Adwa hanya memandang sekilas ke arah Balqish yang sedang duduk di sisinya.
“Kau masih marahkan aku?” soal Balqish dengan nada perlahan.
“Tak ada sebab aku nak marah,” balas Adwa dengan senyuman tanpa memandang wajah gadis itu. Dia sebenarnya tidak kuat mahu bertentang mata dengan Balqish.
“Maafkan aku,” ucap Balqish. Dia baru tahu mengenai keputusan gadis itu yang mahu berpindah. Walaupun Lufia tidak memberitahu sebab Adwa berbuat demikian, namun dia sangat yakin yang dia antara punca tersebut. Kedengaran Adwa mengeluh perlahan.
“Aku dah tak larat nak dengar kata maaf lagi. Cukup lah Qish,” katanya dengan nada tegas. Dia bangun dari kerusi lantas berlalu meninggalkan gadis itu. Lufia, Rania dan Diana yang sedang berada di tepi pantai menjerit memanggil namanya namun dia hanya melambai tanpa berhasrat untuk menyertai mereka. Dia ingin bersendirian sebentar. Langkahnya terhenti apabila melihat Izdan dan Razi yang sedang berjalan ke arahnya. Melihat wajah serius Izdan semakin membuatnya tertekan.
“Nak ke mana? Makanan dah ada ni,” soal Razi dengan senyuman. Dia sempat memandang Izdan yang hanya membisu di sisinya.
“Tandas,” balas Adwa sebelum menyambung langkahnya semula. Izdan turut melangkah berlalu. Razi yang masih memandang langkah Adwa kini beralih memandang Izdan yang sudah jauh di hadapannya. Dia menggeleng.
*****
Rania mengambil tempat di sebelah Adwa.
“Tak nak nyanyi dengan mereka?” soalnya sambil memandang Razi yang sedang memetik gitar sambil menghiburkan rakan-rakan yang lain. Dia menghampiri Adwa yang duduk agak jauh dari tempat mereka kerana ingin bertanyakan sesuatu.
“Tak larat,” balas Adwa dengan senyuman. Dia benar-benar tidak ada hati untuk menyertai acara itu. Namun disebabkan dia sudah berjanji dengan Lufia, maka dengan berat hati dia mengikut. Rania menarik nafas berat. Dia faham apa yang dirasai oleh gadis itu. Mana mungkin dia boleh tersenyum gembira apabila melihat insan tersayang bersama dengan orang lain.
“Kau dah beritahu Iz?” soalnya agak serba salah bertanyakan soalan tersebut.
“Rasanya tak perlu. Aku akan belajar lupakan dia,” balas Adwa dengan tenang. Dari jauh dia dapat melihat Izdan yang tersenyum lebar mengusik Balqish. Adwa mengeluh berat.
“Kenapa aku bodoh sangat?” soalnya dengan nada kesal.
“Aku tak faham,” balas Rania.
“Aku bodoh sebab jatuh sayang pada lelaki tu. Sedangkan sejak awal aku tahu tak mungkin dia akan ada rasa yang sama. Tak mungkin aku akan ada ruang dalam hatinya,” balas Adwa sambil tersenyum hambar. Rania menepuk lembut bahu gadis itu cuba untuk memujuk.
*****
Izdan berjalan perlahan menyusuri pantai. Awal pagi lagi dia sudah bangun. Semalam tidurnya tidak lena. Asyik wajah Adwa yang hadir di fikirannya. Terngiang semula pertanyaan Razi semalam.
“Kau okay? Adwa nak tinggalkan kau sekali lagi,” soal Razi sambil memandang tepat ke arah Izdan yang sudah berada di atas katil. Izdan hanya membisu tidak menjawab.
“Tadi kau langsung tak tegur Adwa,” komen Razi pula. Izdan tetap sama. Diam membisu. Razi akhirnya mengeluh perlahan.
