“Lufia marah sangat dengan aku tadi,” beritahu Izdan sambil mencapai buah epal yang ada di atas meja.
“Aku macam nak cili aje mulut Razi tu. Celupar mengalahkan perempuan,” rungut Adwa pula. Izdan tergelak kecil.
“Razi tu tak sengaja. Ni aku nak beritahu. Sebenarnya Razi tu ada hati dengan kau. Macam mana? Kau okay tak?” soal Izdan separuh bergurau. Terangkat kening Adwa membalas pandangan lelaki itu.
“Razi tu okay. Cuma celupar aje. Kenapa dia tak beritahu aku sendiri? Kenapa kau pula yang beritahu aku?” soalnya sambil turut mencapai buah epal yang dihidangkan oleh Maria sebentar tadi. Izdan berdehem perlahan.
“Kalau dia sendiri yang beritahu kau, kau nak jawab apa pula?” soalnya lagi dengan perasaan berdebar.
“Aku terima aje. Dah orang suka. Takkan aku nak tolak pula,” jawab Adwa selamba. Berkerut kening Izdan memandang gadis itu.
“Kau serius?” soalnya dengan riak wajah tidak puas hati. Adwa ketawa terbahak.
“Kau jangan bergurau pasal perasaan Ad,” balas Izdan kini dengan riak wajah yang serius.
“Kau dah jadi doktor cinta sejak bercinta dengan Qish,” kata Adwa separuh memerli.
“Bukan macam tu. Aku cuma nak kau serius. Kalau suka cakap suka. Tak suka jangan cuba nak beri harapan. Kasihan orang tu,” balas Izdan separuh menasihati.
“Sekejap. Kau jangan seirus sangat boleh tak? Kau tak beritahu aku pun memang aku dah tahu. Yes, aku dah lama tahu Razi ada hati kat aku. Cuma aku sengaja tak layan sebab aku tak boleh balas perasaan tu. Kau ingat aku ni jahat sangat? Sejahat-jahat aku, tak pernah lagi aku mainkan perasaan orang tau,” kata Adwa tenang membalas pandangan lelaki itu.
“Sorry,” ucap Izdan dengan perasaan bersalah. Separuh dirinya merasa lega apabila mendengar kata-kata gadis itu.
“For what?” soal Adwa dengan kening terangkat. Izdan terdiam mendengar soalan gadis itu.
“Aku dah penat cerita pasal kawan baik kau tu. Nak masuk dalam dulu. Selamat malam,” ucap Adwa sambil bangun dari kerusinya. Izdan hanya memandang langkah gadis itu. Dia mengeluh.
Sorry Ad. Aku sebenarnya geram dengan diri sendiri.
*****
“Petang esok mama sampai kat sana. Nak balik sebelah pagi tapi ada meeting pula. Adwa dah kemas apa yang patut?” soal Tania.
“Nak kemas apa? Barang Adwa bukannya banyak sangat. Mama balik seorang? Risau pula Adwa,” jawab Adwa dengan kening berkerut.
“Adwa tak payah risau. Mama dah biasa pandu kereta seorang diri bila balik kampung. Nenek dah tidur?” soal Tania.
“Agaknya. Tadi masa berbual dengan Iz, nenek kata dia nak tidur dulu,” balas Adwa sambil menguap perlahan.
“Iz? Izdan?” soal Tania lagi. Adwa tergelak kecil.
“Mama dah lupa Iz ke?” soalnya tanpa menjawab.
“Mama ingat. Budak lelaki yang langsung tak nak berenggang dengan anak mama ni. Betul tak?” usik Tania sambil tergelak. Adwa ikut tergelak.
“Tu dulu lah mama. Sekarang dia dah ada girlfriend. So, aman sikit lah hidup Adwa,” balasnya dengan senyuman pahit.
“Sejak bila? Adwa pula bila lagi?” soal Tania bertalu.
“Baru aje. Bila apa?” soal Adwa pula yang keliru dengan soalan wanita itu.
“Bila nak buka hati tu untuk terima seseorang? Tak semua lelaki kat dunia ni sama seperti…,”
“Ma, please. Adwa nak tidur. Esok nak bangun awal. Sebelum gerak, mama jangan lupa call Adwa tau. Good night ma. Love you,” ucap Adwa sebelum menekan punat merah.
