Home Novel Keluarga 7 WARNA CINTA
TAWARNYA LAUTAN KASIH


HUBUNGAN Kamilia dengan Nik Arif akhirnya menjadi semakin rapat.Walaupun begitu, dia masih menjaga batas bahasa dan tutur kata. Dia amat bimbang kalau hubungan itu akan disalah-ertikan.

Sementara itu, keadaan rumah tangga mereka semakin tidak tentu arah. Zamri masih dengan sikapnya. Cuba mencari peluang mengawal pergerakan Kamilia. Kadang-kadang dia terlupa untuk menjaga kebajikan dirinya sendiri.

Pada satu malam, Zamri naik angin. Entah siapa yang menghasutnya hingga dia pulang ke rumah dengan marah-marah.

“Abang dah tahu apa yang Lia buat setiap petang waktu pulang dari kerja.”

“Buat apa?”

“Abang tak suka Lia rapat dengan bos Lia tu!”

“Abang syak Lia ada hubungan dengan dia ke?” tanya Kamilia penuh sangsi.

“Ya, memang Lia ada hubungan dia! Kalau tidak, kenapa Lia mesti berkepit dengan dia setiap petang?” Zamri menengking Kamilia dengan kuat.

“Siapa yang beritahu abang cerita palsu ni? Mana ada Lia berkepit. Kami cuma bermain badminton dan tenis aje. Bukan hanya kami berdua. Semua staf yang lain ada. Balik Lia tumpang kereta dia bersama-sama isteri dia sekali. Mana datangnya berkepit dan berdua-duaan?” Kamilia cuba menolak tuduhan liar Zamri itu.

“Abang tak peduli! Abang tak nak Lia campur dengan mereka lagi. Tak payah main badminton! Tak payah main apa-apa. Habis kerja, terus balik ke rumah!” tegas Zamri.

“Kenapa susah sangat abang nak faham keadaan dan kehendak Lia? Tolonglah jangan cemburu buta. Tolonglah jangan berfikiran begitu singkat, bang!”

“Abang tak cemburu!”

“Kalau tak cemburu, abang tak akan bertindak macam ni? Lia malu pada kawan-kawan. Abang buat Lia macam Lia ni orang jahat. Kalau abang curiga dan anggap Lia ni jahat sangat hingga nak kena sentiasa diawasi, abang pergilah cari yang lebih baik daripada Lia,” kata Kamilia dengan nada kesal dan marah.

“Jangan cabar aku. Kau ingat kau kerja bagus, aku heran sangat! Kalau aku nak, macam muka kau berlambak aku boleh dapat di tepi Sungai Segget!” Tiba-tiba Zamri menjerit kuat.

Kamilia bungkam. Dia tidak menyangka ayat itu yang akan keluar dari bibir yang sentiasa berkata,“Abang sayang Lia sepenuh jiwa.”

Mata Kamilia segera meratah wajah Zamri yang merah padam itu. Zamri juga merenungnya tajam. Mata mereka bertentang dalam rasa marah yang meluap-luap!

“Lia tahu, Lia bukan isteri yang cantik dan menarik. Abang pula seorang suami yang kacak dan bergaya. Namun, Lia tak akan paksa abang terus menjerut diri abang dalam ikatan perkahwinan ini. Abang buatlah keputusan apa pun. Lia akan terima,” kata Kamilia sambil mengulum sebak. Air mata tidak malu lagi untuk keluar. Sungguh, dia rasa sengsara dan terhina ketika itu. Sungguh, tidak disangka semuanya akan berlaku begini.

Hina sangatkah dirinya hingga senang didapati di Sungai Segget yang penuh sampah itu?

Zamri terdiam lama. Kemudian, dia mencapai kunci kereta dan berlalu meninggalkan rumah. Kamilia menjeling ke arah jam di dinding. Jam 3.00 pagi. Ke manakah Zamri akan pergi dalam waktu hampir menjelang dinihari itu?

Seperti telur di hujung tanduk, begitulah keadaan mereka pada hari-hari seterusnya. Mereka tinggal dalam keadaan sepi dan bisu. Makan dan tidur bersama tetapi bibir bisu untuk berkata-kata. Hanya bercakap pada perkara yang amat penting. Sehari boleh dikira berapa patah sahaja mereka berbicara.

Sungguh sepi hingga membuatkan jiwa Kamilia semakin resah gelisah.

“Abang, Lia minta maaf kalau Lia yang salah. Kalau abang nak, Lia boleh berhenti kerja. Biar Lia duduk di rumah sahaja. Pakai apa yang mampu. Makan apa yang ada,” kata Kamilia pada satu hari, selepas tidak tahan hidup dalam keadaan itu.

