Home Novel Keluarga DOA CINTA HERSALINA
DOA CINTA HERSALINA
28/1/2014 19:47:48
47,055
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
1
2
3
4
5
6
7
8
9
10
9

Pagi itu hati Mak Timah sangat tidak tenang. Segala kerja yang dilakukannya serba-serbi tidakkena. Sehinggalah dia dimarahi teruk oleh suaminya kerana cuai melakukan kerja. Hampir-hampir sahaja badan Pak Mat disiram dengan air panas kerana Mak Timah menyangka Pak Mat itu adalah teko untuk membancuh air kopi sebentar nanti. Tanpa disangka-sangka dia dituduh oleh suaminya sebagai pekerja yang lalai dalam melakukan kerja. 

Berlibang-libu perasaannya kini. Hatinya sungguh tidak tenteram dan masih lagi berselimut dengan gelisah dan resah. Hal yang dipendamnya ini belum lagi dikhabarkan kepada suaminya lagi. Dia tidak tahu mahu berbicara yang bagaimana. Silap langkah pasti dia akan dirampus-rampus oleh Puan Rita. Bahkan kalau sampai ke pengetahuan Tuan Karim sudah pasti dia akan hatinya akan kenyang selama-lamanya dengan segala caci-maki dan sumpah seranah dari lelaki itu. 

Bukannya dia tidak arif yang majikannya itu sudah berubah 360 darjah dari sifat asal lelaki itu. Bimbang jika Tuan Karim mengetahui, tidak mustahil kaki dan tangan majikannya itu akan naik ke badan dan mukanya. Ini semua kerana Hersalina. Kerana Hersalina dia menjadi sangat tidak tentu arah begini. Lihatlah, kuih koci yang dihidangkan sepatutnya diletakkan atas piring.

Tapi dia letakkan dalam mangkuk pula. Silap hari bulan boleh jadi gila dibuatnya. Bentak hatinya sendirian. Hersalina, mengenangkan anak kecil itu dia jadi sangat kasihan. Dugaan tidak habis merentangi hidupnya. Mengenangkan peristiwa sekali lagi hatinya tersayat pedih.

“Mak Timah, Hersalina nak belajar. Hersalina nak masuk sekolah boleh?” Tanya Hersalina.

Masih segar di fikirannya pada pagi itu dia didatangi Hersalina yang bertanyakan soalan itu. Hersalina, anak itu selalu sahaja bertanyakan soalan yang tak pernah diduganya. Yang tak mampu dia menjawab dengan pantas ataupun spontan. Lalu soalan anak kecil itu dibiarkan sepi dan dia meneruskan kerja menyediakan sarapan pagi untuk keluarga majikannya itu.

“Mak Timah, Mak Timah dengar tak apa yang Hersalina cakapkan ni,” Kata Hersalina sedikit mendesak.

“Mak Timah dengar sayang,” Balas Mak Timah sambil tangannya ligat membancuh air kopi di dalam teko.

Dia mengacau air kopi yang sudah dimasukkan beberapa sudu gula. Dia senyap lagi. Tidak tahu memberi jawapan apa. Yang pasti jawapan yang memuaskan hati Hersalina ketika itu. Hersalina terus menarik-narik hujung baju kurung kedah Mak Timah.

“Jangan tarik Salina, bahaya. Mak Timah tengah buat air kopi panas ni,” Kata Mak Timah, marah dalam lembut kepada Hersalina.

Hersalina mulai mengundur beberapa langkah apabila diberi peringatan oleh Mak Timah. Dia menanti Mak Timah bersuara semula. Sangat berharap Mak Timah memberi jawapan kepada permintaannya itu. Mak Timah hanya diam sambil melakukan kerja yang lain. Diam memikirkan apa yang harus diberi sebagai jawapan kepada Hersalina. 

