Tengahari itu semasa makan tengahari bersama dengan Pak Mat, Mak Timah menumpahkan segala kegalauan yang mulai berselirat mati dalam relung hatinya mengenai Hersalina. Diceritakan segalanya kepada Pak Mat mengenai Hersalina yang mencuri tengok anak-anak majikannya pergi dan balik sekolah. Mak Timah menceritakan juga hajat hati Hersalina mengenai impiannya yang mahu bersekolah itu.
Juga tidak ketinggalan diceritakannya juga peristiwa dia memberitahu kepada Puan Rita mengenai impian anak kecil itu. Puan Rita mengamuk sakan apabila mengetahui akan hal tersebut. Habis dia dan Hersalina yang menjadi mangsa amukannya.
“Kenapa awak bagitahu dia? Memanglah dia marah! Takkan awak tak kenal majikan awak selama ni?
Apa-apa hal yang melibatkan Hersalina tidak pernah dia nak bertenang. Selalu mengamuk macam orang gila! Walhal Hersalina takda buat apa-apa salah dengan dia pun!” Leter Pak Mat panjang lebar kepada Mak Timah.
Meresakan dirinya bersalah kerana tersilap mengkhabarkan perihal tersebut kepada Puan Rita, Mak Timah terpaksa menadahkan telinga sahaja mendengar leteran Pak Mat.
“Tengok! Tak pasal awak dengan Hersalina kena naik tangan dengan dia tu!” Marah Pak Mat lagi.
Mak Timah terpaksa mendengar sahaja bersama dengan hati yang pedih. Sudahlah tadi dia puas dimaki hamun oleh Puan Rita. Kini dia dihadapkan pula dengan leteran suaminya itu. Mak Timah mengeluh seketika. Dah nasib badan, terima sahajalah! Kata hatinya. Mak Timah melihat Pak Mat begitu berselera makan makanan tengahari.
Hanya bertemankan lauk gulai pucuk paku, ikan sepat masin dan sedikit ulaman yang terdiri daripada buah kerdas, petai dan pucuk paku sudah cukup untuk membuatkan Pak Mat bertambah sehingga tiga kali. Tidak susah untuk mendapatkan semua bahan itu. Hanya perlu mencari di hutan berdekatan di belakang banglo majikannya itu.
“Awak takkan tak tahu Mah, Puan Rita tu mana ada pernah baik dengan kita. Samalah dengan Tuan Karim. Kita hanya menumpang sahaja di sini. Kalau tidak kerana hutang kita yang menimbun dengan keluarga ni dah lama abang angkat kaki Mah.” Kata Pak Mat lagi.
Kali ini nada suara Pak Mat lebih lembut sedikit. Tidak marah-marah dan membentak seperti tadi. Sambil itu seleranya masih tetap menajam sama seperti tadi. Tidak pernah surut pun. Pinggan yang sudah licin itu diletakkan semula atas lantai, cuma tanggannya masih ligat mengupas petai untuk dimakan begitu sahaja. Mak Timah tidak pernah melupakan ulaman kegemaran suaminya itu setiap kali makan tengahari.
Pak Mat yang sudah makan itu mencelupkan tangan kanan ke dalam mangkuk dan dia mulai meramas-ramas tangannya di dalam air. Sesudah itu dia mengelap tangannya dengan kain nipis yang dihulurkan oleh Mak Timah. Pak Mat meneguk air suam melepaskan dahaga. Mak Timah yang sudah makan sejak tadi hanya sekadar memerhati perlakuan suaminya itu.
“Abang bukan apa Mah, abang geram sangat bila awak bagitahu kat Puan Rita tentang Hersalina nak ke sekolah tu. Awak bukannya tak tahu Puan Rita tu bagaimana. Tu pun abang tengok awak tak serik- serik kan dengan Puan Rita tu kan?”
Mereka berdua sama-sama melepaskan nafas yang memberat. Seketika sepi mulai membungkusi mereka berdua. Hersalina awal-awal lagi sudah makan tengahari kerana tidak tahan kelaparan. Sesudah itu dia bermain-main seorang diri berdekatan hutan di belakang banglo.
“Bang, saya bukannya apa. Pada pandangan saya walaupun kita yang membesarkan Hersalina tu bagaikan anak kita sendiri tapi Hersalina itu tetap milik ibunya walaupun ibunya tak pernah menganggap Hersalina itu anaknya!” Mak Timah sedikit emosi menyudahan baris ayat itu.
