Home Novel Cinta MY HEROINE TUANKU PUTERI
MY HEROINE TUANKU PUTERI
Angel_k20
1/6/2021 11:38:48
33,764
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 6

Dunia Digital Back to Ancient, BTA2121.

Kamar Peraduan Utama, Istana Besar Sakti Kota.

AHWAZ membuka matanya perlahan-lahan. Kepalanya berasa sangat sakit bagaikan dipalu dengan lesung. Otaknya terasa ingin bersepai pecah! Ketika ini, pandangannya kabur dan segala-galanya berpusing hebat. Seketika, dia memejamkan kembali matanya sambil tangannya dibawa mengurut dahi.

"Anakanda dah bangun? Syukur pada Tuhan."

Tiba-tiba, Ahwaz berasa tangannya disentuh lembut dan kepalanya dipicit perlahan oleh suatu tangan. Ya, suara daripada seorang wanita berpakaian bangsawan itu sangat mendamaikan jiwanya yang berasa bagaikan tidak keruan tadi. Dalam diam, picitan itu dinikmati sekejap sebelum perlahan-lahan, dia memfokuskan pandangannya kepada wanita separuh usia tersebut.

"Anakanda nak air?" soal wanita itu lagi.

Geleng. Ahwaz berasa tidak dahagakan air, tetapi dia dahagakan kasih sayang seseorang. Ulah wanita tua ini membuatkannya sebak. Dia teringat kembali ketika dia masih kecil, seseorang yang dirinduinya juga berbuat demikian kepadanya. Bahkan, wanita itu turut memanjakannya. Namun, segala-galanya berubah setelah wanita tersebut berjaya menjadi wanita berkerjaya hebat.

"Ma... mama," rintih Ahwaz tanpa sedar. Hatinya sakit!

Sampai hati wanita itu merosakkan kebahagiaannya. Tidak sedarkah wanita itu bahawa sebelum berjaya memegang tampuk kepimpinan syarikat gergasi Azad Group, wanita itu bukan berperangai seperti sekarang. Kemahuannya disekat, keceriaannya direnggut. Ini semua berlaku kerana wanita bernama Puan Suhana itu mahu menjadikannya sebagai pewaris empayar perniagaan tekstilnya.

"Anakanda... tak apa-apa? Sakit sangat ke?" Runsing, si wanita tua tersebut menyeka air mata Ahwaz yang tertumpah tanpa sedar.

Namun, soalan daripada wanita tua itu dibiarkan sepi. Ketika ini, dia hanya mahu melepaskan perasaan yang terbuku sejak sekian lama. Disebabkan Puan Suhanalah, dia menjadi begini. Dia mahukan kebebasan, dia bukan 'anak mama'. Mamanya tidak berhak untuk menentukan hala tuju hidup anak bujangnya! Dia sudah besar!

Masih segar dalam ingatannya, kekasih hatinya diugut agar memutuskan hubungan dengannya. Alasan mamanya mudah iaitu dia tidak mahukan menantu yang berasal dari kampung. Tapi, tidak sedarkah mamanya bahawa Wardah Azkiya itulah yang sentiasa menyokong usahanya sehinggalah dia berjaya menjadi atlet sukan maya yang disegani dunia?

"Rehatlah, anakanda. Kalau mahu apa-apa, beritahu saja bonda." Wanita tua itu melontarkan lagi senyuman walaupun dia tahu, Ahwaz mengabaikannya. Dia... masih lagi tidak lelah mencuba.

"Maaf, bonda." Berasa bersalah, Ahwaz akhirnya memandang raut wajah tua itu dengan mata berkaca-kaca.

Ya Allah, sungguh dia rindukan keadaan ini lagi. Akan ada lagikah peluang untuk dia mengecapi kembali zaman momen indah bersama mamanya sendiri? Entahlah, dia berasa harapannya bagaikan tinggal harapan saja. Mana mungkin wanita elegan itu akan berubah setelah diberikan kemewahan oleh suami barunya?

"Sudah seminggu lamanya anakanda gering tidak sedarkan diri. Bonda di sini sangat risaukan anakanda. Syukurlah anakanda sudah sedar." Wanita tua itu mengusap-ngusap pula dahi Ahwaz.

Sekali lagi, bicara hening wanita yang menggelarkan dirinya 'bonda' itu didengar penuh perhatian. Kemudian, raut wajah lembut wanita elegan dalam sepersalinan kebaya tradisional bersulamkan songket ditatap lama. Tunak saja matanya memandang air muka tersenyum wanita itu sebelum tiba-tiba, sakit kepalanya menyerang lagi.

"Kazz!"

Ahwaz memegang kejap kepalanya yang kembali berdenyut hebat. Suara siapakah itu? Siapakah Kazz? Suara cemas si wanita tua di sisinya saling bertingkah dengan suara asing tersebut. Semakin dia memfokuskan kepada suara garau yang menyebut kata 'Kazz', semakin hebat pula kepalanya berasa seperti digodam. Ya Allah, kepalanya berasa mahu pecah! Tidak dapat menahan kesakitan, akhirnya Ahwaz kembali terlayar di lautan sepi.

Kamar Peraduan Puteri, Istana Makmur Gelang Putih.

"SYUKUR pada Tuhan, akhirnya tuanku puteri bangun."

