Home Novel Keluarga 7 WARNA CINTA
NODA KEHIDUPAN


PADA satu malam minggu, Maniseh mengajak Kamilia menghadiri parti hari lahir kawannya di sebuah kelab. Awalnya Kamilia menolak kerana hatinya begitu cuak dan bimbang dengan majlis itu. Dia budak kampung. Sungguh... dia tidak biasa dengan majlis seperti itu.

“Tolonglah, Lia. Aku tak ada kawan nak ke sana. Aku janji, kita akan balik awal. Dan aku janji tak akan buat apa-apa,” rayu Maniseh sambil menggenggam tangan Kamilia.

“Betul ke ni? Kau tahu kan, aku tak suka tempat-tempat macam tu.”

“Betul. Aku janji.”

“Kalau kau mungkir?”

“Kalau aku mungkir, kau hukumlah aku nanti,” janji Maniseh. Tangan Kamilia semakin digenggam kemas.

Dek kerana melihat kesungguhan Maniseh itu, akhirnya Kamilia bersetuju. Sebuah kereta mewah telah datang menjemput mereka selepas waktu maghrib. Mereka dibawa ke sebuah kelab mewah di sebuah hotel.

Ketika kakinya memijak lantai kelab itu, hati Kamilia berdebar dan rasa cuaknya memuncak. Ada satu firasat yang muncul di dalam hati mengatakan bahawa sesuatu yang buruk akan berlaku malam itu.

“Iseh, aku nak balik. Aku rasa tempat ini tak sesuai dengan aku,” bisiknya perlahan.

“Hei, jangan buat macam tu Lia. Jangan malukan aku. Kita dah sampai. Kan aku dah janji dengan kau?” Maniseh mengerdipkan matanya.

Kamilia rasa serba salah. Dia juga semakin takut. Seram sejuk tubuhnya ketika kakinya melangkah ke tempat itu.

Bau arak, asap rokok dan muzik yang membingitkan telinga benar-benar mencabar kesabaran dan keimanannya. Maniseh tenggelam dalam pelukan teman lelakinya. Kamilia ditinggalkan semeja dengan beberapa pasangan yang menjelekkan mata. Sungguh dia malu bila melihat mereka berkelakuan tidak senonoh dan tidak silu itu!

“Lia, mari kita menari.” Seorang lelaki menghulurkan tangan.

Kamilia mendongak dan meneliti wajah lelaki itu. Lelaki itu tersenyum mesra. Kamilia rasa ragu-ragu untuk membalas senyuman itu. Dia curiga. Dari mana lelaki itu tahu namanya?

“Jangan risau, I ni kawan baik Syed,” kata lelaki itu, seperti tahu apa yang ada dalam fikiran Kamilia ketika itu. Sekali lagi dia bingung.

“Siapa Syed?”

“Syed, teman lelaki Iseh.Tu, yang sedang menari dengan dia tu!” tunjuk lelaki itu.

Kamilia mula faham apa yang sedang diaturkan di situ. Dia mula sakit hati dan geram kepada Maniseh.

“Maaflah, saya tak tahu menari. Budak kampung macam saya, tak tahu nak buat benda-benda macam ni,” kata Kamilia jujur.

“Alah... Senang aje. Cuma goyang-goyang ikut muzik. Marilah...” ajak lelaki itu bersungguh-sungguh sambil menghulurkan tangannya sekali lagi.

Kamilia tidak memberikan apa-apa reaksi. Semua mata sedang memandang ke arahnya. Dia mula rasa malu. Dia rasa Maniseh telah menodai janjinya. Dia rasa ingin menjerit dan memaki hamun Maniseh sekuat hati. Tetapi saat itu, bertindak gila memang langsung tidak berguna.Ia hanya akan menjatuhkan maruahnya sebagai wanita.

Lalu dia menelan semuanya dengan sabar. Ajakan untuk menari ditolak dengan gelengan dan senyum terpaksa.Dia duduk diam-diam menunggu majlis itu selesai.

