Home Cerpen Islamik Ketulusan Hati
Ketulusan Hati
14/5/2013 18:16:12
3,420
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

Aku amat mencintainya. Seumur hidupku ini dialah yang paling aku cintai. Daniel, dialah lelaki yang mengetuk pintu hatiku. Aku mencintainya kerana agamanya. Kalau agama itu hilang darinya, maka hilanglah cintaku padanya.

Aku hanya hambamu nan kerdil, Ya Allah. Aku hanya mampu mencintai kerana semua rasa itu hanya datang daripada-Mu, Ya Rabbul Izzati. Engkaulah Maha Mencintai dan dicintai oleh segenap umat-Mu. Sesungguhnya rasa cintaku kepada Daniel makin mengerdil di jagat raya-Mu Ya Allah. Dan aku mengetahui hanya pada-Mu adalah sebenar-benar cinta Ya Allah.

Benarlah duhai hati, duhai rasa, cintailah pada yang maha mencintai. Kerana apabila kita mencintai-Nya kita akan Dicintai-nya. Dialah sebenar-benar kekasih yang tidak akan memungkiri cinta-Nya dah hanya cinta-Nya yang kekal abadi dan tidak pernah terhakis walau sezarah pun.

“Syira, rombongan lelaki sudah sampai.” Kata umi.

Nurul Syahirah mengangguk perlahan. Sedikit senyuman terbias pada wajahnya. Nurul Syahirah tahu rombongan meminang itu untuk siapa sebenarnya. Bukan untuknya. Tetapi dia hanya mendiamkan diri. Menyimpan seribu cinta yang bersemi dalam hati. Dia bukanlah insane cekal, yang mampu berpura tabah untuk menghadapi semua ini.

Tatkala itu dia menyarung pakaian pernikahan yang dibeli bersama Daniel beberapa hari lepas. Pakaian yang bernuansa ungu lembut yang tersarung cantik di tubuhnya bukan untuk dia. Lebih layak untuk orang lain. Lebih layak untuk wanita yang Daniel cintai setulusnya. Tapi dia berada tempat itu sekarang. Hati kecilnya menangis pilu.

Sedihku...

Sakitku...

Ku terima...

Ku rela...

Ku pasrah...

Jalanku...

Ini suratan aku dicuba

Demi rahmat-Mu ku memohon...

Di jari Nurul Syahirah terselit cincin tanda cintanya. Namun cinta itu semakin menghilang dan berterbangan di puput angin kenangan. Di hatinya, tersergam taman seribu cinta buat bakal suami. Taman seribu cinta yang terindah hanya untuk suami. Dan dia ingin cintanya itu dinikmati bakal suaminya bila dia berkemahuan. Pada hidup mendatang, akan dia gantungkan segenap hidupnya kepada pundak suaminya. Akan dia taat kepada suaminya kerana ketaatannya itu adalah jaminannya mendiami syurga dan menatap wajah Kekasih abadinya. Pernah dulu dia berjanji dengan hatinya, bahawa cinta ini akan dibekalkan buat suaminya yang sentiasa meladeni hidup yang tidak pernah lari dari pancaroba.

Dulu dia mengharapkan kekasihnya, Daniel adalah bakal suami yang akan menuntunnnya jalan ke syurga. Ternyata harapannya semakin kabur dan seakan tidak membenarkan. Sesungguhnya untuk menerima semua ini terasa amat pahit dan sukat diterima. Daniel bukan lagi cintanya. Cinta Danniel bukan lagi untuknya. Hakikat itu dia mesti fahami agar hati hati yang lain sentiasa terjaga dan tidak terluka. Sekali ini, biarlah hatinya sendiri yang terluka. Nurul Syahirah rela.

Umi mengetuk pintu sekali lagi seraya memberitahu pihak lelaki sudah berada di ruang tamu rumah mereka. Nurul Syahirah bangun dan keluar dari bilik sambil diiringi oleh kakaknya. Perlahan-lahan dia melangkah penuh kesopanan. Pandangan matanya direndahkan daripada memandang orang ramai yang berada di ruang tamu itu. Nurul Syahirah malu, sepatutnya bukan dia yang berada di sini. Tapi mengapa Daniel tidak mahu mambangkang pernikahan ini? Tetapi mahu meneruskan juga?