Harus bagaimana dia lagi? Mahu dikatakan apa? Terus saja menjawab ya? Tidak? Atau tidak pasti? Dia bukanlah ibu kandung Hersalina. Dia hanyalah insan yang menjaga Hersalina bagaikan anak sendiri kerana ibu kandungnya sudah terlalu awal membuangnya. Kalaulah dia ibu kandung anak kecil itu sudah pasti dia akan bersetuju dalam apa sahaja perkara bila ia melibatkan Hersalina. Tapi tidak. Dia mengeluh. Dia tidak boleh melakukan perkara itu. Siapa dia? Melainkan hanya orang gaji yang diupah bekerja di sini semata. 

Dia tidak boleh sesuka hati terhadap Hersalina. Anak itu masih ada lagi ibu kandungnya. Meskipun ibunya sudah menidakkan Hersalina tetapi dia mesti mendapatkan persetujuan dengan Puan Rita dahulu. Paling tidak pun berbincang dengan majikannya. Ya Allah, dia mengucap dalam hati. Mengharapkan semua ini masa akan datang sentiasa baik-baik sahaja. Jam sudah pukul 8.00 pagi. 

Selepas membancuh air kopi, beerti segala kerjanya menyiapkan sudah selesai. Tinggal untuk menghidangkan sahaja. Mak Timah akan mulai menghidangkan hanya jarum jam melepasi 8.15 kerana 8.30 keluarga majikannya akan turun untuk bersarapan. Sesekali dia melihat Hersalina dengan ekor matanya apabila dia sibuk membasuh periuk dan kuali di dalam sinki. Hersalina masih lagi di situ menanti Mak Timah menyudahkan kerjanya. Apabila Mak Timah usai mngerjakan kerjaannya, baruah dia memusingkan badannya menghadap Hersalina. 

Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati Hersalina sudah mengalirkan air matanya bersama wajah yang sangat kasihan. Lalu cepat-cepat mendapatkan Hersalina. Lantas badan anak kecil anak kecil itu dipeluknya erat. Begitu lama mereka dalam keadaan begitu dan Hersalina tidak segan silu menghamburkan tangisannya di bahu Mak Timah. Mak Timah kembali menghadap Hersalina.

“Kenapa Salina menangis sayang?” Kata Mak Timah dengan sayu sekali.

Sedih benar hatinya melihatkan keadaan Hersalina yang sugul begitu. Dirinya mulai terbit dengan rasa bersalah yang amat sangat. Mak Timah mulai mengusap lembut pipi Hersalina agar air mata yang bertitisan mulai kering. Dia berharap sangat agar Hersalina tidak menangis lagi. Kalau tidak hatinya akan bertambah pilu jadinya.

“Hersalina nak sekolah Mak Timah. Nak sekolah seperti anak Puan Rita.” Kata Hersalina dalam esak tangis yang masih bersendu.

Tanpa dipinta air mata Mak Timah mulai bergenang. Hersalina begitu bersungguh-sungguh mahukannya. Tetapi dia belum tentu dapat mangabulkannya. Bukannya dia tidak tahu, setiap pagi pasti Hersalina akan mengintai di balik pohon mempelam semata-mata untuk melihat anak majikannya pergi ke sekolah. Mungkin kerana hairan melihatkan anak majikannya berpakaian seragam putih lalu Hersalina pun bertanya kepadanya mengapa berpakaian sama dan ke mana mahu mereka pergi. 

Anak itu terlalu kecil dan belum banyak persoalan yang mampu dia huraikan dengan sendiri. Anak yang baru mengenal dunia itu akan bertanya banyak soalan jika dia ternampak akan sesuatu yang menggamit minatnya. Paling tidak pun persoalan yang mengusik naluri kecil ingin tahunya. Bila tiba waktu petang Hersalina pasti akan mengambil tempat yang sama, di balik pohon mempelam untuk melihat anak majikannya pulang dari sekolah. 

Hampir setiap hari dia melakukan rutin yang sama sehinggakan dia sendiri sudah lemas dengan soalan yang diajukan Hersalina kepadanya. Dia bukannya tidak mahu menjawab pertanyaan anak kecil itu, bimbang-bimbang anak kecil itu akan bertanya bermacam-macam lagi sehingga naluri ingin tahunya berasa puas. Dia risau Hersalina akan meminta apa sahaja yang dia nampak. Itulah yang menakutkan dia sebenarnya.