“Love you too sayang,” balas Tania perlahan. Dia tahu perpisahannya dengan Uqash memberi kesan yang mendalam pada Adwa. Cuma Adwa saja yang tidak pernah menyuarakan apa-apa padanya.
*****
“Untuk awak,” kata Izdan sambil menghulurkan kotak yang berisi kek coklat kepada Balqish.
“Thank you,” ucap Balqish dengan senyuman lebar. Adwa yang duduk berdepan dengan kedua-duanya mula tidak keruan.
“Kami tak ada ke?” soal Lufia yang duduk di sebelah Adwa. Sempat dia menjeling gadis itu.
“Sorry,yang ni istimewa hanya untuk Qish,” balas Izdan dengan senyuman sambil memandang Adwa yang kelihatan khusyuk dengan buku di tangannya.
“Tak apa. Kita kongsi,” celah Balqish sambil mula membuka kotak tersebut. Adwa menarik nafas panjang. Dia menutup buku di tangannya.
“Kau nak pergi mana?” soal Lufia apabila melihat gadis itu mula berdiri.
“Aku nak pergi tandas. Kau nak ikut?” soal Adwa tanpa senyuman.
“No, cepat sikit. Kejap lagi kelas nak mula,” pesan Lufia. Adwa hanya mengangguk sebelum berlalu.
***
Agak lama Adwa merenung wajahnya pada cermin. Dia mengeluh.
Kau dah kenapa Adwa? Kenapa?!
Adwa mengeluh lagi sambil meraup wajahnya.
“Lambat betul kau kat dalam ni. Ingatkan nak tidur kat sini terus,” usik Lufia yang baru saja melangkah masuk. Dia berdiri di sebelah Adwa sambil turut memandang ke arah cermin.
“Aku baru hilang sekejap kau dah cari aku. Macam mana kau nak teruskan hidup tanpa aku?” soal Adwa separuh bergurau. Lufia menepuk bahu gadis itu.
“Tak payah lah sebut,” balasnya dengan kening berkerut. Adwa tergelak kecil.
“Jom,” ajaknya sambil mula melangkah. Lufia hanya menurut tanpa membantah.
“Adwa,” panggilnya selepas mereka keluar dari tandas. Adwa berhenti melangkah lalu berpaling memandang gadis itu.
“Kau…, tak nak beritahu Iz?” soal Lufia agak ragu-ragu.
“Dia memang dah tahu aku nak pindah,” balas Adwa.
“Bukan lah. Ni pasal perasaan kau,” kata Lufia dengan wajah serius.
“Luf, boleh tak kita tak cakap pasal hal ni? Dah berapa kali aku ulang. Aku dan Iz hanya kawan. Tak lebih dari tu. Kau dah kenapa? Kita bertiga membesar sama-sama. Kau masih tak kenal aku? Tak kenal Iz?” soal Adwa sambil mendengus perlahan. Dia menyambung langkahnya semula.
“Aku tanya sebab aku kenal kau dan Iz. Aku tak bodoh lah Ad,” balas Lufia separuh menjerit. Adwa hanya menggeleng. Dia tetap melangkah tanpa menoleh ke arah gadis itu. Lufia mengeluh.
Degil betul minah ni.
*****
Lufia menarik kerusi di sebelah gadis itu.
“Kau marah aku?” soalnya sambil memandang Adwa yang sedang leka merenung ke luar tingkap kelas.
“Buat apa aku nak marah. Tak ada maknanya,” balas Adwa tanpa memandang Lufia.
“Aku sayang kau Ad. Aku sayang Iz juga. Aku cuma…,”
“Ya, aku faham. Kau pun dah boleh berhenti cakap pasal hal ni,” pintas Adwa kini memandang tepat wajah gadis itu.
“Baik lah cik Adwa. Saya menurut perintah,” balas Lufia yang akhirnya mengalah. Adwa tersenyum.
“Tapi aku nak ingatkan kau. Aku serius ni. Jangan menyesal pula,” nasihat Lufia dengan riak wajah yang serius.
“Tak habis lagi?” soal Adwa dengan kening berkerut. Lufia tergelak besar.
“Aku pun nak ingatkan kau juga. Jangan sesekali lagi sebut pasal hal ni. Kalau tak, aku tak akan jumpa kau lagi,” kata Adwa separuh mengugut.