Perlahan-lahan Nurul Syahirah bersimpuh sopan bersama dengan para tetamu yang sejantina dengannya. Sepasang tangan itu bersulam erat. Senyumannnya masih terbuah pada ulas bibirnya. Nurul Syahirah kelihatan tenang sahaja.

Ya Allah Redailah ketulusan hatiku

Ya Allah berilah aku ketabahan

Aku sanggup berkorban

Hatinya berkata perlahan. Sakit, pedih dan terkilan semakin meracun hatinya. Nurul Syahirah meninggikan sedikit pandangannya, redup matanya bertemu lembut dengan sepasang mata yang menggusar itu. Apakah ertinya semua ini Daniel? Apakah maksud pandangan matamu itu? Luahkan apa yang membuku di hati sebelum ada hati yang lain parah?

“Saya dikhabarkan semalam bahawa Encik Daniel ditangkap basah dengan perempuan lain.”

Nurul Syahirah mendengar berita itu dengan penuh kesabaran. Dia sempat bermohon pada hatinya supaya air mata ini jangan mudah mengalir di hadapan insan-insan yang dicintainya.

“ Tapi Encik Daniel kata itu semua perangkap dan dia tetap mahu meneruskan pernikahan ini.” Berkata kadi itu lagi.

Janganlah menyalahkan pada keadaan untuk menutup cela yang diciptakan sendiri. Dugaan dan godaan sentiasa beriringan pada insan yang dilamun cinta. Syaitan pernah berjanji kepada Allah apabila dia sudah dicampak keluar dari syurga bahawasanya syaitan akan menyesatkan anak Adam dengan pebagai cara sekalipun.

“Maafkan saya jika mencelah, saya mohon supaya pernikahan ini dibatalkan.” Nurul Syahirah berkata sedikit lantang dicelahan keriuhan yang tercipta.

Seisi ruang tamu itu menyepi seketika bagaikan menerima berita kematian. Ya Allah, sesungguhnya engkau telah menetapkan bahawa cinta ini bukan untukku. Aku pasrah dengan dugaan-Mu ini.

“Apa yang Syira merepek ni?! Bawa mengucap nak!” Kata umi.

Nurul Syahirah hanya diam tidak berkutik seraya menundukkan pandangannya. Menutup hati dan perasaanya agar keputusannya takkan mudah tergoyah.

“Syira dah istiqamah umi, Syira nak batalkan pernikahan ini.” Penuh ketenangan Nurul Syahirah menuturkan.

Dia hanya mendengar uminya menangis, dipujuk oleh ayahnya. Hati kerdilnya kesedihan yang teramat. Nurul Syahirah memandang muka kakaknya yang gelisah itu. Dia kembali tenang. Biarkan semua ini terjadi dan pergi. Dia sudah semakin tidak berupaya menahannya. Semakin sesak dalam hati ini hanya Allah saja yang tahu. dan untuk rasa indah itu, Nurul Syahirah rela melepaskan pergi. Rasa indah itu bukan miliknya lagi.

“Kak, Tempat ini bukan milik Syira sebenarnya. Akak yang lebih berhak.” Dia berkata perlahan kepada kakaknya yang sedari tadi berada di sisinya.

Dia dapat melihat kakaknya yang terkejut. Dia masih tenang.

“Bukan Syira yang Daniel cinta, tapi akak. Akak yang Daniel cinta sebenarnya.” Ujar Nurul Syahira lagi, sejujur hatinya.

“Apa yang adik kata ni?”

Aku tak berdaya memaksa Daniel mencintai aku lagi apabila hatinya sudah terisi dengan cinta yang lain. Cinta yang dirasakan lebih bermakna buatnya. Cinta yang lebih berharga buatnya. Aku tahu cintaku bagaikan tersia apabila Daniel mencintai yang lain. Tapi cintaku akan lebih tersia lagi jika aku tetap meneruskan pernikahan ini jikalau Daniel masih tetap utuh mencintai yang lain.

