Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Bab 28

“Mama dengar papa ada datang office,” tegur Tania sambil menarik kerusi di hadapan Adwa.

“Ada,” balas Adwa tanpa membalas pandangan wanita itu. Tania mengangguk.

“Mama cuma nak Adwa tahu. Mama tak pernah larang Adwa untuk bertemu dengan papa. Apa yang berlaku antara mama dan papa bukan salah sesiapa. Mama minta maaf sebab tak mampu berikan yang terbaik untuk Adwa,” ucapnya dengan senyuman hambar.

“Adwa tahu mama. Mama tak perlu risau. Adwa akan jumpa papa sendiri bila tiba masanya. Mama dah buat yang terbaik untuk Adwa. Adwa sangat bersyukur mama sentiasa ada ketika Adwa perlukan mama,” balas Adwa sambil menyentuh jemari wanita itu yang terletak di atas meja. Tania membalas genggaman gadis itu.

“Makan malam dah siap?” soal Maria yang baru saja melangkah masuk ke dalam dapur. Tania dan Adwa saling berpandangan sebelum tergelak kecil.

“Gelak pula. Ibu dah lapar ni,” kata Maria sambil menarik kerusi.

“Kejap, Nia nak hidang. Adwa tolong mama,” pinta Tania sambil bangun dari kerusi.

“Siap,” balas Adwa sambil ikut berdiri. Maria hanya tersenyum melihat telatah kedua-duanya.

                             *****

“Aku dah agak dah,” kata Diana sambil membelek kameranya.

“Maksud kau?” soal Rania dengan kening berkerut.

“Adwa tak suka Fuad. Memang aku dah agak dari awal,” balas Diana. Lufia hanya diam mendengar kata-kata gadis itu.

“Fuad tu memang kacak. Ada kerjaya. Bujang pula tu. Tapi kenapa Adwa juga yang dia nak?” tanya Rania.

“Dah dia suka nak buat macam mana,” balas Diana. Rania mengangguk lambat. Dia setuju dengan Diana. Melihat daripada tingkah laku Fuadzi sejak dari awal juga sudah jelas menunjukkan perasaan lelaki itu terhadap Adwa. Cuma Adwa yang tidak mengendahkannya.

“Adwa ajak korang balik kampung,” celah Lufia.

“Aku nak. Bila?” tanya Diana agak teruja.

“Aku pun nak ikut. Dah lama aku nak balik kampung korang,” kata Rania dengan senyuman lebar.

“Nanti kita tanya Adwa. Kejap lagi dia sampai. Hari ni dia sudi lunch dengan kita,” balas Lufia. Diana dan Rania serentak tergelak. Adwa memang tidak suka makan tengah hari di luar pejabat jika bukan atas urusan kerja. Biasanya gadis itu akan makan sahaja di pejabatnya.

                               *****

Razi tersenyum memandang sahabatnya itu.

“Sejak kembali ke Malaysia susah sangat nak jumpa kau. Sibuk sepanjang masa,” tegurnya. Izdan tergelak kecil.

“Maaf lah. Banyak sangat hal yang aku uruskan,” balasnya. Terangkat kening Razi.

“Hal apa? Pasal Qish? Atau Adwa?” tanyanya kembali separuh mengusik. Izdan menggeleng.

“Tak lucu,” balasnya.

Sorry. Aku saja nak usik kau. So macam mana dengan Adwa? Kau dah berbaik semula dengannya?” soal Razi lagi. Izdan terdiam mendengar pertanyaan lelaki itu.

“Aku dengar model popular tu sedang cuba nak dekat dengan Adwa. Iz, sejak awal aku dah sedaya upaya nasihatkan kau. Tapi kau tak nak dengar cakap aku. Masa tu kau masih baru nak kenal Balqish. Kau masih boleh berundur masa tu tapi kau degil. Sekarang dah nampak apa akibatnya? Kau yang sakit sendiri. Aku bukan nak sakitkan hati kau. Kau sendiri yang salah,” sambung Razi separuh memerli. Izdan mengeluh perlahan. Dia tidak menyalahkan lelaki itu. Apa yang dikatakan oleh Razi itu memang tepat. Sejak awal lagi dia yang salah kerana menjadi seorang pengecut.

“Aku sedang cuba Zi. Memang aku tak nak kehilangan Adwa lagi,” balasnya perlahan.

“Aku doakan. So semalam kau beritahu aku yang kau nak balik kampung. Aku nak ikut,” kata Razi sambil tersengih.

“Boleh aje. Lagipun memang aku tak ada kawan nak balik,” balas Izdan dengan senyuman. Razi mengangguk gembira. Dia pun sudah lama tidak balik ke kampung.