“Suka hati kaulah! Aku tak nak campur lagi urusan kau!” jawab Zamri dengan kasar.

“Apa maksud abang ni?” Kamilia terpinga-pinga hairan. Dia meneliti wajah Zamri untuk mencari apa yang ada di sebalik kata-kata itu.

“Maksud aku, kau nak pergi ke mana dan dengan siapa terserah pada kau. Aku malas nak fikirkan hal kau lagi,” kata Zamri tanpa menoleh.

Kamilia menelan liur yang semakin pahit. Dia semakin keliru dengan sikap Zamri yang berubah secara tiba-tiba itu.

Keesokan harinya, Kamilia cuba untuk menduga perubahan sikap Zamri itu. Dia ikut rakan sekerjanya keluar membeli belah tanpa memberitahu Zamri. Dari pusat beli belah, mereka melepak di kedai mamak. Makan, minum dan bersembang.

Dia sampai di rumah, jam 10.00 malam. Rumahnya gelap. Teksi Zamri juga tidak ada. Setelah diperiksa, memang dia belum pulang sejak pagi. Dada Kamilia lapang. Sekurang-kurangnya, dia tidak perlu berdepan dengan muka masam Zamri.

Selepas mandi, dia tertidur di ruang tamu. Sungguh lena hingga dia langsung tidak sedar, hari sudah menjelang subuh. Dia bergegas bangun dan terus ke bilik. Dilihat tempat tidur kosong. Maknanya Zamri tidak balik. Kamilia mula risau. Rasa cemas dan bimbang mula bergayutan di hatinya. Mungkinkah suaminya itu ditimpa petaka?

Pagi itu, Kamilia tidak menumpang kereta Nik Arif ke pejabat. Sebaliknya, dia naik bas. Zamri tidak ada di rumah. Dia tidak mahu muncul fitnah yang bukan-bukan mengenai dirinya.

“Awak naik apa?” tanya Nik Arif, ketika Kamilia sampai di pejabat.

“Naik bas.”

“Kenapa tak tunggu. Saya lalu dan berhenti lama di hadapan rumah awak. Isteri saya sampai pergi ketuk pintu rumah awak,” kata Nik Arif.

“Maafkan saya. Saya ada hal. Saya keluar awal tadi.” Kamilia mencipta alasan.

“Kalau keluar awal, kenapa baru sampai? Hampir ajepunch card awak merah,” balas Nik Arif semakin ragu-ragu.

“Saya ada hal.”

Jawapan Kamilia membuatkan Nik Arif berlalu meninggalkan mejanya. Kamilia menarik nafas lega. Namun, kelegaan itu tidak lama. Dia mula terfikir apakah pula alasan yang akan diberikan esok, lusa dan seterusnya.

‘Berterus terang aje,’ bisik hati kecilnya.

Hari itu, sepanjang hari Kamilia rasa tidak selesa untuk melakukan kerja. Dia ingin segera pulang dan mengetahui apa yang berlaku kepada Zamri.

‘Apakah dia juga sedang cuba mendugaku? Mungkin dia sedang bersembunyi di mana-mana dan mengintai aku setiap pagi dan petang. Atau dia pulang ke kampung dan mengadu kepada emak serta keluarganya. Atau... Atau...’ Kamilia terus membuat andaian.

Akhirnya tanpa disedari, masa bekerja tamat. Dengan cepat, dia mengemas meja dan segera menyandang beg tangannya. Dia perlu cepat keluar dari pejabat agar tidak bertembung dengan Nik Arif.

“Saya tunggu awak di kereta,” kata Nik Arif ketika melintasi meja Kamilia.

“Encik...” Kamilia cuba memanggil dan menolak pelawaan Nik Arif kali ini. Namun, lelaki itu sudah hilang di sebalik dinding lif. Kamilia begitu panik, tergamam dan serba salah.Akhirnya dengan berat dia berjalan menuju ke lif untuk ke tempat parkir kereta. Ketika dia sampai, enjin kereta sudah dihidupkan dan pintu kereta juga sudah dibuka.

“Kenapa saya kena duduk depan?” tanya Kamilia dengan hairan. Biasanya dia akan duduk di belakang dan Puan Hamidah duduk di depan.

“Isteri saya tak balik hari ni. Diaoutstation.”

