Adwa memandang lama lukisan yang ada dihadapannya.
“Bas? Kenapa bas?” soal Lufia dengan kening terangkat. Rania yang sebentar tadi berada di luar balkoni melangkah masuk menghampiri kedua-dua rakannya itu.
“Tadi masa aku masuk bilik ni pun aku dah mula tertanya-tanya,” celahnya sambil matanya turut tertumpu pada lukisan Adwa. Diana yang baru keluar dari bilik air hanya memandang sekilas ke arah rakan-rakannya sebelum menuju ke meja solek.
“Aku dah lama tak melukis. Bila dah mula, aku cuma terfikirkan bas ni,” balas Adwa dengan senyuman sebelum melangkah ke arah katilnya.
“Biasanya hasil kerja orang seni ni ada makna di sebaliknya. Kadang-kadang orang lain tak faham,” celah Diana dengan senyuman sambil memandang Adwa.
“Thank you Ana,” ucap Adwa sambil tergelak kecil. Rania mengangguk.
“Nasib kita lah Luf bukan orang seni,” katanya separuh bergurau. Lufia hanya tersenyum mendengar gurauan gadis itu. Namun matanya sukar untuk dialihkan daripada lukisan tersebut. Dia seperti kenal dengan bas itu.
“Tak sabar esok nak balik kampung. Nasib baik aku dapat cuti,” kata Rania yang jelas teruja.
“Wan beritahu aku yang dia akan ikut esok. Betul ke?” tanya Diana sambil memandang Adwa.
“Betul. Tapi dia bawa kereta sendiri,” jawab Adwa.
“Bakal suami nak lawat kampung rupanya,” usik Rania. Diana sudah tergelak. Adwa hanya menjeling ke arah Rania. Dia menoleh ke arah Lufia yang kini berdiri di balkoni. Gadis itu hanya membisu setelah melihat lukisannya.
“Luf, buat apa kat luar tu? Tak sejuk?” soal Diana sambil mula naik ke atas katil. Lufia berpaling melangkah masuk semula.
“Okay, masa untuk tidur,” katanya sambil menutup suis lampu.
“Luf! Gelap lah!” jerit Rania. Gelak tawa mereka memecah keheningan malam. Tania dan Maria yang masih berada di ruang bawah hanya berpandangan sambil tersenyum.
*****
“Kau jadi balik kampung esok?” tanya Fuadzi sambil memandang Izdan yang duduk dihadapannya. Izdan tersenyum sinis. Mahu saja dia menghalau lelaki itu sebentar tadi namun tidak pula dia sampai hati.
“Kau datang malam ni sebab nak tanya soalan tu aje?” soalnya semula tanpa senyuman.
“Mama dan papa tahu?” tanya Fuadzi pula.
“Aku bukan budak tadika. Kau tak payah nak ingatkan aku,” balas Izdan sambil mendengus perlahan.
“Iz, aku tahu kau marahkan aku pasal Adwa. Tapi aku mohon jangan libatkan hubungan keluarga kita dalam hal ni. Aku sayang kau. Aku membesar tanpa kau di sisi. Masa memang dah tak boleh putar semula tapi manusia boleh berubah. Aku tak nak kehilangan kau lagi Iz. Aku tahu kau dah besar. Tak perlu lagi aku nak ingatkan semua benda. Tapi tak salah aku ingatkan kau sebab aku ni abang kandung kau,” kata Fuadzi dengan kening berkerut. Izdan bersandar pada kerusinya sambil membalas pandangan lelaki itu.
“Balik lah Fuad. Terus terang aku dah mula tak senang jumpa kau. Semuanya bermula bila tahu perasaan kau pada Adwa. Buat masa ni kau jangan datang jumpa aku dulu. Kau jangan risau pasal mama dan papa. Aku bukan anak yang baik tapi aku tak nak juga jadi anak derhaka. Kalau kau faham maksud aku, balik lah,” balasnya separuh menghalau. Fuadzi hilang kata-kata untuk menjawab. Dia bangun perlahan dari sofa lantas berlalu. Izdan mengeluh perlahan sambil meraup wajahnya.
*****
Selepas 3 jam perjalanan akhirnya mereka sampai di kampung halaman Adwa. Maria turun dari kereta sambil melangkah ke arah wanita yang sedang tersenyum menunggu mereka.
“Nora, apa khabar?” tanyanya sambil memeluk wanita tersebut.
“Baik Maria. Masuk lah dulu. Rumah ni sentiasa berseri walaupun kau dah lama tak balik kampung,” balas Nora sambil tergelak kecil.
“Terima kasih Nora. Nia, ni lah Nora yang tolong ibu jaga rumah ni. Dia tinggal tak jauh dari sini,” beritahu Maria sambil memandang Tania yang sudah berdiri di sisinya.