“Dia ni memang jahat. Sampai nak ugut aku,” rungut Lufia dengan kening berkerut. Adwa tergelak kecil sambil memeluk bahu gadis itu.
“Aku sayang kau,”ucapnya. Lufia ikut tergelak.
*****
“Iz apa khabar?” soal Tania sambil memandang tepat ke arah pemuda yang duduk di depannya itu.
“Saya sihat aunty. Aunty pula? Dah lama tak jumpa aunty,” balas Izdan separuh menyoal.
“Alhamdullillah Iz. Busy sangat. Syarikat aunty baru aje buka galeri baru. Memang aunty tak ada masa nak balik kampung. Tu lah sebabnya aunty nak Adwa pindah kat KL,” balas Tania dengan senyuman sambil memandang Adwa yang hanya membisu sedari tadi.
“Sesuai sangat tu aunty. Iz pun dah penat jaga budak seorang ni. Susah nak jaga. Sangat cerewet,” balas Izdan separuh bergurau sambil memandang Adwa. Adwa hanya menjeling lelaki itu. Tania tergelak kecil.
“Terima kasih Iz sebab dah tolong aunty jaga nenek dan Adwa. Nanti kalau Iz datang KL, jangan lupa singgah rumah aunty pula,” katanya.
“Insya Allah aunty,” jawab Izdan dengan senyuman.
“Adwa dah kemas barang? Ada yang Iz boleh tolong?” soalnya. Dalam diam dia agak risau melihat gadis itu hanya mendiamkan diri.
“Kau pun sama macam Luf. Asyik nak tanya aku aje,” jawab Adwa tanpa senyuman. Izdan tergelak kecil. Lega dia mendengar suara gadis itu.
“Mulut tu,” tegur Tania sambil menjeling Adwa.
“Apa?” soal Adwa sambil tersenyum memandang wanita itu.
“Dia memang suka buli saya. Tak apa aunty, saya dah biasa,” celah Izdan sambil menunjukkan riak wajahnya yang sedih.
“Amboi, dah pandai nak buat laporan,” balas Adwa dengan kening berkerut. Izdan tergelak kecil. Tania hanya tersenyum menggeleng melihat telatah kedua-duanya.
*****
“Ibu nak tanya ni. Uqash ada call Nia?” soal Maria sambil memandang tepat wajah Tania yang duduk di hadapannya. Selepas Adwa masuk ke dalam biliknya, dia terus memanggil Tania untuk menyertainya di ruang tamu.
“Tak ada. Dia dah kahwin lain. Mana nak ingat Adwa lagi,” jawab Tania dengan nada perlahan.
“Kamu dah beritahu Adwa ke pasal tu?” soal Maria lagi. Tania menggeleng.
“Tak sanggup nak beritahu. Mesti Adwa akan kecewa,” balas Tania dengan senyuman hambar.
“Lambat laun Adwa akan tahu juga. Nia kena cari cara untuk baiki hubungan dengan Uqash semula. Ingat, Adwa tu perempuan. Dia perlukan papanya suatu hari nanti. Nia tak boleh terus berdendam dengan Uqash. Ibu tak sebelah mana-mana pihak. Ibu cuma fikirkan masa depan Adwa,” kata Maria separuh menasihati. Tania terdiam mendengar kata-kata wanita itu.
“Ibu tahu kamu masih terluka dengan apa yang berlaku. Enam tahun dah berlalu. Ibu harap Nia dah boleh mulakan hidup baru dengan Adwa. Nia masih ada Adwa dan ibu,” sambung Maria dengan senyuman. Tania menganggukkan kepalanya.
“Terima kasih ibu. Ibu jangan risau. Nia tak simpan dendam pada Uqash,” balasnya dengan perasaan sebak. Tanpa Maria mungkin dia sudah jatuh tersungkur mengenang nasib yang ditinggalkan suami. Selepas bercerai dengan Uqash, hanya wanita itu tempatnya mengaduh. Wanita itu juga yang menjadi pembakar semangatnya untuk meneruskan minat dalam bidang lukisan. Berkat doa Maria, akhirnya dia berjaya mencapai impiannya untuk memiliki galeri sendiri. Tania bangun dari sofa dan duduk di sisi wanita itu. Dia memeluk Maria.
