Maria memandang wajah tenang gadis itu.
“Kenapa nak pindah?” soalnya dengan nada lembut.
“Adwa tak selesa dengan tempat sekarang ni,” jawab Adwa dengan senyuman nipis.
“Kenapa? Dulu Adwa juga pilih tempat tu. Sebab ada Luf dan Iz kat situ. Kenapa pula sekarang nak pindah?” soal Maria masih tidak berpuas hati. Adwa mengeluh perlahan.
“Sebab Iz?” teka Maria. Nalurinya kuat mengatakan permintaan Adwa ada kaitannya dengan Izdan. Akhirnya Adwa mengangguk lambat.
“Adwa tak selesa nek. Qish tu tak suka Adwa rapat dengan Iz,” beritahunya separuh merungut. Maria menarik nafas berat. Dia mula faham dengan situasi yang dihadapi oleh gadis itu.
“Adwa tak ada masalah nak pindah?” soalnya. Adwa mengangguk.
“Tak menyesal?” soal Maria lagi. Adwa tergelak kecil.
“Nak menyesal buat apa? Adwa sendiri yang nak pindah,” jawabnya.
“Iz dah tahu?” soal Maria ingin tahu. Jelas pada riak wajahnya agak keberatan untuk mengikut permintaan gadis itu. Adwa terdiam mendengar soalan Maria.
“Perlu ke Iz tahu?” soalnya pula.
“Kalau Luf dah tahu, Iz pun Ad kena beritahu. Tak baik tinggalkan macam tu aje,” balas Maria dengan nada tegas. Adwa mengangguk perlahan. Maria menyentuh jemari gadis itu dengan senyuman.
*****
Lufia mendengus geram. Dia berpaling memandang gadis itu semula. Kedengaran Diana mengeluh perlahan. Rania menyentuh jemari Adwa.
“Bila nak pindah?” soalnya dengan kening berkerut. Dia agak sayu mendengar perkhabaran gadis itu.
“Selepas cuti semester,” jawab Adwa dengan senyuman.
“Kau ni memang degil,” marah Lufia. Dia berjalan menarik kerusi yang ada di hadapan Adwa.
“Kenapa nak pindah?” soal Diana. Dia sebenarnya masih keliru mengapa gadis itu bertindak sedemikian. Seingatnya Adwa tidak ada masalah dengan pembelajaran di tempat itu. Melainkan hanya ada satu sebab. Adwa terdiam mendengar soalan Diana.
“Sebab Qish ke?” soal Rania pula. Lufia mengeluh perlahan.
“Tak kisah lah sebab apa. Tapi aku masih tak setuju dengan keputusan kau. Adwa, kita dah janji nak habiskan pengajian kat sini,” katanya dengan perasaan sebak.
“Maafkan aku. Kau boleh salahkan aku,” ucap Adwa yang sudah tidak tahu apa lagi yang harus dia katakan. Lufia meraup wajahnya.
“Tak apa lah kalau tu dah keputusan kau. Tapi aku nak kau janji dengan kami. Jangan pernah putus hubungan,” celah Diana. Dia turut sedih dengan keputusan gadis itu. Walaupun baru sekejap mengenali Adwa, namun dia senang berkawan dengan gadis yang baik hati itu.
“Kalau cuti jangan lupa pula beritahu kami,” tambah Rania. Adwa mengangguk tersenyum. Dia beralih memandang Lufia. Gadis itu hanya membisu. Adwa tahu yang Lufia benar-benar kecewa dengan keputusannya. Namun dia juga sudah nekad.
*****
Adwa duduk di bangku yang berhampiran. Dia mengesat peluh pada dahinya. Adwa menarik nafas dalam. Terbayang semula wajah kecewa Lufia dengan keputusannya. Adwa mengeluh pula. Dia sedar yang dia tidak sepatutnya membuat keputusan tersebut hanya kerana mahu menjaga hati Balqish. Namun apabila difikirkan semula yang dia ada 3 tahun lagi untuk menamatkan pengajian, Adwa mula tidak yakin akan mampu bertentang mata dengan Balqish dan Izdan dalam tempoh tersebut. Walaupun niatnya mahu menjaga hati Balqish, namun dalam masa yang sama dia turut melukakan hati beberapa orang yang disayanginya. Adwa mengeluh lagi. Jujur dia susah untuk membuat keputusan tersebut. Namun dia tidak dapat melihat ada pilihan lain buat dirinya.
