Home Novel Keluarga 7 WARNA CINTA
DEMI SEORANG IBU


KAMALIA diam berfikir. Kata-kata emaknya seperti sebuah permintaan. Dia tahu sebelum ini emaknya tidak pernah meminta apa-apa daripadanya. Bolehkah dia menolak kehendak dan permintaan itu? Beranikah dia melukai hati seorang emak yang melahirkannya ke dunia ini?

Kalau diikutkan hati, Kamilia memang belum bersedia. Apa yang berlaku antara dia dan Dani menjadikan dia amat takut untuk menerima lelaki dalam hidupnya. Dia dihantui serba salah.

Akhirnya dia pasrah dan menanti ketentuan yang baik daripada ALLAH. Dalam masa yang sama, dia mencuba dan berusaha memujuk hati untuk menerima Zamri.Dia cuba membuka seluas-luasnya pintu cinta kepada lelaki itu.

Pada satu hari, lelaki bernama Zamri itu datang menemuinya. Tujuannya untuk saling mengenali dengan lebih dekat dan berbincang secara empat mata.

“Abang tahu abang tak ada pangkat dan harta seperti bekas kekasih Lia dulu,” kata Zamri merendah diri.

“Kekasih Lia, siapa?” tanya Kamilia.

Zamri terdiam.Di wajahnya ada bayangan rasa bimbang dan resah.

“Semua orang kampung tahu masa Lia tengah hangat bercinta dengan dia. Dani tu berpangkat.” Zamri menyebut nama Dani dengan cuak. Dia merenung wajah Kamilia, mencari reaksi yang tulus.

“Lia dah lupakan dia. Dia adalah lelaki yang singgah sebentar dalam hidup Lia sebelum Lia campakkan dia jauh-jauh. Lia tak pandang harta dan kekayaan. Lia hanya perlukan orang yang boleh menyayangi Lia selama-lamanya,” kata Kamilia cuba membetulkan anggapan Zamri.

“Abang janji akan jaga Lia dengan baik. Abang juga janji untuk sayang Lia sepenuh hati abang. Tapi abang tak paksa Lia untuk terima abang kalau Lia tak suka. Abang cuma nak senangkan hati mak abang yang suka sangat pada Lia.”

“Jadi, abang buat semua ini kerana mak abang? Abang korbankan diri abang untuk mak abang?” Kamilia cuba menduga. Dia ingin mendengar kata-kata yang tulus ikhlas dari hati Zamri.

“Sebenarnya... Abang memang dah lama sayangkan Lia. Sayang sungguh-sungguh. Cuma abang sedar keadaan diri abang yang mungkin tak sepadan dengan Lia,” jawab Zamri dengan suara yang perlahan seolah-olah merintih.

Entah kenapa hati Kamilia jatuh belas. Namun, dia tetap menguji dengan berbagai soalan. Ternyata Zamri lelaki yang tenang dan tidak mudah melenting.

Akhirnya, Kamilia membuat keputusan. Kalau Zamri melakukan demi emaknya, kenapa dia tidak boleh melakukannya demi menyenangkan hati Hajah Zizah.

Biarlah dia tidak cinta dan sayangkan Zamri. Biarlah mereka tidak pernah bercinta. Asalkan kedua-dua ibu mereka rasa gembira. Mungkin itu satu cara untuk membalas jasa ibu yang melahirkan.

Ternyata keputusan Kamilia itu membuatkan emaknya tersenyum dan begitu senang hati. Lalu urusan selanjutnya dibuat. Tidak ada majlis pertunangan kerana kedua-dua pihak amat takut Kamilia akan berubah hati. Kedua-duanya terus dinikahkan. Nikah gantung sementara menunggu hari persandingan.

Kamilia akur. Dia langsung tidak membantah. Dia sudah berjanji kepada dirinya untuk mengikut sahaja. Kegembiraan emaknya adalah kegembiraannya.

“Harap akak dapat berikan tunjuk ajar pada Lia.Kalau dia buat silap jangan takut untuk menegur. Saya tak kisah, kak. Sekarang dia dah jadi menantu akak. Saya serahkan sepenuhnya kepada Zamri dan keluarga akak,” kata Hajah Zizah kepada Hajah Esah, ibu Zamri.

