Home Novel Cinta MY HEROINE TUANKU PUTERI
MY HEROINE TUANKU PUTERI
Angel_k20
1/6/2021 11:38:48
33,386
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 8

Kamar Peraduan Puteri, Istana Makmur Gelang Putih.

"CANTIK tuanku hari ni," puji Inang Sejahtera sambil tangannya lembut menyisir rambut sang puteri asuhannya.

Kata-kata ketua dayang merangkap inang pengasuh kepada Puteri Indah Kencana disambut dengan senyum simpul oleh Wardah. Pujilah mana-mana pun sama ada si puteri itu ataupun dia sendiri, memang tak apa. Tidak timbul pun rasa cemburu dek wajah figura yang terpantul cermin itu pun boleh menceritakan segala-galanya. Alahai, takkan nak panas hati dengan diri sendiri, kan?

"Mana ayahanda, inang?" tanya Wardah dengan selamba.

Semalam, gigih dia mengkhatamkan sejarah negeri dan peribadi Puteri Indah Kencana. Melalui Inang Sejahtera, segala-galanya mengenai hal ehwal di sini diketahuinya. Namun, apa yang menariknya adalah hubungan diplomasi antara negeri ini dengan Sakti Kota yang dilembayungi oleh Sultan Nadim Alam.

Seperti namanya si sultan, nama negeri itu juga kedengaran gah di mata negeri-negeri lain. Sebut saja nama sultan itu, pasti semua orang akan bercakap-cakap mengenainya. Tetapi, itulah. Dalam hebatnya sultan negeri Sakti Kota menakluk jagat, kedengaran juga khabar berita tidak enak mengenainya.

Sultan Nadim Alam laparkan betina. Sultan gila perempuan. Sultan zalim, khianat, hodoh bagaikan katak puru, suka menindas rakyat, mabuk tapai, dan macam-macam lagilah berita yang boleh membuatkan orang yang mendengarnya senak otak. Jadi, konklusi nama yang boleh diberikan adalah: Sultan itu merupakan kasanova berjaya.

Teringatkan itu saja pun, Wardah berasa geli-geleman. Janganlah kata sultan kasanova itu akan berusaha untuk memikatnya pula. Minta simpang! Yalah, dengar khabarnya, dialah satu-satunya gadis tercantik di negeri ini dan masih lagi belum dipinang oleh mana-mana putera raja kerana rata-rata daripada mereka takutkan ayahandanya yang terkenal dengan sifat garang.

"Dengar-dengarnya, baginda sedang berbicara bersama Sultan Nadim Alam dan para pembesar Sakti Kota," jawab Inang Sejahtera seraya melepaskan keluhan.

"Kenapa kau mengeluh, inang?" soal Wardah.

Melalui refleksi cermin, dia dapat melihat senyuman manis si inang tiba-tiba sirna. Sisirannya pada rambut ikal mayangnya juga terhenti lalu sikat rambut diletakkan di atas meja solek. Seketika, bahunya dipegang dan dielus lembut oleh Inang Sejahtera. Wajahnya mendung.

"Tuanku puteri, patik harap tuanku bersabar," tutur Inang Sejahtera sayu.

Ayat sendu daripada si inang diterima dengan wajah berkerut lalu dicerna sebaik mungkin. Walaupun hatinya berasa pelik, dia diamkan sahaja perkara itu lalu kembali menatap wajah Inang Sejahtera melalui refleksi cermin. Namun, jelas di matanya wanita tersebut bereaksi gundah-gulana.

"Kenapa?" Tidak dapat menahan rasa ingin tahu, akhirnya Wardah bertanya juga.

"Sultan Nadim nak pinang tuanku puteri untuk dijadikan gundik ke-100," jawab Inang Sejahtera dalam satu nafas.

Mendengarkan itu, Wardah berasa seperti hendak pitam. Apa? Gundik ke-100? Ini bukan lagi level kasanova, tapi level datuk iblis segala syaitan gigolo algojo kasanova eh sila mereput dalam neraka! Serta-merta, dia berasa terbakar. Kalaulah perasaan marahnya bukan lutsinar, nescaya rakyat Gelang Putih ini boleh nampak betapa marak apinya menjulang-julang membakar Sultan Nadim Alam.

"Hell no!" sumpah Wardah lalu pantas bangun dari kerusi.

Sekarang, apa dia perlu buat? Menurut sistem game, kuasa sultan itu menyamai kekuatan raksasa terkuat dalam game RS. Jadi, ini bermakna bahawa dia perlu melepaskan diri daripada menjadi tawanan atau bahasa mudahnya gundik sultan tersebut. Tetapi, macam mana? Perlu ke dia keluar dari game?

