Home Cerpen Seram/Misteri JASAD !
JASAD !
21/4/2013 19:02:13
7,018
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang

Arie hanya mampu melihat. Suasana asramanya pada dinihari, sejuknya mencengkam ke tulang hitam. Pekikan anjing-anjing gila yang melolong sesekali berselang dengan suara perempuan yang entah dari mana menjerit pilu dan nyaring sekali. Dia sudah terbiasa sejak berpindah ke sekolah barunya itu. Sudah banyak kali dia memberitahu teman satu arasnya yang lain, namun mereka hanya tidak mengendahkan.

“Kami dah biasa dengan semua ini, jadi kau pun kena biasakan juga.”

Cepat masa berlalu, menginjak ke angka empat pagi. Namun mata Arie sukar terlelap. Tidak pula rakan-rakan yang lain. Mereka semuanya nyenyak tidur. Kalaupun mata terlelap seketika, seperti ada roh yang memanggilnya untuk terjaga kembali.

“Mati!!!”

Hanya perkataan itu menyentak mimpi lenanya sehingga dia terjaga kembali. Saat itu rakan lain sedang nyenyak tidur. Dia bangun ingin membasuh muka. Tandas yang gelap itu sering membuatkannya malas untuk berlama-lama di situ. Ada seorang gadis yang tidak bermuka sedang bermain dengan mayat dewasa yang sudah bercerai anggota badannya!

Tidak dapat melelapkan mata, dia berdiri sambil mendagu di koridor memandang tanah hitam yang luas tanpa disinari cahaya lampu apatah lagi cahaya bulan. Kemudian dia menggeleng sendiri. Jantungnya berdegup resah. Resah yang bukan kepalang. Jantungnya keguguran. Ya, dia mampu memandang apa yang lembaga itu sedang lakukan.

Lembaga yang berjubuh hitam lusuh, tiada rupa dan rambut panjang mengirai ke tanah bumi. Sekejap-sekejap dia membongkok seakan mengutip sesuatu yang lalu diletakkan dibelakang bakul yang dikendongnya. Bakul yang dikendong itu kelihatan penuh dengan objek yang tidak pasti.

Arie yang tidak berpuas hati lalu dia turun dari tingkat tiga ke tingkat bawah untuk melihat dengan jelas. Sekali rasa jantungnya terjatuh! Dia kelu! Bisu! Kelihatan bakul yang dikendong oleh kelibat itu meleleh dengan darah yang masih pekat baunya. Hanyir seperti baru saja ada pembunuhan ngeri berlaku!

Arie memicingkan mata. Kaca mata tersarung di hidung ditolak keatas supaya pandangan lebih jelas lagi. Anggota badannya seperti mahu tercabut melihatkan apa yang sedang berada di depannya ini. Nafasnya tertahan, bagai ada orang sengaja ingin melemaskannya. Namun matanya masih tertancap dengan apa yang dilihatnya. Benar-benar di luar batas fikirannya!

Kawasan lapang itu sunyi sepi. Kawasan lapang itu tanah perkuburan sebenarnya. Tanah perkuburan zaman silam. Zaman silam entah untuk berapa tahun. Lembaga itu berada di tengah kawasan lapang. Mengutip kepala demi kepala yang bergelimpangan. Kepala yang masih merah seperti baru lepas dipenggal. Satu-satu kelibat itu ambil kepala yang berada di kawasan lapang itu lalu diletakkan ke dalam bakul gendongannya.

Bukan kepala yang tidak sempurna penggalannya, malah kaki, badan separuh-separuh, tangan dan anggota lain juga dikutipnya. Anggota badan yang masih basah dengan darah. Dan darah hanyir itu mengalir banyak melalui bakul yang dikendong kelibat yang tidak diketahui. Mata yang memandang sudah tidak mampu menterjemahkan apa yang sedang dilaluinya. Arie hanya mampu melihat dengan senyap. Tidak mampu untuk berkata apa-apa.

Lembaga tinggi tidak bermuka memandang Arie. Yang ada hanya sepasang mata yang seakan cuba memberitahu kisah silam yang tidak pernah terungkapkan. Arie langsung tidak perasan sejak bila lembaga itu menghampirinya. Arie terkaku. Tidak mampu bergerak walau selangkah. Dia tidak mampu kini. Bebola mata yang hanya berwarna putih itu dia tatap penuh ketakutan. Air kencing yang mengalir dari seluarnya tidak dihiraukan.

“Apa kau mahu?!” tanyanya penuh gagap dan takut!

“Jasad kau!!!”

