Home Novel Keluarga 7 WARNA CINTA
TERLEPAS DARI SANGKAR NODA


KETIKA sampai di rumah, suara imam mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran kedengaran lunak dari corong pembesar suara di masjid berdekatan. Dia masuk ke rumah dengan penuh rasa syukur.

“Baru balik Lia?” tegur satu suara ketika dia membuka pintu bilik.

Kamilia menoleh. Serta merta dia panik dan tergamam seketika. Wajahnya pucat lesi. Abang Saidin, suami Maniseh berdiri di hadapannya!

“Iseh mana?” tanya Abang Saidin sebelum sempat Kamilia menjawab soalan pertamanya.

Kamilia semakin tidak tentu arah. Perlukah aku bersubahat dengan kelakuan dosa yang dilakukan oleh Maniseh? Atau aku harus berterus terang tentang apa yang telah berlaku?

“Lia, abang tanya ni. Iseh mana?” Soalan itu diulang lagi.

Tubuh Kamilia menggeletar. “L... Lia tak tahu, bang,” jawab Kamilia dengan suara yang hampir tidak mahu keluar.

“Tak tahu? Kata kawan-kawan yang lain, Iseh keluar dengan Lia tadi.”

“Memang tadi dia keluar dengan Lia. Lepas makan, kami berpisah. Lia tak tahu dia ke mana.” Kamilia terpaksa berbohong. Dia rasa biarlah semuanya terbongkar bukan daripada mulutnya.

“Lia ke mana tadi?”

Kamilia gugup. Dia mencari-cari kata untuk menyambung pembohongannya.

“Lia jumpa kawan. Kami bersembang sampai tak sedar hari dah pagi,” jawab Kamilia tanpa menoleh ke arah Abang Saidin yang sedang merenungnya. Dia sengaja larikan pandangan ke arah lain.

“Lia, abang tahu Lia berbohong. Mata Lia tu yang membuktikannya,” kata Abang Saidin dengan senyum sinis.

Kamilia semakin gugup. Dia benar-benar hilang arah seketika. Dia berbohong untuk menutup satu dosa besar! Dia masih fikirkan perasaan Maniseh, sedangkan perasaan dia sendiri?

“Tengok mata abang dan katakan sekali lagi yang Lia tidak bohong.” Suara Abang Saidin tegas dan kasar menerpa telinganya.

Kamilia tunduk diam, tidak berani bertentang mata dengan lelaki itu.

“Lia, jangan cuba sembunyikan bangkai yang busuk.Jangan cuba selindungkan noda yang kotor itu. Abang dah tahu semuanya. Dah lama. Namun, abang belum ada kesempatan untuk mencari bukti dan bertindak. Sekarang, masanya dah sampai!” tegas Abang Saidin.

“Abang cuma nakkan kepastian daripada Lia. Tak apa kalau Lia tak berani nak beritahu. Cuma angguk bila abang tanya. Boleh?”

Angguk.

“Betulkah selama ini Iseh curang dengan abang?”

Angguk.

“Betulkah dia dah tidur dengan ramai jantan?”

Angguk.

“Betulkah sepanjang malam tadi dan sekarang, dia ada bersama seorang lelaki?”

Angguk.

“Terima kasih, Lia. Sekurang-kurangnya Lia tidak lagi bersubahat dan menumpang dosa dia,” kata Abang Saidin. Suara paraunya tiba-tiba pecah bergetar. Dia tunduk, sebak.

Kamilia semakin rasa bersalah.

“Abang, Lia minta maaf. Lia takut Iseh salah faham terhadap apa yang Lian buat ini. Tolong Lia, bang. Tolong jangan apa-apakan dia,” rayu Kamilia. Air matanya mengalir laju di pipi. Dalam esakannya, dia ceritakan apa yang berlaku kepadanya.

“Ya ALLAH! Dia nak jerumuskan Lia dalam kancah dosa juga?”

“Apa yang patut Lia buat sekarang, bang? Kalau dia tahu Lia ceritakan hal ini pada abang, matilah Lia dikerjakannya.”

“Abang rasa, eloklah Lia pindah dari sini. Elok Lia jauhkan diri daripada dia. Elok Lia tinggalkan sangkar dosa ini segera.”

“Tapi, di mana Lia nak tinggal? Bukannya Lia ada kawan lain selain dia,” jawab Kamilia dengan wajah gusar.

“Abang akan tolong Lia cari bilik. Pergilah berkemas! Lia jangan berlengah lagi. Abang nak buat keputusan dengan dia secepat mungkin dan abang tak mahu dia tuduh Lia yang meracun abang,” kata Abang Saidin.

“Tapi...”

“Jangan bertapi lagi. Pergi kemas barang-barang Lia dan segera keluar dari sini,” suruh Abang Saidin bersungguh-sungguh.