“Mereka berpakaian seragam putih kerana mereka ke sekolah untuk belajar.” Lalu Mak Timah menjawab persoalan yang mulai berakar di benak Hersalina hampir setiap hari.

“Sekolah itu apa, Mak Timah?” Tanya Hersalina kembali.

“Sekolah itu tempat anak-anak kecil dan dewasa belajar sehingga pandai.” Jawab Mak Timah dalam pengertian yang mudah difahami oleh Hersalina.

Hersalina mengangguk kecil. Menghadam maklumat yang diperkatakan oleh Mak Timah agar faham.

“Hari-hari mereka pergi sekolah ke Mak Timah?” Tanya Hersalina lagi.

Dia mengebil-ngebilkan mata bulat mengharapkan jawapan. Hujung jari telunjuk tangan kanannya digigitnya lembut. Mak Timah mengeluh perlahan seketika. Hersalina, anak itu akan bertanya sehinggalah dia faham.

“Hari-hari kena sekolah. Kecuali sabtu dan ahad.” Jawab Mak Timah kembali.

“Hari-hari? Tak letih ke Mak Timah?” Tanya Hersalina lagi.

“Yelah, kalau nak pandai kenalah hari-hari ke sekolah. Kalau malas ke sekolah macam mana nak pandai.” Jawab Mak Timah pula.

Hersalina mengangguk lagi. Kelihatan bersungguh-sungguh. Dia sudah faham kini.

“Kalau macam tu, Hersalina pun nak pergi sekolahlah Mak Timah. Hersalina nak jadi pandai macam mereka!” Kata Hersalina dengan nada teruja dan penuh kegembiraan.

Mak Timah yang berada di hadapan Hersalina tertegun. Terkedu tanpa bicara sepatah kata pun. Itukah yang dimaksudkan Hersalina sebenarnya? Tanya Mak Timah kepada diri sendiri. Entah kenapa sejak detik itu Mak Timah jadi terlalu risau dengan permintaan Hersalina. Entah kenapa dia berasa tidak enak dengan kehendak anak kecil yang satu itu.

“Mak Timah! Mak Timah dengar tak Hersalina nak ke sekolah,” Rengek Hersalina menyedarkan Mak Timah daripada terus hanyut dalam peristiwa lalu.

Itu kisah beberapa minggu yang lalu. Kini Hersalina bertanya kembali soalan yang sama. Binggung seketika kepalanya. Terdetik pula rasa kesal melingkari hatinya kerana memanjangkan isu itu dan terlalu melayan pertanyaan Hersalina. Kalaulah dia tahu itu yang akan terjadi, berkemungkinan besar dia akan melengah-lengahkan Hersalina dengan perkara yang lain. Dia mengeluh lagi.

“Tak apalah Hersalina, nanti Mak Timah cuba bertanya dengan Puan Rita.”

Hersalina kebingungan saat Mak Timah menyatakan mesti meminta kebenaran Puan Rita.

“Kenapa tanya Puan Rita Mak Timah?” Tanya Hersalina.

Oh, Mak Timah terlupa akan hal itu. Dia terlupa jika Hersalina musykil dia akan betanya apa sahaja.

“Yelah, Puan Rita kan majikan kita. Apa-apa hal kita mesti bagitahu dengan Puan Rita.”

“Tapi Puan Rita garang. Dia tak suka Hersalina. Dia mesti pukul-pukul Hersalina kalau jumpa Hersalina.” Jawab Hersalina sangat sayu suaranya.

Berdetik hatinya sedih mengapa dia selalu dibenci oleh Puan Rita dan Tuan Karim. Salah apakah yang dia buat? Mengapa dia selalu dipukul oleh Puan Rita dan Tuan Karim tanpa sebab yang kukuh. Persoalan iu berlegar-legar di fikirannya tanpa sebarang jawapan yang belum dia temui setakat ini. Meruntun pilu hati Mak Timah mendengarnya. 

Apa yang Hersalina katakan itu semuanya benar belaka. Memang itu kenyataannya. Anak sekecil ini sudah tahu mengenali insan yang membenci atau menyayanginya. Air matanya menitis perlahan. Dia tidak berupaya memberitahu segala rahsia yang dia simpan. Hersalina terlalu kecil untuk semua itu.