******

“Kau memang ada deria keenam. Kau harus bersyukur untuk itu.” Arie hanya mengangguk.

“Ya, aku tahu tu. Bukankah semua budak yang tinggal di hostel ini ada deria keenam, sebab itulah kau orang boleh buat tak tahu dengan apa yang kau orang nampak?” soal Arie kepada Juan, rakan yang paling rapat.

“Memang kami semua boleh nampak, tapi apa yang kita nampak tak semestinya memerlukan penjelasan. Biarkan ia berlaku.” Jawab Juan dengan suara perlahan dan sedikit seram.

Bicara dua rakan itu habis di situ saja. Di sekolah pula, Arie meneruskan pembelajarannya seperti biasa. Namun ada sesuatu yang sangat janggal berlaku di sini. Atau hanya matanya saja yang nampak? Dia menggeleng sendiri. Mustahil kalau dia seorang yang nampak sebab semua budak yang tinggal di hostel mempunyai kelebihan sama seperti dirinya. Mempunyai deria keenam!

Ada manusia yang mati tergantung di setiap penjuru bangunan. Rasanya memang ramai manusia yang sengaja digantung sehingga mati sebegitu sekali. Arie rasa menyesal mempunyai deria keenam ini. kalau boleh ingin saja kebolehan yang menyusahkannya ini dibawa pergi dari dalam dirinya.

“Juan, kau nampak tak apa yang aku nampak?”

“Mayat bergantungan?” tanya Juan kepada Arie.

Wajahnya terpalit senyuman yang sukar dirungkaikan. Arie keliru dengan senyuman Juan. Arie mengangguk.

“Aku tak nampak.” Juan menipu. “Kau nampak ke apa yang aku rasakan?”

“Kau rasa apa?” tanya Arie lagi.

“Rasa seram yang menyeronokkan. Bau darah ada di merata-rata tempat. Bau darah hanyir yang menyegarkan.”

“Kau gila ke apa? Aku tak suka tempat ni! Aku benci! Kalau boleh aku nak berhambus dari sini! Aku tak suka dengan apa yang aku nampak! Dengan apa yang aku rasa!” bentak Arie hampir semua pelajar yang berjalan berdekatan di situ memandangnya dengan pandangan tajam dan mengjengkelkan.

“Kau kena tahu, sesetengah perkara biarlah rahsia. Jangan cuba dirungkaikan!” bisik Juan ke telinga Arie.

Biarlah rahsia? Arie gerun mendengarkan itu. Dia menggeleng lagi seakan sukar menerima budaya buat tidak tahu dalam kalangan pelajar yang menginap hostel di sini. Dengan suara perempuan yang entah dari mana mengilai ngeri saban malam. Dan suara-suara anjing gila menyalak tidak tentu hala menyebabkan dia merasakan ada sesuatu yang menguasai kawasan sekolah dan juga hostel.

“Aku tak boleh tidur malam sejak masuk ke sekolah ni,” beritahu Arie.

Waktu mereka sudah sampai di kelas. Arie memang duduk bersebalahan dengan Juan. Pagi di sini bukan pagi yang biasa. Bukan pagi yang kecoh dan riang. Di mana rakan-rakan lain saling berkongsi cerita dan bertanya khabar. Pagi di sini kebanyakkan pelajar lebih suka membuat hal sendiri sambil membawa buku yang berilustrasikan kubur lama.

“Kau boleh tidur asalkan kau tenangkan hati kau di sini. Menerima dengan apa yang berlaku di sini. Jangan pertikaikan apatah lagi menyelidik.”

“Aku tak faham dengan apa yang kau cakap! Kalau benda haram jadah tu asyik nak ganggu aku aje takkan aku nak diamkan diri? Aku tak boleh nak tidur. Asal aku nak tidur ada benda yang bisik perkataan mati! Mati! Mati! Dekat aku!” keras nada yang diucapkan Arie sehingga menyentakkan Juan.

Kemudian Juan tersenyum kembali.

“Tahniah rakanku! Selamat datang ke sekolah ini! kau dah diterima dengan rasminya!” selepas berkata, Juan bangun dan memeluk Arie dengan erat.

Arie rimas. Dia lemas dengan pelukan yang terlalu erat itu. Dia menyumpah dalam hati. Menyumpah segala benda yang ada di sini. Ibu dan ayah tidak pernah tahu, semenjak dia dimasukkan ke sini, dia tidak pernah belajar dan tidur dengan aman. Cikgu tidak pernah ada di sini apatah lagi subjek yang kebiasaan diajar pun tiada.