“Iz, kali ni aku tak nak cakap banyak berbanding beberapa tahun yang lalu. Aku cuma nak kata satu aje. Selepas ni, peluang kau dah tak ada. Kita semua akan ada kehidupan masing-masing. Kau faham kan maksud aku?” soalnya dengan kening berkerut.
“Kau mengarut apa ni?” balas Izdan perlahan sebelum bangun dari kerusi lalu melangkah keluar ke beranda.
Izdan mengeluh perlahan.
“Awalnya kau bangun,” tegur Lufia yang sedang berjalan menghampirinya. Izdan tersenyum hambar menyambut kedatangan gadis itu.
“Semalam tak dapat tidur,” balasnya.
“Kenapa? Fikirkan Adwa?” soal Lufia. Dia sebenarnya turut tidak lena malam tadi. Dia asyik teringatkan perpisahan yang akan berlaku antara mereka dan Adwa. Izdan diam tidak menjawab soalan itu.
“Kita kena terima keputusan Adwa,” sambung Lufia dengan keluhan berat. Dia sendiri berat hati melepaskan Adwa. Apatah lagi lelaki itu.
“Aku terkilan bila Adwa tak beritahu aku. Aku tahu dari orang lain Luf. Kau pun tak beritahu aku,” kata Izdan dengan nada sayu.
“Maafkan aku. Aku terlupa sebab asyik bersedih dengan keputusan Adwa. Kau ingat aku tak sedih ke? Aku sampai terfikir nak ikut Adwa,” balas Lufia dengan kening berkerut.
“Kau pun nak tinggalkan aku?” soal Izdan pula. Lufia membalas pandangan lelaki itu. Angin pantai yang sedang bertiup menyapa wajah mereka.
“Iz, aku nak tanya kau. Dah lama soalan ni aku simpan. Aku bukan takut nak tanya kau. Cuma aku takut soalan ni tak sesuai dan kau tak ada jawapan yang aku nak,” katanya. Izdan agak berdebar mendengar kata-kata gadis itu.
“Apa dia?” tanyanya.
“Kau pernah tak sayangkan Adwa lebih daripada seorang kawan?” soal Lufia dengan riak wajah yang serius. Izdan terkedu.
“Kau tak perlu jawab kalau rasa soalan ni tak perlu jawapan,” sambung Lufia dengan perasaan bersalah. Dia tidak berniat mahu menimbulkan sebarang masalah. Cuma dia sudah tidak tahan untuk tahu perasaan lelaki itu. Bukan dia tidak perasan cara Izdan melayan Adwan kadangkala sangat berlebihan. Izdan menarik nafas berat. Dia memandang laut yang terbentang luas di hadapannya.
“Awalnya korang berdua ni bangun,” tegur satu suara. Lufia dan Izdan serentak menoleh. Kelihatan Adwa yang tersenyum sambil berjalan ke arah mereka. Izdan memandang Lufia.
“Jumpa lagi,” katanya sebelum berlalu. Adwa agak kecewa melihat lelaki itu pergi tanpa menegurnya. Lufia mengeluh lagi. Dia menoleh memandang Adwa. Gadis itu kelihatan hanya tersenyum hambar.
*****
Adwa melihat barang-barangnya yang sudah siap dikemas. Cepat sangat masa berlalu. Dua hari lagi dia akan berlepas ke Sabah. Dia memandang telefonnya. Izdan sudah lama tidak menghubunginya. Malah lelaki itu seperti mengelak untuk bertembung dengannya. Adwa mengeluh perlahan. Dia semakin jauh dengan lelaki itu. Tapi mengapa perlu dia persoalkan? Bukankah itu memang kemahuannya?
“Dah siap kemas?” soal Tania yang sedang melangkah masuk sambil tersenyum lebar. Dia menarik kerusi yang berhampiran dengan meja solek. Adwa yang sedang duduk di atas katilnya dipandang dengan penuh kasih.
“Mama jangan lah sedih lagi. Adwa bukannya duduk kat sana buat selamanya,” kata Adwa separuh memujuk. Tania tersenyum hambar.