Kamilia segera bangun. Dia segera melakukan apa yang disuruh. Sedang dia berkemas-kemas, sebuah kereta berhenti di hadapan rumah. Dia mengintai dari celah langsir. Syed yang menghantar Maniseh.

Hati Kamilia mula bergetar. Bala besar akan menimpa. Pergaduhan suami isteri akan terjadi dan Kamilia akan tersepit di tengah-tengahnya. Itu yang ada dalam fikiran Kamilia ketika itu.

Maniseh dan Syed masih bergurau mesra dalam kereta.

Kamilia segera keluar dari bilik. Dia berharap dapat menghalang Abang Saidin daripada melihat semua pemandangan yang menyakitkan mata itu. Namun, dia terlambat.

Abang Saidin sedang berdiri di tepi tingkap. Dia sedang menyaksikan sebuah pemandangan yang menyakitkan matanya. Dia sedang melihat isterinya sedang dikucup oleh lelaki lain! Sungguh sumbang perbuatan Maniseh. Sebagai suami, dia rasa dayus!

“Abang...” panggil Kamilia perlahan.

Abang Saidin menoleh. Dari wajahnya Kamilia seperti sedang melihat api kemarahan yang menjulang. Tubuh lelaki itu sedang menahan getar hatinya. Penumbuk juga sedang digenggam kemas. “Sabarlah. Bawa mengucap dulu. Abang, cuba selesaikan dengan baik.”

“Lia, pergi masuk ke dalam. Abang tahu macam mana nak ajar dia!” Suara itu kasar dan bergegar, walaupun perlahan.

Kamilia rasa amat takut dan kecut perut. Tanpa berlengah, dia segera masuk. Rasanya tidak sanggup untuk mendengar dan melihat semua kejadian yang tidak diingini berlaku di depan mata.

Deru enjin kereta berlalu pergi. Derap kaki Maniseh mendekat ke pintu. Hati Kamilia semakin resah dan ketakutan. Dia sengaja tidak menutup pintu untuk mendengar apa yang diucapkan oleh pasangan itu.

“Baru balik sayang?” tegur Abang Saidin.

Kamilia tahu lelaki itu sedang sengaja memesrakan suasana, namun suara itu kedengaran begitu sumbang dan langsung tidak mesra.

“Eh... B... Bila abang datang?Kenapa tak cakap nak datang?”Suara Maniseh juga kedengaran amat ketakutan.

“Abang ada di sini sejak malam tadi.Abang saja tak beritahu untuk melihat sendiwara sumbang isteri abang,” ucap Abang Saidin. Suara itu ternyata masih terkawal walaupun agak bergetar.

“Abang, abang jangan salah sangka. Itu kawan Iseh. Lia pun kenal orang tu,” kata Maniseh dengan tenang dan selamba.

“Jangan babitkan Lia!” Tiba-tiba suara Abang Saidin berdentum seperti guruh.

Ketika itu hati Kamilia rasa lapang. Sekurang-kurangnya Maniseh tidak dapat berselindung di sebalik namanya.

“Siapa lelaki itu?” tanya Abang Saidin.

“Dia... Dia kawan Iseh...”

“Kawan hingga boleh berciuman di tempat lapang macam tu? Itu di luar, kalau dalam rumah atau dalam bilik, tentu awak berzina, kan!” tengking Abang Saidin.

“Abang! Jangan suka buat tuduhan palsu.Jangan suka menfitnah. Tak percaya, tanya Lia. Pernahkah saya buat kerja terkutuk itu?” Maniseh juga meninggikan suaranya.

Tiba-tiba... Pang! Abang Saidin menampar pipi Maniseh dengan kuat.

Maniseh menjerit dengan kuat.

“Saya dah kata, kalau awak berdosa, jangan nak heret orang lain!Kalau awak nak jadi iblis, jangan ajak orang lain jadi iblis! Saya dah tengok lama kelakuan awak ni. Saya bersabar dan nak beri awak peluang. Saya ajak awak balik ke KL, tapi awak masih nak tinggal di sini. Kerana apa? Kerana awak tak nak tinggalkan najis yang jadi makanan awak di sini!” tengking Abang Saidin. Kali ini ternyata apa yang ditahannya, terlepas.

“Jangan tuduh saya!” jerit Maniseh.

Kamilia segera menutup pintu. Dia tidak mahu mendengar lagi. Biarlah mereka selesaikan masalah itu sendiri. Dia tidak mahu terlibat.

Pakaian dan barang-barang yang siap dikemas direnungnya. Kemudian dia meletakkannya di luar pintu bilik. Dia termenung sejenak dan berfikir: Ke mana dia akan pergi? Bukan senang untuk mencari bilik kosong dalam keadaan segera. Lama dia berfikir. Tanpa disedari, dia terlelap keletihan.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.