Hanya yang dikendong oleh setiap pelajar di sini ialah buku lama yang berilustrasikan kubur lama yang tidak bernisan. Paling tidak pun buku yang tertulis ‘Malaikat Neraka’. Arie jadi gerun. Kalau boleh dia mahu berhambus dari sini!

*****

Malam ngeri bersulam pilu itu kembali lagi. Malam yang penuh tragik, hanyir apatah lagi menjijikkan itu. Malam itu seperti malam kebiasaannya, walaupun tidak diingini tetap akan kembali juga. Malam yang kedatangannya diraikan oleh rakan-rakannya yang lain tetapi tidak dirinya. Arie hanya dia melihatkan wajah-wajah segar rakan-rakannya menjelang malam.

Anjing-anjing gila bersalakan kuat, saling sahut bersahut seperti kebiasaannya. Dan suara perempuan entah dari mana yang Arie sudah anggap gila mulai menjerit nyaring dan ngeri seperti kerasukan iblis. Dia gerun. Segala bulu romanya merinding sendiri. Menjelang jam tiga pagi suasana jadi seram. Kaku. Semua orang tidur namun Arie masih membuntang biji mata memandang sekeliling.

Seperti biasa, dia bangun membasuh mukanya. Seperti biasa itu jugalah ada gadis tidak bermuka sedang bermain dengan mayat di sudut tandas yang luas itu. Kali ini Arie benar-benar terperangah. Bukan saja ada satu mayat di situ, bahkan ada banyak mayat yang bergelimangan di tandas yang sunyi dan gelap. Bersepah-sepah. Dan gadis tidak bermuka dengan girang menjerit kesukaan.

Arie membasuh muka. Berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Dia terus berlalu tanpa menganggu gadis tidak bermuka sedang bergembira. Dan ketika waktu yang sangat sunyi sepi, sememangnya tanah rata di hostelnya itu seperti kawasan perkuburan, ada gerombolan manusia yang sedang beratur.

Arie kaget. Hatinya sekali lagi dipalu resah yang bukan kepalang. Dia memicingkan mata melihat dengan jelas. Gerombolan manusia yang segak berpakaian seragam yang sangat lusuh.sekali lagi Arie mengucap. Ya Allah, bencana apa yang cuba ditunjukkan kepadanya ini? Dia tertanya sendiri.

Itu tentera zaman silam yang datang entah dari mana. Gerombolan manusia yang sedang berkawat tidak berkepala. Semuanya tidak berkepala. Benarkah apa yang dilihatnya ini? Hatinya perlahan mengucap panjang. Gerombolan manusia yang tidak berkepala itu sekejap-sekejap menjunjung kepala masing-masing. Arie dihambat ketakutan yang amat sangat.

Dia tidak dapat melarikan diri dari melihat situasi itu. Kakunya dipasung keras. Tidak mampu bergerak ke mana-mana. Seolah-olah dia dipaksa melihat adegan ngeri yang sedang berlaku. Rasa seram yang bergulir ke jiwa membuatkan jantungnya berdegup pantans dari kelajuan biasa.

Dan kepala-kepala yang dijunjung itu serentak memandangnya dengan penuh ketakutan. Arie terkedu lantas membeku. Kepala-kepala yang berambut panjang dan darah yang menitis banyak memandangnya lama seolah-olah ingin memberitahu sesuatu yang sukar untuk dia mengerti!

“Jangan kacau aku!” Arie menjerit sekuat hati.

Gerombolan manusia itu tidak bergerak lagi, apatah lagi mendengar jeritan Arie yang ketakutan. Hanya kepala-kepala yang dijunjung memandangnya lama. Tidak berapa lama kemudian, kepala-kepala yang dijunjung itu jatuh dengan sendiri dan gerombolan manusia lenyap sekelip mata. Yang tertinggal hanya kepala-kepala bergelimpangan. Dan ketika itulah datang lembaga yang tidak dikenali seperti malam-malam sebelumnya. Datang bersama bakul yang dikendongnya itu.

Arie melihat lagi. Seolah-olah paparan peristiwa semalam terpapar sekali lagi untuk dilihatnya. Lembaga itu melakukan hal yang sama. Mengutip satu persatu kepala-kepala yang bergelimpangan, lalu dimasukkan ke dalam bakul. Darah pekat hanyir lagi menjijikkan itu mengalir keluar dari celahan lubang bakul.

