Izdan menarik lembut lengan Adwa untuk menjauh dari orang ramai.
“Nak apa?” soal Adwa kasar sambil menarik lengannya.
“Adwa,” panggil Izdan apabila gadis itu mahu melangkah berlalu setelah dia melepaskan pegangannya. Langkah Adwa terhenti namun tidak pula dia mahu menoleh memandang lelaki itu.
“Adwa sihat?” soal Izdan dengan perasaan sayu. Jujur dia sangat rindukan gadis itu. Adwa berpaling memandang lelaki itu. Wajahnya serius tanpa senyuman.
“Aku masih hidup dengan baik. Kau tu tak perlu risaukan aku. Iz, aku dah ingatkan kau. Aku tak nak jumpa kau lagi. Kau faham tak?” soalnya dengan perasaan geram.
“Iz tak mampu ikut kemahuan Adwa tu. Iz tak boleh hidup tanpa Adwa,” jawab Izdan kini dengan riak wajah yang serius. Adwa terkedu.
“Iz tak nak kehilangan Adwa lagi,” sambung Izdan. Adwa menggeleng sambil tersenyum sinis.
“Kau jangan nak buat drama kat sini. Aku penat lah. Sejak kau muncul semula, hidup aku tak tenang!” balasnya dengan nada keras sebelum berlalu meninggalkan lelaki itu. Izdan mengeluh perlahan. Dia perlu buat apa lagi supaya Adwa boleh menerimanya kembali? Harapannya untuk menjadi teman baik gadis itu seperti dulu semakin nipis. Mungkin juga dia akan kehilangan peluang itu jika sikap Adwa yang berterusan menolaknya. Izdan meraup wajahnya.
*****
Tengku Hadwan hanya melihat dari jauh Izdan dan Adwa yang sedang berbual dengan riak wajah serius. Telahannya benar. Kedua-dua insan itu saling mengenali.
“Wan,” tegur seseorang. Tengku Hadwan tidak menoleh. Dia kenal sangat dengan suara orang yang menegurnya itu.
“Apa khabar?” soal Nadia dengan senyuman. Dia sudah berdiri di sisi lelaki itu.
“I’m fine,” jawab Tengku Hadwan pendek.
“You masih marah kat I?” tanya Nadia dengan perasaan bersalah.
“No,” balas Tengku Hadwan sambil membalas pandangan gadis itu.
“I dah lupakan You. Buat apa I nak marah lagi? Buang masa,” sambungnya lagi. Nadia menarik nafas dalam. Lelaki itu berhak untuk marah. Dia yang tinggalkan Tengku Hadwan.
“You marah lah. I tak kisah. Tapi jangan lama sangat. I rindu you,” ucapnya tanpa perasaan malu. Tengku Hadwan tersenyum sinis. Pandangannya bertembung dengan pandangan Adwa yang sedang berjalan melepasinya.
“Maaf, tapi I dah ada orang lain. I nasihatkan you supaya cari lah orang lain yang you boleh sayang lalu tinggalkan. I dah serik dengan you,” balasnya sinis sebelum berlalu mengekori langkah Adwa. Nadia terkedu dengan sindiran lelaki itu. Dia hanya memandang langkah Tengku Hadwan yang laju mengejar seseorang.
Siapa gadis tu?
*****
Izdan menarik kerusi lantas duduk.
“Iz, Ad perlukan masa,” kata Diana yang kebetulan duduk di hadapan Izdan. Sedari tadi Diana memang memerhatikan tingkah laku kedua-duanya dari jauh.
“Ad masih terkesan dengan apa yang berlaku. Aku tahu dia dah maafkan kau. Cuma untuk terima kau macam dulu, tak mudah bagi Adwa,” sambung Diana. Izdan tersenyum hambar.
“Aku dah banyak buat silap pada Adwa,” balasnya dengan nada perlahan. Diana menarik nafas dalam. Dia turut simpati pada lelaki itu.
“Aku ada jumpa Qish kat Istanbul hari tu. Aku rasa ada yang tak selesai lagi antara korang. Aku tak berniat nak masuk campur Iz. Tapi aku rasa kau perlu selesaikan dulu masalah kau dan Qish. Aku tak nak Adwa semakin terluka sebab ada benda yang tak selesai,” kata Diana separuh menasihati.
“Thank you Ana. Aku lega bila Adwa dapat kawan yang memahami. Sekurang-kurangnya aku tak risau sangat,” balas Izdan. Diana mengangguk dengan senyuman.
