Home Novel Keluarga 7 WARNA CINTA
MEMBARA HATI YANG LARA


KAKAK Dani memeluk Kamilia dengan penuh rasa terharu. Air mata yang merembes membasahi pipi Kamilia dikesatnya dengan penuh kasih sayang.

“Lia, akak harap kau sabar banyak-banyak ya. Anggaplah tak ada jodoh antara kau dengan Dani,” kata kakak Dani sambil mengusap-usap wajah Kamilia.

“Maksud akak yang berkahwin itu Dani?” Kamilia segera memotong. Wajah mereka yang ada di hadapannya ditatap bergilir-gilir.

Mereka tunduk. Kemudian mereka mengangguk perlahan.

Kamalia terpaku bisu. Berpinar dunia, gelap semuanya. Hancur hati, berkecai luluh semuanya. Gunung harapan runtuh ranap. Kata cinta juga hanyut lenyap.

Lama dia tunduk diam.Namun hairannya, dia langsung tidak menangis. Setitik air mata pun tidak gugur daripada untaiannya. Hanya fikirannya yang tiba-tiba menjadi kosong dan jiwa menjadi hampa.

“Lia, walaupun kau bukan isteri Dani, mak tak nak pisahkan kau daripada hati mak. Mak akan tetap menganggap kau macam sebelum ini. Lia jangan salah anggap. Ini semua bukan rancangan kami. Ini rancangan Dani yang tergesa-gesa.Dia pulang dan minta dinikahkan. Kami hanya diberi masa seminggu. Ramai saudara mara yang tak sempat nak dijemput,” kata Hajah Gayah selepas tangisannya reda.

Kamilia tetap diam. Telinganya hanya mendengar tetapi mulutnya sudah bisu untuk berkata-kata.

“Lia... sabar ya, dik,” pujuk kakak Dani.

Kamalia angguk. Kali ini dia cuba menguatkan semangat dan cuba memberi keyakinan palsu kepada mereka bahawa dia memang akan sabar. Walhal jauh di sudut nubarinya dia sedang merintih: Aduhai Dani, rupanya itulah firasat yang kau berikan dengan suratmu yang ringkas itu!

Ketika matahari mula meninggi, Kamalia meminta diri untuk pulang. Dia tidak sanggup untuk berlama-lama melihat khemah dan pelamin persandingan Dani. Tidak sanggup juga untuk mengimbau semua kata-kata manisnya ketika memujuk.

Kamilia lebih tidak sanggup, ketika terbayangkan dialah pengantin perempuan yang duduk dengan sopan seperti seorang puteri raja.

“Lia, tolong jangan lupakan kami. Tolong jangan buang kami daripada hidup Lia. Tolong jangan membenci kami. Datanglah ke sini seperti biasa,” rayu Hajah Gayah.

Kamilia hanya mengangguk. Sebuah anggukan kosong dari orang yang tidak upaya. Dia menggagahi kaki untuk melangkah pulang meninggalkan rumah itu.

Dilepaskan semua memori manis yang pernah tercatat di situ.

Dileraikan semua kemanisan kasih yang ada di istana itu

Ditinggalkan semua kedukaan cintanya.

Dipeluk sebuah kekecewaan yang meleburkan hatinya.

Dibuang semua kata janji dan sumpah setia Dani di situ.

Sampai di rumahnya, baru Kamalia sedar apa yang telah berlaku.Baru dia ingat apa yang didengar daripada keluarga Dani. Tiba-tiba air matanya menitik dengan lebat seperti hujan di musim tengkujuh. Baru dia rasa sedih dan ingin menangis sepuas-puasnya.

Lalu dia menangis dan meratap. Semua barang-barang pemberian Dani dibuangnya. Begitu juga dengan surat-surat Dani, semua dikoyaknya. Benar-benar dia naik hantu. Benar-benar dia rasa tertipu dengan cinta Dani yang palsu. Dia segera teringat kepada Kamaruzaman. Muncul pula wajah Remi dengan senyuman kemenangan.

Sungguh kecewa dan melukakan. Berhari-hari dia menangis dan menangis. Tidak berselera untuk makan. Tidak ada rasa mengantuk. Malah kadang-kadang dia rasa hilang semangat untuk hidup.

