Home Novel Komedi/Romantik Komedi Beb, I Love You!
Bab 1


Nama aku Adwa Riana. Tahun ini umurku genap 18 tahun. Maknanya sudah masuk enam tahun aku tidak jumpa papa.

Adwa mengeluh. Jarinya masih lincah bergerak menaip sambil sesekali membetulkan cermin matanya.

Selepas bercerai dengan papa enam tahun yang lalu, mama mengambil keputusan untuk menghantar aku balik ke kampung dan tinggal bersama nenek. Sejak hari itu, aku tidak pernah lagi bertemu dengan papa. Aku ada juga menyimpan nombor papa. Namun panggilan aku tidak pernah bersambut. Mungkin papa sudah melupakan aku sama seperti dia lupakan mama.

“Hoi!” tegur satu suara dengan nada yang kuat. Adwa pantas menutup laptopnya tanpa sempat menyimpan apa yang ditaipnya sebentar tadi. Dia mendengus geram sambil berpaling memandang ke luar tingkap biliknya. Kelihatan Izdan yang sedang tersengih memandangnya dari luar tingkap.

“Tak tau nak bagi salam?” soalnya separuh memerli sambil bangun dari kerusi lantas bergerak menghampiri lelaki itu.

“Assalamualaikum Cik Adwa,” ucap Izdan masih dengan sengihannya.

Mamat ni aku hempuk karang baru tau.

Bebel Adwa dalam hati.

“Waalaikumsalam. Nak apa?” soalnya malas.

“Jom teman aku pergi sekolah,” ajak Izdan dengan senyuman. Terangkat kening Adwa memandang teman baiknya itu.

“Buat apa? Kalau teman kau pergi main bola keranjang tu, aku tak nak. Aku bosan,” balasnya jujur.

“Jom lah, tak best kalau kau tak ada. Aku beritahu Nek Mar ek,” kata Izdan sebelum berlalu pantas meninggalkan Adwa yang terkebil-kebil memandangnya.

“Aku malas!” jerit Adwa sambil menghentak kakinya tanda protes. Namun sayangnya Izdan tidak mendengarnya.

                                *****

Naik sahaja dalam bas, kelihatan hanya ada satu kerusi yang masih kosong. Adwa memandang Izdan. Izdan tersenyum sambil menolak tubuhnya perlahan untuk duduk.

“Tak apa, aku jaga kat sini,” katanya sambil berdiri di sebelah tempat duduk Adwa. Gadis itu hanya tersenyum sinis.

Nak ambil hati aku lah tu!

Marah Adwa dalam hati. Dia mengeluh perlahan.

Izdan Ariff nama yang diberi. Lelaki itu sudah menjadi temannya sejak dia sampai di kampung itu. Tahun ini genap enam tahun mereka berkawan. Sebenarnya lelaki itu tua setahun daripadanya. Dia selesa berkawan dengan Izdan. Lelaki itu seorang yang berfikiran terbuka, matang dan sering melindunginya. Kadangkala lelaki itu akan menjadi telinganya ketika dia memerlukan seseorang. Hampir saja tidak ada rahsia antara mereka. Izdan tinggal di sebelah rumahnya. Lelaki itu juga dihantar oleh ibu bapanya balik ke kampung semasa berusia 12 tahun. Semuanya disebabkan Izdan yang tidak sefahaman dengan abang sulungnya. Menurut cerita lelaki itu, mereka asyik bertengkar sehingga membuat mama dan papanya mengambil keputusan sedemikian. Izdan pernah memberitahunya yang dia tidak menyesal membesar di kampung itu. Macam mana pula dengan aku?

“Tak nak turun?” tegur Izdan. Lamunan Adwa terhenti. Dia bangun menurut langkah lelaki itu.

“Tu bukan Lufia ke?” soal Adwa apabila melihat kelibat seseorang yang sedang melambai ke arah mereka.

