Home Novel Cinta MY HEROINE TUANKU PUTERI
MY HEROINE TUANKU PUTERI
Angel_k20
1/6/2021 11:38:48
33,763
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 3

Jabatan Psikiatri, Malaysia Sport Centre Hospital.

PAGI itu, cuaca sangat baik. Setelah semalam bumi ditimpa hujan, kini sang mentari mulai muncul memberikan senyuman kepada warga dunia. Dan, hari ini juga, Wardah berasa jiwanya agak tenang berbanding dengan sebelum ini. Seketika, gambar ibu bapanya di atas meja ditenung lembut sebelum perlahan-lahan, bibirnya mengulaskan senyuman.

Apa khabar agaknya ibu bapanya di kampung? Sudah agak lama dia tidak bertanya khabar. Maklumlah, dia selalu sibuk. Hospital tempatnya berkhidmat ini memang gah dan terkenal di seantero dunia. Jadi, sesuai dengan nama baiknya, hospital ini selalu padat dengan pesakit berprofil tinggi dari seluruh dunia. Makanya, dia sendiri turut terpalit sama dengan kesibukan tersebut.

"Dr. Azkiya, pengarah nak jumpa."

Dalam sibuk dia mengelamun, satu suara halus tiba-tiba menerpa deria pendengarannya. Tanpa ketukan, tanpa salam. Aina, si jururawat merangkap teman baiknya berdiri di muka pintu sambil tersengih-sengih. Manis saja kelihatan penampilan jururawat muda itu, tetapi entah kenapa hatinya berasa tidak enak apabila melihatkan sengihan tersebut.

Tanpa berlengah, pantas dia bangun dari kerusi lalu baju kot labuh putih disarungkan ke tubuh. Lantas, kad namanya yang disimpan di dalam poket baju tersebut juga digantung ke leher. Setelah memastikan penampilannya benar-benar kemas, barulah dia mengorak langkah ke muka pintu.

'Dr. Wardah Azkiya, doktor psikiatri.'

Sebelum melangkah keluar, sempat matanya melirik ke plak nama di atas mejanya. Seketika, keluhan berat terbit dari mulutnya. Pengarah hospital mahu berjumpa dengannya, pasti ada hal mustahak yang berlaku dan khidmatnya diperlukan. Hailah, nampaknya hidupnya akan kembali libang-libu!

Lalu, tanpa mempedulikan lagi peperangan di dalam hatinya, dia melangkah tenang ke arah bilik pengarah hospital dengan dibuntuti oleh Aina. Sesekali, langkahnya disaingi oleh gadis tersebut. Namun, dia hanya membiarkannya dek dalam kepalanya, dia lebih sibuk memikirkan hal yang bakal diperkatakan oleh bosnya.

Setelah kira-kira lima minit berjalan, kini dia berdiri tegak di hadapan bilik pengarah hospital. Dari luar, dia sudah dapat mendengar suara-suara garau saling bertingkah antara satu sama lain. Perbincangan mereka kedengaran serius, tetapi dia mengambil keputusan untuk mengetuk sahaja pintu tersebut. Lagipun, dia terdengar namanya disebut-sebut.

"Ha, datang pun kamu. Duduk." Prof. Dr. Adnan, pengarah hospital mempersilakannya duduk.

Ajakan tersebut disambut dengan akuran dan anggukan hormat daripadanya. Lantas, wajah-wajah yang berada di dalam bilik itu dipandang sekilas sebelum perlahan-lahan, dia melabuhkan punggungnya di sofa empuk buatan Itali tersebut. Ketika ini, benaknya penuh dengan persoalan.

Apa yang Isbah Ahmad, kawan baik Ahwaz Zulfan buat di sini? Lagi satu, kenapa pula lelaki itu ada bersama dengan Prof. Zhou, iaitu profesor dari Jabatan Neurologi? Wajah mereka berdua sangat keruh dan stres bagaikan menanggung masalah besar. Sungguh, dia tidak faham situasi ini. Apa... yang berlaku sebenarnya?

"Dr. Wardah Azkiya. Mulai hari ni, kamu akan bertugas di Unit Kecemasan Khas." Tenang, Prof. Dr. Adnan bermukadimah.

Dek arahan itu, pantas Wardah memusatkan perhatiannya kepada bosnya. Serius, perkhabaran ini sangat mengejutkannya! Apa halnya ini? Apa yang berlaku sebenarnya? Unit Kecemasan Khas, itu kan nama lain bagi unit rawatan rapi (ICU)? Dengan kelayakannya sebagai doktor psikiatri, mana mungkin dia boleh merawat pesakit dalam unit itu?

"Tapi, profesor... saya..." Wardah mengerutkan muka.

"Tugas kamu ialah pulihkan Ahwaz Zulfan." Tanpa menunggu Wardah menghabiskan ayat, Prof. Dr. Adnan terlebih dahulu memberikan lagi arahan.

"Pulihkan Ahwaz?" Arahan daripada bosnya sekali lagi membuatkan Wardah mengerutkan wajah.