Sebulan kemudian, ketika semangatnya hampir pulih, dia menerima surat daripada Dani.

Liaku sayang, Dani tahu Lia kecewa dengan kenyataan yang Lia dengar. Dani minta maaf. Berjuta maaf kerana telah menghancurkan hati Lia.Dani tahu selama ini Lia cukup setia dan jujur dengan hubungan kita. Namun, semuanya ditakdirkan berlaku. Dani terpaksa mengahwini dia kerana kami sudah ditangkap basah. Dia datang ke rumah sewa Dani ketika Dani tinggal keseorangan. Dani terdesak. Sungguh Lia.

Lia, Dani tahu Lia sudah membenci Dani hingga ke tulang hitam. Dan Dani tak akan salahkan Lia. Memang patut Dani dibenci. Cuma satu hal saja Dani minta. Tolong jangan benci mak dan keluarga Dani. Mereka tidak tahu apa-apa. Ini semua bukan rancangan Dani. Tolonglah faham, Lia.

Walaupun Lia bukan jodoh Dani, namun Dani berjanji untuk terus mencintai Lia sampai ke akhir hidup Dani. Dani tak minta Lia percaya, tapi Tuhan Yang Maha Tahu apa yang ada di hati Dani ini.

Dani cintakan Lia.

Kamalia tidak membaca surat itu sampai habis. Sampai setakat itu saja. Tiba-tiba dia mula rasa mual dan loya dengan permainan kata-kata Dani itu. Dengan geram, dia mengoyak-ngoyak surat itu menjadi kepingan-kepingan kecil sebelum dicampakkan ke dalam unggun api.

Surat itu hangus terbakar seperti terbakarnya hati Kamilia. Kemudian ia menjadi abu seperti harapannya yang berkecai!

Malam itu Kamilia membalas surat Dani.

Wahai Dani!

Tidak sangka selama ini kaulah petualang cinta yang sangat dahsyat perangainya. Lidahmu bercabang lebih daripada biawak! Matamu mata syaitan yang melihat perempuan dengan nafsu.

Jangan kau gubah satu alasan untuk memujuk aku.Aku tidak akan jatuh belas dan simpati mendengar alasan dustamu itu. Aku tidak akan terpikat dengan kata cintamu lagi. Jangan berjanji untuk mencintai aku hingga ke akhir hayat, kerana semuanya tipu! Usahkan untuk ke akhir hayat, untuk semusim pun kau memang tidak mampu.

Selepas surat ini kau baca, bermakna aku sudah melupakanmu sebagaimana kau lupakan aku dan bersanding dengan orang lain. SELAMAT BERBAHAGIA, tapi jangan lupa pada balasan daripada ALLAH kepada orang yang mungkir janji. Munafik!

Surat itu segera diposkan. Bukan setakat surat, malah semua gambar-gambar ketika mereka bersama semuanya dipulangkan kepada Dani. Dia tidak mahu melihatnya lagi. Dia tidak mahu mengundang rindu pada sejarah cinta yang terluka itu lagi.

Dari gadis lincah dan periang, dia berubah menjadi pemurung. Dia banyak mengasingkan diri daripada kawan-kawannya.

Keputusan STPM diumumkan. Kamilia mendapat keputusan yang baik dan layak untuk membuat permohonan ke universiti.Namun ketika itu, dia rasa dia ingin terus bekerja. Tidak mahu belajar lagi. Dia kurang yakin pada kemampuan otaknya untuk belajar setelah apa yang berlaku. Dia hilang semangat. Dia lemah kerana kecewa cinta.

Selepas berfikir semasak-masaknya, akhirnya Kamilia mengambil keputusan untuk membawa diri ke Johor Bahru. Suasana kampung ditinggalkan dengan hati yang berat. Dia menjengah ke dunia luar untuk mengubat luka di hati. Dia ingin mencari sebuah kehidupan dengan melupakan kecewa yang menerajai hati. Dia ingin membina kekuatan diri agar tidak terus menjeruk hati.

Kehidupan semasa menjadi pelajar tidak sama dengan selepas bekerja. Tambahan pula dia hidup di tengah bandar besar seperti Johor Bahru.

