Home Novel Cinta MY HEROINE TUANKU PUTERI
MY HEROINE TUANKU PUTERI
Angel_k20
1/6/2021 11:38:48
1,983
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 14

Unit Kecemasan Khas, Malaysia Sport Centre Hospital.

DUA tubuh kaku yang diletakkan bersebelahan antara satu sama lain di atas katil masing-masing dipandang dengan penuh gusar oleh Prof. Zhou. Turut bersama dengannya adalah Isbah, Hariri dan Aina. Seperti Prof. Zhou, mereka bertiga juga kelihatan tidak senang duduk menyaksikan rentak graf gelombang otak dan nadi Ahwaz dan Wardah.

"Aina, boleh kamu cepatkan sikit timeline game ni? Maksud saya, terus langkaukan dia orang ke level seterusnya," tanya Prof. Zhou sambil mengusap dagu.

"Sepatutnya, tak boleh. Kapten perlu kalahkan armada dari Sepanyol dulu barulah betul-betul dapat jumpa dengan Wardah," jawab Aina sambil menggigit bibir.

Untuk permainan digital berasaskan latar tempat zaman kesultanan dahulu kala yang diciptanya, dia memang mengsetkan peraturannya begini. Langkah itu diambil setelah meneliti kondisi kesihatan Ahwaz. Lagipun, menurut doktor yang merawatnya, Ahwaz perlu diberi sedikit tekanan bagi mencetuskan minda bawah sedarnya.

"Tapi, saya tak rasa cara tu menjadi. Hariri, tunjukkan kepada Aina carta terbaru kesihatan Ahwaz," arah Prof. Zhou kepada Hariri.

Tanpa berlengah, pantas pembantunya menghantar data kesihatan Ahwaz kepada Aina. Gadis pengaturcara program permainan sekali gus bekerja sebagai jururawat sambilan di situ pula, tanpa kata terus meneliti carta tersebut. Sedetik, dua detik, dia terdiam seketika sebelum perlahan-lahan, dia memicit dahi.

"Kan?" Sepatah tanya, Prof. Zhou memandang tajam kepada Aina.

"Baik, saya bincang dengan ketua program dulu. Apa-apa hal, saya beritahu," jawab Aina lalu segera berlari keluar dari situ.

Setelah figura Aina hilang dari pandangan, Prof. Zhou menumpahkan semula pandangannya tepat ke arah Ahwaz dan Wardah. Wajah anak muda berdua itu kelihatan tenang saja, tapi siapa sangka yang otak Ahwaz sudah mula menunjukkan tanda-tanda penolakan terhadap dunia sana. Semakin lambat dia membuka mata, semakin tipis peluangnya untuk hidup!

'Aku harap kau terus kuat, Ahwaz Zulfan.' Prof. Zhou memejam mata.

Kamar Peraduan Puteri, Istana Makmur Gelang Putih.

SEMALAM, semalaman Wardah tidak berjaya melelapkan mata. Figura Ahwaz yang dilihatnya petang semalam asyik menari-nari saja di dalam kepalanya sampailah ke Subuh. Dia rasa dia tidak gila bayang atau terlebih angau, tetapi entah kenapa jejaka itu jugalah yang diingatnya sampailah ke pagi. Pelik betul!

"Tuanku puteri? Tuanku!" panggil Inang Sejahtera.

Eh, pelik pula dia melihat gelagat puteri asuhannya sejak semalam. Sekejap senyum, sekejap ketawa. Kemudian, nampak macam sudah belayar ke lautan angan-angan pun, ya juga. Janganlah kata yang si puteri ini sudah mabuk kepayang dek terkena guna-guna si Sultan Nadim Alam. Jika tidak, dialah yang paling bermuram durja sekali.

"Tuanku..." tegurnya pula.

"Ya..." jawab Wardah perlahan sambil menggigit bucu bantal.

"Tuanku sudah bersiram?" tanya Inang Sejahtera seraya menggeleng kepala.

Hailah tuan puteri. Kalau tengok daripada gaya, memang sah belum mandi lagi. Yalah, dengan rambut kusut-masai dan wajah bersememeh, memang pastilah belum mandi pagi. Lagipun, kebiasaannya puteri ini akan berwangi-wangian setiap kali selepas mandi. Orang cantik, anggun lagi bergayalah katakan.

"Belum," jawab Wardah sambil tersengih-sengih.

"Pergi bersiram lekas. Sekejap lagi, Mak Orkid akan sampai," suruh Inang Sejahtera sekali gus memerihalkan kedatangan mak andam istana.

"Kenapa Mak Orkid nak datang?" Sengihan Wardah bertukar cebikan.

Sungguh dia tidak suka kedatangan wanita mulut kepoh itu ke istana. Kalau setakat nak memekapkan dia, tak apalah. Ini tak, datang sekali dengan menjaja cerita sensasi umpat orang sana sini. Sampaikan, perihal kerbau Mak Melati yang terlepas masuk ke dalam kolam pun tidak lepas dari kocek stok umpatannya.