Derita mengenangkan itu tidak perlu dipanggil. Datang sendiri menyelinap ke segenap pelusuk hatinya. Hersalina bukannya anak haram yang seperti Puan Rita katakan selama ini. Dia hanyalah anak yang tidak sah taraf. Manusia biasa yang lahir dari perbuatan haram ibu dan kekasihnya. Mengapakah hakikat itu tidak pernah Puan Rita mahu memahami ataupun memuhasabah diri.
Bahkan dengan tegarnya Puan Rita membebankan pundak anak itu dengan salah dan derita yang ternyata sekali bukan milik dia. Ya Allah, setiap kali mengingatkan semua itu setiap kali itulah air matanya bercucuran dengan pelbagai rasa yang sentiasa sesak membalun hatinya.
“Saya tak boleh hendak sesuka hati menentukan apa yang terbaik dalam hidup Salina kalau ibunya awal-awal lagi sudah tidak membenarkan Salina mengecap bahagia sekelumit pun.” Kata Mak Timah lagi.
Air mata yang bercucuran lesu dilap dengan hujung bajunya. Hatinya selalu digamit sedih mengenangkan semua ini. Hatinya ini masih terasa lagi dan terlalu sakit mengingatkan semua kenangan lalu. Sungguh Allah itu maha adil. Kerana keadilan Allah itulah manusia yang mendiami bumi cipataannya ini mengendong takdir yang berbeza setiap daripada mereka.
Dan takdir daripada Allah itu dapat menentukan manusia sama ada mahu menjadi manusia yang bersyukur dengan apa yang diberikan padanya ataupun sekadar mahu menjadi manusia yang tidak pernah terdetik syukur kepada Tuhannya serta sentiasa tamak dan mahukan lebih daripada itu.
“Sebab itulah saya memberitahu apa yang terbaik untuk Salina kepada Puan Rita agar Puan Rita dapat menimbang dengan wajar sekali. Saya tak sangka akan jadi begini bang. Kalaulah saya tahu, sumpah saya takkan berbincang dengan Puan Rita.”
Pak Mat pula yang bertindak mendiamkan diri apabila mendengar hujahan isterinya itu. Perlahan-lahan bicara hati yang penuh dengan kesenduan dan linangan air mata dia hadam dengan berhati-hati dan pertimbangan yang wajar.
“Itu semua dugaan yang terpaksa Hersalina hadapi dengan tabah, sabar dan istiqamah. Kita sebagai insan yang menjaga dia dari sekecil tapak tangan ni kita didiklah dia dengan apa yang kita mampu. Supaya bila besar nanti dia akan jadi insan yang mendahulukan Islam, syariat dan syaraknya.”
Mak Timah hanya diam. Air mata yang galak mengalir membuatkan dia tidak mampu mengeluarkan bicara walau sepatah pun.
“Kalau Puan Rita tidak membenarkan kita tak boleh berbuat apa lagi. Dia yang berkuasa di sini. Tapi ingat Allah itu Maha Melihat dan setiap apa yang dia lakukan selama ini pasti Allah akan membalasnya kalau tidak di dunia pasti di akhrat nanti. Ilmu ada di mana-mana. Kitalah yang harus rajin menimbanya tak kira di mana pun berada.”
Kata-kata yang sangat bermotivasi itu sangat terserap dalam hati Mak Timah yang mendengarnya. Dalam hati dia sangat mengiya-iyakan kata-kata suaminya itu. Ya, seharusnya dia menyerahkan segala-galanya pada Allah. Biarlah Allah mentakdirkan apa yang terbaik buat Hersalina. Doanya semoga Hersalina tetap tabah dengan halangan yang mendugai setiap perjalanan hidup Hersalina.
“Eh, Pak Mat dengan Mak Timah tak habis makan lagi?” Kata Hersalina sebaik tiba di ruangan dapur yang di khaskan untuk pekerja sahaja.
Waktu itu waktu makan malam. Jarum jam tepat pukul 9.00 malam. Kelihatannya Mak Timah dan Pak Mat masih makan bersama sambil memperkatakan hal Hersalina yang tidak berkesudahan dari tengahari tadi. Sebentar tadi Mak Timah ada mengajak Hersalina untuk makan bersama.
