Rita hanya berbaring di atas katil mewah itu. Diraba-raba ruangan disebelahnya itu. Kosong. Suaminya tiada pergi entah ke mana. Sengaja jendela dibuka separuh membenarkan angin malam menerobos masuk membelai tubuhnya yang sedang kehangatan. Sejak tadi dia hanya mampu termenung dan tidak mampu untuk melelapkan mata. Ke mana suaminya pergi? Hatinya tertanya sendirian.
Sungguh dia merindukan belaian kasih sayang suaminya itu. Mengenangkan apa yang berlaku beberapa hari yang lepas hatinya mendongkol geram dengan sendiri. Siapa yang tidak hangat apabila suami kerap kali dan mengungkit mengatakan di adalah wanita mangsa rogol. Wanita yang menjadi bekas lelaki lain.
Dia jadi sangat marah dan sehabis-habis menafikan dengan menyatakan dia adalah wanita yang teraniaya. Meskipun kebenaran adalah sebaliknya, seboleh-boleh dia langsung tidak mahu mengaku. Dia perlu berlakon menjadi wanita yang kerap kali menjadi mangsa keadaan.
Hidup berumah tangga baru lima tahun dengan suaminya baru memperolehi dua orang cahaya mata tapi bila kes yang ini cepat benar dapatnya. Anak haram lagi. Hatinya sakit hati lagi. Hal itu yang suaminya selalu pertikaikan. Kerap kalilah dia memarahi suaminya dengan mengatakan suaminya itu bukanlah lelaki yang segagah mana.
Hampir-hampir sahaja telapak tangan kekar Tuan Karim mengenai mulus pipinya. Dia sendiri pun tahu mulut tajamnya itu kerap kali menyiat hati lelaki itu. Mahu saja dia khabarkan kepada suaminya itu, kalaulah dia diberi pilihan sungguh dia tidak mahukan anak itu. Bukan dia tidak pernah mencuba menggugurkan kandungannya itu. Dah banyak kali. Mak Bedah pun pernah dijumpanya untuk melakukan hal yang sama.
“Aku dah cuba sedaya upaya Rita. Kandungan kau ni tetap utuh. Tuhan mahu tunjukkan sesuatu. Aku tak berani nak menentang takdir yang tertulis untuk anak ini. Pulanglah.”
Kenangan menariknya kembali ke alam nyata. Rita masih ingat lagi sebaris ayat yang dikatakan oleh bidan tua itu. Lantaklah! Biar apa pun takdir yang tertulis buat anak itu, aku tetap tidak mahukannya. Itu tekadnya dalam hati. Bunyi pintu yang tertutup rapat itu sedikit memeranjatkannya.
Dalam gelap dia meliar-liarkan mata mencari suaminya. Tahu-tahu saja Tuan Karim berlabuh baring di sebelahnya sambil memeluk erat pinggangnya. Rita sudah melebarkan senyuman. Dia tahu suaminya merinduinya.
“Abang dari mana?” Tanya Rita dengan wajah sedih sambil mengusap kasih wajah Tuan Karim yang memandangnya dengan pelbagai rasa.
“Keluar dengan kawan,” Jawab Tuan Karim perlahan.
Dia memandang lagi wajah isterinya itu.Kadang-kala dia merasakan sedih dengan keadaan isterinya itu. kadang-kala dia merasakan geram dengan isterinya. Isterinya itu sudah menjadi bekas lelaki lain. Kerap kali dirinya menjadi baran lalu isterinya itu yang menjadi tempat melepaskan kata yang perit untuk didengar.
Nasib baik keluarganya tidak tahu. Kalau mereka ketahuan, mahu saja dia dipaksa menceraikan isterinya sekarang juga. Keluarga Tuan Karim tidak penah merestui dia berkahwin dengan perempuan yang tidak tahu asal usul itu. Orang miskin. Sudah dipesan oleh ibu bapa Tuan Karim agar berkahwin dengan wanita yang sedarjat dengannya. Tapi harus bagaimana lagi?
Dia sudah terlajak mencintai wanita yang sedang dipeluk erat kini. Biarlah apa pun asal-usul atau tingkah laku Rita. Dia tetap mencintai wanita ini.
“Anak haram tu bagaimana?” Tanya Tuan Karim.
Entah kenapa baru sekarang dia teringat akan anak haram isterinya itu. Elok juga anak itu disorokkan dari pandangan umum. Seketika Rita terkial-kila dibuatnya. Sedikit tergagap mahu menjawab soalan suaminya itu. Hatinya dengan tiba-tiba jadi resah sendiri.