*****
Fuadzi menghampiri gadis yang sedang duduk di bangku panjang yang berada di taman itu. Dia tidak menyangka yang akan bertembung dengan Adwa pada petang itu.
“Hai, seorang?” soalnya sambil mengambil tempat di sebelah Adwa.
“Awak nampak saya ada teman ke?” soal Adwa sengaja mengenakan lelaki itu. Sebenarnya dia kurang selesa dengan kehadiran Fuadzi.
“Mana tahu mama awak ada sekali,” balas Fuadzi dengan senyuman. Adwa diam tidak membalas.
“Awak tak suka saya ke?” soal Fuadzi setelah sunyi seketika antara mereka. Adwa membalas pandangan lelaki itu.
“Macam mana awak tahu?” tanyanya pula. Fuadzi masih tersenyum.
“Awak ni memang jenis yang jujur?” soalnya lagi tanpa menjawab soalan Adwa.
“Awak ni memang suka bertanya?” tanya Adwa pula jelas tidak mahu kalah. Fuadzi akhinya tergelak kecil.
“Maaf kalau saya buat awak tak selesa,” ucapnya. Adwa menarik nafas berat.
“Awak dan Iz macam mana?” soalnya tanpa memandang wajah Fuadzi. Fuadzi merenung gadis itu. Benar telahannya. Banyak perkara yang gadis itu dan Izdan kongsi bersama. Izdan mesti percayakan Adwa lebih daripadanya.
“Iz masih belajar nak terima kehadiran saya semula. Saya memang tak salahkan dia. Dia berhak untuk marah,” balasnya dengan nada perlahan. Sebelum Izdan pulang ke kampung, dia dan lelaki itu memang tidak sehaluan. Ada saja yang tidak kena antara mereka. Sehingga ibu bapa mereka terpaksa memisahkan mereka.
“Saya sayangkan Iz. Tapi ada masa tu saya tak tahu macam mana nak beritahu dia,” sambung Fuadzi.
“Iz tu bukannya berdendam dengan awak dan ibu bapa awak. Dia cuma perlukan masa,” kata Adwa sambil bangun. Dia berlalu tanpa mempedulikan Fuadzi. Fuadzi tersenyum hambar. Dia turut bangun lantas mengejar langkah gadis itu.
*****
“Aku terserempak dengan Adwa tadi. Kau dah tahu?” soal Razi sambil memandang tepat ke arah Izdan yang sedang leka dengan laptopnya.
“Tahu apa?” soal Izdan tanpa memandang Razi.
“Kau tak tahu lagi? Adwa tak beritahu?” soal Razi yang jelas terkejut. Izdan membalas pandangan lelaki itu. Dia mula berdebar.
“Kalau aku tahu, aku tak tanya. Kenapa? Adwa tak sihat?” soalnya bertalu. Razi menggelengkan kepalanya.
“Adwa akan tinggalkan kita. Semester depan dia tak ada kat sini lagi. Dia nak pindah,” beritahu Razi. Izdan terkedu.
“Kau bergurau?” soalnya masih kurang percaya.
“Kau ingat aku suka bergurau hal macam ni?” soal Razi pula dengan kening berkerut. Izdan mencapai telefonnya. Dia mendail nombor Adwa. Beberapa kali mencuba namun panggilannya tidak bersambut.
“Aku nak jumpa Adwa,” katanya sambil mengemas bukunya. Razi hanya menggeleng melihat telatah lelaki itu.
*****
“Adwa yakin ke nak pindah?” soal Tania sekali lagi. Adwa yang sedang menjamah makanannya membalas pandangan wanita itu. Dia tersenyum mengangguk yakin. Tania mengeluh.
“Ikut aje lah kemahuan anak kesayangan awak ni Nia. Nanti kalau dah merajuk, ibu malas nak pujuk,” celah Maria yang sedang menikmati kopi kegemarannya. Adwa hanya tersengih mendengar kata-kata neneknya itu.
“Tak menyesal?” soal Tania lagi.
“No,” balas Adwa pendek.
“Susah Adwa nak balik nanti. Jauh sangat Sabah tu. Kenapa tak pilih universiti kat semenanjung aje?” soalnya dengan kening berkerut.
“Nenek pun kurang setuju yang tu. Kenapa pilih Sabah?” soal Maria turut ingin tahu. Adwa tersenyum.
