dalam tong sampah.

Tempat kau kat sini!

Terkebil-kebil Balqish memandang telefon Fuadzi.

“Ada orang call ke?’ soal Fuadzi yang baru sampai.

“Adwa,” balas Balqish dengan nada perlahan. Fuadzi terkedu. Dia pantas mencapai semula telefonnya. Dia cuba menghubungi Adwa semula. Beberapa kali mencuba panggilannya langsung tidak bersambut. Fuadzi akhirnya mengalah.

“Adwa tak angkat,” katanya perlahan. Balqish diam tidak memberi komen. Mendengar sahaja nada Adwa sebentar tadi sudah cukup memberitahu yang gadis itu sedang marah. Mana mungkin Adwa mahu menyambut panggilan lelaki itu lagi. Dalam diam Balqish mengeluh perlahan.


Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.