Home Novel Komedi/Romantik Komedi Benci ke Sayang? (Oh... My Encik Tunang?)
BAB 7
SAMBILmenyuap bertih jagung berwarna-warni kegemarannya ke dalam mulut, mata Erena tidak lekang daripada menonton siaran kegemarannya di TV3 yang bertajuk ‘Be Careful With My Heart’. Sebaik sahaja jarum jam berganjak ke angka 3.00, Erena sudah terpacak di hadapan televisyen.

Sedang asyik menonton televisyen, tiba-tiba Datuk Harris muncul di hadapan skrin televisyen. Dengan selamba badaknya, dia berdiri tegak umpama tiang lampu antik di situ.

Erena mendengus geram. Dia menarik muka cemberut. “Papa, apa ni? Hisy, ke tepilah sikit! Rena nak tengok drama Filipina ni, besttau,” desaknya bagaikan anak kecil. Tidak puas hati dengan tindakan papa yang tiba-tiba sahaja menjadi patung di hadapannya.

Datuk Harris menggeleng. Dia mengukir senyuman sinis. Remote controltelevisyen yang ada di atas meja diambil. Dengan selamba katak dan tidak berperasaannya, dia menutup televisyen.

Erena terkedu. Agak terkejut dengan tindakan drastik itu. Mulutnya ternganga luas. Erk? Dia bangun lalu menghentak kaki tanda protes. “Apa ni, papa? Yang pergi tutup TV tu, kenapa? Rena kan tengah tonton drama Filipina tu. Hisy, papa ni! Kacau daun betullah!” bentaknya geram.

Sekali lagi Datuk Harris menggeleng. Astaghfirullahalazim! Rena… Rena… tak habis-habis dengan perangai kanak-kanak Ribena tu. Hisy, nasib baiklah papa tak ada penyakit jantung tau. Kalau tak, mim alif ta ya la jawabnya, bebel hati Datuk Harris geram.

Datuk Harris memandang tepat ke wajah Erena. Wajahnya serius. “Papa nak beritahu Rena sesuatu,” katanya tegas.

Erena menjungkit sebelah keningnya. “Apa dia, papa? Penting sangat ke? Kot ia pun, nanti-nantilah dulu. Kejap lagipun papa boleh beritahu. Bagilah Rena peluang. Rena tengah tengok TV ni,” balasnya acuh tidak acuh.

“Tak boleh! Papa kena cakap sekarang juga! Hal ni melibatkan masa depan Rena. Suka ke… tak suka ke… Rena kena dengar juga!” balas Datuk Harris tegas.

Erena menarik muncung Donald Ducknya tanda protes.

Datin Katrina yang kebetulan melalui ruang tamu itu, mengatur langkah ke arah mereka berdua. Lalu, dia melabuhkan duduk di sebelah suaminya.

“Papa nak beritahu apa?” soal Erena setelah agak lama berdiam diri.

Wajah Datuk Harris bertukar menjadi serius. “Malam esok, bakal suami Rena akan datang ke rumah kita. Dia akan makan malam bersama kita. Papa nak Rena berkenalan lebih rapat lagi dengan dia.”

Erena terkejut badak. Matanya membuntang. Mulutnya ternganga luas. Bagai hendak gugur jantungnya apabila mendengar berita itu. Biar tembikai? “Apa dia, papa? Di... dia nak datang ke rumah kita?” balasnya separuh menjerit.

“Rena, control your voice,”celah Datin Katrina.

Erena mendengus geram. “Papa tak bincang apa-apa pun dengan Rena, tak tanya sama ada Rena sibuk ataupun tak. Tau-tau aje, papa panggil dia untuk makan malam dengan kita. Apa ni, papa? Papa sepatutnya bincang dulu dengan Rena. Bukannya main terjah aje.”