“Kos yang Adwa nak tu ada kat sana. Lagipun bekas tutor Adwa salah seorang pensyarah untuk kos Adwa tu. So, senang sikit Adwa nak berurusan. Mama dan nenek tak payah risau. Kali ni biar Adwa yang urus semuanya,” balas Adwa dengan senyuman lebar. Maria dan Tania saling berpandangan.
“Kalau Adwa dah kata macam tu, mama tak ada pilihan selain lepaskan Adwa,” kata Tania akhirnya. Maria hanya mengangguk setuju dengan anaknya itu. Adwa tersenyum lebar. Dia tahu kedua-dua insan itu sebenarnya kurang bersetuju dengan keputusannya. Namun dia sudah bulat hati.
*****
Diana menghampiri Lufia yang sedang duduk bersendirian.
“Adwa dan Rania tak sampai lagi?” soalnya sambil menarik kerusi. Lufia menggeleng. Wajahnya kelihatan tidak bermaya.
“Kau okay ke ni?” soalnya agak risau. Lufia mengangguk perlahan.
“Luf, kenapa ni?” soal Diana lagi.
“Aku okay. Kau jangan risau,” balas Lufia dengan senyuman hambar.
“Ni pasal Adwa ke?” teka Diana. Lufia mengeluh. Dia sebenarnya sangat terkesan dengan keputusan Adwa. Apa yang paling menyakitkan hatinya apabila diberitahu oleh gadis itu yang dia akan berpindah ke Sabah.
“Adwa pindah ke Sabah,” beritahunya.
“Sabah? Jauhnya,” balas Diana dengan riak wajah yang terkejut.
“Aku pun baru tahu semalam,” kata Lufia. Giliran Diana pula mengeluh. Kenapa jauh sangat sahabat mereka itu membawa diri?
“Adwa tak sampai lagi?” soal Rania yang baru sampai sambil menarik kerusi.
“Belum,” jawab Diana dengan nada perlahan.
“Kenapa ni? Dua-dua macam tak ada semangat?” soal Rania sambil memandang silih berganti kedua-dua rakannya itu.
“Sorry, aku balik dulu,” kata Lufia sebelum bangun dari kerusinya. Berkerut Rania memandang langkah gadis itu. Dia beralih memandang Diana.
“Adwa nak pindah ke Sabah,” beritahu Diana.
“What?” soal Rania yang jelas terkejut.
Jauhnya!
*****
“Kenapa tak angkat call aku?” soal Izdan sambil memandang tajam ke arah gadis itu. Jika dia tidak mengunjungi rumah gadis itu, sampai bila-bila dia tidak berpeluang untuk bersemuka dengan Adwa.
“Aku sibuk sikit sejak akhi-akhir ni,” jawab Adwa tenang membalas pandangan Izdan.
“Sibuk nak pindah?” soal Izdan separuh memerli. Adwa terdiam.
“Sorry. Aku memang nak beritahu kau,” ucapnya dengan perasaan bersalah.
“Kenapa aku mesti jadi orang terakhir yang tahu? Betul ke aku ni kawan kau?” soal Izdan yang jelas kecewa dengan sikap Adwa.
“Iz, aku tak sengaja. Aku minta maaf,” ucap Adwa. Izdan menggeleng.
“Kau pindah sebab aku kan?” soalnya dengan perasaan kecewa.
“Aku pindah bukan sebab kau atau sesiapa. Jangan libatkan sesiapa Iz. Aku tak nak rasa bersalah lagi,” balas Adwa dengan riak wajah serius.
“Kau tak boleh tipu aku. Aku bukan kenal kau semalam. Aku perlu buat apa lagi supaya kau tak teruskan rancangan ni?” soal Izdan. Adwa mengeluh lagi.
“Kau tak perlu buat apa-apa. Aku dah nekad dengan keputusan aku,” balasnya dengan nada tegas. Izdan meraup wajahnya.
“Kau memang suka tinggalkan aku,” katanya dengan nada sayu. Walauapapun alasan gadis itu, dia sangat yakin yang Adwa mengambil keputusan tersebut disebabkan oleh dirinya dan Balqish.
“Kau tak sayang aku?” soalnya lagi dengan kening berkerut.
“Kau ni macam budak kecil. Aku bukannya tinggal terus kat Sabah. Kalau cuti aku balik lah kat sini,” balas Adwa.
“Kalau kau balik kat sini, kau nak ke jumpa aku lagi?” soal Izdan masih tidak berpuas hati.