“Adwa ada jumpa papa?” soalnya dengan nada perlahan. Adwa terkedu mendengar soalan wanita itu. Dia dan mamanya memang sangat jarang berbual mengenai papanya.
“Ada sekali. Masa Adwa mula-mula sampai kat sini. Tapi tu pun tak lama. Adwa minta maaf sebab tak beitahu mama,” ucap Adwa dengan perasaan bersalah. Bukan dia sengaja tidak mahu memberitahu wanita itu. Cuma dia masih mencari masa yang sesuai.
“Selama ni papa ada juga ajak jumpa. Tapi Adwa tak ada masa,” sambungnya.
Tak ada masa? Aku yang memang sengaja mengelak jumpa papa.
Tanpa sedar Adwa mengeluh lagi.
“Mama tak pernah larang Adwa jumpa papa. Sebelum Adwa jalan, mungkin Adwa boleh beritahu papa,” balas Tania separuh mencadangkan. Adwa mengangguk perlahan.
“Nanti Adwa fikirkan,” katanya. Tania bangun dari kerusi lantas duduk di sisi anak daranya itu. Bahu Adwa dipeluk lembut.
“Maafkan mama,” ucapnya dengan perasaan sebak. Dia selalu buat yang terbaik untuk gadis itu. Semua kekurangan dia cuba lengkapi agar Adwa sentiasa merasa cukup dengan kasih sayangnya. Dia tidak mahu gadis itu merasa kurang walaupun hanya dibesarkan oleh seorang ibu. Adwa membalas pelukan wanita itu.
“Adwa sayang mama. Kalau boleh Adwa nak pergi dulu sebelum mama. Adwa tak boleh hidup tanpa mama,” balas Adwa. Tania menarik telinga gadis itu. Adwa menyeringai kesakitan.
“Jangan nak merepek,” marah Tania. Adwa tergelak kecil. Dia memeluk erat tubuh wanita itu.
*****
Izdan mencapai telefon bimbitnya yang berdering sedari tadi. Nama Lufia jelas terpampang pada skrin telefonnya. Dia menyambut panggilan tersebut.
“Iz, kau kat mana? Kau tahu yang Adwa nak jalan hari ni? Kau tak nak jumpa dia?” soal Lufia bertalu. Izdan terdiam mendengar soalan gadis itu.
“Iz, kau dengar tak?” soal Lufia lagi.
“Izdan!” Lufia mula naik angin apabila Izdan hanya membisu.
“Kirim salam pada Adwa. Aku tak sihat ni,” balas Izdan sebelum menekan punat merah. Keluhan berat dilepaskan. Kali ini rasa terkilannya pada Adwa sangat dalam sehingga menghalangnya untuk memaafkan gadis itu.
“Iz, Razi ada kat bawah,” beritahu Fuadzi disebalik pintu yang masih tertutup rapat. Izdan mendengus sebelum bangun dari katilnya. Dia berjalan menghampiri pintu lalu menariknya. Wajah Fuadzi menyapa pandangannya.
“Buat apa dia kat sini?” soal Izdan dengan kening berkerut. Fuadzi hanya memandang wajah lelaki itu yang tidak terurus.
“Aku tipu. Turun lah makan. Kau dah dua hari berkurung kat bilik ni,” balasnya tenang. Izdan menutup semula pintu biliknya dengan kuat.
“Kau tak payah nak masuk campur dalam hidup aku!” katanya memberi amaran. Fuadzi yang mendengar kata-kata lelaki itu hanya mampu menggeleng.
*****
Balqish mengeluh perlahan. Sudah sepuluh kali dia cuba untuk menghubungi Izdan. Namun panggilannya langsung tidak bersambut. Dia tertanya-tanya mengapa lelaki itu tidak menjawab panggilannya. Sejak Adwa meninggalkan mereka, sikap Izdan juga turut berubah. Apabila bersamanya Izdan sudah tidak seperti dulu. Suka termenung dan hanya bercakap jika perlu. Lelaki itu juga sudah sangat jarang menunjukkan senyumannya. Balqish meraup wajahnya.