Kening Datuk Harris terangkat sebelah. Bibirnya terukir senyuman lebar. “Hah, ni papa nak bincang dengan Renalah. Sebab tulah papa beritahu awal-awal, you can make preparation for tomorrow. So,tak adalah terkial-kial sangat nanti, kan?” balas Datuk Harris. Siap menayang muka selamba badaknya lagi.

Erena menarik muka masam. Hisy, papa suka sangat buat kejutan besar tau. Tahniah, papa sememangnya sudah berjaya buat Rena terkejut buaya. Argh! “Tapi, esok Rena sibuklah! Rena tak ada masa nak layan dia,” dalihnya.

Datuk Harris menjungkit sebelah keningnya. Dia mengukir senyuman sinis. “Jangan nak bohong, Rena! Papa dah checkjadual Rena. Malam esok Rena tak ada kelas. Sebab tulah papa ajak bakal suami Rena makan malam dengan kita. Sama ada Rena suka ataupun tak, esok Rena kena ada di rumah!” katanya tegas.

Erena terdiam. Otaknya ligat mencari jalan bagi mengelak daripada bertemu dengan bakal suaminya esok. Aku tak nak jumpa dia. Apa pun yang berlaku, aku kena cari jalan untuk larikan diri, getusnya.

“Kalau Rena merancang untuk melarikan diri, sebaiknya Rena matikan aje niat tu. Papa akan tahan elaun Rena. Mana Rena nak? Elaun kena tahan atau melarikan diri?” tambah Datuk Harris seakan mengugut. Siap menjungkit keningnya berulang kali, sengaja mahu mencabar anak gadisnya yang manja itu.

Erena ternganga luas. Matanya bulat. “Papa!” jeritnya nyaring. Hisy, ini tidak adil.

Datuk Harris mengukir senyuman sinis. “Jangan ke mana-mana, sayang! Esok sayang papa akan bertemu dengan bakal suaminya,” balas Datuk Harris dengan muka tak bersalah. Lalu, dengan selamba kataknya dia bangun dan meninggalkan Erena bersama isterinya.

Erena menjerit geram. Lalu, matanya menerkam wajah mama. Baik aku minta tolong mama. Mama mesti dapat tolong aku.

“Mama…”

Belum sempat Erena menghabiskan ayatnya, Datin Katrina memintas terlebih dahulu. “Mama tak nak tolong!” balasnya sambil menayang muka sepuluh sennya. Lalu, cepat-cepat Datin Katrina bangun dan mengikut langkah suaminya dari belakang.

Erena terkedu, mulutnya ternganga. “Argh!”

FINAtersengih-sengih bak kerang busuk ketika sedang membaca novel bertajuk Cinta Tiga Suku karya Herna Diana. Sesekali gadis itu tergelak sendiri. Masakan tidak, dia jadi geli hati dengan telatah Iman dan Ari selaku watak utama di dalam novel itu. Orang yang normal pun boleh disangkakan gila apabila melihat telatahnya. Ha ha ha…

Sedang asyik membaca novel kegemarannya itu, tiba-tiba Erena menjerkahnya dari arah belakang.

Serta-merta, Fina terkejut besar. Lalu, novelnya terjatuh ke atas tanah. “Oit, mak kau meletup!” latahnya tanpa sedar.

Erena melabuhkan duduk di hadapan Fina. Raut wajahnya kelihatan masam mencuka. Dia menongkat dagu. Dah macam orang baru kematian suami tercinta aje lagaknya.

Fina mendengus geram. Mulutnya memuncung panjang tanda tidak puas hati. “Eh, minah ni… aku sepak masuk gol baru tau! Datang tak beradap, main jerkah aje. Oiit, kau tak reti nak tegur elok-elok ke, Rena? Aku tengah khusyuk baca novel, sedap-sedap aje kau jerkah akukan? Hisy, sabar ajelah!” bebelnya bak mak tiri Cinderella.

Erena mengeluh panjang. Raut wajahnya kelihatan berserabut. “Boleh tak kalau kau tak payah membebel kat sini, Fina? Kepala aku ni dahlah tengah berserabut dengan seribu masalah. Tolonglah jangan menambah lagi.”