“Tak apalah, biar Mak Timah yang beritahu,” Kata Mak Timah kemudiannya.

Ulas bibir Hersalina yang mengendur itu kembali tegang dengan senyuman yang sangat berseri. Menandakan dia gembira dengan jaminan Mak Timah. Dia bolehlah bersekolah nanti! Bisik hati kecilnya yang iri melihat anak-anak majikannya yang lain bersekolah tapi tidak dia. Hati Mak Timah terusik gembira dengan senyuman manis Hersalina. Sedangkan fikirannya sudah merangka-rangka apa yang mahu dikatakan kepada Puan Rita nanti. Sedikit seriau dia memikirkannya. 

Adakah Puan Rita akan membenarkan? Atau menegah kehendak Hersalina itu? Namun hatinya berat mengatakan kepada jawapan yang salah satu itu.





Apalah salahnya anak kecil itu bersekolah. Pasti Puan Rita akan membenarkannya. Bisik hati Mak Timah cuba untuk menghidupkan kembali harapan yang semakin layu. Lalu kepada Puan Rita dia memberitahu hasrat hatinya ketika majikannya sudah masuk ke dapur untuk meneguk segelas air perahan buah limau tengahari yang panas membahang itu. Hersalina awal-awal lagi sudah dipesan pergi bermain di luar kelak tidak akan menggannggu segala kerja yang mahu dilakukan. 

Yang sebenarnya dia tidak mahu Hersalina ada ketika dia memberitahu perihal itu. Bimbang-bimbang Puan Rita akan mudah ringan tangannya mengghinggapi badan anak kecil yang tidak bersalah itu. Kalaulah tidak disuruh Hersalina pergi, mahu saja anak kecil itu melekat di sisi Mak Timah sambil melihat Mak Timah melakukan kerjanya. 

Selalu juga Hersalina menawarkan kudratnya untuk membantu dia. Akan tetapi dia sendiri yang tidak mahukannya. Dia boleh melakukannya dengan sendiri. Kudratnya masih utuh. Hersalina itu baginya terlalu kecil untuk dibebankan dengan kerja-kerja berat sebegini. Bimbang anak kecil itu akan mudah keletihan. Anak kecil seperti Hersalina tidak sepatutnya bersama dengannya di dapur. 

Sebaliknya Hersalina itu bersama kawan-kawan yang yang sedang membesar sama dengannya. Menerokai dunia yang dianggap baru dan mempelajari sesuatu yang baru dan berfaedah. Jadi, kesimpulannya tidak salahlah dia mengusulkan niat hatinya kepada Puan Rita. Banyak kebaikan yang akan diperolehi daripada keburukan. Kata hatinya. Baginya ilmu itu penting untuk anak kecil seperti Hersalina proses tumbesaran. Teringat Mak Timah akan sabda Saidina Ali Bin Abi Talib yang membawa maksud; Ilmu adalah sebaik-baik warisan....

Dia sudah tiada apa-apa yang hendak diberikan kepada Hersalina. Hanya dengan ilmu sahaja Hersalina akan membesar dengan penuh sopan dan tertib. Dia hanya mengaminkan doanya sendiri dalam hati.

“Apa kau cakap Timah?! Kau cakap sekali lagi?!” Tanya Rita yang inginkan soalan dari Mak Timah diulang sekali lagi.

Dia sebenarnya bukannya tidak mendengar. Dia mendengar dengan jelas. Namun dia mahu Mak Timah berkata semula.

“Saya rasa saya nak sekolahkan Hersalina Puan. Kesian dia asyik terperuk di dalam rumah ini. Dia perlukan kawan. Dia perlukan pelajaran.” Kata Mak Timah sekali lagi dengan penambahan sikit ayatnya bertujuan menyelitkan rasional kata-katanya itu.