Tubuh Kamilia menggeletar. Seluruh denyut nadinya seperti berhenti. Sungguh, teragak-agak kakinya untuk melangkah masuk. Dia ingin menutup semula pintu itu dan memohon maaf.

“Jangan bimbang, saya akan terus hantar awak balik ke rumah. Saya tak ada niat nak ambil kesempatan pun atas awak,” kata Nik Arif seperti faham apa yang sedang berperang dalam hati Kamilia.

Kamilia tidak mampu berfikir panjang lagi. Dengan berat, dia melangkah masuk ke dalam kereta. Sepanjang perjalanan, mereka hanya membisu. Nik Arif menumpukan perhatian kepada jalan raya dan Kamilia pula terus melayan debaran dan kebimbangan. Ada bermacam-macam persoalan yang timbul di fikirannya.

Semakin dekat dengan rumah, dada Kamilia semakin berdebar.Dia tunduk, cuba memberi ketenangan pada hati dan kedamaian pada jiwa.

Kereta yang dipandu oleh Nik Arif berhenti betul-betul di hadapan pagar rumah Kamilia. Tanpa berlengah, dia segera membuka pintu.

“Terima kasih, encik.”

“Pagi esok tunggu macam biasa,” kata Nik Arif tanpa menoleh.

“Hmm... Saya rasa tak payahlah. Saya akan naik bas.”

“Kenapa?”Nik Arif menoleh. Matanya meneliti wajah Kamilia dengan hairan.

Kamilia tidak menjawab. Dengan cepat dia melangkah masuk ke rumah. Deruman enjin kereta Nik Arif dihantarnya dengan dada yang lapang.

“Bagus perangai kau ya!” sergah Zamri ketika Kamilia membuka pintu.

Kamilia terkejut dengan sergahan itu.

“Baru aku tinggalkan kau sehari, bukan main bebas kau bertemu dengan dia. Kalau aku tak ada sebulan, agaknya kau terus sekatil dengan dia!”

“Apa abang cakap ni? Jangan nak tuduh yang bukan-bukan! Janganlah pandang Lia serendah itu!” jawab Kamilia separuh menjerit. Hatinya amat sakit mendengar kata-kata Zamri itu. Berdarah jiwanya dengan tuduhan itu.

“Memang kau perempuan keji! Perempuan mandul! Menyesal aku kahwin dengan kau!” jerit Zamri.

Kamilia terpana. Tiba-tiba matanya berkunang-kunang dan dia rasa seperti akan pitam. Dia segera duduk dan mencari kekuatan. Perkataan ‘mandul’ itu amat menyesakkan nafasnya.Untuk pertama kali dia mendengar tuduhan itu. Ia sungguh menyakitkan hati. Semua wanita tidak suka untuk mendengar kata-kata seperti itu. Apa lagi daripada suami sendiri.

Semalaman Kamilia menangis.Bengkak matanya. Kering air matanya. Sekali sekala dia menjeling ke arah Zamri yang tidur berdengkur dengan senang hati. Seolah-olah dia langsung tidak rasa bersalah selepas melukakan hati Kamilia.

‘Ya ALLAH! Berikan aku kekuatan dan petunjuk-MU.’Itu saja doanya sepanjang malam itu. Dia tidak sabar menunggu hari siang. Akan diperhitungkan nasibnya yang malang di bawah telapak kaki seorang lelaki!

Keesokannya, pagi-pagi lagi Kamilia sudah keluar rumah. Dia langsung tidak mengejutkan Zamri. Apa lagi untuk bersalaman dengan suaminya itu seperti biasa. Hatinya sungguh sakit. Jiwanya sungguh parah. Jadi dia bertindak mengikut kehendak hati yang ditawan nafsu amarah.

Dia sampai di pejabat lebih awal daripada biasa. Jadi dia ada masa untuk bertenang sambil membelek-belek surat khabar hari itu. Sedang dia leka membaca, bosnya berdiri di hadapannya.

“Awak naik apa?” tanya Nik Arif.

“Bas,” jawab Kamilia sepatah tanpa menoleh.

Mungkin dek kerana hairan, Nik Arif berdiri tercegat di hadapan Kamilia sambil merenung ke arahnya. Ketika dia mengangkat kepala, mata mereka bertembung. Dia larikan pandangan. Dia cuba sembunyikan matanya yang bengkak dan merah itu.

“Awak memang ada masalah.Dan masalah awak dah terlalu serius. Jangan berselindung lagi. Tengok mata awak, lebam dan bengkak. Mungkin awak menangis sepanjang malam,” kata Nik Arif selepas lama meneliti wajah Kamilia.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.