“Zah, jangan risau sangat. Anak Zah anak akak juga. Kita bukannya baru kenal. Lia dah jadi saudara kami sejak dulu lagi,” jawab Hajah Esah sambil menggenggam tangan Hajah Zizah dengan senyuman gembira. Kemudian mereka berpelukan tanda silaturrahim yang semakin erat.

Selepas menjadi isteri Zamri, Kamilia tidak lagi tinggal menyewa bilik di rumah Kak Maimun. Walaupun hanya nikah gantung, dia sudah halal dan mutlak menjadi hak Zamri. Lalu dia terpaksa ikut perintah dan kehendak suami.

Hal itu telah mendatangkan sedikit masalah kepada Kamilia kerana rumah Zamri agak jauh daripada pejabatnya. Setiap hari dia mengeluh kerana kesukaran mendapatkan bas. Zamri pula tidak dapat menghantarnya setiap hari.

“Kalau macam tu, baik Lia berhenti aje. Cari kerja lain yang dekat-dekat sini,” suruh Zamri suatu hari.

Kamilia diam. Percaturan pertama hidupnya sedang digerakkan di atas papan kehidupan. Sebagai isteri yang taat dan wanita yang lemah, sekali lagi dia terpaksa akur. Dia tidak mahu membantah, walaupun ketika itu dia amat sayangkan kerjanya.

Ketika itu, Zamri bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran. Dia memang pandai memasak. Kamilia memang mengakui keenakan masakan Zamri.Pertama kali dia merasa hasil tangan Zamri, dia begitu kagum.

Gajinya pula agak besar dan lebih daripada cukup untuk menampung hidup mereka berdua.Tambahan pula, dia bukan jenis lelaki yang suka berpoya-poya. Dia tidak merokok. Tidak suka minum dan melepak di kedai kopi. Juga tidak suka berjalan makan angin. Rumahnya pula bersih dan siap berperabot. Jadi Kamilia masuk ke rumah itu hanya membawa tubuh sahaja.

Namun, Kamilia rasa sangat tidak selesa untuk duduk di rumah goyang kaki tanpa bekerja.

“Lia rasa nak pergi cari kerja, bang. Bosanlah tinggal di rumah macam ni. Abang pergi kerja. Pagi sampai petang. Lia tinggal sorang-sorang aje,” kata Kamilia.

“Buat apa nak kerja. Abang mampu nak sara hidup kita,” balas Zamri.

“Bukan masalah mampu atau tidak, tapi masalah bosan. Lagipun, apa salahnya kalau kita dapat lebih. Dapat juga menabung. Kita tak tahu nasib kita di masa depan,” kata Kamilia pula.

Zamri terdiam. Namun dari raut wajahnya, Kamilia dapat membaca isi hatinya yang kurang senang dengan permintaan itu.

“Kalau macam tu, tunggulah sampai lepas kita bersanding. Hanya tinggal sebulan lagi. Kalau Lia kerja sekarang, nanti nak kena ambil cuti pula. Lebih baik kita selesaikan semuanya dulu,” kata Zamri.

Kamilia mengangguk perlahan.Ada benarnya kata-kata suaminya itu. Lalu dia cuba bersabar dan tenangkan hati.Kalau ikutkan dia memang berat untuk bersanding. Yang mustahak ialah nikah. Dia sudah pun sah menjadi isteri Zamri. Dari segi hukum, memang semuanya sudah halal.

Bagaimanapun, dia perlu menghormati kehendak emaknya.Kamilia adalah anak perempuan tunggal.Dia juga anak bongsu. Tentu emaknya ingin melihat dia bersanding. Tentu keluarganya ingin mengadakan kenduri yang meriah untuk meraikan perkahwinan itu.

Sebulan yang ditunggu pun tiba. Majlis persandingan berlangsung penuh gilang gemilang. Hajah Zizah telah menumbangkan tiga ekor lembu. Sungguh meriah. Namun, entah kenapa Kamilia langsung tidak merasai kemeriahan itu. Seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan hatinya. Langsung tidak gembira.