“Apa khabar makcik? Terima kasih sebab dah tolong tengok rumah ni,” ucap Tania sambil menghulurkan tangan.
“Tak ada susahnya pun. Naik dulu, dah senja ni,” balas Nora separuh mengarah.
“Adwa, ajak kawan-kawan naik ke atas,” arah Tania sambil memandang Adwa yang sedang membuka bonet kereta. Adwa mengangguk. Lufia menghampiri Adwa.
“Ad, kau hantar aku ek. Tak larat aku nak jalan,” katanya separuh meminta. Walaupun rumahnya tidak jauh sangat jaraknya dari rumah Adwa namun dia sudah tidak ada tenaga untuk berjalan.
“Padan muka. Tu lah aku nak ganti pandu pun tak nak. Letih kan?” soal Adwa separuh mengusik. Lufia hanya mencebik. Dia memandang sekeliling.
“Tu bukan kereta Iz ke?” soalnya. Pandangan Lufia terarah pada kereta yang terletak di luar kawasan rumah nenek Izdan. Adwa terkedu. Perlahan dia menoleh. Bulat matanya melihat Izdan yang baru keluar dari rumah bersama dengan Razi. Izdan yang merasa seperti diperhatikan turut menoleh. Dia terkedu.
“Tu bukan Adwa dan Luf ke?” soal Razi yang turut terkejut. Izdan mengangguk lambat. Tengku Hadwan yang baru keluar dari keretanya berjalan menghampiri Adwa.
“Ada yang saya boleh bantu?” soalnya sambil berdiri di hadapan gadis itu. Adwa yang masih terkejut beralih memandang Tengku Hadwan. Dia mengangguk sambil menyerahkan beg plastik kepada lelaki itu. Lufia menarik nafas berat.
*****
Sebelum turun dari kereta Lufia menoleh ke arah Adwa yang hanya membisu sedari tadi.
“Kau okay?” soalnya. Adwa membalas pandangan gadis itu. Dia menggeleng.
“Kau tahu Iz akan balik kampung?” tanya Adwa pula. Giliran Lufia pula yang menggeleng.
“Aku dah lama tak jumpa Iz,” balasnya.
“Aku ada terserempak dengannya dua minggu yang lalu. Dia ada beritahu aku nak balik kampung. Aku tak tahu pula dia masih ada kat kampung ni,” beritahu Adwa perlahan.
“Aku rasa dia pun baru balik hari ni. Tadi aku lihat Razi angkat beg keluar dari kereta Iz,” balas Lufia. Adwa mendengus perlahan.
“Aku balik dulu. Esok pagi aku pergi rumah kau. Malam ni aku nak rehat,” sambung Lufia sambil membuka pintu kereta. Adwa mengangguk.
“Kirim salam dengan mama dan papa kau,” pesannya. Lufia hanya mengangguk sambil menutup pintu kereta. Dia hanya memerhatikan kereta Adwa berlalu. Lufia melepaskan keluhan.
*****
Maria menghidangkan kuih-muih di atas meja.
“Jemput lah makan. Nenek tahu kita baru aje lepas makan malam. Makan lebih sikit malam ni pun tak apa. Nenek sayang nak buang kuih ni. Esok dah basi,” katanya separuh mengajak.
“Terima kasih nek sebab jemput kami,” ucap Razi yang tersengih duduk di sebelah Izdan.
“Bukannya selalu dapat berkumpul,” celah Tania dengan senyuman. Razi mengangguk setuju. Dia menoleh ke arah Izdan yang hanya membisu sedari tadi. Razi beralih pula memandang ke arah Adwa yang sedang duduk di sisi Tengku Hadwan. Riak wajah gadis itu jelas menunjukkan yang dia tidak selesa dengan kehadiran mereka.
“Tak sangka dulu awak sekampung dengan Iz,” kata Tengku Hadwan separuh berbisik di telinga Adwa. Adwa hanya tersenyum hambar.
*****
“Tak sangka Iz juga ada kat sini,” kata Diana sambil naik ke atas katil. Rania yang duduk di kerusi berhampiran katil juga mengangguk setuju.
“Kau tak tahu ke Iz ada kat sini Ad?” tanya Rania sambil menoleh ke arah Adwa yang sudah terbaring di atas katil. Adwa diam tidak menjawab. Hanya pandangannya yang terarah ke arah siling. Diana dan Rania saling berpandangan.
“Aku tak tahu. Aku tak ingin tahu,” Adwa bersuara perlahan sebelum menarik selimut sehingga menutup seluruh tubuhnya.
“Okay. Selamat malam,” ucap Diana. Dia faham akan perasaan gadis itu.
“Selamat malam,” balas Rania sambil mula melangkah ke arah katil. Katil milik Adwa memang agak besar sehinggakan mereka bertiga boleh tidur bersama.