Maniseh tenggelam dalam keasyikannya. Sedangkan Kamilia tenggelam dalam kemarahan dan rasa kesal yang amat menyakitkan..

Tepat jam 4.00 pagi, baru majlis usai dan muzik berhenti.

“Iseh, kita nak ke mana lagi? Kau dah janji dengan aku,” Kamilia berbisik ke telinga Maniseh ketika mereka masuk ke dalam kereta dan kereta dipandu ke satu arah.

Maniseh tidak menjawab. Dia hanya tersenyum. Kamilia tahu akal Maniseh sudah dikawal kuasa minuman keras yang diteguknya!

“Lia, kita rehat di bilik dululah. Takkan nak bawa Iseh balik dalam keadaan macam ni. Nanti apa pula orang kata,” pujuk Syed.

Kamilia mendengus. Geram dan marah bercampur aduk. Hati pula sudah tidak tertanggung sakitnya.

“Syed, awak bawalah Iseh ke mana awak suka, tapi tolong hantarkan saya balik. Saya tak suka macam ni,” kata Kamilia. Dia sudah hampir menangis.

Syed ketawa kecil. Kawannya yang memandu kereta juga ikut ketawa. Hati Kamilia semakin berdarah, perit dan pedih. Lebih sakit lagi bila Maniseh juga ikut ketawa.

Kamilia tidak tahu untuk balik sendiri. Untuk naik teksi pun dia takut. Sejak keluar dari kampung dan bekerja di bandar itu, dia hanya tahu pergi balik kerja sahaja. Akhirnya Kamilia terpaksa ikut Maniseh dengan langkah berat.

Sampai di bilik, Kamilia semakin bingung.Bilik itu besar. Ada dua katil. Maniseh dan Syed sudah menghempaskan diri di atas satu katil. Kawannya pula terus masuk ke bilik air.

Kamilia terpinga-pinga. Apakah dia terpaksa tidur sekatil dengan lelaki itu?

“Jom kita tidur. Kenapa Lia tercegat lagi?” kata lelaki itu dengan lagak menggoda.

Kamilia tidak berani menoleh. Lelaki itu hanya memakai tuala. Dia semakin takut. Dia ingin memanggil Maniseh. Namun, sebelum sempat dia memanggilnya dia ternampak sesuatu yang tidak patut dia tengok. Maniseh sedang melakukan dosa terkutuk!

Ya ALLAH! Kamilia melarikan diri ke bilik air. Dia mula menangis dan menangis. Tiba-tiba terlintas di fikirannya untuk lari. Dia tidak sanggup untuk terus menyaksikan perbuatan keji Maniseh. Tidak sanggup juga untuk bersubahat dengan syaitan-syaitan yang sedang bertepuk riang ketika itu.

Kamilia keluar dari bilik air, mencapai beg tangan dan berlari ke pintu. Namun, tangan kawan Syed itu dengan cepat menangkap tubuhnya dan menghumbannya ke katil.

“Encik... Tolonglah lepaskan saya. Tolonglah...” Kamilia merayu bersungguh-sungguh. Dia amat berharap agar mahkota kesuciannya tidak direnggut.

“Lia, kenapa ni?” soal lelaki itu.

“Tolong lepaskan saya. Saya nak balik. Tak apa. Tak payah hantar. Saya akan balik sendiri.”

“Kenapa nak balik? Tidurlah di sini. Sekejap lagi hari siang, kita baliklah,” kata lelaki itu dengan ketawa perlahan. Dia cuba mendekatkan mukanya ke telinga Kamilia. Dia sengaja ingin Kamilia mendengar nafasnya yang mula tidak sekata.

“Tolonglah encik... Abang...Tuan... Datuk...” Kamilia masih belum putus asa untuk merayu. Air mata mula membasahi pipi. Namun, rayuan dan tangisannya langsung tidak dihiraukan. Lelaki itu tetap cuba untuk merebut mahkota dirinya. Dia meronta dan meronta. Dia cuba sekuat tenaga untuk melawan tenaga seorang lelaki yang sudah ditawan syaitan!