Tapi Hersalina menolak dengan lembut sambil memberi memberitahu bahawa dia sudah pun kenyang makan petang tadi walaupun hanya minum air milo panas bercicahkan biskut kering semata. Hersalina hanya berdiri di muka pintu sedari tadi. Mak Timah dan Pak Mat saing berpandangan sesama sendiri sebelum akhirnya mereka memusatkan pandangan mereka ke wajah Hersalina.
Bukannya apa mereka sebenarnya terkejut dengan kehadiran Hersalina yang bertandang tanpa memberi salam. Sudahlah malam ini malam khamis malam jumaat. Hampir sahaja mereka menganggap Hersalina itu toyol berjantina perempuan. Nasib baiklah rambut yang panjang mengurai dapat membezakan dia dengan toyol yang berkepala botak. Mak Timah mengurut dadanya yang mulai kelegaan dari rasa terperanjat sebentar tadi.
Sementara Pak Mat pula menggeleng-gelengkan kepalanya melihatkan keletah Hersalina yang tak reti duduk diam itu. Ada-ada sahaja hal yang mahu dia lakukan sehingga dia berasa geram dengan anak kecil itu. Hatinya berkata sendiri.
“Salina, buat apa tercegat dekat pintu tu? Mari sini duduk sebelah Pak Mat.” Kata Pak Mat menggamit Hersalina supaya mendekatinya.
Hersalina yang tercegat di depan pintu mulai mendekati Pak Mat lalu dia berlabuh punggung di sebelah lelaki itu.
“Salina tak nak makan ke?” Tanya Pak Mat.
“Tak payah ditanya bang. Dia dah kenyang makan biskut kering petang tadi.” Sampuk Mak Timah sebelum sempat Hersalina mahu menjawab.
Hersalina hanya mengangguk membenarkan sahaja kata-kata Mak Timah. Pak Mat senyap sambil memandang dalam Hersalina.
“Hersalina nak sekolah ya?” Tanya Pak Mat.
Mak Timah tidak tahu apa rasionalnya soalan yang sangat sensitif itu ditanya lagi. Dia tak nak Hersalina sedih kembali. Keluh hati Mak Timah. Hersalina memanggungkan kepalanyamemandang Pak Mat sambil mengangguk akan kata-kata Pak Mat itu.
“Tapi takpalah kalau Puan Rita dah tak bagi,” Sayu sahaja ayat itu dituturkan.
Hersalina kembali menekur lantai. Sementara Mak Timah sudah lama bangun membasuh pinggan dan mangkuk di sinki yang terletak di penjuru ruangan dapur itu. Penghabisannya masing-masing senyap dengan ayat yang terakhir tadi. Sepi mulai membungkusi mereka bertiga.
“Takpalah, begini Salina. Nanti kalau Pak Mat keluar ke pekan, Pak Mat belikan buku untuk Salina ya? Nanti bolehlah Salina boleh baca di rumah.” Kata Pak Mat sambil memberi harapan kepada Hersalina supaya tidak putus harapan untuk belajar walaupun tidak dibenarkan untuk ke sekolah.
Hersalina memanggungkan wajah sekali lagi memandang Pak Mat. Sepasang mata bundarnya bercahaya mendengarkan semua itu.
“Ya ke Pak Mat?” Tanya Hersalina bagai meminta kepastian akan kata-kata orang tua itu.
“Iya! Pak Mat tak tipu! Hersalina belajar di rumah sahaja dengan buku yang Pak Mat beli.” Kata Pak Mat bersemangat sekali.
Pak Mat gembira dapat mendorong anak kecil itu bersemangat kembali. Seakan sejuk wajahnya itu memandang wajah yang disinari kegembiraan.
“Pak Mat belikan Hersalina satu barang ni boleh tak?” Tanya Hersalina.
Mak Timah menghentikan pekerjaannya lalu memandang Hersalina. Pak Mat pula dia menantikan barang yang nak dipesan oleh Hersalina.
“Salina nak pesan apa?” Tanya Pak Mat.
Hersalina terdiam. Dia bagaikan memikirkan sesuatu. Dia risau sama ada permintaannya akan dipenuhi atau tidak. Walaupun permintaannya itu tidaklah sesukar mana tapi perasaan bimbang dan risau itu tetap ada dalam hatinya.
“Hersalina nak...Pak Mat belikan..untuk Hersalina...sebuah muqaddam.” Terlontar bicara dari bibir anak kecil itu akhirnya.
Ucap sepotong ayat syukur itu di hati mereka.