“ Dalam hati Daniel Alif cuma ada seorang hawa yang layak mendiami hatinya. Akaklah insan yang dicintai Daniel, perempuan yang diciptakan untuk Daniel sebenarnya.”

Nurul Syahirah memandang ke dalam mata kakaknya yang meretak kaca itu. Nur Zulaikha bagaikan tidak mampu berkata. Dia akhirnya memeluk Nurul Syahirah, meluruhkan air matanya yang bertakung sedari tadi.

“Jangan menipu diri, hati dan perasaan kakak, bahawa akak mencintainya sejak kali pertama bertemu dengannya.” lembut pengucpan Nurul Syahirah.

Digosoknya belakang badan kakaknya dengan kasih sayang. Tiada dendam yang tersimpan untuk kakaknya itu. Hanya kasih sayang yang semakin mekar buat Nur Zulaikha.

“Maafkan kakak dik! Mafkan kakak adik!”

“Adik dah lama maafkan akak, mintalah kemapunan pada Yang Maha Pemaaf.”

Aku sudah lama memaafkan Nurul Zulaikha. Sesungguhnya dugaan insan yang bercinta sentiasa ada banyak dugaannya. Salah satu pasangan yang bercinta itu mungkin akan berubah hati. Sesungguhnya insan yang bercinta itu kadang-kala akan menemui kegagalan sebelum menemukan insan yang benar-benar berhak mendiami hati mereka. Kegagalan insan bercinta merupakan pengalaman yang paling berharga meskipun hati itu terparah luka.

Aku mahu berbahagia di dunia dan akhirat

Jadi aku melepaskan Daniel pergi dari hatiku

Agar dia berbahagia di dunia dan akhirat bersama insan yang benar-benar yang dicintainya

Aku mohon agar rahmati kami semua Ya Allah...

“Akak, sekarang ini, akak ambillah tempat adik, tempat di hati Daniel. Dan temanilah Daniel untuk selama-lamanya. Semoga berbahagia kakakku, Nurul Zulaikha.”

Aku berharap agar kakak dan Danniel tidak terjerumus lagi ke lembah dosa. Cinta antara kekasih adalah bunga kebahagiaan dalam hidup manusia. Sinarilah ia dengan syariat Islam agar cinta yang sedang mekar itu tidak akan melayu dan terus mekar sepanjang hayat ini.

Nurul Syahirah terus merenggangkan pelukan erat kakaknya. Perlahan-lahan dia mula bangun meninggalkan kakaknya menuju kearah emak dan ayahnya. Semua yang berada di ruang tamu dapat mendengar jelas apa yang diperkatakan tadi. Termasuklah Daniel yang terkesima tetapi tetap membatu di tempat duduknya.

“ Umi Ayah, Syira tak nak teruskan pernikahan ini. Maafkan Syira kerana memalukan umi dan ayah. Kakak yang lebih berhak untuk pernikahan ini. Dia lebih mencintai Daniel dan Danniel mencintai kakak juga.”

Aku tidak layak menghalang Danniel dari mencintai yang lain kalau benar dia sudah berubah hati. Dan aku tidak layak meneruskan pernikahahan ini kalau laman ingatanku sudah mulai mengabur terhadap insan yang bernama Danniel Alif.

“Teruskan saja pernikahan ini, Umi Ayah. Tapi dengan kakak. Dia lebih berhak”

Nurul Syahirah menyudahkan baris ayat yang terakhir. Selepas dia menyalami kedua orang tuanya, langkahannya terus diatur ke arah Daniel yang hanya duduk terkaku di tempatnya. Nurul Syahirah jadi berani untuk menatap wajah insan yang pernah dicintainya dulu dan tetap dicintai sehingga kini. Dia tidak pernah berubah hati. Tetapi dia mesti mengalah. Mencintai tak semesti dicintai. Dan dicintai tak semestinya mencintai.

“Kenapa awak lakukan begini Syira?!”

“Saya lakukan demi awak Danniel. Saya tahu awak mencintai akak saya sejak dulu lagi. Namun saya butakan hati berpura yang awak masih mencintai saya. Tak semestinya awak kenal saya dulu awak mesti bertahan bersama-sama saya.”