Dia takut. Dia risau. Penerimaan Puan Rita seakan-akan tidak menyetujui usulannya itu. Di situ, harapannya sudah sikit kelayuan. Entah apalah yang berlaku selepas ini. Rita yang mendengarnya sekali lagi begitu bengkak hati dirasakan kini. Dengan tiba-tiba marahnya semakin membuak-buak dan geramnya semakin mendidih mendengarkan semua itu. Hanya sakit hati. Sakit hati tatkala usulan itu gelincir dari mulut orang gajinya.

“Hoi! Kau gila ke apa?! Dasar orang tua bodoh! Nak mati!” Seranah Rita sepuas hati kepada Mak Timah di hadapannya.

Mak Timah bingung. Dia terpaku di tempatnya. Segalan cercaan hina itu cuba dia tidak ambil pusing. Namun sedikit sebanyak menyentuh juga lorong rasanya sehingga hatinya benar-benar terusik pilu dengan bicara yang dilontarkan itu. Dia mulai mendiam diri. Tidak tahu mahu bercakap bagaimana lagi. Berbicara dengan majikannya ini terasa benar payahnya. Selalu saja mahu menang dan sangat pasti dia tidak mahu kalah. Dia menarik nafas lalu menghelanya dengan perlahan sekali.

“Siapa yang nakkan Hersalina masuk sekolah? Cakap dekat aku siapa?!” Ujar Rita membentak kasar.

Meja yang memisahkan dia dengan Mak Timah di hadapannya itu dihentak kuat. Menandakan dia tidak suka dengan idea dicadangkan itu. Mahu saja dia menampar mulut Mak Timah yang sesuka hati mencadangkan idea yang bakal memporakperandakan hidup dia dan suaminya sekeluarga. Kalaulah tidak memikirkan meja di depannya sudah lama dia menampar mulut yang dirasakan selalu sahaja menaikkan darjah kemarahannya ke tahap yang paling tinggi.

Tergagap Mak Timah mendengarkan bentakkan kasar Puan Rita. Perasaan gemuruh mulai menguasai dirinya. Lambat-lambat dia menatap wajah Puan Rita yang membengiskan itu. Tetapi pandangan matanya cepat-cepat dikalihkan ke tempat lain. Dia tak sanggup untuk bertatapan dengan mata yang marak dengan kemarahan.

“Cakap Timah! Siapa yang bagi cadangan yang mengarut ini?! cakap!” Bentak Rita buat sekian kalinya.

Mak Timah terperanjat. Dia jadi ketakutan. Puan Rita di hadapannya kini sudah tidak dikenalinya lagi. Sifat berdendam benar-benar sudah merasuk dirinya. Dan Mak Timah takkan sesekali mengatakan bahawa Hersalina yang hendak bersekolah. Mahu saja mati Hersalina dibelasah Puan Rita andai dia tahu yang sebenarnya. Biarlah dia sahaja yang mengaku bahawa dia yang berkehendakkan Hersalina bersekolah agar terjamin masa depannya. 

Paling tidak pun hanya dia seorang yang akan dibelasah. Biarlah dia yang menanggungnya dari melihat Hersalina dicerca, dimaki-hamun ataupun disepak terajang sesuka hati oleh majikannya itu.

“Takda sesiapa yang cakap. Itu cadangan saya. Saya nak Hersalina lebih terjamin masa depannya.” Kata Mak Timah.

“Terjamin masa depan kau kata?” Pekik Rita dengan pertanyaan.

Mak Timah sudah serba-salah. Mahu mengangguk tidak kena mahu menggeleng lagilah tidak kena. Dia akhirnya diam menekur dada meja dihadapannya itu. Melihatkan Mak Timah yang hanya diam itu lagilah tersirap hati Rita. Dia mengepal penumbuknya. Geram benar yang dia rasakannya kini.

“Itu bukannya menjamin masa depan. Itu merosakkan masa depan keluarga aku! Bodoh!” Jerit Rita sambil menunjal keras kepala Mak Timah.

Kebelakang sedikit Mak Timah dibuatnya. Sepasang matanya mulai bergenang. Air matanya menitik perlahan. Sedih mengenangkan dirinya yang selalu menjadi mangsa tunjalan majikannya. Lebih sedih lagi mengenangkan Puan Rita yang terlalu mementingkan diri sendiri daripada masa depan Hersalina. 

