Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Bab 27

Izdan memandang wajah Fuadzi dengan riak tidak percaya.

"Kau bergurau?" soalnya. Fuadzi menggeleng.

"Aku serius Iz. Aku sayangkan Adwa. Aku serius nak jadikan Adwa tu calon isteri aku," balasnya dengan riak wajah serius. Izdan berdiri dari kerusinya. Dia melangkah menghampiri peti sejuk. Sebotol mineral dikeluarkan lalu diteguk dengan laju. Fuadzi memandang saja tingkah laku lelaki itu. Dia tahu yang Izdan sedang berusaha menahan sabar.

"Aku minta maaf," ucap Fuadzi perlahan. Dia bukannya buta dan tiada perasaan. Sebagai lelaki dia sedar yang Izdan sudah lama sayangkan Adwa. Namun kali ini dia tidak akan mengalah pada Izdan. Dia rela kehilangan segala-galanya demi Adwa. Izdan menutup semula peti sejuk. Dia menoleh ke arah Fuadzi.

"Jadi kau seronok dapat sakitkan hati aku?" soalnya.

"Adwa tu bukan milik sesiapa. Kau tak boleh salahkan aku sepenuhnya," balas Fuadzi cuba mempertahankan diri. Izdan mengeluh perlahan. Dalam diam dia mengakui kebenaran kata-kata lelaki itu. Siapa dia untuk memarahi Fuadzi. Dia langsung tidak ada hak. Adwa bukan kekasihnya.

"Aku juga dah lama sayangkan Adwa. Aku tak akan halang kau. Kau juga tak boleh halang aku. Aku akan berusaha untuk pujuk Adwa semula," kata Izdan dengan nada tegas. Fuadzi terdiam. Dia lega dengan reaksi Izdan. Namun dalam masa yang sama dia turut risau.

                               *****

"Wan kata Adwa tak bersedia lagi. Saya pun tak nak paksa. Biar mereka yang merancang," kata Tengku Jasmine dengan senyuman. Tania mengangguk setuju.

"Sebenarnya saya tak ada masalah. Hal ni saya dah tanya Adwa. Memang dia tak bersedia. Saya harap Wan tak berkecil hati pada Adwa," balasnya dengan senyuman hambar.

"Tak lah. Wan okay. Dia faham Adwa. Saya yang risau kalau ada antara mereka yang berubah hati. Sebab saya dah mula sayangkan Adwa," kata Tengku Jasmine. Tania tergelak kecil.

"Terima kasih Min sebab sayangkan Adwa. Saya juga harap ada jodoh antara mereka. Saya ni Min tak memilih sangat. Kalau baik untuk Adwa maka baik lah untuk saya. Adwa tu satu-satunya anak yang saya ada," balasnya dalam penuh makna.

"Saya faham Nia. Wan sebelum ni pun pernah lalui masa silam yang memeritkan. Sampai pada satu tahap tu kami terpaksa bawa Wan jumpa doktor. Wan ambil masa yang lama untuk bangkit semula. Sejak dia kenal Adwa, saya dapat lihat perubahan dalam diri Wan. Dia dah mula tersenyum," kata Tengku Jasmine. Tania mengangguk faham. Adwa juga pernah melalui saat itu. Fitnah telah menyebabkan Adwa berubah hingga sukar membuka hatinya semula untuk menerima seseorang.

                             *****

"Apa khabar?" tanya Tengku Hadwan. Dia lega apabila Adwa menyambut panggilannya. Dia risau andai gadis itu masih marah dengannya.

"Tak kerja?" soal Adwa semula sambil melangkah ke arah mejanya.

"Petang ni baru kerja. Hari ni jadual saya tak padat. Awak tak jawab lagi soalan saya," balas Tengku Hadwan separuh mengingatkan.

"Saya sihat aje," balas Adwa perlahan.

"Betul ke ni? Suara tu macam tak sihat aje," soal Tengku Hadwan lagi separuh mengusik.

"Awak pula macam mana? Tak sakit lagi?" soal Adwa yang mula geram. Tengku Hadwan tersenyum.

"Saya dah okay. Masa kat Istanbul hari tu penyakit lama datang tiba-tiba. Tapi sekarang dah okay. Sebab saya dah jumpa awak," jawabnya. Adwa terdiam sejenak mendengar kata-kata lelaki itu.

"Awak sakit apa sebenarnya?" soalnya selepas sunyi seketika antara mereka.

"Awak percaya tak kalau saya beritahu yang sebelum ni saya pernah mengikuti sesi dengan pakar?" balas Tengku Hadwan separuh bertanya. Adwa terkedu.

"Saya pernah melalui situasi yang sukar Adwa. Hampir gila. Tapi tahun ni saya dah mula hidup baru. Apatah lagi bila dah jumpa awak. Awak dah beri saya harapan," sambung Tengku Hadwan tanpa menunggu jawapan Adwa.

"Maaf, saya sepatutnya tak tanya," balas Adwa dengan perasaan bersalah. Tengku Hadwan tersenyum.

"Awak berhak tahu," balasnya.

"Saya nak buat kerja," kata Adwa.

"Maaf ganggu awak. Ada masa nanti saya akan datang jumpa awak," balas Tengku Hadwan sambil mengucap salam. Adwa menjawab salam dalam hati. Dia mengeluh perlahan. Rupanya lelaki itu juga seperti dirinya. Pernah melalui detik hitam dalam hidup.

