“Aku nak yang tu, yang ni, dan yang tu,” kata Adwa selamba sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah deretan pakaian yang berada di hadapan mereka. Berkerut kening Izdan memandang gadis itu.
“Aku bawa kau datang sini bukan sebab nak beli baju untuk kau,” balasnya dengan kening berkerut.
“So kenapa sibuk nak angkut aku ke sini? Kau tau yang petang ni aku nak jumpa Lufia kan?” soal Adwa dengan mata bulatnya membalas pandangan Izdan.
“Aku…,”
“Stop! Oh, nak cari baju untuk si Balqish? Lah, kenapa tak cakap awal. Boleh aku minta saiz dengan minah tu,” sindir Adwa sambil mendengus perlahan. Izdan tergelak kecil sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Aku tak peduli. Kau kena belikan aku juga baju-baju kat depan tu. Alah, kau nak risau apa. Kau tu anak orang kaya. Apa lah sangat baju yang belas ringgit ni,” sindir Adwa lagi.
“Dia ni,” balas Izdan sambil mencubit pipi kiri Adwa.
“Sakit!” marah Adwa sambil menepis tangan lelaki itu. Izdan hanya tergelak sambil memeluk bahu gadis itu.
“Jom sayang. Nak apa? Baju? Beg? Emas?” usiknya sambil tergelak besar. Adwa menyiku pinggang lelaki itu.
“Gila!”
*****
“Kau dah ready?” soal Lufia sambil memandang tepat ke arah gadis itu.
“Nak pergi mana?” soal Adwa dengan kening berkerut.
“Nak pergi mana apa? Hadiah ni,” kata Lufia sambil menunjukkan kotak hadiah yang berbalut dengan kertas bercorak bunga.
“Hadiah ni nak bagi Balqish kan?” soal Lufia lagi.
“Pergi lah bagi kat dia. Aku malas nak masuk campur,” balas Adwa selamba sambil memandang semula ke luar tingkap.
“Dia ni. Aku beritahu Iz baru tau. Iz nak kau yang beri hadiah ni. Bukan aku,” kata Lufia dengan kening berkerut.
“Apa bezanya antara kau dan aku? Sama aje lah. Kau pergi lah, aku malas,” tolak Adwa sambil mula meletakkan kepalanya ke atas meja. Lufia menggeleng perlahan. Dia bangun dari kerusi lalu menghampiri Balqish yang duduk tidak jauh darinya.
“Qish, hadiah ni untuk kau. Mamat kelas sebelah yang bagi,” beritahu Lufia dengan senyuman sambil menghulurkan kotak hadiah tersebut kepada Balqish. Agak lama Balqish memandang kotak hadiah tersebut sebelum menyambut lambat. Suasana dalam kelas agak bising dengan sorakan dan siulan pelajar yang mengusik Balqish.
*****
Adwa berjalan perlahan masuk ke dalam perpustakaan. Dia menghampiri rak buku. Hanya tangannya yang bergerak menarik beberapa buah buku yang tersusun rapi. Fikirannya sudah melayang mengingat semula peristiwa sebentar tadi. Adwa berhenti melangkah. Dia bersandar pada rak. Satu keluhan berat dilepaskan.
Kenapa dengan aku ni? Kenapa aku tak suka bila Iz nak rapat dengan Qish?
Adwa mendengus. Dia sendiri tidak suka dengan perasaan yang mengganggunya saat ini. Dia tidak ada hak untuk menghalang Izdan berkawan dengan sesiapa pun. Adwa mengeluh lagi.
“Sini rupanya,” tegur Lufia. Adwa hanya memandang gadis itu. Dia meletakkan semula buku yang ada di tangannya.
“Kenapa?” soalnya malas. Lufia menggeleng.
“Kau okay?” soalnya yang agak risau dengan telatah gadis itu. Hari ini Adwa lebih banyak mendiamkan diri. Tidak seperti biasa.
“Jom pergi kantin. Aku lapar,” balas Adwa sebelum berlalu. Lufia hanya mengikut langkah gadis itu. Dia takut pula hendak bertanya semula apabila melihat emosi Adwa yang tidak stabil.
*****
“Hoi!” Hampir terlepas mikrofon yang dipegang oleh Adwa apabila mendengar suara Izdan. Dia berpaling memandang tingkap yang terbuka luas. Kelihatan lelaki itu tersengih memandangnya.
“Kau ni tak reti bagi salam?” soal Adwa sambil mendengus perlahan.
“Dah malam ni wei. Kau boleh tak karaoke tu waktu siang? Bukan tengah malam,” tegur Izdan separuh mengusik.
“Sibuk aje. Nenek aku tak bising pun. Yang kau bising sangat apa hal?” balas Adwa dengan kening berkerut. Jarinya perlahan bergerak menekan punat off pada mikrofon.
“Aku tak lah bising kalau suara tu macam Nabila Razali. Ni dah macam ka…,”
“Nak kena dengan mikrofon ni?” pintas Adwa sambil mengangkat mikrofon tersebut dan berlagak seolah-olah mahu melemparkannya ke arah Izdan.
“Aku gurau aje lah,” kata Izdan sambil tergelak kecil. Dia kenal sangat Adwa Riana. Dia tidak akan terkejut jika benar-benar mikrofon tersebut sampai pada wajahnya. Sikap gadis itu memang sukar diduga.