Kening Fina terangkat sebelah. Mulutnya ternganga. Aik? Tiba-tiba aje melenting. Gila ke apa? Kena sampuk dengan jembalang mana pula ni? desis hatinya hairan.

“Kau ni dah kenapa, Rena?” tanya Fina ingin tahu.

Erena mengeluh. “Aku ada masalah besar, Fina.”

Fina mencebik. “Asal ada masalah dunia aje, kau cari aku. Asal cari aku aje, ada masalah. Hah, masalah dunia apa pula kali ni?”

Sekali lagi Erena mengeluh. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Malam esok, papa jemput bakal suami aku datang ke rumah untuk makan malam, Fina.”

“Hah?” jerit Fina. “Wah, baguslah! Dapatlah kau berkenalan dengan bakal suami kau. Mesti kacak gila, kan? Entah-entah, macam Richard Yap, pelakon Filipina kegemaran kita tu. Wah!” tambahnya beria-ia.

Erena tergamam. Dia mendengus geram. “Eh, kau pula yang terlebih-lebih ni, kenapa? Hisy, kau ni memang tak boleh tolong langsunglah! Aku tengah pening kepala, kau boleh suka pula? Hisy, ada juga yang merasa kehebatan karate aku ni!” marahnya.

Fina tergelak. Dia rasa geli hati apabila melihat Erena yang sedang gelabah bagai nak gila itu. Macam budak kecil hilang gula-gula, kecoh satu dunia. Erena… Erena… “Yang kau nak gelabah tak tentu hala ni, kenapa? Relax, Rena.”

Erena mendengus geram. Eh, minah ni… dia menyindir aku ke? “Fina, kau sepatutnya tolong aku selesaikan masalah ni, bukannya menyindir aku. Hisy!” bentaknya geram. Dia siap menghentak kaki lagi.

Kening Fina terjungkit sebelah. Dia mencebik geram. “Habis tu, kau nak suruh aku buat apa, hah? Kau nak suruh aku jadi bidan terjun, ganti tempat kau? Kau nak macam tu ke?” bidasnya geram. Hisy, dah macam budak kecil aje gayanya. Tak payah nak jadi askar sangatlah, Rena. Tak habis-habis nak hentak kaki, perli Fina dalam hati.

Erena tayang muka babyfacenya di hadapan Fina, sengaja mahu meraih simpati kawan baiknya itu. “Fina, tolonglah aku. Cari jalan untuk selesaikan masalah ni. Please… aku tak nak kahwin!” rayunya bersungguh-sungguh.

Fina terdiam sejenak. Memikirkan idea yang sesuai dan berkesan untuk membantu Erena. Hmm… nak buat macam mana, ya? Kalau tak tolong, kasihan pula kat minah manja ni, omel Fina di dalam hati. Dagunya diketuk perlahan. Otaknya bekerja keras bagi mencari jalan untuk membantu Erena.

Tiba-tiba, satu idea gila menjengah ke kotak fikirannya. “Hah!” Fina bersuara secara tiba-tiba. “Aku dah ada idea.” Gadis itu tersengih lebar, siap menjungkit keningnya berulang kali.

Dahi Erena berkerut. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. “Idea? Apa dia?”

Fina tersengih lebar. Dia teus berbisik ke telinga Erena. Erena mendengar dengan penuh kusyuk.

Erena tersenyum penuh makna. “Aku setuju dengan rancangan gila ni, Fina! Semoga rancangan kita ni menjadi,” balasnya teruja.

Fina menjungkit keningnya berulang kali. Masih lagi tersengih lebar “Tengoklah siapa yang merancang.”

Erena tidak menjawab. Sebaliknya, gadis cantik itu tersenyum penuh makna. Walau siapa pun kau, aku akan pastikan kau lupakan niat untuk mengahwini aku!

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.