                             *****

"Qish ada datang jumpa kau?" tanya Lufia sambil memandang tepat wajah Adwa. Adwa yang sedang menikmati makan tengah harinya hanya memandang sekilas ke arah sahabatnya itu.

"Aku ada jumpa Qish baru-baru ni," sambung Lufia apabila Adwa hanya membisu.

"Pasal Fuad ke?" soal Adwa kembali.

"Kau dah tahu?" tanya Lufia yang agak terkejut melihat reaksi tenang gadis itu.

"Kenapa perempuan tu sibuk nak beritahu kau? Tak ada kerja lain? Perempuan tu tak penat ke asyik nak masuk campur urusan hidup aku?" soal Adwa bertalu dengan riak wajah serius. Lufia terdiam mendengar soalan gadis itu. Adwa meletakkan sudunya. Hilang seleranya apabila hal itu dibangkitkan.

"Aku dah beritahu Fuad supaya tak ganggu hidup aku lagi. Kau jangan risau. Aku okay. Tu yang kau nak tahu kan?" sambung Adwa separuh menyoal. Lufia tersenyum hambar.

"Qish tu risau Iz dan Fuad bergaduh. Sebab tu dia datang jumpa aku," beritahunya. Adwa tersenyum sinis.

"Dah lah. Aku malas lagi nak cakap pasal ni. Aku nak balik kampung. Kau nak ikut?" tanyanya. Lufia tersenyum lebar.

"Nak. Bila? Kita ajak Diana dan Rania sekali. Dah lama mereka nak tengok kampung kita," balasnya. Adwa tersenyum mengangguk.

                              *****

Adwa agak terkejut dengan kehadiran orang tua itu di pejabatnya. Uqash tersenyum memandang Adwa.

"Maaf, papa tak beritahu nak datang," ucapnya.

"Tak apa. Duduk lah. Nak minum?" tanya Adwa sambil mengambil tempat di hadapan Uqash.

"Tak apa. Papa singgah sekejap aje. Papa risaukan Adwa. Papa call tak angkat. Mesej papa pun Adwa tak balas," kata Uqash dengan senyuman hambar. Adwa menarik nafas perlahan.

"Sorry," ucapnya ringkas. Uqash menggeleng.

"Papa faham Adwa masih tak boleh terima papa. Papa tak salahkan Adwa. Sejak awal memang semuanya salah papa. Papa cuma minta sedikit ruang dalam hati Adwa untuk papa. Papa sayangkan Adwa," ucapnya dengan perasaan sebak. Adwa tunduk memandang jemarinya. Memang dia sengaja tidak menjawab dan membalas panggilan orang tua itu. Dia masih kecil hati dengan apa yang berlaku.

"Beri saya sedikit masa lagi," balasnya perlahan. Uqash mengangguk tersenyum.

"Papa akan tunggu sampai Adwa boleh terima papa semula. Papa minta maaf bagi pihak mummy. Papa tahu Adwa tak selesa dengan sikapnya," katanya dengan perasaan bersalah. Adwa mengangguk. Jujur memang dia tidak suka dengan sikap isteri baru papanya itu. Dia pernah beberapa kali bertemu dengannya. Namun setiap kali bertemu pasti wanita itu menunjukkan wajah yang tidak menyukainya.

"Papa balik dulu. Maaf dah ganggu Adwa. Adwa jaga diri," kata Uqash sambil berdiri. Adwa mengangguk lagi. Uqash berlalu dengan perasaan lega. Biarpun Adwa masih belum mampu menerimanya, namun dia lega kerana gadis itu masih memberinya harapan. Adwa hanya memandang kelibat Uqash menghilang di sebalik pintu. Dia mengeluh berat.

                              *****

Izdan merenung lama gambar lamanya bersama dengan Adwa semasa di bangku sekolah. Sejak masuk ke sekolah menengah dia memang suka mengambil gambar gadis itu. Adwa sering menegurnya kerana bosan dengan tingkah lakunya.

"Kau tak bosan ke?" soal Adwa dengan kening berkerut.

"Tak," jawab Izdan sambil membelek kameranya.

"Apa kata kau ambil gambar budak baru tu aje? Kau bukan minat budak tu ke?" soal Adwa sambil menulis sesuatu dalam bukunya. Izdan berhenti membelek kameranya. Dia menoleh ke arah gadis itu.

"Aku lagi suka ambil gambar kau. Dalam kamera aku ni semuanya gambar aku dan kau. Tapi kalau kau dah tak suka aku ambil gambar, aku boleh berhenti," katanya separuh merajuk. Adwa tergelak kecil. Dia menghulurkan tangannya pada Izdan. Izdan menyambut perlahan. Adwa pantas menggigit jari lelaki itu.

"Aduh!" Izdan pantas menarik tangannya.

"Kau gila?" soalnya sambil memeriksa jarinya yang sudah ada bekas gigitan gadis itu. Adwa tergelak besar.

"Padan muka. Ada hati nak merajuk dengan aku," katanya sambil menyambung kerjanya semula. Izdan akhirnya tersenyum sambil merenung gadis itu.

Izdan mengeluh perlahan. Kenangan lama itu benar-benar membuatnya semakin rindu pada Adwa.


Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.