“Kenapa pula aku tak nak? Mesti lah. Sudah lah Iz. Dah malam ni. Nampak tak nenek kat beranda tu sedang perhatikan kita? Kau balik lah. Tak manis jiran tengok kau ada kat sini,” katanya separuh meminta. Izdan menarik nafas berat. Dia akhirnya berlalu tanpa sepatah kata. Lidahnya sudah kelu untuk berkata. Adwa masih berdiri memandang kereta Izdan yang semakin jauh. Tanpa sedar dia mengeluh lagi.
*****
“Aku pun dah cuba. Tapi Luf tak angkat call aku,” kata Rania dengan kening berkerut. Dia simpati melihat wajah resah Adwa.
“Dia mesti marahkan aku. Ana pula kat mana?” soal Adwa sambil menarik kerusi di sebelah gadis itu.
“Diana ada projek dengan kameranya. Semalam Luf memang nampak marah sangat. Kenapa Adwa tak beritahu nak pindah Sabah? Semua orang terkejut,” beritahu Rania separuh menyoal.
“I’m sorry,” ucap Adwa dengan perasaan bersalah. Rania mengangguk.
“Iz dah tahu ke?” soalnya ingin tahu. Adwa hanya mengangguk.
“Iz tahu pasal perasaan Adwa?” soal Rania lagi. Berkerut kening Adwa membalas pandangan Rania.
“Aku memang baru kenal kau Ad. Tapi aku pun perempuan juga. Aku tahu kau sayangkan Iz. Tapi kau tak ada pilihan sebab Qish. Betul tak?” sambung Rania lagi. Adwa terdiam mendengar soalan gadis itu.
“Perasaan tu tak salah. Kau tak perlu rasa bersalah,” kata Rania lagi sambil menyentuh jemari Adwa yang berada di atas meja.
“Macam mana kau tahu apa yang aku rasa?” soal Adwa kini tersenyum hambar. Rania tergelak kecil.
“Sebab aku pernah rasa dan alami apa yang kau sedang lalui sekarang ni. Cuma kes aku lain. Aku redha,” balasnya dengan senyuman namun nada suaranya kedengaran sayu.
“Maksud kau?” soal Adwa yang ingin tahu. Masih ada rupanya yang Rania tidak kongsikan dengan mereka.
“Dia tak ada lagi kat dunia ni,” balas Rania dengan senyuman hambar. Adwa terkedu.
“Selagi kau ada peluang, kau kena beritahu Iz. Aku tak nak kau menyesal macam aku,” nasihat Rania. Adwa menarik nafas berat. Dia membalas genggaman gadis itu.
“Maafkan aku. Aku sepatutnya tak tanya,” ucapnya dengan perasaan bersalah. Rania menggelengkan kepalanya. Memang dulu dia hampir patah semangat untuk meneruskan hidup. Namun surat terakhir daripada Hashim membuatnya bangkit semula.
*****
“Luf, jangan lah macam ni,” pujuk Adwa. Lufia hanya memandang gadis yang duduk di hadapannya itu.
“Kau dah berubah Ad. Kau dah tak macam dulu. Kenapa susah sangat nak beritahu aku? Kalau kau tak nak beritahu Iz, aku tak kisah. Sekurang-kurangnya kau beritahu aku,” katanya yang jelas kecil hati dengan sikap gadis itu.
“Maafkan aku. Aku tahu aku salah. Kau boleh denda aku. Aku akan ikut apa aje permintaan kau. Kau paling suka bab ni kan?” balas Adwa separuh mengusik. Lufia mendengus.
“Betul kau akan tunaikan semua permintaan aku?” soalnya dengan riak wajah yang serius.
“Yes. Kecuali permintaan batalkan niat aku,” balas Adwa pantas. Lufia akhirnya tersenyum.
“Kau memang pandai nak selamatkan diri,” katanya. Adwa tergelak kecil.
“Maafkan aku,” ucapnya sekali lagi. Lufia mengeluh berat. Jika dengan gadis itu dia memang tidak mampu hendak marah dalam tempoh masa yang lama. Adwa memang pandai mengambil hatinya.
“Hujung minggu ni kita bercuti. Sekali dengan Iz dan Qish,” katanya separuh meminta. Adwa agak terkejut dengan permintaan sahabatnya itu. Namun dia tetap mengangguk tanda setuju. Lufia tersenyum lebar.