“Terima kasih untuk segalanya ibu,” ucapnya sekali lagi. Maria tersenyum sambil membalas pelukan wanita itu.
*****
“Aku dengar esok Adwa dah nak pindah?” tanya Razi sambil memandang Izdan yang sedang duduk di kerusinya. Sejak masuk ke dalam kelas, lelaki itu hanya diam membisu. Wajahnya resah seperti ada sesuatu yang mengganggu.
“Kau okay ke ni?” tanya Razi lagi.
“Aku okay,” balas Izdan dengan suara perlahan tanpa memandang wajah sahabatnya itu.
“Betul ke Adwa nak pindah esok?” soal Razi sekali lagi. Izdan hanya mengangguk.
“Cepat sangat masa berlalu. Tak sedar Adwa akan tinggalkan kita,” balas Razi sambil mengeluh perlahan. Dia juga agak terkesan dengan pemergian gadis itu. Walaupun agak kasar namun gadis yang periang itu sentiasa menceriakan suasana mereka.
“Kau jangan lah cakap macam tu. Adwa tu pindah KL aje. Kau buat aku takut pula,” tegur Izdan dengan kening berkerut. Razi tergelak kecil.
“Sorry,” ucapnya.
“Malam ni adalah malam terakhir kau akan jumpa Adwa. Lepas ni tak tahu lagi bila kau ada peluang nak jumpa dia. Kau tak nak beritahu dia?” soal Razi.
“Tolong lah Razi. Aku tak nak isu ni timbul lagi. Kau sendiri tahu aku dan Adwa cuma kawan. Sekarang aku dah ada Qish. Kau masih tak faham atau buat-buat tak faham?” balas Izdan separuh menyoal. Razi menganggukkan kepalanya.
“Tak apa. Ni juga kali terakhir aku ingatkan kau. Lepas ni aku dah tak sebut lagi isu ni. Puas hati?” soal Razi semula. Izdan mendengus perlahan sebelum bangun dari kerusinya lantas berlalu keluar dari kelas. Razi hanya menggeleng.
Suka hati kau lah Iz.
*****
Adwa menutup telefonnya. Hampir setengah jam dia berbual dengan Lufia. Banyak sangat pesanan gadis itu. Adwa menarik nafas berat. Esok dia akan berangkat ke Kuala Lumpur bersama dengan mama dan neneknya. Sebak dadanya memikirkan perpisahan yang akan berlaku.
“Malam ni tak nak lepak dengan aku?” tegur satu suara. Adwa berpaling memandang ke arah tingkap biliknya. Tersenyum Izdan memandangnya.
“Kau ni memang suka sangat aku mati cepat kan?” perli Adwa sebelum bangun dari kerusi lantas menghampiri tingkap biliknya.
“Sorry. Assalamualaikum,” ucap Izdan dengan perasaan bersalah.
“Ada pesanan ke macam Luf? Telinga aku dah sakit ni,” soal Adwa. Izdan tergelak kecil.
“Jaga diri. Jangan lupakan aku,” balasnya tepat memandang wajah gadis itu. Giliran Adwa pula yang tergelak melihat wajah serius Izdan.
“Sampai mati pun aku tak akan lupakan kau, Iz. Kau tak payah risau,” guraunya.
“Aku serius,” balas Izdan tanpa senyuman.
“Ishh, kau ni. Aku tahu lah. Jangan tunjuk muka macam tu. Aku takut,” balas Adwa dengan kening berkerut. Izdan tergelak. Dia menghulurkan tangannya ke arah gadis itu. Terangkat kening Adwa melihat huluran tangan Izdan.
“Apa?” soalnya keliru.
“Tak nak salam aku?” soal Izdan.
“Adoi, kau ni buat drama lah pula,” balas Adwa sambil membalas huluran lelaki itu. Izdan menggengam erat tangan Adwa.
“Aku dah cop kat sini,” kata Izdan dengan senyuman nakal sambil menepuk telapak tangan kiri Adwa.
“Cop apa?” soal Adwa hairan sambil menarik semula tangannya. Hanya tuhan yang tahu debaran dadanya saat ini.
“Selamat malam. Jaga diri,” ucap Izdan sebelum berlalu tanpa menjawab soalan gadis itu. Terkebil-kebil Adwa memandang langkah lelaki itu.