"Kenapa dengan dia?" tanyanya pula. Betul, dia pelik. Ahwaz sakit teruk ke?

Namun, soalan daripadanya disambut dengan ketawa sinis oleh Isbah. Sekonyong-konyongnya, dia bertambah pelik. Kenapa dengan Isbah? Pelik juga keadaan lelaki ini jika dibandingkan dengan seminggu yang lalu. Biasanya, Isbah yang muda dua tahun daripadanya tidak pernah ketawakannya dengan sinis bagai nak marah macam ini sekali.

"Awak tak tahu ke yang dah seminggu kapten koma?" lirih Isbah pedih.

"Apa?" Wardah berasa dirinya bagaikan terkena renjatan elektrik.

Ya Allah, berita ini amat mengejutkan! Lalu, pantas dia berpaling kepada Aina yang sedari tadi diam di sisinya. Kepada gadis itu, dia mencari kepastian dengan bertanyakan lagi soalan yang sama berkali-kali. Betul ke Ahwaz koma? Kenapa? Soalan itu diulang tanya sampailah dia berasa berpijak di dunia nyata.

"Efek daripada RS, semua anggota team Psychic Eagle mengalami kecederaan fizikal dan mental. Ada dalam kalangan mereka masih dirawat di hospital. Jadi, mereka dah tak boleh untuk masuk sekali lagi ke dalam dunia digital. Tapi, kau boleh," jelas Aina seraya menarik nafas panjang.

"Aku dah sediakan semua kelengkapan. Hanya saja... kami menunggu kesudian kau, Dr. Wardah," tuturnya lagi lalu melontarkan senyuman.

"Dr. Azkiya, tolong." Prof. Zhou yang sedari tadi bungkam di tempat duduknya merayu penuh pengharapan kepada Wardah.

Melihatkan itu, Wardah diserang rasa bersalah. Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Dalam ramai-ramai doktor psikiatri di hospital ini, kenapalah namanya yang dipilih untuk merawat kapten pasukan Psychic Eagle? Ahwaz Zulfan, sebaris nama sahaja pun sudah mampu membuatkan hatinya diamuk resah.

"Tapi, profesor..." Wardah menggigit bibir.

Matanya dikalihkan pula ke arah pengarah hospital yang diam di kerusinya sambil menyaksikan cerekarama sebabak di hadapannya. Tak guna punya Prof. Dr. Adnan. Memang sejak dulu sampai sekarang, ada-ada saja ulahnya yang sentiasa saja membuatkan stafnya ini sakit kepala.

"Dr. Wardah. Ini arahan mandatori. Nak tak nak, kamu kena bantu Ahwaz. Dia harapan negara, kamu pula harapan dia," ujar pula Prof. Dr. Adnan tanpa riak.

"Tapi..." bantah Wardah.

"Bukan ke Ahwaz tu bekas tunang awak, Dr. Wardah? Kenapa susah sangat awak nak tolong dia? Sebelum dia koma pun, hanya awak yang dia ingat. Please, Wardah Azkiya. Selamatkan dia!" Isbah beremosi.

Sedetik, dua detik. Bilik pengarah Malaysia Sport Centre Hospital itu sekali lagi hening selepas dilanda nada tinggi daripada Isbah Ahmad. Betul, dia beremosi apabila satu-satunya doktor psikiatri merangkap geng sepermainan maya Ahwaz Zulfan bagaikan susah saja mahu menghulurkan bantuan. Kalau ya pun sudah putus tunang, takkan tak boleh bantu? Dia tak faham!

Melihatkan situasi itu, sekali lagi Wardah berasa tersepit. Dia mahu membantu Ahwaz, tetapi dalam masa yang sama dia serba salah. Macam mana dia nak membantu kalau ibu kepada Ahwaz sendiri menghalang keras dirinya daripada muncul di hadapan anak terunanya? Ya Allah, sungguh dia pusing dengan semua ini.

"Kamu risaukan penerimaan Puan Suhana?" Prof. Dr. Adnan memecahkan kesunyian. Dan, seperti yang dijangka, soalan itu hanya dijawab dengan anggukan oleh Wardah.

"Jangan risau, tahulah macam mana saya uruskan wanita hidung tinggi tu. Sekarang, Dr. Azkiya. Hanya kamu seorang harapan kami. Bantulah Ahwaz." Dia merenung penuh pengharapan lagi kepada gadis kecil molek berusia 26 tahun tersebut.

Seketika, keadaan di situ kembali sunyi sepi seperti baru sahaja dilanggar garuda. Semua mata terfokus kepada Wardah dan keadaan itu sememangnya membuatkannya dihurung ralat. Apa yang dia perlu buat? Terima atau tolak? Di satu sisi, ancaman Puan Suhana menanti. Di sisi lain pula, senyuman Ahwaz bagaikan menarik tangannya agar mendekati.

Ya Tuhan, dia penasaran!



Previous: BAB 2
Next: BAB 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.