                               *****

“Tak apa ke kau hantar aku balik ni?” soal Lufia sambil memandang Adwa yang sedang memandu.

“Kau ni kenapa? Tak suka aku hantar?” soal Adwa semula tanpa memandang gadis itu. Lufia tergelak kecil.

“Tak lah. Aku lagi suka kalau setiap hari kau hantar aku,” katanya. Adwa hanya tersenyum.

“Selagi kereta kau meragam, selagi tu lah aku akan hantar kau. Jangan risau, kau cuma perlu hantar makanan kegemaran aku masa lunch,” balasnya separuh mengusik.

“Hebatnya rancangan kau,” kata Lufia. Adwa tergelak besar.

“Aku dah tak sabar nak balik kampung. Kami nak tumpang kereta kau aje nanti. Diana malas nak bawa kereta,” kata Lufia sambil memandang ke luar tingkap.

“Tak ada pula Ana beritahu tadi. Tapi aku okay aje. Lagipun nenek akan ikut mama,” jawab Adwa. Lufia menoleh ke arah gadis itu semula. Lama dia merenung wajah tenang Adwa.

“Kau nak cakap apa?” tanya Adwa yang perasan dengan pandangan sahabatnya itu. Lufia tersenyum.

“Aku nak dengar berita gembira. Tentang kau dan Wan. Hari tu kau beritahu yang Wan nak datang merisik,” katanya.

“Tak jadi. Aku tak bersedia lagi. Hari tu aku dah jumpa Wan,” jawab Adwa.

“Apa pandangan kau pada Wan?” tanya Lufia lagi ingin tahu. Walaupun dia sudah lama mengenali gadis itu namun masih sukar baginya untuk meneka apa yang bermain di fikiran Adwa. Adwa tersenyum mendengar pertanyaan Lufia.

“Setakat ni aku boleh katakan dia lelaki yang baik. Seorang yang memahami,” balasnya jujur. Lufia mengangguk.

“Tapi kenapa kau masih nak main tarik tali dengannya?” soalnya sengaja mahu mengusik gadis itu. Adwa hanya menjeling rakannya itu. Lufia tergelak besar.

“Hati aku ni masih tertutup untuk seorang manusia yang bergelar lelaki,” balasnya dengan nada tegas.

“Bukan sebab Iz?” tanya Lufia.

“Luf,” balas Adwa sambil memandang sekilas ke arah gadis itu. Lufia tergelak semula.

Okay, aku diam,” katanya sambil memandang semula ke luar tingkap. Adwa hanya menggeleng perlahan.

                               *****

“Apa khabar?” tanya Tengku Hadwan. Adwa terdiam mendengar pertanyaan lelaki itu. Dia menutup pintu kereta lalu melangkah ke arah taman kecil milik Maria. Dia duduk di kerusi yang sudah disediakan.

“Sihat. Awak?” tanyanya semula. Tengku Hadwan tersenyum.

“Sihat. Cuma rindu dengan orang tu,” katanya. Adwa tersenyum.

“Biar saya teka. Awak senyap ni sebab sedang senyum. Betul tak?” soal Tengku Hadwan nakal. Adwa menggigit bibir.

“Tak lah,” jawabnya perlahan. Kedengaran lelaki itu tergelak kecil.

“Saya nak ikut awak balik kampung,” pinta Tengku Hadwan.

“Siapa beritahu? Diana?” soal Adwa dengan kening berkerut.

“Ya, tapi dia tak sengaja. Awak jangan marah dia. Dia kata ada kerja luar. Bila saya tanya kat mana, dia beritahu kat kampung awak. So, saya cadang nak ikut sekali. Tu pun kalau awak tak keberatan nak bawa budak yang tak ada kampung ni,” balas Tengku Hadwan meminta simpati.

“Boleh tapi awak kena pandu kereta sendiri. Nanti saya beritahu mama yang awak nak ikut,” kata Adwa akhirnya. Kasihan pula apabila mendengar kata-kata lelaki itu. Dia tahu bukan semua orang ada tempat yang dipanggil kampung. Tengku Hadwan tersenyum lebar. Lakonannya menjadi.

Thank you Adwa,” ucapnya.

“Selamat malam,” jawab Adwa sebelum menutup telefonnya. Dia menarik nafas berat sebelum masuk ke dalam rumah. Tengku Hadwan masih memandang telefonnya. Dia sentiasa merasa Adwa seorang yang misteri. Kadangkala dia seperti sudah kenal lama dengan gadis itu. Ada masa itu Adwa seperti orang asing. Tengku Hadwan mengeluh perlahan.


Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.