“Ada. Timah dengan Mat yang jaga. Rita tak mahukan anak itu. Budak tu anak jantan tu. Rita mahukan anak dengan abang saja.” Kata Rita sambil tangannya melingkari dada suaminya.
Dia hanya memandang dekat wajah suaminya dari dekat. Hatinya ingin sahaja mencium wajah kacak itu. Namun ditahan saja buat masa ini. Wajah suaminya yang serius itu membuatkan dia terus memusatkan pandangannya ke arah suaminya. Tuan Karim memikirkan sesuatu.
Bagus juga dia menyerahkan anak haram itu kepada orang gajinya yang tidak mempunyai cahaya mata. Lagipun dia sememangnya tidak mahu anak haram itu hadir dalam keluarganya. Itu bukan anaknya. Dalam hati dia berkata sendiri.
“Rita nak buang saja anak itu. Paling tidak pun hantar ke rumah anak yatim. Tapi Timah melarangnya. Dia ingin membela anak itu.” Ujarnya lagi selepas seketika berjeda.
Tangannya ligat meramas lembut rambut suaminya, bagai membelai. Tuan Karim hanya diam menikmati belaian isterinya itu.
“Bagus juga tak dibuang. Abang tak setuju Rita nak hantar anak itu ke rumah orang yatim. Kelak kalau orang tahu malu abang. Tercalar maruah keluarga abang.” Kata Tuan Karim mendekatkan lagi tubuhnya dengan isterinya. Terasa kehangatan badan isterinya.
Rita terdiam seketika. Dia memahami suaminya itu bukan sahaja berada tetapi amat terpengaruh dalam dunia perniagaan di Malaysia ini. Suaminya selalu menjadi perhatian oleh media. Mungkin segala tindak-tanduknya seperti diperhatikan. Setiap langkah yang hendak dibuat memerlukan dia memikirkan perkara itu paling tidak pun tiga kali.
Rita jadi lega seketika kerana tidak menurutkan hati marahnya. Dia tidak dapat bayangkan kalau Timah melakukan apa yang disuruh. Tentu hal yang aib ini dengan mudah terbongkar di media. Tentu sahaja reputasi Tuan Karim yang dibina selama ini akan hancur. Hancur-sehancurnya.
“Abang tak nak anak itu. Biar dia tetap tinggal di sini. Tapi dia bukan anak abang. Abang takkan mengaku dia itu anak abang!” Kata Tuan Karim sambil memandang tepat mata isterinya dalam gelap malam.
Rita tersenyum nipis. Dia pun tidak mahukan anak itu. Tidak pernah jua dia mengaku anak haram itu anaknya.
“Abang jangan risau, Rita pun tak pernah anggap anak itu anak Rita. Biarpun Rita yang mengandungkannya, itu tetap bukan anak Rita. Itu anak Amran.”
Puas hati Rita kini. Apa yang berlaku semuanya atas kehendaknya. Amran sudah tidak menganggunya lagi. Hal tentang anak haram itu sudah selesai rasanya. Kini dia boleh hidup bahagia dengan suaminya tanpa ada sedikit pun rasa bersalah kepada dirinya, suaminya, anaknya dan yang paling penting kepada pencipta-Nya.
Mendengarkan nama Amran dari ulas bibir isterinya, dendamnya kembali bangkit. Dendam kepada lelaki yang menghancurkan hidup wanita kesayangannya itu tidak pernah menyurut. Dia sudah tentukan nasib Amran. Amran tidak akan mengganggu keamanan isterinya lagi. Dia sudah membuat Amran lenyap sama sekali di muka bumi fana ini.
“Amran sudah tidak ada! Dia sudah lenyap!” Kata Tuan Karim serius.
Rita terkaget seketika. Apa benar yang dikatakan suaminya bahawa Amran sudah tiada lagi? Matikah dia? Ataupun sudah berambus dari sini? Tapi apa yang mahu ditakutkan? Hatinya berkata sendiri. Dia sendiri yang mahu Amran lenyap dari hidupnya. Seharusnya dia perlu menarik nafas lega sepanjang yang mungkin kerana Amran sudah mendapat pembalasannya.
Walaupun dia tidak pernah memberitahu secara terus-terang kepada suaminya itu. Namun suaminya seakan memahami apa sebenarnya yang dia mahukan. Rita menarik senyum panjang. Terus leher suaminya dirangkul erat. Dengan perlahan-lahan dia memanjat badan suaminya itu. Dia mahu melunaskan apa yang dia rasa. Suaminya hanya membiarkan. Seakan membenarkan. Apa lagi yang dia mahukannya lagi? Amran sudah tiada. Segala-galanya selesai! Sorak hatinya sangat gembira.