Selepas bersanding, mereka kembali melalui hidup seperti biasa. Kamilia masih tidak diberi izin untuk bekerja. Alasan Zamri tetap sama: Dia masih mampu menanggung hidup Kamilia.

Dek bosan dengan keadaan, Kamilia mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan. Dia membuat kuih jualan dan dihantar ke sebuah warung. Daripada satu jenis kuih, menjadi berjenis-jenis. Dia amat gembira dengan kerja barunya. Bosannya juga hilang. Namun, cabaran tetap datang.

“Buat apa nak penatkan badan ni?Duduk aje diam-diam boleh tak? Abang tak suka Lia buat semua ni!” marah Zamri pada satu hari. Semangat Kamilia patah. Melihat muka Zamri yang merah padam, Kamilia menjadi kecut.

“Jangan buat apa yang abang tak suka!”

“Apa salahnya? Habis Lia nak pergi kerja abang tak izinkan. Biarlah Lia berjualan kuih.Ada juga kerja dan pendapatan,” jawab Kamilia pula.

“Pendapatan untuk apa? Bukankah abang dah kata, abang mampu!” tengking Zamri.

Kamilia rasa kecil hati. Akhirnya dia membungkus semua bahan-bahan kuih yang sudah dibeli dan disimpan rapi. Hatinya mula tidak keruan. Marah, geram dan kesal silih menyilih muncul.

Malam itu, untuk pertama kali dia menangis dalam selimut.

Hari demi hari berlalu, usia perkahwinan mereka genap setahun. Tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan Kamilia akan mengandung.

“Mak dah tanya bila nak dapat cucu,” beritahu Zamri pada satu malam.

Kamilia mendengarnya dengan tenang walaupun hatinya sedikit sebal. Dia pejamkan mata. Dia mula membaca maksud kata-kata Zamri.

“Abang sedang bercakap dengan Lia.”

“Lia tahu. Habis abang nak Lia buat apa?” Tiba-tiba suara Kamilia meninggi.

“Apa yang abang nak jawab dengan mak.”

“Jawab aje, belum ada rezeki. Ini semua bukan kerja kita,” kata Kamilia, tanpa membuka mata.

“Cakap memang senang,” balas Zamri. Dia melepaskan sebuah keluhan yang mendesah. Keluhan itu membuatkan Kamilia rasa sakit hati. Malam itu hatinya bertukar marah. Selama setahun menjadi isteri Zamri, dia belum rasa begitu sakit hati seperti malam itu.

Daripada pertelingkahan malam itu, hubungan mereka menjadi sedikit renggang. Hati Kamilia yang rasa begitu. Bukan salah Zamri. Setiap pagi sebelum pergi kerja, Zamri tetap mengucup pipi dan dahinya. Setiap malam, Zamri tetap menghadiahkan sebuah kucupan sebelum tidur. Zamri tetap menjadi suami yang memanjakannya. Namun, entah kenapa rasa sakit hatinya tidak sembuh.

Pergilah kalau Lia nak pergi kerja. Abang sayang Lia. Abang tak suka tengok Lia muram dan masam macam ni. Kalau Lia susah hati macam ni, abang pun ikut rasa sedih,” kata Zamri pada satu malam. Dia menarik tangan Kamilia dan menggenggamnya erat.

Tiba-tiba hati Kamilia rasa tersentuh. Belas kasihnya tiba-tiba mengalir lembut dalam jiwa.

“Terima kasih, abang. Lia minta maaf. Lia bukan nak engkar pada kehendak abang. Tapi, Lia rasa sunyi dan bosan di rumah ini. Lia harap abang faham,” balas Kamilia. Dia mencium tangan Zamri dengan tulus.

“Baiklah. Abang akan cuba ikut apa yang Lia nak. Pergilah kerja. Asal Lia gembira,” kata Zamri perlahan. Ada nada rajuk dalam nada suaranya.

“Abang ikhlas atau abang merajuk?” tanya Kamilia, cuba menduga.

