Izdan tersenyum saat Tania membuka pintu pagar rumah. Tania agak terkejut menerima kunjungan lelaki itu. Sebentar tadi Tengku Hadwan yang bertandang. Nasib baik lelaki itu sudah pulang.
“Apa khabar aunty?” tanya Izdan.
“Baik. Masuk lah,” balas Tania separuh mengajak. Izdan mengangguk sambil mula mengikut langkah Tania dari belakang.
“Duduklah dulu. aunty naik sekejap,” kata Tania sebelum naik ke tingkat atas. Izdan menurut. Dia agak berdebar. Suasana rumah itu agak sunyi.
Mana Adwa?
*****
Selepas mengetuk pintu bilik Maria, Tania melangkah masuk.
“Ibu, Iz ada kat bawah,” beritahunya. Maria yang sedang leka membaca buku membalas pandangan wanita itu.
“Seorang?” soalnya. Tania mengangguk.
“Adwa?” soal Maria lagi. Tania terdiam. Dia memang sengaja tidak memberitahu Adwa mengenai kedatangan Izdan. Tania risau dengan reaksi gadis itu.
“Tak apalah,” kata Maria sebelum bangun dari kerusinya.
*****
“Nenek sihat?” tanya Izdan apabila melihat Maria sudah duduk selesa. Tania pergi ke dapur menyediakan minuman.
“Nenek sihat. Iz?” balas Maria separuh menyoal. Izdan kelihatan agak tidak terurus. Mungkin Adwa sudah menghubungi lelaki itu. Dia kenal sangat cucunya itu.
“Iz sihat,” balas Izdan dengan senyuman hambar. Tania datang dari arah dapur lalu menghidangkan tea panas.
“Terima kasih aunty,” ucap Izdan. Tania mengangguk sambil mengambil tempat di sisi Maria. Izdan agak gugup apabila kedua-dua wanita itu kini memandangnya seperti menunggu penjelasan.
“Nek, aunty Nia, Iz minta maaf. Iz memang silap. Sepatutnya Iz bincang dulu dengan Adwa dan kamu berdua mengenai pinangan Iz. Maafkan Iz,” ucapnya dengan perasaan bersalah. Sebelum membuat keputusan tersebut dia sudah memikirkan baik buruknya. Dia nekad berbuat demikian dan sanggup menghadapinya. Namun apabila telah berlaku, dia mula menyesali tindakannya. Kata-kata Adwa membuatnya tidak dapat tidur lena.
“Memang Iz silap. Tapi nenek faham. Iz buat macam ni sebab tahu yang Adwa tak akan terima,” balas Maria sambil mencapai gelasnya. Tania diam membisu. Dia sebenarnya risaukan Adwa. Pada saat gadis itu memerlukan seseorang, dia pula hanya diam tidak tahu bagaimana mahu membantunya.
“Iz serius nak Adwa jadi isteri Iz. Iz janji akan jaga Adwa,” kata Izdan dengan riak wajah serius. Dia sudah nekad. Maknanya dia tidak akan sesekali menoleh ke belakang lagi. Walau apapun yang akan terjadi.
“Nenek dah terima pinangan Iz untuk Adwa. Sekarang Iz cuma perlu pujuk Adwa sebelum tarikh nikah. Jika ada jodoh Iz dan Adwa, insyaallah bulan depan Adwa akan jadi isteri Iz,” kata Maria dengan senyuman. Izdan menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya Maria menerima dirinya. Izdan beralih memandang Tania. Dia agak risau apabila wanita itu hanya diam membisu. Tania tersenyum mengangguk membalas pandangan Izdan. Lidahnya kelu untuk berkata-kata.
“Adwa ada kat atas?” tanya Izdan ingin tahu. Maria dan Tania saling berpandangan.
“Tak apa. Nanti saya datang lagi. Saya balik dulu nek, aunty,” kata Izdan sebelum bangun dari sofa.
“Hati-hati,” pesan Maria. Izdan mengangguk sebelum berlalu. Tania menarik nafas berat.
“Nia, kamu masih marahkan ibu?” soal Maria sambil memandang wanita itu. Biarpun Tania tidak secara terang menyatakannya namun dia tahu yang wanita tidak setuju dengan keputusannya.