“Seorang?” soal Diana sambil menarik kerusi di hadapan gadis itu. Balqish hanya tersenyum hambar.
“Iz mana?” soal Diana sambil memandang sekeliling. Risau juga dia jika mengganggu. Sementara menunggu Rania dan Lufia yang berada di cafe, dia mengambil keputusan untuk menghampiri Balqish apabila melihat gadis itu.
“Aku pun tak tahu. Aku call dia tak angkat,” balas Balqish dengan nada perlahan. Diana mengangguk.
“Korang gaduh?” soalnya. Balqish menggeleng.
“Mungkin Iz ada urusan kot. Kau jangan lah cepat melatah,” nasihat Diana separuh memujuk. Balqish hanya mengangguk. Dia juga berharap telahan rakannya itu benar.
“Kat sini rupanya. Jom masuk kelas,” tegur Rania yang sedang berjalan seiringan dengan Lufia.
“Jom,” ajak Diana pada Balqish. Balqish mengangguk perlahan. Lufia hanya memandang Balqish yang berjalan di hadapan mereka. Bibirnya berat untuk menegur gadis itu.
*****
“Macam mana kat sana?” soal Lufia sambil berbaring di atas katilnya.
“Okay aje,” balas Adwa pendek.
“Dah jumpa pakwe baru?” soal Lufia lagi. Kedengaran Adwa tergelak kecil.
“Tak ada soalan lain ke?” tanya Adwa semula.
“Ada. Kau tak rindu Iz?” soal Lufia pula. Adwa terdiam mendengar soalan gadis itu. Kedengaran Lufia tergelak besar.
“Kau ni memang sengaja nak kenakan aku. Nasib baik jauh,” rungut Adwa.
“Aku serius ni. Kau rindu Iz tak? Rindu aku?” usik Lufia lagi.
“Mesti lah aku rindu korang,” balas Adwa.
“Padan muka. Siapa suruh pindah?” perli Lufia. Adwa tergelak semula.
“Sudah lah tu. Aku penat nak layan kau. Kau jaga diri kat sana. Kirim salam dengan mereka yang lain. Aku sayang kau,” ucapnya.
“Kau pun jaga diri kat sana. Sayang kau juga,” balas Lufia dengan senyuman. Dia menutup telefon sambil mengeluh perlahan. Dia tidak sampai hati memberitahu Adwa mengenai keadaan Izdan ketika itu. Mesti gadis itu risau apabila mengetahui Izdan yang tidak tentu arah selepas pemergiannya. Izdan langsung tidak mahu mengangkat panggilan daripadanya. Lelaki itu juga sering mengelak bertembung dengannya. Lufia mengeluh lagi. Dia agak simpati dengan Balqish yang turut terkesan dengan perubahan Izdan.
*****
Maria menyambut plastik berisi buah jambu yang sedang dihulurkan oleh Izdan.
“Tak nak masuk dulu?” soalnya sambil meneliti wajah pemuda di hadapannya itu. Izdan menggeleng tersenyum.
“Tak apa nek. Lain kali aje. Lagipun Iz nak cepat. Nenek dan aunty sihat?” balas Izdan separuh bertanya. Maria mengangguk.
“Kamu tu sihat ke? Kenapa nenek tengok dah kurus ni?” soalnya agak risau. Dia dapat melihat perubahan pada pemuda itu.
“Sibuk sangat ke?” tanyanya lagi. Izdan mengangguk dengan senyuman hambar.
“Iz balik dulu nek,” katanya sebelum menarik basikalnya.
“Iz, Adwa kirim salam. Dia kata kamu tak angkat call. Adwa tu risaukan kamu,” beritahu Maria. Semalam semasa Adwa menghubunginya gadis itu ada memberitahu yang Izdan agak sukar dihubungi. Izdan berpaling memandang Maria semula. Dia mengangguk tersenyum sebelum menyambung langkahnya semula. Maria hanya menggeleng perlahan.