Lelaki itu adalah suaminya yang sudah setahun lebih berada di perantauan membantu keluarganya yang menetap di tanah Eropah mengurus syarikat keluarga sudah pun pulang. Walaupun lelaki itu bukannya lelaki yang dicintainya tetapi tetap dia mahu memilih lelaki itu. Berasal dari keluarga kaya dan pastinya hidup dia bagaikan di dalam dulang emas. Apa sahaja yang dia mahukan pasti akan segera dItunaikan.
Lelakinya itu mencintainya dengan sepenuh hati dan dia sudah tidak peduli mahu mencintai suaminya atau tidak. Dia sudah bahagia. Biarpun tanpa cinta yang memenuhi ruang hati tapi dia bahagia memiliki segala harta benda suaminya itu. Itu yang dia mahukan selama ini. Bukan cinta lelaki itu.
Sambil dipapah oleh Mak Timah dia kehadapan sedikit demi sedikit menghampiri suaminya baru yang baru berlabuh duduk di meja makan yang boleh memuatkan 12 orang sekaligus. Bau masakan yang baru diletakkan atas meja itu menderu-deru masuk ke rongga hidungnya. Namun dia tidak pedulikan semua itu. Yang pastinya dia mahukan dendamnya segera dibalas. Itu yang penting.
Wajahnya yang indah di mata itu dengan sengaja disugulkan sedari melangkah keluar dari biliknya. Hatinya bagai kelam tidak mempunyai apa-apa rasa. Menyumbat rasa sedih sebanyak yang mungkin agar air mata ini dengan mudahnya berjuraian sebentar nanti. Dia perlu menjadi pelakon yang bijak memainkan keadaan dan menggunakan kelemahan lelaki yang mudah emosi itu sebagai satu senjata yang sangat ampuh.
Baginya air mata dan wajahnya dengan sengaja disedihkan adalah senjatanya yang bakal digunakan sebaik mungkin. Sebaik sahaja melangkah ke ruang makan itu dia sedar dia kena menjadi pelakon hebat yang menggunakan suaminya sebagai satu alat untuk satu pembalasan yang bakal dia cipta. Tubuhnya lemah lagi tidak berdaya. Lalu perlahan dia merapati suaminya itu.
“Abang,” Rita menyeru suaminya perlahan bersama selaut derita yang penuh kepalsuan.
Tuan Karim yang baru menyinsingkan lengan kemejanya memandang isterinya yang sudah berada dihadapannya kini. Dia menyungging senyuman. Ada bahagia yang menyapa hatinya apabila bertentang mata dengan insan yang dicintai itu.
Dia mendapatkan isterinya lalu tubuh itu didakap dengan erat. Melepaskan rindu yang membuku pejal di dalam hati. Rita yang di dalam pelukan suaminya sudah mengalirkan air mata. Hatinya bagai digamit derita yang cukup berat. Cukup hanya wajahnya menggambarkan betapa terseksanya dia ketika ini.
“Abang, Tolonglah Rita bang,” Serunya perlahan bersama linangan air mata yang mulai membasahi mulus pipi.
Badan suaminya itu digoncang sekadar ada menggambarkan dia sudah tidak mahu meneruskan hidup lagi. Dia sudah lemah kini. Dia sudah lelah dengan dugaan yang dititipkan untuknya. Tangisan yang asalnya perlahan sedari tadi sudah menjadi kuat, meraung.
“Rita dah tak sanggup nak teruskan hidup bang! Hidup Rita dah punah bang! Dah punah!” Kata Rita dengan penuh derita.
Esakannya semakin menjadi-jadi. Tuan Karim memandang isterinya dengan penuh kepiluan. Apakah yang terjadi kepada wanita paling dicintainya ini? Memandang wajah isterinya yang keruh itu benar-benar membuatkan hatiya sakit bagai dikelar pisau yang tajam. Lekas-lekas dia mendapatkan isterinya yang sudah melutut di kakinya. Sedih benar dia melihatkan isterinya yang derita itu. Lalu dengan kasih sayang dia mengesat lembut pipi yang basah dengan linangan air mata itu.
“Kenapa ni Rita? Ceritakan pada abang sayang,” Lembut dia berkata memujuk isterinya.
Air matanya tidak berhenti berlinangan dari tadi. Esakannya semakin menjadi-jadi. Dia cuba menggagah diri untuk menatap twajah suaminya itu. Nafas yang terasa sesak dihela seboleh mungkin. Tangisannya kini benar-benar memayahkannya untuk berbicara walau sepatah kata pun.
"Rita bang. Rita..” Rita tidak dapat meneruskan bicara. Dia menangis lagi.
“Cakap sayang, Rita apa?”
“Rita bang. Rita..dirogol!” Selesai berkata dia terus menangis lagi.