“Entah lah ibu. Nia cuma yang terbaik untuk Adwa. Nia tak nak apa yang dah berlaku pada Nia akan berlaku pada Adwa,” balas Tania dengan senyuman hambar. Maria menepuk lembut bahu anaknya itu.
“Kita serahkan semuanya pada yang maha kuasa,” katanya sebelum bangun dari sofa lantas berlalu. Tania mengeluh.
*****
“Boleh mama masuk?” tanya Tania separuh meminta. Dia menolak pintu bilik Adwa yang tidak berkunci. Kelihatan Adwa sedang berdiri di balkoni biliknya. Tania menghampiri gadis itu.
“Adwa,” panggilnya lembut sambil menyentuh bahu gadis itu. Adwa menoleh. Wajahnya kosong tanpa perasaan. Sebak dada Tania melihat keadaan gadis itu.
“Mama nak apa?” soal Adwa sambil memandang semula awan yang gelap. Hanya beberapa bintang yang kelihatan.
“Kalau Adwa tak nak, kita boleh batalkan,” kata Tania. Dia sudah tidak sanggup melihat keadaan gadis itu. Adwa tergelak kecil.
“Kalau tak nak? Sejak dari dulu mama sendiri tahu Adwa memang tak nak. Kenapa masih nak terima cincin tu? Yes, nenek dan mama sama aje. Tak pernah nak faham kemahuan Adwa,” balas Adwa tanpa memandang wanita itu. Tania terkedu.
“Adwa bukan anak yang baik mama. Maafkan Adwa,” sambung Adwa. Dia bukan sengaja mahu menyakiti hati wanita kesayangannya itu. Adwa cuma luahkan rasa tidak puas hatinya.
“Maafkan mama,” ucap Tania dengan perasaan bersalah. Adwa melangkah masuk semula lantas merebahkan tubuhnya di atas katil. Kepalanya terasa berdenyut. Tania berlalu keluar dari bilik Adwa tanpa sepatah kata.
*****
Lufia terkedu mendengar perkhabaran daripada Izdan.
“Adwa terima?” soalnya dengan perasaan berdebar. Izdan terdiam.
“Hello, Iz?” panggil Lufia yang mula tidak sabar. Telefonnya dipegang erat.
“Nenek dah terima. Tapi Adwa tak,” balas Izdan perlahan. Lufia menyentuh dahinya.
“Adwa tak beritahu aku pun,” katanya dengan perasaan berbaur.
“Dia memang tak nak jumpa sesiapa sekarang ni. Aku dah datang ke rumahnya. Tapi dia tak turun,” beritahu Izdan. Lufia duduk di atas katilnya.
“She need someone right now,” katanya. Izdan diam tidak membalas.
“Kau sepatutnya beritahu Ad sebelum hantar family kau,” kata Lufia. Dia bukan mahu menyalahkan lelaki itu. Lufia tahu Izdan bertindak sedemikian kerana Adwa memang tidak boleh dibawa berbincang.
“I know,” balas Izdan. Dia sedar akan kesilapannya.
“Tak apa. Saya cuba call Adwa,” kata Lufia sebelum mematikan telefon.
*****
Diana dan Rania saling berpandangan.
“Kau biar betul Luf?” soal Diana lagi dengan riak wajah yang jelas terkejut. Lufia mengangguk.
“Aku dah banyak kali call Ad. Dia tak sambut. Bila aku call aunty Nia, aunty kata Adwa tak nak diganggu,” beritahunya.
“Wait. Kenapa Iz tak bincang dulu dengan Ad? Memang lah Ad tak terima kalau dia dan Wan dah jadi. Betul tak?” soal Rania sambil memandang Diana dan Lufia silih berganti.
“Aku tak faham dengan Iz tu. Kenapa terlalu nak paksa Ad?” soal Diana pula dengan kening berkerut. Lufia menarik nafas dalam.
“Semuanya salah aku. Aku sepatutnya tak sokong Iz nak dekat Ad semula. Aku silap. Aku ingatkan Ad masih sayangkan Iz. Dia dah banyak kali beritahu aku yang dia dah tak nak ada apa-apa hubungan dengan Iz. Tapi sebab aku bodoh. Masih anggap Ad still sayangkan Iz, aku marah bila dia terima cincin daripada Wan. Aku memang kawan tak guna,” katanya dengan perasaan bersalah.