“Tahu takut. Kau nak apa?” soal Adwa sambil menurunkan semula tangannya.
“Qish suka tak hadiah tu?” soal Izdan dengan senyuman. Adwa terkedu dengan soalan lelaki itu.
“Aku tak tahu. Aku bukannya tinggal dengan dia,” balasnya dengan nada mendatar.
“Maksud aku, masa kau beri hadiah tu kat dia,” kata Izdan dengan perasaan berdebar.
“Masa beri?” soal Adwa sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
Masalahnya bukan aku yang beri hadiah tu pada Balqish.
Bisik hati kecil Adwa.
“Dia happy,” balasnya perlahan.
“Dia cakap apa?” soal Izdan lagi agak teruja. Adwa mengeluh.
“Kau tak borak lagi dengan dia? Nak jadi lelaki misteri?” balasnya separuh menyoal.
“Aku…,”
“Aku nak tidur. Kau balik sekarang,” halau Adwa sambil mula menarik selimut. Izdan menggigit bibir memandang telatah gadis itu.
“Langsung tak nak beri aku peluang nak cakap,” rungutnya perlahan namun masih didengari oleh Adwa.
“Jangan lupa tutup tingkap tu,” sempat Adwa mengarah sebelum menutup lampu. Izdan menggeleng perlahan sebelum menutup tingkap dari luar.
Ni aku dah tutup tapi siapa pula nak kunci kat dalam?
Izdan tersenyum sebelum berlalu naik ke rumah Adwa. Dia perlu memberitahu Maria yang tingkap bilik Adwa tidak berkunci. Izdan agak risau memikirkan penceroboh yang mungkin akan masuk.
*****
“Kenapa lambat?” soal Lufia separuh berbisik apabila melihat Adwa yang mengambil tempat di sebelahnya.
“Adwa!” Belum sempat Adwa menjawab soalan Lufia tiba-tiba namanya diseru kuat. Suasana kelas sunyi seketika. Bulat mata Cikgu Salim memandang ke arah Adwa. Adwa mengeluh perlahan.
“Kau memang sengaja nak cari masalah,” kata Lufia separuh berbisik.
“Di padang tu banyak sampah. Buat apa tercegat lagi kat situ?” soal Cikgu Salim dengan keningnya yang terangkat tinggi.
“Sorry sir,” ucap Adwa perlahan sebelum bangkit dari kerusi lantas berlalu keluar dari kelas.
“Kalau suka sangat nak buat kerja amal, kamu semua boleh datang lewat dalam kelas saya,” kata Cikgu Salim dengan senyuman sinis sebelum mencapai bukunya. Lufia hanya memandang kelibat Adwa yang sudah hilang di sebalik pintu. Dia menggeleng perlahan.
*****
Adwa mendengus geram.
“Kurang ajar punya Iz. Sampai hati tak kejutkan aku. Biasanya tak pernah lupa ketuk tingkap bilik aku,” bebelnya perlahan. Memang Izdan akan mengetuk kuat tingkap biliknya setiap hari. Pada mulanya dia memang geram dengan sikap lelaki itu yang mengganggunya seawal pagi. Tapi bila difikirkan semula ada baiknya juga lelaki itu berbuat demikian. Dia boleh bangun awal pagi.
Tapi kenapa hari ni aku langsung tak nampak kelibat mamat tu?
“Hai, pungut sampah atau tengah mengelamun tu?” tegur Lufia yang sedang berjalan menghampirinya. Adwa hanya tersenyum memandang sahabatnya itu.
“Kau buat apa kat sini?” soalnya pula.
“Saja teman kau. Aku beritahu Cikgu Salim yang aku nak ke tandas. Aku bosan kau tak ada dalam kelas,” rungut Lufia sengaja memuncungkan bibirnya.
“Bosan lah sangat. Kau tu wajib perlukan aku kalau kelas cikgu Salim tu. Sebab nak tiru kerja aku kan?” soal Adwa separuh menyindir. Lufia tergelak besar.
“Tahu tak apa,” balasnya masih dengan sisa tawanya.
“Kau ada nampak Iz tak?” soal Adwa dengan kening berkerut.
“Kau tak tahu ke?” soal Lufia pula.
“Kalau aku tahu tak lah aku tanya makcik,” balas Adwa sambil mendengus perlahan. Luffia tergelak lagi.
“Iz terlibat dengan rombongan lawatan sambil belajar ke Sabah. Dalam kelas kita pun ada pelajar yang terlibat. Kau betul tak tahu?” soal Lufia dengan kening berkerut. Adwa menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Kenapa aku tak tahu?” soalnya pula.
“Aku lupa. Kau bukan pengawas. Yang terlibat tu pelajar yang ada jawatan kat Majlis Perwakilan Pelajar aje,” jawab Lufia.
“Siapa yang terlibat dalam kelas kita?” soal Adwa lagi. Wajahnya jelas menunjukkan rasa tidak puas hati.
“Ada beberapa. Termasuk Qish,” jawab Lufia. Adwa terdiam saat mendengar nama Balqish disebut.
“Kau ni. Nama aje berjiran dengan Iz. Iz jalan pun tak tahu. Kau betul ke kawan Iz?” soal Lufia separuh memerli. Adwa mula melangkah.
“Nak ke mana?” tanya Lufia.
“Kantin,” jawab Adwa tanpa memandang. Lufia menggeleng perlahan. Dia mengikut langkah gadis itu.