Suara gembira penuh kesyukuran menerpa pendengaran Wardah sebaik sahaja dia membuka mata. Seketika, dia berasa pelik apabila tiba-tiba saja dia mendapati dirinya dikelilingi oleh wanita-wanita klasik berkebarung tradisional. Setelah agak lama terdiam, barulah dia berjaya mengingat semula apa yang berlaku.

Ya, dia kini berada di dalam game Back To Ancient: 2121 demi menyelamatkan nyawa Ahwaz Zulfan, bekas tunangnya. Mengikut data yang diberi oleh Aina, jejaka itu sepatutnya berjaya keluar dari RS. Tetapi, disebabkan oleh bugs RS yang bagaikan sengaja ditujukan kepadanya, kapten pasukan Psychic Eagle itu kekal terperangkap di alam digital.

Namun, oleh kerana tindakan cepat pasukan kejuruteraan pasukan itu mengalih tukar game RS kepada BTA2121, maka kapten mereka masih boleh bertahan. Tetapi, masalah besar terjadi apabila data merekodkan bahawa Ahwaz mengalami amnesia pada bahagian ingatan game. Ini bermakna, Ahwaz tidak akan sedar bahawa dirinya masih terperangkap di dalam dunia digital!

Jadi, inilah sebabnya dia, Wardah Azkiya dari Jabatan Psikiatri dipilih untuk menbawa pulang Ahwaz Zulfan ke alam realiti. Selain daripada dirinya yang bergelar tunang, atau spesifiknya bekas tunang, dialah satu-satunya gamer perempuan yang pernah bekerjasama dengan kapten itu menumpaskan musuh di dunia digital. Okey, sekarang, dia sudah ingat sepenuhnya apa yang berlaku.

"Tuanku puteri baik-baik saja kan?" Dengan penuh kasih, seorang wanita bertubuh agak gempal yang nampak agak berusia mendekati katil peraduannya.

"Kau... siapa?" Wardah mengerutkan muka.

Tuanku puteri? Bahasa klasik? Apa yang berlaku? Setahunya, Aina mengatakan bahawa dia perlu mencari Ahwaz di sebuah istana di negeri bernama Sakti Kota. Kerana itu, dia hanya memilih untuk menjadi pengawal diraja kerajaan itu, bukannya puteri raja. Jadi, janganlah kata yang game BTA2121 pun diserang oleh bugs!

"Tuanku? Tuanku!" Semakin runsing, wanita itu menaikkan sedikit suara.

"Apa? Aku dengarlah," jawab Wardah seraya menarik muka.

Setelah difikir-fikir, barulah dia mengerti kenapa dia boleh menjadi 'tuanku puteri'. Wah, tak guna punya Aina. Main kasar nampak! Seketika, dia mendengus geram sebelum selimut yang membaluti badannya ditarik lalu dicampak kasar ke lantai. Tuan puteri? Kegilaan apakah yang disetkan oleh Aina untuknya di sini? Nampaknya, sahabat baiknya mahu bermain api!

"Tuanku Puteri Indah Kencana..." Wanita itu cuba menenangkannya.

"Lepaslah." Semakin marah, Wardah menjeling tajam kepada wanita tersebut.

"Tapi, tuanku. Patik..." Serba salah, tetapi wanita itu semakin menggenggam erat pula lengannya. Yalah, dia mahu mencampakkan pula bantal ke lantai.

"Semuanya mental. Kau, kau, kau!" Wardah semakin memberang.

Aina, tunggu sajalah nanti. Apabila pulang nanti, akan ditibainya rakannya secukup-cukupnya. Dia terpaksa menjadi perempuan Melayu terakhir? Ya Allah, kemiringan apakah ini? Mentang-mentanglah dia agak tomboi orangnya, Aina menjadikan wataknya sebagai tuan puteri!

Kemudian, lagi bertambah haru... dia terpaksa pula berpakaian sebagai gadis ayu zaman klasik. Eh helo, usahkan baju kebaya, kain sarung pun tidak pernah sepanjang hayat pernah dipakainya. Baginya, pakaian tersebut sangat merimaskan dan membuatkannya berasa sangat tidak selesa.

"Inang Teratai, nampaknya tuanku puteri masih belum siuman. Pergi panggil Tabib Rama lekas," arah si wanita gemuk itu pula.

Inang Teratai? Wah, menarik juga program game yang direka oleh Aina dan pasukan kejuruteraan perisiannya. Jika macam ini sekalilah klasiknya nama yang diberi kepada para wanita yang berpakaian sedondon sambil menekur lantai di hadapannya, maknanya betullah dia kini berada di zaman kuno.

"Nama kau... apa?" soal Wardah kepada wanita tersebut.

Agak 'kasar' bahasa yang digunakannya sedari tadi. Memang tak nampak seperti bahasa orang zaman dahulu kala guna pun. Tapi, lantaklah jika orang klasik di sini pelik dengan bahasanya. Apa dia kisah? Lagipun, ini dunia game. Dia bukannya berada di alam realiti pun.

"Nama hamba, Inang Sejahtera," jawab wanita itu.

"Oh..." Wardah menarik senyuman nipis.

Inang Sejahtera, ya? Menarik. Okey, sekarang dia sudah ada beberapa rancangan gila yang bakal membuatkan dayang tersebut berubah menjadi sengsara. Lagipun, bukan ke antonim bagi sejahtera adalah sengsara? Seketika, senyuman nipisnya berubah semakin lebar sehinggalah bertukar bentuk menjadi sinis.

'Aku... Puteri Indah Kencana? Okey, tak ada masalah.' Dia tersengih nakal.



Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.