*****
“Awak nak pergi mana?” soal Tengku Hadwan apabila melihat gadis itu menuju ke arah pagar utama untuk keluar dari kawasan rumah Gina. Adwa mendengus perlahan. Dia berhenti melangkah lantas berpaling memandang lelaki itu.
“Nak apa?” soalnya kasar. Tengku Hadwan masih tenang memandang gadis itu.
“Siapa yang buat awak marah sangat ni?” soalnya dengan nada lembut. Adwa tersenyum sinis.
“Tak ada kaitan dengan awak. Lagi satu, saya sangat tak suka orang yang sibuk nak tahu pasal hidup saya. Macam awak sekarang!” balasnya dengan nada keras sebelum menyambung langkahnya. Tanpa mempedulikan amaran gadis itu, Tengku Hadwan masih setia mengikut langkahnya dari belakang. Sampai di hadapan pagar rumahnya, Adwa berhenti melangkah semula.
“Awak nak apa?” soalnya sambil berpaling memandang lelaki itu semula.
“Rumah awak?” soal Tengku Hadwan tanpa mempedulikan pandangan tajam gadis itu. Dia memandang sekeliling. Rupanya Gina dan Adwa cuma berjiran. Mengapa dia tidak pernah sedar akan kewujudan gadis itu? Dulu dia sering bertandang ke rumah Gina. Semuanya disebabkan mahu mendekati Nadia yang pada masa itu sering berkepit dengan Gina. Adwa mendengus geram. Dia membuka pintu pagar lalu menguncinya semula. Tengku Hadwan yang masih berdiri di luar pagar hanya tersenyum memandangnya.
“Jumpa lagi,” katanya dengan harapan. Adwa yang sudah jauh memasuki halaman rumah tidak sempat mendengar kata-kata lelaki itu. Tengku Hadwan mula melangkah untuk berlalu. Dia lega kerana sudah tahu di mana dia boleh mencari gadis itu.
*****
“Diana buat apa kat sana?” soal Lufia sambil mencapai cawan di atas meja. Dia masih mamai semasa mendapat panggilan daripada Adwa.
“Ana tu kan rapat dengan Hadwan,” jawab Adwa dengan nada perlahan.
“Kenapa ni? Kau okay ke? Diana mana?” soal Lufia mula tidak sedap hati apabila mendengar nada suara gadis itu.
“Aku dah balik rumah. Iz ada kat sana,” beritahu Adwa.
“Iz? Buat apa? Tak, maksud aku, apa kaitan?” soal Lufia yang jelas terkejut.
“Rupanya dia tu sepupu Hadwan,” jawab Adwa.
“Kecilnya dunia ni,” keluh Lufia. Adwa diam tidak membalas. Sebenarnya dia masih terkejut dengan kehadiran Izdan. Dia cuba sedaya upaya untuk mengelak. Namun takdir sering mempertemukan mereka.
“So, Iz kata apa?” soal Lufia lagi.
“Aku malas lah nak cakap pasal lelaki tu. Esok aku dah mula kerja dengan mama. Kau datang lah lawat aku kat galeri,” balas Adwa separuh meminta.
“Asyik aku aje nak lawat dia. Yelah, nak aku bawa Ana dan Nia?” rungutnya separuh menyoal.
“Kau seorang aje lah. Kau bukan tak tahu Nia tu mesti berkepit dengan Ray. Ana pula sibuk dengan kameranya,” balas Adwa.
“Okay. Jumpa esok,” kata Lufia sebelum mengucap salam. Adwa menjawab salam dalam hati.
*****
“Kenapa Wan masih nak layan Nadia tadi?” soal Tengku Jasmine yang jelas tidak puas hati. Tengku Hadwan yang baru turun dari tingkat atas tidak jadi melangkah ke dapur. Dia menyertai kedua ibu bapanya yang duduk di ruang tamu.
“Tak sabar betul Min ni,” tegur Tengku Kamal. Tengku Hadwan mengambil tempat di sisi ayahnya.
“Wan dengar tak ibu tanya ni?” soal Tengku Jasmine semula tanpa mengendahkan teguran suaminya.
“Nadia tanya khabar aje. Kami dah tak ada apa-apa. Ibu jangan risau,” jawabnya dengan senyuman. Riak wajahnya kelihatan tenang.
“Min tu yang lebih. Tak ada salahnya kalau berkawan aje,” celah Tengku Kamal.
“Berkawan? No, ibu tak setuju. Wan cari lah orang lain tapi bukan budak perempuan tu. Anak kawan aunty Garia tu pun lawa. Siapa nama anak Tania tu bang?” tanya Tengku Jasmine kini dengan senyuman. Tengku Kamal menggeleng perlahan. Dia menoleh memandang Tengku Hadwan. Lelaki itu hanya tersenyum.