“Iseh! Tolong aku Iseh...” rayu Kamilia dengan nafas yang termengah. Namun, Maniseh sudah hanyut dalam dunianya. Tidak mungkin syaitan membenarkan dia bangun dari dunianya yang sesat itu!

Ketika itu, Kamilia tidak mengharapkan apa-apa dari ALLAH selain memohon agar maruahnya diselamatkan dari jantan jalang itu.

‘Ya ALLAH! Kalau inilah hukuman-MU kerana kekhilafanku selama ini, aku reda. Tapi aku masih mengharapkan secebis belas kasihan-MU ya ALLAH. Aku ini hamba-MU yang lemah. Aku ini hamba-MU yang kerdil. Bantulah aku ya ALLAH. Berikan aku kekuatan. Berikan aku kekuatan. Berikan aku kekuatan...’ Doa Kamilia di dalam hati.

Kamilia tidak melawan lagi.Dia berhenti meronta dan berhenti merayu. Dia juga berhenti menangis. Dia diamkan diri. Dia pasrah dengan semua kemungkinan. Hanya hati dan bibirnya yang tidak berhenti memohon kekuatan.

“Heh! Bodoh betul perempuan ni! Kau ingat aku pelahap sangat tubuh kau ya? Kau ingat nafsu aku teringin pada tubuh kau yang kaku ni?” Tiba-tiba lelaki itu bangun dan menyepak tubuh Kamilia. Mulutnya menyumpah-nyumpah.

Kamilia tidak pedulikan sumpah seranah dan maki hamun itu. Dia segera bangun dan membetulkan keadaan dirinya. Dengan perlahan dan penuh hati-hati, dia berjalan ke pintu. Dia bimbang akan diserang.

Ketika sampai di pintu dan ingin membuka pintu, Kamilia menoleh. Lelaki itu berdiri kaku dalam keadaan kusut masai dan kecewa.

“Apa tengok lagi? Berambuslah!” tengking lelaki itu dengan kuat. Suara itu bergema ke seluruh bilik. Hairannya, Maniseh dan teman lelakinya langsung tidak memberikan apa-apa reaksi. Mereka diam dalam selimut itu.

Kamilia tidak bertangguh lagi. Dengan langkah lipas kudung, dia membuka pintu bilik dan berlari keluar.Sampai di luar hotel, dia menarik nafas lega. Kemudian dia mengucap syukur kepada ALLAH kerana melindunginya daripada perogol itu!

Dia cuba berlagak tenang. Sebuah teksi yang ada di situ segera dipanggil. Walaupun amat takut dan begitu prejudis kepada pemandu teksi dan begitu bimbang peristiwa yang baru berlaku berulang lagi, namun Kamilia terpaksa teruskan langkah.

“Adik dari mana ni?” tanya pemandu teksi itu dengan wajah sangsi.

Kamilia dapat membaca telahan sumbangnya. Siapa pun akan membuat telahan dan tohmahan yang sama bila bertemu seorang wanita di kawasan hotel ketika hari hampir subuh.

Kamilia mendiamkan diri.

Dia rasa malas untuk menjawab. Peristiwa yang baru berlaku itu, amat menghantui jiwa raganya. Bau minuman keras yang masam dan busuk itu terasa melekat di tubuhnya.Dia rasa mual dan ingin muntah.

“Tak baik seorang gadis berkeliaran waktu begini. Di bandar ni ada bermacam manusia yang bertopengkan syaitan,” tambah pemandu teksi itu.

Serta merta kebimbangan Kamilia hilang. Prasangka terhadap pemandu teksi bubar dari ingatan. Namun, dia membisu dan tidak memberikan apa-apa reaksi. Sepanjang jalan, dia hanya diamuk kesal. Dia mula berfikir bagaimana untuk menjauhkan diri dari seorang kawan bernama Maniseh.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.