"Apa lagi? Kan lusa tuanku puteri akan nikah dengan Sultan Nadim Alam?" jawab Inang Sejahtera. Namun, ada nada sedih dalam jawapannya.

"Oh..." Jawapan Inang Sejahtera hanya dibalas dengan anggukan faham oleh Wardah.

Nikah dengan Sultan Nadim Alam ke, Ahwaz Zulfan? Kalau dengan Ahwaz, dia mahu. Kecil tapak tangan, nyiru dia tadahkan. Tapi, kalau dengan sultan kasanova itu... memang haramlah dia mahu. Dia nak lari jauh sampai keluar dari galaksi Andromeda! Jadi, misinya sekarang adalah mengenal pasti dengan siapa dia akan berkahwin pada hari lusa.

"Inang," panggil Wardah sambil tersenyum-senyum.

"Ayahanda beta tak ada di istana, kan?" tanyanya pula.

Dia sudah ada idea macam mana untuk tahu siapakah bakal suaminya di dalam game ini kelak. Tapi, buah fikirannya agak gila jika dikaitkan dengan status terkininya sebagai seorang puteri. Namun, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Jadi, gila tak gila pun, lebih baik dia gila sekarang daripada terus gila akibat terkahwin dengan orang gila.

"Tuanku raja tiada dalam negeri, tuanku. Baginda dan pembesar negeri berangkat ke negeri Bayu Berangan ketika terang-terang tanah lagi," jawab Inang Sejahtera dengan hairan.

'Oh, bagus!' Wardah ketawa keriangan di dalam hati.

"Kalau begitu, siapkan beta sekarang. Beta nak pergi makan angin," arah Wardah seraya bangun katil peraduannya lalu pantas berjalan ke bilik bersiram.

"Tapi, Mak Orkid?" Kalut Inang Sejahtera mengejar langkah puteri asuhannya.

"Persetankan dia," jawab Wardah seraya menghempas pintu. Gedegang bunyinya sampaikan bahu Inang Sejahtera pun terjongket sekali.

"Tuanku..." Inang Sejahtera mengurut dada lalu melepaskan keluhan.

Dia pusing! Ada sajalah ulah pelik Puteri Indah Kencana ini. Barangkali, dia perlu memanggil bomoh, pawang dan dukun secara senyap-senyap untuk memulihkan semula perangai ayu lagi lembut sang puteri seperti sediakala. Nampaknya, puteri asuhannya masih belum siuman seperti asal dan perkara ini membuatkan jiwanya huru-hara!

"Aku dah siap!"

Tak sampai lima minit, Wardah keluar dari bilik bersiram lalu pantas menapak ke dalam bilik peraduannya. Lantas, dia mencari-cari baju yang dirasakan sesuai untuk dipakainya sekejap lagi. Satu, dua, tiga, semuanya tak sesuai. Sudahnya, dia termenung sendirian melihat baju-baju yang terhampar di atas katil. Yalah, manalah sesuai baju cantik-cantik tersebut dipakai untuk urusan berlari-lari di dalam hutan nanti!

"Inang. Aku nak baju macam..." Wardah melilau-lilaukan matanya ke serata arah.

"Tu." Dia menunjuk tepat kepada pengawal yang berjaga di muka pintu istana.

"Tuanku puteri!" teriak Inang Sejahtera.

Puteri Indah Kencana mahu berpakaian seperti anak jantan? Tak boleh! Dia takkan membenarkannya! Mana ada wanita zaman ini memakai baju Melayu dan berseluar panjang? Seluar panjang yang dipakai oleh puteri itu tanpa mereka sedari pun sudah mengundang amarah si raja. Ini kalau tertangkap nanti, habislah semua orang kena pancung kepala oleh Raja Dewata Perwira.

"Tak sporting la kau ni," cebik Wardah lalu menyilang tangan ke dada.

"Dahlah. Pergi ambil air. Aku dahaga," arahnya pula dengan wajah masam mencuka.

"Baik, tuanku puteri," akur Inang Sejahtera.

Lantas, dengan wajah masih lagi teragak-agak, dia berlalu dari situ. Sungguh dia berasa kecut perut jika Puteri Indah Kencana membuat hal tidak masuk akal lagi. Tapi, kalau betullah perasaannya ini berlaku jua, rasanya dia sudah boleh menempah siap-siap slot kubur di tanah seberang. Namun, jauh di sudut hati, dia berharap agar intuisi tidak enaknya ketika ini hanyalah sekadar mainan perasaannya saja.


Assalamualaikum dan hai kepada semua pembaca. Novel ini sudah pun tamat dan TERBIT dalam bentuk e-book. Buat anda yang ingin mengetahui pengakhiran kisah Ahwaz dan Wardah, bolehlah dapatkan e-book ini. WhatsApp 014-8005934 untuk pembelian. Promosi RM 10 sehingga 30/6/2021. Tebal halaman adalah 362 muka surat. Lengkap eISBN dan PDP kerana diterbitkan di bawah syarikat penerbitan. Sekian.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.