Anehnya kali ini, apa yang Arie lihat darah yang meleleh itu membentuk satu mesej yang lama-kelamaan membuatkan dia sendiri disampuk ketakutan yang maha resah. Dia menggeleng laju. Tidak mengakui atau menerima mesej dari lelehan darh itu tulis di tanah rata. Seakan semua yang berlaku di sini hanya permainan nyawa semata-mata.

“Kau mesti mati!!!”

*****

“Arie, bangun dah subuh!” jerit Juan sambil mengejutkan Arie yang tertidur di koridor hostel tingkat tiga.

“Aku kat katil malam tadi, macam mana aku boleh berada di sini?” tanya Arie sambil menggenyeh biji matanya yang kabur pandangan.

“Itulah kau, banya berangan. Aku dah pesan banyak kali dengan kau supaya menerima semua ini dengan hati yang senang dan tenag. Kau degil!” bentak Juan.

“Perkara apa yang aku kena terima dengan tenang dan senang kalau di sini semuanya cuba untuk membuatkan aku jadi gila! Setiap malam aku aku dirasuk dengan adegan yang kau pun sukar nak terima!” bentak Arie kembali.

Hatinya sebal dengan kata-kata Juan. Tambah menyebalkan, Juan langsung tidak mempercayai dirinya. Siap menyuruhnya menerima semua ini dengan tenang dan senang. Apa yang tenang? Apa yang senang? Seranah Arie hanya di dalam hati.

Dia bangun meninggalkan Juan di situ. Bangun untuk membersihkan diri. Di dalam bilik air, gadis tidak bermuka masih tetap ada di situ. Bermain dengan mayat-mayat yang kaku. Seperti mayat itu merelakan saja apa yang gadis tidak bermuka melakukan apa saja.

Arie memandang keliling, bukan dia saja yang ada di situ, bahkan ada juga rakan-rakan lain yang tengah mandi dan membasuh baju. Mustahillah mereka tidak nampak apa yang gadis tidak bermuka itu lakukan? Lagak rakan-rakan yang lain seperti sudah terbiasa dan meneruskan hal-hal masing tanpa terganggu sedikitpun dengan kehadiran gadis tidak bermuka itu.

“Kau tidak nampak ke apa yang gadis tidak bermuka itu lakukan?” tanya Arie kepada salah seorang rakannya yang sedang asyik membasuh baju.

“Nampak apa?” tanya rakannya itu.

“Nampak apa yang aku nampak sekarang ni! Nampak apa yang gadis tidak bermuka sedang lakukan!” jawab Arie keras nadanya.

Rakannya itu menggeleng dan senyum sendirian. Dia kembali membasuh baju yang tergendala dek soalan Arie yang langsung tidak munasabah.

“Hei, kau nampak ke tak ni?” teriak Arie kali ini.

Tajam rakannya itu merenung Arie sehingga hatinya menggugup laju.

“Kau kena terima hakikat, semenjak kau masuk ke sini, kau boleh nampak kematian ada di mana-mana saja. Bahkan kau juga boleh nampak kematian kau sendiri!” keras nada rakan Arie membuatkan Arie pengsan sekali lagi.

*****

“Arie, bangun! Bangun!” teriak suara yang kedengaran janggal di telinganya.

Arie berada di kelas. Pembelajaran sedang dimulakan dan ketika ini subjek matematik sedang berlangsung.

“Kalau datang ke sekolah asyik nak tidur, lebih baik tak payah belajar. Berhenti sekolah terus duduk rumah!” sergah Cikgu Asri.

Arie terdiam. Mata yang masih Manahan kantuk itu masih gaah menguasai. Dia tidak berkata lanjut. Sia-sia kalau bercakap dengan cikgunya itu, alamat makin panjang bebelannya nanti. Sudahnya, dia keluar dari situ tanpa meminta kebenaran pun dari Cikgu Asri.

Meskipun Cikgu Asri memekik, memanggil namanya namun tidak dia hiraukan. Pergi jahanam dengan mereka semua! Aku sudah malas mahu mengambil tahu. Seranah Arie dalam hati. Saat kakinya semakin jauh meninggalkan ruang kelas itu, di laluan tangga terdengar dua suara berbisik sesama sendiri.

“Dia susah di sini. Dia susah menerima kematiannya.”

BERSAMBUNG


Cerpen ini bakal dimuatkan di dalam Antologi Jiwa Kacau yang bakal diterbitkan awal tahun hadapan. Jadi pembaca yang ingin membaca versi penuh cerpen ini boleh dapatkan AJK apabila sudah berada di pasaran kelak. 


Terima kasih daun keladi,

Kalau dah habis baca, ulanglah lagi. 


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.