“ANA?” tegur Erena
apabila melihat Diana sedang mengelamun jauh. Dahinya berkerut seribu. Hairan
melihat telatah Diana. Eh, dia ni… aku tunggu jawapan dia berjam-jam, tapi dia
boleh pula mengelamun jauh. Hisy!
Diana tersentak. Serta-merta lamunannya menghilang.
“Hah?” Dia termanggu. Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.
Erena menguntum senyuman. “Err… Ana belum jawab soalan
akak lagi.”
Dahi Diana berkerut seribu. “Yang mana satu ya, kak?”
Erena menarik muka cemberut. Dia nilah… buat-buat hilang
ingatan pula, ngomel hatinya geram. “Sebelum Qasy bertunang dengan akak, dia
pernah ada sesiapa tak sebelum ni? Maksud akak, kekasih ke?”
“Oh!” Diana tergelak. Keningnya terjungkit sebelah. “Actually,Abang Qasy pernah bertunang
dulu, kak. Nama tunang Abang Qasy tu, Kak Siti Norzehan. Dia cantik sangat kak,
secantik Kak Amani. Kak Zehan juga seorang gadis yang baik hati, penyayang dan
sopan santun, kak,” ceritanya. Dia membuka kisah lama abangnya. Satu kisah yang
membuat sikap Dr. Qasyiful berubah dengan begitu drastik sekali.
Kening Erena bertaut. Ooo… mamat serius 24 jam ni pernah
bertunang rupanya. Erk? Ada juga orang yang mahukan dia, ya? Agak-agaknya,
orang tu buta kot, kutuknya dalam hati.
Terdetik rasa hairan di hati. Kalau dia pernah bertunang,
kenapa Qasy masih membujang sampai sekarang? “Err… Ana cakap, Qasy pernah
bertunang dulu. Erk… dia orang tak jadi kahwin ke, Ana?”
Diana mengeluh. Wajah gadis itu kelihatan suram. “Abang
Qasy hampir berkahwin dengan Kak Zehan. Malah, hari pernikahan mereka hampir
tiba waktu tu,” katanya perlahan. Hampir bergenang air matanya tatkala membuka
kisah lama Dr. Qasyiful.
Kening Erena terjungkit sebelah. “Ooo… ya ke? Habis tu, kenapa dia orang tak
teruskan aje rancangan tu?”
Sekali lagi Diana mengeluh. Dia mengukir senyuman hambar.
“Ikut perancangan, mereka akan bernikah sebulan aje lagi. Tapi, takdir ALLAH
tidak terduga. Apakan daya, kita sebagai manusia hanya mampu merancang. ALLAH
yang menentukannya. Kak Zehan meninggal dunia. Dia terlibat dalam kemalangan
jalan raya, kak.”
Erena tergamam. Dia agak terkejut apabila mendengar
jawapan itu. Ya ALLAH… sungguh berat ujian-MU buat encik tunangku. Ah,
kasihannya dia, kata hatinya sebak.
Erena mengukir senyuman payah. “Oh…. Akak tak tahu, sorry,”balasnya serba salah. Kalaulah
aku tahu, sumpah aku tak akan buka kisah lama ni. Kasihannya mamat serius 24
jam tu. Agak-agaknya, sebab tu kot dia berubah jadi serius, gerutu hatinya.
Diana masih lagi tersenyum. “Tak apa, kak. Lagipun, dah
hampir tiga tahun arwah meninggal dunia. Perkara dah lepas, usahlah dikenang
lagi.”
Erena mengangguk. “Hmm… betul tu, Ana,” balasnya
perlahan.
Sejenak mereka terdiam. Melayani perasaan masing-masing.
“Akak?” tegur Diana lembut.
Erena memandang wajah Diana. Bibirnya terukir senyuman
nipis.
Diana mengukir senyuman penuh makna. “Kalau akak nak
tahu, Abang Qasy kenal Kak Zehan masa menuntut di England dulu. Kak Zehan tu
budak akaun, abang pula budak medic.”
Sekali lagi Diana membuka kisah lama abangnya itu.
Kening Erena terjungkit sebelah. “Ooo… habis tu, macam
mana dia orang boleh kenal?” Erk? Dr.
serioustu kan sentiasa serius 24 jam. Macam mana gadis yang bernama Zehan
itu boleh tersangkut hati padanya, ya? Ah, aneh sungguh!
Diana tergelak. “Susah jugalah Abang Qasy nak tawan hati
Kak Zehan. Yalah… hati dia keras macam ice
cube.Tapi bila kena gayanya, cairlah juga hati Kak Zehan tu. Kalau akak
nak tahu, abang Qasy la lelaki yang paling romantik tau. Macam-macam cara abang
buat untuk memenangi hati Kak Zehan. Salah satunya, menjerit kat bangunan
fakulti perubatan yang dia cintakan Kak Zehan. Haa… sejak tu, hati Kak Zehan
terpaut. Lepas tu, mereka mula bercinta,” ceritanya panjang lebar.
Erena terkedu. Dr. Qasyiful? Dia seorang lelaki yang
romantik? Tapi, kenapa bila dengan aku, dia jadi serius bagai nak gila? Hatinya
tertanya-tanya.