“Kau kata bosan tunggu aku. Aku call Lufia untuk teman kau. Baik tak aku?” soal Izdan dengan senyuman manis. Adwa menjeling tajam ke arah lelaki.

“Baik sangat,” balasnya sengaja menekan suaranya tanda masih tidak berpuas hati kerana terpaksa menemani lelaki itu. Adwa pantas berlalu menghampiri Lufia teman baiknya merangkap teman sekelasnya. Izdan hanya tersenyum memandang langkah gadis itu sebelum turut berlalu menghampiri rakan sekelasnya yang sedang bersiap untuk turun ke gelanggang.

                               *****

“Aku ada hadiah untuk kau,” kata Lufia dengan tangan kanannya sengaja disorokkan ke belakang. Dia seperti memegang sesuatu. Adwa yang baru sahaja duduk di sebelah gadis itu memandangnya dengan kening berkerut.

“Apa dia?” soalnya agak berdebar.

“Ni dia,” balas Lufia sambil menghulurkan sebuah majalah kepada gadis itu. Bulat mata Adwa memandang kumpulan penyanyi Korea kegemarannya yang terpampang pada muka depan majalah tersebut.

“Lufia!” jeritnya kuat sambil tangannya pantas menyambut huluran gadis itu. Lufia mengekek ketawa melihat gelagat gadis itu. Adwa memeluk erat majalah tersebut.

“Kau memang kawan aku yang paling baik kat dunia ni. Thank you,” ucapnya dengan perasaan sebak. Lufia memberi isyarat agar gadis itu memandang ke gelanggang. Adwa menurut dengan hairan. Kelihatan dari jauh Izdan sedang memandang ke arah mereka dengan tangan kanan yang terangkat menunjukkan isyarat untuk bertanya apa yang berlaku.

“Ishh, kuat sangat ke aku jerit tadi?” tanya Adwa sambil memandang Lufia. Gadis itu hanya tergelak kecil. Lufia mengangkat tangan sambil menunjukkan ibu jarinya tanda semuanya baik sahaja. Izdan mengangguk sambil kembali bermain semula.

“Mamat ni memang nak kena dengan aku,” dengus Adwa yang geram dengan telatah lelaki itu. Lufia berdehem perlahan.

“Aku rasa Iz tu suka kat kau lah Wa,” komennya separuh mengusik.

“Hah, dah mula dah,” bulat mata Adwa memandang gadis itu. Lufia tergelak besar.

“Aku gurau aje. Tu pun nak emosi. Aku tahu kau dan Iz tu bff. Sangat…,” balasnya masih mahu mengusik.

“Nak kena sekeh?” soal Adwa mula naik angin. Lufia pantas menyentuh kepalanya.

Okay, aku diam. So, kau dah dengar ke lagu baru BTS tu?” soalnya cepat-cepat mengubah tajuk. Takut dia kalau gadis itu benar-benar menyekeh kepalanya. Adwa seorang yang sukar dijangka. Walaupun dia sudah lama mengenal gadis itu, namun dia masih ada masalah untuk menjangkakan tingkah laku Adwa. Pendek kata, baginya Adwa agak misteri.

“Belum lagi. Malam ni aku dengar lah. Ni mamat seorang ni sibuk sangat bawa aku kat sini,” jawab Adwa sambil mendengus perlahan.

Best gila. Hujung tahun ni aku ingat nak ke Korea. Nak jumpa calon suami aku,” kata Lufia dengan senyuman lebar.

“Aku pun,” balas Adwa ikut tersenyum. Kedua-duanya tergelak besar.

                                 *****

“Adwa,” tegur Izdan yang sedang berjalan menghampiri. Adwa yang tekun mendengar lagu dari laptopnya hanya memandang sekilas ke arah lelaki itu.

“Buat apa?’ soal Izdan sambil menarik kerusi di hadapan gadis itu.