Dunia ini sarat dengan godaan. Manusia tidak pernah terlepas dari khilaf. Andai dia meneruskan pernikahan ini, Nurul Syahirah bagaikan membetulkan kesilapan yang sememangnya sudah silap.

“Tipulah saya seberapa banyak yang awak mahu Daniel, saya relakan. Tapi jangan pernah sekali menipu hati dan perasaan awak. Kelak kita semua akan terseksa.” Ucap Nurul Syahirah lagi.

Cinta itu terkadang pahit. Cinta itu terkadang manis. Cinta itu terkadang indah dan membahagiakan. Cinta itu terkadang rengsa dan sangat menyeksakan. Namun cinta itu jugalah selalu membahagiakan manusia yang mendambarkannya.

“Maafkan saya, Syira. Saya bersalah!” Luah Daniel akhirnya.

“Saya boleh maafkan awak Daniel tapi dengan satu syarat.”

Daniel memandang wajah Nurul Syahirah. Pandangan mata Daniel memberitahu apakah yang hendak diberitahu oleh Nurul Syahirah sebenarnya.

“Nikahi kakak saya, Nur Zulaikha.”

Aku mahukan kakakku berkahwin dengan lelaki yang setulus hati mencintainya. Aku mahu Daniel berkahwin wanita yang dicintainya.

“Kabulkan permintaan saya yang satu ini. Benarkan cinta awak mengecap bahagia bersama insan yang awak cintai.”

Daniel diam. Dia tidak mampu berkata-kata. Betapa mulianya ketulusan hati seorang gadis yang bernama Nurul Syahirah. Dia bagaikan malu sendiri. Daniel terlalu bersalah pada Nurul Syahirah kerana telah memungkiri cinta yang terpatri dahulu. Entah kenapa cinta yang dirasakkannya kali ini lebih terisi apabila bertemu buat pertama kali dengan Nur Zulaikha, kakak Nurul Syahirah.

Noda yang terlalu membuak itu terasa amat sukar untuk Daniel menepis. Wajah Nur Zulaikha kerap kali mengundang di perdu ingatannya sehinggakan Nurul Syahirah pun dengan mudah dia melupa. Sebagai tunang, Danniel sudah banyak kali berlaku tidak jujur kepada Nurul Syahirah. Menjalin cinta dengan perempuan lain sedangkan dia sudah ada insan yang sentiasa mencintainya.

Pertemuan yang pertama itu membibitkan pertemuan yang seterusnya sehinggakan Daniel dengan mudah terlupa antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim, pasti ada syaitan bersorak gembira ditengah-tengahnya seraya mendorong mereka untuk berbuat maksiat di muka bumi Allah ini.

Peristiwa tangkap basah telah menyedarkannya dari kelekaan godaan cinta yang terlalu menghanyut. Segala-galanya sudah terlambat untuk berpatah balik. Tapi mengapa dia sendiri tidak mahu mengakui kesalahannya itu? Dia keliru. Dia rasa bersalah untuk berhadapan dengan Nurul Syahirah dan tetap mahu meneruskan pertunangan itu.

Hatinya sudah terisi dengan cinta Nur Zulaikha. Tapi dia tetap mahu meneruskan pernikahan ini juga kerana dia berasa kasihan terhadap tunangannya itu. Tapi, tidak sedarkah dia rasa kasihannya itu akan menambahburukkan sesuatu keadaan. Dan banyak hati lain yang akan terseksa dan binasa. Tidakkah Daniel harus arif tentang permasalahan hati dan perasaan itu.

“Baiklah, majlis pernikahan ini akan diteruskan. Saya akan menikahi Nur Zulaikha.”

Keterlanjuran rasa ini harus Danniel bertanggungjawab dengan lafaz ijab dan kabu keatas bakal isterinya. Dia lelaki, tidak seharusnya melarikan diri daripada masalah yang diciptakan olehnya sendiri.

“Terima kasih Danniel. Jangan biarkan kakak saya terkontang-kanting selepas peristiwa tersebut. Jadikanlah kakak saya milik awak dan pendamping awak selamanya. Peliharalah kakak saya dengan cara yang baik.”