Kalau boleh dari dahulu lagi Puan Rita hendak menamatkan riwayat hidup Hersalina semasa dalam kandungannya lagi. Namun kuasa Allah tiada sesiapa yang mampu menandinginya. Seboleh-bolehnya Hersalina itu disorokkan daripada orang lain. Apatah lagi kepada masyarakat sekeliling. Rita mencengkam kasar kepala Mak Timah. Mendekatkan kepala Mak Timah mendekati kepalanya yang sudah kehadapan sedikit. Lalu mereka bertatapan secara dekat sekali. Gerun. 

Hanya kata itu yang terungkap dalam hatinya saat bertatapan dekat dengan Puan Rita. Entah mengapa terbit satu perasaan takut dan gentar yang amat mendalam dalam hatinya. Dia merasakan Puan Rita semakin sangat berubah kini. Dari wajah Puan Rita yang dipandang sekilas dengan hujung matanya dia merasakan ada kejahatan yang sukar diungapkan di sebalik wajah itu. 

Benarkah hati majikannya itu sudah menggelap dari sehari ke sehari dek sifat-sifat kejahatan. Muka yang membengis itu dan nafas yang mendengus-dengus kasar sedikit menyesakkan Mak Timah yang berada dekat dengan Puan Rita. Sukar benar dia bernafas dengan tenang bila berhadapan dengan situasi sangat tidak keruan ini. Sungguh, dadanya bagaikan dihimpit sesak. Air mata yang mulai berguguran pun tidak mampu dia menyeka. Ya Allah, bantulah hamba-Mu ini. Bisik hatinya penuh kegalauan. 

Tanpa mereka menyedari ada sepasang mata bundar kecil yang melihat pertelingkahan itu dari balik jendela yang sedikit terbuka. Hatinya dipenuhi kemusykilan. Hatinya tertanya-tanya. Mengapakah Mak Timah diperlakukan sebegitu? Apakah salah Mak Timah sehingga dia diherdik sekasar dan diperlakukan sebiadab itu? besar benarkah salah yang diperbuatnya? Seluruh persoalan bagaikan meluruh di segenap benak tanyanya. 

Ingin sahaja dia meluru terus ke dalam pelukan insan yang dikasihinya. Tapi dirinya dikuasai bimbang melihatkan batang tubuh majikannya yang berada di situ. Dia mulai menggeletar ketakutan. Seriau melihatkan majikannya yang sudah bertukar karekter 100 peratus. Dia hanya mampu memerhati dari jauh bersama deraian air mata yang tidak berhenti merembes dari tadi. Kalau boleh janganlah dirinya diketahui oleh insan yang mengalami suasana tegang itu. 

Dia tidak mahu menyusahkan Mak Timah dengan kehadirannya di sini. Kelak pasti Mak Timah akan habis- habisan melindungi dirinya daripada diapa-apakan oleh majikannya yang teramat cengil itu. Jikalau dia muncul di tengah suasana tegang itu. Maafkan Hersalina Mak Timah. Bisik hati kecilnya.

“Hei, perempuan! Kau ni bodoh ke apa? Kau nak aku dan suami aku musnah ke kalau bawa Hersalina ke dunia luar hah?!” Jerit Rita.

Mak Timah memejamkan matanya. Telinga yang ditadah terpaksa menahan perit jeritan majikannya. Mak Timah hanya diam. Langsung tidak berani untuk melawan.

“Aku tanya jawablah!” Bentak Rita kasar sambil menghempas kasar kepala Mak Timah ke dada meja.

Aduh! Dia hanya mampu menjerit dalam hati. Ditahan sakit yang semakin bermaharajalela di kepalanya apatah lagi dalam hatinya. Luka masih berkesan semakin rabak jadinya. Hanya kerana usulan itu dia diperlakukan bagaikan binatang. Bagaikan tiada perasaan. Dia hanya mampu senyap lagi. Tidak mahu untuk bersuara. 

Dia tahu segala kata-katanya dengan mudah akan dipatahkan oleh majikannya itu. Apa yang diperkatakan oleh majikannya itu sentiasa mahu betul meskipun hakikatnya adalah sebaliknya.