“Apa maksud kau? Sokong Iz dekat dengan Ad?” soal Diana agak keliru.
“Aku beritahu Iz yang Ad memang sayang dengannya sejak berada di sekolah menengah lagi. Aku bagi semangat pada Iz untuk ambil hati Adwa semula. Aku just nak yang terbaik untuk Ad. Sejak dulu dia memang tak pernah lupakan Izdan. Aku tahu Ana. Semua lukisan Adwa adalah memorinya bersama Iz. Aku nampak semuanya,” balas Lufia.
“Maksud kau lukisan Adwa hari tu?” soal Rania pula. Lufia mengangguk. Bukan dia tidak perasan. Lukisan gadis itu adalah semua tempat yang dikunjunginya bersama Izdan. Dia sengaja tidak bertanya pada gadis itu. Pada masa itu Adwa seperti tidak sedar apa yang dilukisnya itu.
“Tapi hari tu Ad kata dia lukis apa yang terlintas aje,” kata Rania tidak puas hati.
“Kita memang tak tahu maksud di sebalik lukisan Adwa. Cuma Luf yang faham sebab dia membesar dengan Ad dan Iz,” celah Diana. Rania menarik nafas berat. Dia seperti tidak percaya. Lufia tunduk memandang jarinya.
“Sekarang kita perlu buat apa?” soalnya dengan nada perlahan. Dia kelihatan buntu.
“Aku nak gerak dulu. Aku perlu jumpa seseorang,” kata Diana sambil bangun lantas berlalu tanpa menunggu jawapan daripada rakan-rakannya. Rania dan Lufia hanya memandang gadis itu berlalu.
*****
“Wan,” panggil Diana apabila melihat lelaki itu termenung. Tengku Hadwan membalas pandangan Diana. Dia tersenyum hambar.
“Saya dah dengar pasal...,”
“Apa pendapat awak?” pintas Tengku Hadwan. Diana terdiam.
“Awak pun tentu tak tahu nak buat apa. Saya pun macam tu. Rasa macam ada pisau yang menikam dari belakang. Sakit namun tidak berdarah,” kata Tengku Hadwan sambil mengeluh perlahan.
“Awak masih ada peluang. Adwa masih belum jadi isteri Izdan,” balas Diana cuba memberi semangat. Tengku Hadwan tersenyum.
“Saya sayangkan Adwa. I love her. Saya serahkan segalanya pada ketentuan Allah,” balasnya. Dia bukan putus asa. Namun sekarang keputusan di tangan Adwa.
“Apa pun keputusan Adwa, saya hormatinya. Saya tak nak paksa Adwa. Dia berhak buat keputusan yang terbaik untuk hidupnya,” sambungnya. Diana lega dengan reaksi rakannya itu. Lelaki itu nampak tenang namun siapa tahu dalam hatinya.
*****
Genap seminggu Adwa akhirnya mengambil keputusan untuk kembali bekerja. Dia melangkah turun dari tingkat atas. Maria dan Tania agak terkejut melihat gadis itu. Maria tersenyum. Sudah seminggu gadis itu endah tak endah melayannya. Dia harap masa yang berlalu sudah menyejukkan hati Adwa.
“Ad gerak dulu ma,” balas Adwa sambil menghampiri meja makan.
“Tak nak sarapan dulu?” tanya Maria. Adwa menggeleng sambil tersenyum. Sejuk hati Maria melihat senyuman gadis itu. Adwa mengeluarkan sepucuk surat dari beg tangannya lantas meletakkan di depan Tania.
“Surat apa ni?” soal Tania dengan perasaan berdebar. Adwa tersenyum.
“Adwa dah terima. Ad pergi dulu,” balasnya sebelum berlalu. Tania memandang Maria. Maria memberi isyarat supaya Tania membaca isi surat tersebut. Perlahan Tania membuka sampul tersebut. Maria berdebar apabila Tania mula membaca isi surat itu.
“Ibu, Ad dapat tawaran belajar kat Berlin. Bidang lukisan,” beritahu Tania dengan perasaan sebak. Maria terkedu.