Aku sudah cukup bersyukur pada-Mu Ya Allah kerana Daniel telah sedar akan khilafnya.

“Maafkan saya Syira kerana melukakan hati awak. Maafkan saya, kerana saya mencintai Nur Zulaikha.”

Ketahuilah bahawa setiap insan pasti akan berbuat kejahatan ataupun kesalahan yang dia sendiri tidak menyedarinya. Ubat kesalahan itu adalah taubat. Taubat supaya kesalahan yang lalu tidak akan diulang sekali lagi.

“Saya dah lama maafkan awak Daniel. Hati manusia itu tidak boleh dipaksa pada sesuatu perkara yang dia sendiri tidak suka. Ketahuilah Danniel, kami kaum hawa adalah insan yang sentiasa ingin dipayungi oleh insan yang bernama lelaki sebagai tempat bergantung hidup. Perempuan itu dicipta dengan sifat seperti tulang rusuk yang bengkok. Kalau ingin meluruskannya, luruskanlah dengan penuh hati-hati agar tidak mudah patah dan kalau dibiarkan ia akan tetap membengkok.”

Danniel benar-benar sedih. Air matanya menitik perlahan-lahan. Betapa berdosanya dia pada Nurul Syahirah dan Nur Zulaikha. Selepas Nurul Syahirah usai berbicara dengan Daniel, dia berpaling sedikit menghadap tuan kadi yang memandangnya dari tadi.

“ Maafkan saya tuan kadi, jika saya terlanjur berbicara. Majlis pernikahan ini sedia dimulai sekarang. Bukan saya pengantinnya, tapi kakak saya, Nur Zulaikha.”

Nurul Syahirah seketika bersalaman dengan keluarga pengantin lelaki temasuk ibu Danniel. Asy-syahirah sempat lagi berkata pada ibu Danniel bahawa Puan Kalsom amat bertuah dapat memiliki Nur Zulaikha sebagai menantunya. Dia berharap agar umi Daniel dapat menghargai kakaknya itu dan terima kakaknya seadanya dia.

Perlahan-lahan Nurul Syahirah mengundurkan langkahannya dari ruang tamu itu. Meskipun dihalang oleh insan yang dicintainya, dia tetap mahu pergi juga. Mengundurkan diri tidak bermakna dia bersedih. Pergi dari situ tidak bermaksud dia merana. Tapi dia cuma mahu turutkan kata hatinya itu dan pergi ke sesuatu tempat yang dirasakan tenang baginya dan menghayati betapa luas makna cinta itu sendiri.

Dia bukan untukku. Lalu dia dengan rela mengundurkan diri dan membiarkan cinta Danniel barpaut pada cinta Nur Zulaikha. Sandarlah cinta sesama insan itu hanya kerana Allah, tuhan yang satu. hanya kerana Allah, cinta itu akan kekal sampai ke syurga. Dan buat sekali ini dia lebih tegar membiarkan cintanya pergi. Cukuplah cintanya kepada Allah. Hanya cinta itu yang abadi. Cinta yang hakiki dan cinta yang bersemi di taman syurga bagaikan kelopak mawar yang harum baunya.

Doa Nurul Syahirah, moga akan ada nanti cinta yang datang menemani hidupnya ini. Cinta dari seorang lelaki yang mencintainya hanya kerana Allah dan Rasulullah. Cinta dari seorang lelaki yang dapat menuntunnya di dunia dan akhirat. Lelaki yang bakal mendidiknya dengan dengan penuh kasih sayang. Dia berharap lelaki soleh yang akan membawanya memasuki pintu syurga yang mana dia suka berkat dari keredhaan seorang suami.

Cepat atau lambat semuanya itu dia hanya menyerahkan pada Yang Maha Esa. Nurul Syahirah hanya dapat mengaliri hidupnya bersama caturan takdir yang tertulis buatnya. Tabahkanlah hatiku agar hatiku sentiasa tetap pada-Mu,Ya Allah. Doa Nurul Syahirah, penuh ketulusan dalam hati.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.