“Hersalina itu kesilapan! Dan kesilapan itu hidup aku dengan suami aku boleh tergugat bila-bila masa sahaja!” Tempik Rita lagi.

Berhadapan dengan orang tua bodoh ini selalu sahaja dia tidak mampu untuk jadi insan yang penyabar walaupun sekejap cuma. Mak Timah dungu ini selalu sahaja membuatkan perasaan marah itu menjadi teman yang akrab ketika itu. Bentak hatinya sendirian. Dengan kasar dia menyedut dan mengeluarkan nafas yang melalui rongga pernafasan. Terasa payah benar mahu mengepam oksigen dengan tenang. Yang hanya ada kini marah, geram dan sakit hati sahaja.

“Kehidupan dia hanya sekitar sini sahaja! Tidak pernah lebih daripada itu! Aku nak dia hidup dalam keadaan tersorok! Aku tak mahu sesiapa tahu kewujudan dia walaupun jiran sekeliling! Faham tak?!” Kata Rita kasar kepada Mak Timah yang sudah memegang kepalanya yang kesakitan akibat dihantuk kasar olehnya.

Ah! Peduli apa! Pengsan lagi elok! Bentak hatinya lagi. Meluat benar melihat perlakukan Mak Timah seakan-akan menagih perhatian dan simpati. Perempuan tua tak sedar diri! Sumpah! Sekelumit pun dia tidak punya untuk kedua-dua perasaan itu.

“Timah! Dia hanya kesilapan aku Timah! Kesilapan aku! Kalau aku, dah lama aku nak tamatkan riwayat dia. Kau dengar tak apa yang aku cakap ni.” Kata Rita yang kini sudah mulai mendekat menghampiri batang tubuh Mak Timah.

Mak Timah tersendu-sendu dalam tangisannya. Badannya semakin galak terhinjut-hinjut menahan sebak yang bukan kepalang. Mak Timah sudah tidak mampu untuk bersuara ketika ini. Sebak sudah mulai mengusai dirinya. Kalaupun dia memaksa dirinya untuk bercakap, dia sendiri tidak memahami apa yang dia cakapkan nanti. Kata hatinya sendirian.

“Eh, kau ni dah bisu dah ya? Tak pun kau ni dah pekak? Sepatah haram aku cakap kau tak jawab!”

Marah Rita sambil menunjal beberapa kali dahi Mak Timah. Mak Timah hanya diam, lagi. Tidak mampu untuk bersuara. Dia hanya mengangguk sahaja apa yang diperkatakan oleh majikannya itu. Biarlah, kalau itu dapat memuaskan hati Puan Rita biarlah dia mengangguk. Kalau Puan Rita mahu memanggilnya dengan gelaran lain pun biarlah. Dia tetap mengangguk sahaja. Sekarang sudah tidak guna menjawab segala kata-kata Puan Rita di saat dia keberangan itu. Hanya sia-sia sahaja.

“Ingat Timah! Aku tak nak dengar pasal ni lagi. Kalau kau degil kau buatlah. Hersalina dengan laki kau esok jadi mayat, kau jangan menyesal pulak!” Ugut Rita dengan suara yang amat dalam.

Retak seribu hatinya mendengar. Dari nada suara yang dalam itu dia dapat rasakan Puan Rita benar- benar memaksudkan setiap apa yang dia katakan. Mak Timah terasa ngeri. Takkan kerana hal yang kecil ini Puan Rita sampai sanggup berbunuh-bunuhan? Ya Allah, syaitan apakah yang merasuk Puan Rita tatkala ini? Dia bergementaran tidak tentu hala. Seolah-olah yang dihadapannya kini bukan Puan Rita yang dia kenal suatu ketika dulu. 

Tetapi pembunuh yang diupah untuk membunuh dia, suaminya dan juga Hersalina. Mak Timah mengucap dalam hati. Mengingati semua ini terasa hatinya dihempap sesal yang tidak berkesudahan. Kalaulah dia tahu begini kesudahannya, sumpah! Tidak akan dia usulkan cadangan begini.