Dia menyewa di sebuah rumah teres dua tingkat di Kebun Teh bersama tiga orang rakan yang lain. Rumah itu mempunyai empat bilik. Dia dan Maniseh berkongsi bilik kecil di tingkat bawah. Sewanya lebih murah daripada bilik-bilik yang lain. Rakan serumahnya yang lain bekerja sebagai pegawai kastam di Tambak Johor. Mereka jarang bersua muka kecuali hari minggu. Masing-masing tidak pernah keluar bilik. Mereka hanya buat hal sendiri sahaja.

Lalu Kamilia hanya rapat dengan Maniseh, rakan sebiliknya sahaja. Daripada Maniseh, dia belajar hidup merantau. Susah payah dan sakit pening dikongsi bersama. Selepas beberapa bulan tinggal sebilik, baru dia tahu Maniseh berstatus isteri. Suami dan anak-anaknya tinggal di Kuala Lumpur. Dia berulang ke sana setiap hujung bulan. Kadang-kadang suami dan anak-anaknya yang datang ke Johor Bahru.

Dari pergaulan dengan Maniseh, dia banyak terdedah kepada kehidupan sosial yang melampau. Untuk pertama kali dalam hidupnya, dia melihat kecurangan dan kejahatan seorang isteri berlaku di depan mata. Sebagai sahabat, dia rasa perlu menegur apa yang dilihat sumbang oleh matanya.

“Iseh, maafkan aku kalau aku tegur perangai kau. Bukan aku benci kau, tapi kerana sayang, aku rasa aku perlu menegur kau,” kata Kamilia pada satu malam. Ketika itu Maniseh sedang bersiap untuk keluar.

“Tegurlah. Apa dia?” tanya Maniseh dengan selamba.

“Kau rasa tak salah dan tak berdosa ke apa yang kau buat ni?”

“Apa yang aku buat?” soal Maniseh, semakin selamba. Dia tersenyum-senyum di hadapan cermin, membetulkanmake-up. Langsung tidak ada rasa bersalah diwajahnya.

Kamilia mula rasa sakit hati dengan sikap selamba Maniseh itu.“Yalah... kau tu bini orang. Tapi, kau hidup macam orang bujang. Setiap malam bertukar jantan. Kau keluar sampai kadang-kadang tak balik langsung. Aku selalu tidur sendirian,” kata Kamilia dengan penuh berhati-hati. Walaupun apa yang dicakapkan itu benar, namun dia bimbang akan mengguriskan hati Maniseh.

Maniseh diam. Langsung dia tidak menyangkal dan tidak pula membantah.

“Setahu aku, berdosa besar seorang isteri keluar rumah tanpa izin suami. Lebih berdosa lagi kerana kau keluar dengan lelaki lain. Kau tak takut pada balasan dosa ke?” tanya Kamilia bersungguh-sungguh.

Maniseh tidak juga menjawab. Sebaliknya dia menghadiahkan sebuah senyuman kepada Kamilia sebelum melambai dan meninggalkan bilik itu. Begitulah... Setiap kali hal itu diungkitkan oleh Kamilia, Maniseh akan tetap diam dan tersenyum.

Kamilia kehabisan kata-kata. Akhirnya dia ikut diam dan tidak menegur lagi. Dia butakan mata setiap kali melihat Maniseh dijemput pergi oleh lelaki setiap malam. Dia juga terpaksa pekakkan telinga setiap kali mendengar perbualan manja Maniseh dengan lelaki di telefon.

Entah kenapa, Kamilia rasa bersalah pada dirinya. Dia menjadi sahabat yang tidak mampu membetulkan kejahilan dan maksiat yang sedang dilakukan oleh sahabatnya! Dia berada dalam dalam ketidakupayaan yang sangat menyedihkan. Tidak ada apa yang mampu dibuat untuk menyedarkan Maniseh selain berdoa kepada ALLAH agar satu hari Maniseh diberikan petunjuk yang baik.

Maniseh adalah sahabatnya yang semakin hilang pegangan iman. Dia tersesat di tengah lingkaran godaan syaitan. Kamilia ingin mencari jalan untuk melepaskan dirinya dari kehidupan itu. Namun, dia semakin tiada upaya.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.