Membayangkan dia wanita yang benar-benar terluka parah jiwa dan raga. Mendengarkan itu Tuan Karim terkejang ditempatnya. Jantungnya bagai terhenti mengepam oksigen. Otaknya bagai kaku untuk berfikir dan lidahnya kelu seribu bahasa. Buat seketika dia terdiam. Bagai menghadam apa yang diperkatakan isterinya itu.
“Tolonglah bang! Rita dirogol! Rita dah tak sanggup hidup lagi dah! Kenapa hidup Rita begini bang!Kenapa!” Dia sudah mengongoi disisi suaminya sambil memeluk erat kaki suaminya.
Astaghfirullahhal’azim. Mak Timah mengucap dalam hati. Betapa zalimnya insan yang bernama Rita bt Hassan ini. Sebak menggoncang dadanya sedari tadi. Sedih memikirkan majikannya yang bukan sahaja menzalimi orang lain bahkan dia menzalimi dirinya juga. Matanya yang sudah berkaca sedari tadi sudah pun menitis menuruni pipi. Dia dihadapkan dengan drama kejam yang sangat menyakitkanhati.
Dia sendiri tidak tahu mahu mengatakan manusia jenis apakah majikannya ini. Lebih sanggup melakukan apa sahaja untuk kepuasan nafsu dan dendamnya semata-mata. Terasa payah benar dia hendak bernafas bila berada sangat dekat di situ. Hanya berdiri dan memandang majikannya begitu pakar memainkan watak palsunya. Ingin saja dia berlari pergi dari sini. Tapi dia tidak mampu. Benartidak berdaya. Renungan tajam majikannya itu bagai memasung kakinya ke lantai dari bergerak.
Dia hanya mampu menonton dengan hati berbuku penyesalan. Rita dapat mendengar gigi geraham suaminya bergeseran. Jelas dan kuat sekali. Seketika dia gerun melihatkan wajah suaminya yang mula memerah itu. Dia hanya tunduk dan terus melagukan tangisan deritanya. Tuan Karim diam. Menahan amarah yang teramat. Hatinya benar-benar menggelegak dengan kemarahan dan kebencian. Dia bangun. Melepaskan dirinya dalam pelukan isterinya.
“Siapa yang buat kau! Cakap! Siapa yang rogol kau!” Tengking Tuan Karim sambil mencekak baju isterinya.
Rita benar terkejut dengan suara kuat suaminya. Suaminya benar-benar mengamuk. Bagus! Ini yang dia mahukan sebenarnya. Bagus! Teruskan lagi wahai suamiku! Laung hatinya gembira. Kesakitan di sekitar lehernya perlu dia abaikan seketika. Yang penting kini dia mesti meneruskan rancangannya.
“Amran bang! Amran! Dia yang rogol Rita bang! Apa salah Rita pada dia bang? Apa salah Rita?!” Jawab Rita dalam nada yang penuh kesenduan.
“Mak Timah nampak nampak bang! Dia rogol Rita sampai Rita mengandung anak haram!”
Mak Timah tersentak apabila namanya disebut. Terkedu Tuan Karim sekali lagi. Benar-benar tidak menyangka hal ini akan pergi sejauh ini. Dia sangat mendendami Amran. Lelaki itu memang patut mati dari dahulu lagi. Selalu sahaja mahu menghancurkan hidup isterinya. Berani benar dia menceroboh kediamannya dan menodai harta milik dia.
Lelaki itu tidak mahu makan diajar. Tidak pernah serik. Sepatutnya Amran jahanam dari dahulu lagi. Dengan kasar dia melepaskan leher baju isterinya. Dia sudah tidak pedulikan semua itu. Yang penting kini dia mahu membuat perhitungan dengan lelaki yang diaggap keparat itu. Rita yang terhempas kasar hanya menangis penuh kepiluan sedangkan dalam hatinya sudah bersorak-sorai kegembiraan. Apa lagi mahunya kini?
Ternyata kini semuanya berjalan dengan lancar. Tahulah nasib kau Amran! Mak Timah hanya mampu dia sejak tadi. Meskipun namanya disebut ternyata dia tidak terdaya untuk bersuara. Dia hanya mampu melihat Tuan Karim pergi keluar entah ke mana. Puan Rita kini masih lagi meneruskan tangisannya. Dia mengeluh kesal. Kesal dengan apa yang berlaku dengan semua ini.
Malam ini terasa pekat hitamnya. Sepekat kesengsaran yang dimiliki oleh manusia di dalam banglo ini.
“Letih aku berlakon! Nasib baiklah menjadi.” Kata Rita yang sudah mengelap wajahnya yang sudah basah dengan air mata itu.
Dia bangun dan terus berlalu dari situ. Mak Timah hanya mampu memandang dengan seribu penyesalan.