“Dasar perempuan bodoh! Lain kali fikir sebelum bercakap!” Herdik Rita sambil menunjal dahi Mak Timah buat kesekian kalinya.

Rita berlalu meninggalkan Mak Timah disitu. Baru sahaja beberapa langkah dia terhenti. Dia perasan ada tubuh yang mengintainya di balik jendela itu. Geramnya semakin bertimpa-timpa datang lalu dia patah balik terus ke pintu dapur. Mahu melihat siapa yang mengintai melalui jendela luar dapur. 

Tidaklah sesukar mana mahu mendapatkan Hersalina yang sedang terhendap-hendap itu. Berniat ingin memuaskan hatinya, pipi anak kecil itu menjadi mangsa tamparannya berulang kali. Hatinya yang masih marak dengan kemarahan ini semuanya kerana Hersalina.

“Jangan Puan!” Jerit Mak Timah.

Terus saja anak kecil itu dipeluk dan disorokkan di belakang badannya yang gempal itu. Hersalina yang berada di belakang Mak Timah menangis sebaik sahaja dia ditangkap oleh Puan Rita tadi.

“Kasihanilah dia Puan. Dia tak salah.” Rayu Mak Timah lagi.

Dia bimbang Hersalina akan dikerjakan lagi. Hari ini Puan Rita mengamuk pun kerana hal Hersalina.

“Melayan kau orang berdua ni boleh buat aku mati cepat! Heh! Budak! Nasib kau baik hari ni tau! Kalau tidak nahas kau!” Jerit Rita kepada Hersalina yang menyorok di belakang Mak Timah.

Rita mendengus geram selepas meninggalkan mereka berdua di situ. Mak Timah mengucapkan syukur di hati. Pantas sahaja dia mendapatkan Hersalina yang berada dibelakangnya lalu memeluk anak itu kembali.

“Kan Mak Timah suruh main di luar? Kenapa datang?” Marah Mak Timah kepada Hersalina yang masih lagi menangis teresak.

“Hersalina dengar ada orang jerit-jerit kat dapur tu, sebab tulah Hersalina datang.” Jujur dia menjawab.

Mak Timah melepaskan nafasnya seketika. Hersalina ini kadang-kala degilnya susah dilenturkan. Kadang-kala seperti ibu kandungnya juga. Kata hatinya sendirian.

“Lain kali kalau dengar orang jerit-jerit, jangan datang! Pergi main jauh-jauh.” Kata Mak Timah lagi, mengharapkan Hersalina mendengar nasihatnya lain kali.

“Hersalina kesian tengok Mak Timah. Asyik kena marah saja dengan Puan Rita. Apa salah kita Mak Timah?” Kata Hersalina kemudiannya sambil mendongak memandang Mak Timah.

“Puan Rita kadang-kala anginnya tak betul sedikit. Dia memang suka marah orang. Hersalina jangan ambil hati ya?” Hersalina hanya mengangguk mendengarkan itu.

“Mak Timah, Hersalina tak nak sekolah. Puan Rita tak bagi.”

Hati Mak Timah sebak sekali lagi mengenangkan kata-kata Hersalina. Dia tidak tahu mahu bagaimana untuk memberitahu Hersalina. Dia tidak mahu Hersalina berasa sedih dengan keputusan Puan Rita itu. Tetapi Hersalina sudah mengetahuinya juga. Anak itu tenang sekali menerima keputusan itu. Syukur Ya Allah, dia sudah berharap yang bukan-bukan tetapi sebaliknya yang terjadi.

“Hersalina tak kisah ke sayang?”

Hersalina mengeleng-geleng. “Takpa Mak Timah. Herslina tak kisah,” Kata Hersalina.

Kalau majikannya itu sudah tidak membenarkan Hersalina, dia tak boleh berbuat apa lagi. Majikannya itu yang berkuasa di sini. Bagi Hersalina tak ke sekolah pun tidak mengapa. Asalkan ada Mak Timah dengan Pak Mat di sisi menemani pun sudah memadai bagi dia. Bisik hati kecil Hersalina yang masih tidak mengerti apa-apa.



Previous: 8
Next: 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.