“Tak silap abang, Adwa kot. Kenapa? Nak buat calon menantu? Min jangan nak buat hal. Tanya tuan punya badan dulu,” balas Tengku Kamal. Tengku Jasmine tergelak kecil.
“Tak lah sampai ke situ. Adwa tu cantik orangnya. Sopan pula tu. Mustahil tak ada teman lelaki,” balasnya separuh meneka.
“Apa kata ibu dan ayah lawat keluarga Adwa,” celah Tengku Hadwan setelah agak lama mendiamkan diri. Tengku Jasmine dan Tengku kamal saling berpandangan.
“Anak awak dah bagi lampu hijau tu,” kata Tengku Kamal dengan senyuman.
“Are you sure?” soal Tengku Jasmine sambil memandang tepat wajah anak lelakinya itu. Tengku Hadwan tersenyum mengangguk sambil bangun dari sofa.
“Wan setuju kali ni sebab orang tu Adwa,” katanya sebelum berlalu. Tengku Jasmine tersenyum lebar memandang suaminya.
“Puas hati?” soal Tengku Kamal separuh mengusik.
“Mesti lah Min gembira. Adwa tu dah beri sinar baru dalam hidup Wan. Min boleh nampak wajah gembira Wan setiap kali pandang Adwa,” balas Tengku Jasmine. Tengku Kamal mengangguk setuju dengan kata-kata isterinya itu.
*****
Balqish memandang Fuadzi dengan riak wajah yang jelas terkejut.
“Sejak bila?” soalnya masih tidak percaya dengan apa yang keluar dari mulut lelaki itu.
“Sejak empat tahun yang lalu. Tapi masa tu saya tak yakin lagi. Sebab saya tahu Iz juga sayangkan Adwa,” jawab Fuadzi. Balqish menggeleng.
“Awak tak patut. Kenapa? Kenapa mesti Adwa?” soalnya tidak puas hati. Dia bukannya cemburu yang lelaki itu turut ada hati pada Adwa. Cuma dia tiba-tiba rasa kasihan pada Izdan. Dia dapat bayangkan perasaan lelaki itu jika tahu mengenai perasaan Fuadzi.
“Saya tak boleh halang perasaan ni Qish. Saya bukannya tak pernah cuba untuk buang perasaan ni,” balas Fuadzi. Dia juga rasa bersalah pada Izdan. Namun Dia sendiri tidak mampu mengawal perasaannya.
“Kalau Iz tahu?” soal Balqish.
“Memang saya nak beritahu dia. Tapi saya kena cari masa yang sesuai,” balas Fuadzi.
“Awak tak patut beritahu dia. Awak sendiri tahu yang Iz sayang sangat pada Adwa,” halang Balqish. Fuadzi memandang gadis itu dengan perasaan kurang percaya.
“Macam mana pula dengan awak? Perasaan awak pada Iz?” soalnya ingin tahu. Balqish mengeluh perlahan.
“Jujur saya masih sayangkan dia. Saya tak pernah lupakan dia. Awak sendiri tahu yang saya rapat dengan awak pun sebab Iz. Sekarang ni, saya dah mula give up. Saya akan cuba lupakan Iz,” balas Balqish dengan senyuman hambar. Fuadzi terdiam mendengar kata-kata gadis itu.
“Awak jangan salah faham. Saya sayang awak dan Iz. Saya tak nak sebab Adwa, kamu berdua pula yang bergaduh. Sebagai kawan, saya nak awak fikirkan semula perasaan awak tu. Awak masih sempat mengalah,” sambung Balqish separuh menasihati. Fuadzi mengeluh.
“Awak tak akan faham Qish,” katanya dengan riak wajah kecewa. Balqish hanya memandang wajah lelaki itu tanpa berkata apa-apa lagi.
Awak silap Fuad. Saya sangat faham rasa kecewa tu apabila tak mampu bersama dengan orang yang kita sayang.
*****
Lufia mengambil tempat di hadapan Adwa dan Diana.
“Kau pun ada? Ingatkan bila dah kahwin dengan kamera langsung lupakan kami,” usiknya apabila melihat Diana sedang membelek kameranya.
“Sampai hati tak ajak aku lepak. Nasib baik semalam aku call kau,” rungut Diana.
“Kau kan sibuk. Saja tak nak kacau kau,” celah Adwa.
