AKHIRNYA,hari yang dinantikan oleh kedua-dua
belah pihak telah pun tiba. Hari ini merupakan hari yang bersejarah buat Dr.
Qasyiful dan Erena. Hari ini ialah hari pertunangan mereka berdua. Kelihatan
sanak-saudara Dr. Qasyiful membawa tujuh dulang hantaran yang berisi coklat
Ferrero Rocher, potpourri,minyak
wangi, kek buah dan sebagainya masuk ke dalam ruang tamu rumah mewah milik
Datuk Harris. Hantaran-hantaran tersebut diletakkan di tengah ruang tamu,
bersebelahan dengan sembilan buah dulang hantaran daripada pihak perempuan.
Ustaz Kamarul dan Hajah Kamariah bersalaman dengan Datuk
Harris dan Datin Katrina sebagai tanda perkenalan. Masing-masing berbalas
senyuman sebagai salam silaturahim. Almaklumlah, nak jadi bakal besanlah tidak
lama lagi. Jadi, kenalah saling berkenalan secara lebih rapat lagi.
Datuk Harris menguntum senyuman manis di hadapan
tetamu-tetamunya itu. Roman wajahnya segera dimaniskan. “Eh, jemput duduk, ya?
Hah… buatlah macam rumah sendiri, ya. Jangan malu-malu,” ajaknya.
Rombongan di pihak lelaki segera mengambil tempat di tepi
dinding. Kecuali keluarga Dr. Qasyiful yang menduduki di barisan paling hadapan
sekali.
Hajah Kamariah menguntum senyuman manis. Bola matanya
tidak lekang dari memandang kawasan sekeliling rumah keluarga Datuk Harris.
Cantiknya rumah ni, mewah sungguh. Mesti perabot-perabot dan permaidani yang
ada di dalam rumah ini buatan negara luar. Ah, rumah ni dua kali ganda dari
rumah aku, getus hatinya. Mengkagumi keindahan sekitar rumah mewah itu.
Ehem! Tiba-tiba, kedengaran seorang lelaki berdehem.
Lelaki itu ialah Shukri, abang sulung Dr. Qasyiful. Dia yang berpakaian baju
Melayu berwarna biru cair kelihatan sedang membetulkan duduknya.
Shukri menguntum senyuman manis. Roman wajah kacaknya itu
segera dimaniskan. “Assalamualaikum, semua. Saya selaku abang sulung merangkap
wakil bagi pihak lelaki datang bertandang ke rumah Datuk dan Datin membawa
hajat besar. Izinkan saya berterus terang. Tujuan kami ke mari untuk memetik
bunga di taman rumah ini untuk ahli keluarga kami, Qasyiful Hakim. Adakah pihak
Datuk dan Datin sudi menerima peminangan ini?”
Datuk Harris tertawa kecil. “Pihak kami menerima
peminangan ini dengan hati yang terbuka. Si bunga di taman ini juga tidak sabar
mahu disarungkan cincin dari si kumbang.”
Shukri menarik nafas lega. Senyuman manis masih lagi
tersungging di bibirnya. Sekali lagi dia membalas dengan serangkap pantun.
“Syukur alhamdulillah. Lega pihak kami mendengarnya. Kerja baik ini, eloklah
dipercepatkan. Dapatlah kerja kita ni dipermudahkan dan diredhai ALLAH.”
Datuk Harris masih lagi tersenyum penuh makna. “Elok
benarlah tu. Ayuh kita mulakan majlis menyarung cincin tunang,” balasnya tidak
sabar.
Lelaki itu memandang wajah Datin Katrina. “Katrina, pergi
panggil Rena,” bisiknya.
Datin Katrina segera mengangguk. Dia segera bangun dan
melangkah menuju ke tingkat atas.