“Aku tengah memancing ni,” balas Adwa selamba. Geram dia dengan lelaki itu yang asyik mahu berkepit dengannya sejak akhir-akhir ini. Sepanjang mengenali Izdan, dia hanya akan berkelakuan sedemikian apabila menginginkan sesuatu daripadanya.

Tapi apa?

Terangkat kening Adwa memandang lelaki itu. Lagaknya seperti seorang detektif yang cuba menyelesaikan masalah.

“Apa?” tanya Izdan dengan senyumannya. Adwa menggelengkan kepala.

“Kau nak tanya pasal pelajar baru kat kelas aku kan?” tekanya. Berkerut kening Izdan membalas pandangan gadis itu.

“Apa kau merepek ni?” soalnya agak keliru.

“Kau jangan nak berdalih lah Iz. Kau nak tanya pasal budak bandar tu kan? Sebab tu kau asyik nak berkepit dengan aku? Betul tak?” teka Adwa lagi. Izdan tergelak kecil. Dia menarik nafas dalam sebelum mengalihkan pandangannya ke arah langit yang gelap. Tidak banyak bintang kelihatan pada malam itu. Berkerut kening Adwa melihat telatah lelaki itu.

“Macam mana kau tau?” soal Izdan tanpa memandang gadis itu. Pandangannya masih tertumpu ke arah langit. Adwa tergelak kecil. Dia turut memandang langit.

“Aku dah lama kenal kau Iz. Aku tahu lah,” balasnya dengan senyuman. Izdan beralih memandang wajah gadis itu.

“Betul ke kau kenal aku?” soalnya separuh mengusik.

“Aku tahu. Perempuan macam Balqish tu memang taste kau,” jawab Adwa dengan penuh yakin.

“Oh, nama orang tu Balqish,” kata Izdan sambil mengangguk perlahan. Senyumannya lebar. Terangkat kening Adwa memandang lelaki itu. Ada perasaan kurang senang melihat reaksi Izdan.

“Aku balik dulu. Kau jangan duduk lama sangat kat luar ni. Nanti aku juga yang susah kalau kau demam,” pesan Izdan sebelum berlalu pulang.

“Amboi sedapnya mulut. Aku tak pernah suruh pun dia jaga aku. Sendiri sibuk nak jaga aku kalau aku sakit. Risaunya mengalahkan nenek,” perli Adwa namun Izdan tidak mendengarnya kerana sudah jauh meninggalkan tempatnya. Adwa mendengus perlahan. Dia mula mengemas buku-bukunya yang tidak disentuh pun sedari tadi.

                                   *****

“Sayang apa khabar?” tanya Tania. Adwa tersenyum. Dia baru sahaja hendak terlelap sebentar tadi apabila tiba-tiba telefonnya berdering.

“Adwa sihat aje. Mama? Mama baru balik ke?” soalnya kembali. Tania mengangguk.

“Mama sihat. Maafkan mama. Mama sibuk sangat sampai selalu tak sempat nak call Adwa,” ucapnya dengan perasaan bersalah. Adwa menggeleng.

“Adwa faham,” balasnya dengan senyuman. Dia tidak pernah menyalahkan wanita itu. Tania bekerja keras demi dirinya.

“Mama jumpa papa tadi. Dia dah tukar nombor. Papa ada bagi nombor barunya pada mama. Nanti mama mesej dengan Adwa,” beritahu Tania. Adwa terdiam mendengar kata-kata wanita itu.

“Sayang,” panggil Tania lembut.

“Adwa tak perlukannya,” balas Adwa perlahan. Giliran Tania pula yang terdiam.

“Mama, Adwa nak tidur,” sambung Adwa. Tania akhirnya mengangguk.

“Selamat malam, sayang,” ucapnya.

“Selamat malam,” ucap Adwa sebelum menutup telefonnya. Dia mengeluh berat. Papanya menukar nombor tanpa memberitahunya. Nampak sangat papanya itu telah membuangnya sejak dia dan mamanya keluar dari rumah mereka.


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.