“Aku risaukan kau. Petang tu kau tiba-tiba aje hilang. Aku minta maaf sebab aku pun langsung tak tahu Iz ada masa tu,” ucap Diana yang masih rasa bersalah dengan apa yang berlaku.
“Kau patut minta maaf kat aku sebab tak ajak aku hari tu,” celah Lufia sambil memandang menu di hadapannya. Adwa dan Diana serentak tergelak.
“Bukan tak ajak, tapi aku sendiri pun dijemput. Si Gina tu jemput orang yang dia kenal aje. Nasib baik Wan tu kenal aku. Aku lagi tak sangka yang Adwa ada masa tu. Rupanya dia berjiran dengan Gina,” balas Diana.
“Aku tak rapat sangat dengan Gina. Nenek aku yang rapat dengan mama Gina,” jawab Adwa.
“Kau masih marahkan aku?” soal Diana. Adwa menggeleng.
“Tak ada sebab aku nak marahkan kau,” balasnya.
“Luf, kau nak tahu tak? Wan tu dah mula tertarik dengan Adwa,” beritahu Diana separuh mengusik. Bulat mata Adwa memandang gadis itu.
“Alah, melepas lah aku,” balas Lufia dengan kening berkerut.
“Jangan nak mengarut lah!” marah Adwa. Lufia dan Diana sudah tergelak besar.
“Jangan nak fitnah aku,” sambung Adwa sambil memandang serius ke arah Diana.
“Kalau betul apa salahnya. Betul tak Luf?” usik Diana lagi. Adwa menepuk kuat bahu gadis itu. Lufia hanya tersenyum memandang Adwa.
“Tak ada salahnya Adwa,” katanya. Adwa hanya terdiam mendengar kata-kata gadis itu. Dia mengeluh perlahan.
*****
Tengku Jasmine leka memandang satu persatu gambar yang dipaparkan dalam galeri itu.
“Jasmine?” tegur seseorang Dia berpaling menoleh. Tania tidak jadi keluar makan tengah hari apabila melihat wanita itu. Dia kenal dengan Tengku Jasmine semasa majlis Gina. Wanita itu yang menegurnya dulu. Memang orangnya mesra dan sangat peramah.
“Nia,” jawab Tengku Jasmine dengan riak wajah gembira. Memang tujuannya ke galeri Miracle hanya untuk bertemu dengan wanita itu.
“Apa khabar?” soal Tania.
“Alhamdullillah. Nak makan tengah hari? Saya nak ikut boleh?” soal Tengku Jasmine separuh meminta. Tania tergelak kecil.
“Tak ada masalah. Saya pun makan seorang. Anak saya keluar dengan kawan. Jom lah,” ajaknya. Dia memang tidak menyangka yang wanita itu mengunjungi galerinya.
“Okay,” balas Tengku Jasmine dengan gembira. Kedua-duanya melangkah keluar dari galeri.
*****
Adwa memandang skrin iklan yang memaparkan Tengku Hadwan sedang memperagakan beberapa pakaian buatan pereka fesyen terkenal. Lelaki itu kelihatan segak dalam sut hitamnya.
“Tak bawa kereta?” tegur seseorang. Adwa yang terkejut menoleh ke arah lelaki yang sedang berdiri di sisinya. Izdan tersenyum membalas pandangannya. Lelaki itu kelihatan seperti baru balik dari bersukan. Adwa tidak menjawab pertanyaan Izdan.
Kecil sangat dunia ni.
Memang Adwa sengaja tidak membawa keretanya apabila keluar makan tengah hari. Dia lebih suka menaiki bas. Izdan ingin bertanya lagi namun tidak sempat apabila tiba-tiba bas berhenti di hadapan mereka. Adwa pantas naik tanpa mempedulikan lelaki itu. Izdan menurut langkah gadis itu. Dia mengambil kerusi di bahagian belakang. Adwa lega apabila Izdan tidak duduk dengannya. Sejak balik dari Istanbul dia sering terserempak dengan lelaki itu. Jujur dia tidak selesa. Izdan duduk bersandar sambil pandangannya tidak lepas dari memandang Adwa. Hari ini dia bernasib baik lagi. Dia bersyukur kerana tidak membawa keretanya pada hari ini. Izdan sangat berterima kasih pada Razi yang mempelawanya untuk datang ke gimnasium yang baru dibukanya. Jika dia tidak menurut permintaan kawan baiknya itu, sudah tentu dia tidak bertemu dengan Adwa pada hari ini. Izdan tersenyum.
Adwa, aku akan sabar menunggu sampai tiba saatnya kau boleh terima aku semula.