Zamri tidak menjawab. Dia diam. Dia pejamkan mata seolah-olah sedang menghindari diri daripada soalan Kamilia.

Kamilia pula sengaja tidak mahu menyambung lagi. Zamri sudah mengizinkan dia keluar bekerja. Itu sudah cukup. Soal Zamri ikhlas atau tidak, itu tidak penting lagi buatnya.

Seminggu Kamilia merayau mencari kerja, akhirnya dia diterima bekerja sebagai kerani pentadbiran di sebuah syarikat. Biarpun gajinya tidak besar, namun Kamilia rasa seronok. Sekurang-kurangnya otak tidak beku dengan berkurung di rumah. Sekurang-kurangnya dia bebas dari sangkar emas buatan Zamri.

Wajah Zamri tidak begitu ceria ketika berita itu dibawa pulang.

Seminggu bekerja di tempat itu, Kamilia mula rasa selesa. Rakan-rakan sekerja semuanya baik dan bekerjasama dalam tugas. Ketua jabatannya juga begitu baik dan prihatin. Kebetulan rumah Nik Arif, bosnya berdekatan dengan rumahnya. Lalu dia sering dipelawa untuk menumpang keretanya setiap pagi.

“Tak apalah, encik. Saya naik bas aje,” tolak Kamilia dengan hormat.

“Saya ikhlas.Lagipun, bukan kita berdua aje. Isteri saya juga ada bersama saya kerana pejabatnya berdekatan sini juga.”

Kamilia tidak terus memberi jawapan. Sejak jadi isteri, dia semakin tidak pandai membuat keputusan sendiri tanpa berbincang dan meminta izin daripada Zamri.

“Naik bas aje. Jangan nak menyusahkan orang. Lagipun tak manis dipandang orang. Nanti timbul fitnah pula,” kata Zamri ketika Kamilia menyatakan hal itu.

“Isterinya ada sekali. Takkan timbul fitnah,” kata Kamilia pula.

Zamri menoleh dan merenung Kamilia dengan renungan tajam.Ada rona marah dalam renungan itu. “Ni yang nak sangat menumpang orang ni kenapa? Susah-susah, biar abang hantar aje setiap pagi!” jerkah Zamri dengan suara keras.

Kamilia terkedu. Akhirnya dia matikan hajat untuk menumpang kereta Nik Arif. Dia tidak mahu menjadi isteri yang engkar. Dia juga tidak mahu membuat Zamri naik marah dan curiga.

Sejak Kamilia mula bekerja, dia mula terasa ada angin perubahan yang sedang berlaku dalam rumah tangga mereka. Zamri semakin kerap ponteng kerja. Dia lebih banyak menumpukan perhatian mengawasi Kamilia. Ada masa dia sengaja ambil cuti semata-mata untuk menghantar Kamilia ke tempat kerja.

Kamilia juga melihat Zamri seperti orang lain. Lelaki itu menjadi mudah marah. Cemburu. Dia menjadi pembengis tidak mengira tempat dan masa. Semakin hari pergerakan Kamilia semakin terbatas. Dia tidak boleh balik lambat. Dia juga tidak boleh bergaul dengan staf yang lain. Dia tidak boleh ikuti aktiviti pejabat. Malah, waktu makan tengah hari pun kadang-kadang Zamri datang untuk mengintipnya.

“Kenapa abang buat Lia macam ni?” tanya Kamilia. Dia rasa seperti seorang banduan.

“Sebab abang sayang dan amat cintakan Lia. Abang takut kehilangan Lia,” jawab Zamri selamba.

“Abang masih tak yakin dengan kesetiaan Lia selama ini?”Suara Kamilia mula meninggi. Memang dia rasa amat tidak selesa. Kawan-kawannya sudah mula senyum-senyum dan menyindir.

Zamri diam.

“Kalau Lia nak buat jahat, abang jaga macam mana pun Lia masih boleh buat. Jadi, tolonglah. Jangan malukan Lia dan jatuhkan air muka Lia di hadapan rakan sekerja Lia.”

“Abang minta maaf. Tapi, abang tak mampu nak buang rasa cemburu abang ni. Abang akan tetap awasi Lia.”


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.