"Tuanku, tuanku jangan marah dulu." Inang Sejahtera berusaha menenangkan amukan puteri asuhannya.

"Tapi, jantan tak guna tu..." Wardah mengepal penumbuk. Sumpah hatinya menggelegak hebat!

Melihat perubahan perangai Puteri Indah Kencana yang diasuhnya sejak kecil, Inang Sejahtera terus menelan kesat air liurnya yang berasa tersekat di kerongkong. Ya Tuhan, kenapa lain benar perangai puteri ini selepas tersedar daripada gering sejak hampir ditanduk oleh kerbau dua hari lepas?

Puteri Indah Kencana, gadis diraja itu tidak pernah menaikkan suara walau marah macam mana sekalipun. Puteri itu juga takkan sesekali berperangai kasar macam ini. Lagi satu, si puteri sangat beradab dengan menjaga tingkah laku dan tutur kata sesuai dengan statusnya sebagai puteri kehormat. Tetapi, perangainya kali ini agak... pelik.

"Tuanku, bertenang. Baginda tuanku belum lagi memutuskan sama ada mahu menerima atau menolak pinangan baginda sultan," pujuk Inang Sejahtera.

"Ah, aku tak kira. By hook or by crook, aku tak nak kahwin dengan mamat tu. Pleaselah, bukan taste I! Dengan gaya meluat, Wardah mengutuk si sultan.

Ya, haruslah dia mengelak daripada terkahwin di alam digital. Lagipun, bukannya apa. Dia tidak mahu berkahwin dengan orang dalam dunia serba tipu. Dunia digital sama saja seperti mimpi. Dia tidak mahu perkara ini terjadi. Dia hanya mahu berkahwin dengan manusia biasa bernama Ahwaz Zulfan. Titik!

Eh? Bagai tersedar daripada lamunan, Wardah memegang pipinya sendiri. Lantas, tangannya dibawa ke jantung. Hanya nak kahwin dengan Ahwaz? Nampak sangat dia masih belum move on dengan jejaka itu walaupun sudah tiga tahun berlalu sejak dia sendiri memutuskan pertunangan secara verbal.

"Kazz..." lirihnya perlahan.

"Apa benda Kazz tu, tuanku puteri?" Dengan wajah hairan, Inang Sejahtera bertanya kepada Wardah.

Ada-ada sajalah puteri kerajaan Gelang Putih ini. Sejak sembuh dari gering, semakin pelik pula bahasa yang terbit dari mulutnya. Jika sebelum ini si puteri hanya menggunakan bahasa istana dalam pertuturan harian, kini mulut gadis pingitan itu bagaikan burung murai tercabut ekor. Sudahlah banyak cakap, bahasa pula pelik-pelik.

Kau? Aku? Wah, kasarnya bahasa! Namun, panggilan itu masih boleh diterima oleh akalnya. Tetapi apabila terkeluar saja bahasa yang tidak pernah digunakan oleh orang zaman ini, terus otaknya ligat berputar 360 darjah bagi menangkap maksud si puteri asuhannya. Apa bendanya ayat 'hell no', 'by hook or by crook', 'please', 'taste' dan lain-lain lagi itu?

"Kazz..." Wardah menayangkan sengihan.

Allahu. Dia terlupa lagi bahawa sekarang dia adalah Puteri Indah Kencana. Sudah pasti inang itu pelik dengan ayat asing yang keluar dari mulutnya. Tapi, nak buat macam mana? Dia kan, Wardah Azkiya? Seorang Wardah Azkiya bukanlah gadis ayu lagi lemah lembut dan bersopan santun macam perempuan Melayu terakhir. Dia... brutal!

"Tak ada apalah, inang. Haih. Beta berasa bosan pula. Jom, kita keluar," elak Wardah sekali gus mengajak Inang Sejahtera bersama dayang lain supaya mengikutinya berjalan-jalan.

"Baik, tuanku puteri," akur Inang Sejahtera. Lantas, dengan suara halilintar, dia turut memanggil beberapa orang pengawal supaya bersedia.

"Kita nak pergi taman bunga saja pun," omel Wardah apabila suara petir Inang Sejahtera turut terpetir ke dalam gegendang telinganya.

Namun, omelannya terus bertukar ngangaan apabila dalam sekelip mata, sepuluh orang pengawal bersenjatakan tombak terus terpacak kukuh di hadapannya. Wah, dahsyat juga sekuriti istana ini! Ketika ini, tiba-tiba perasaannya bertukar rimas. Perlu ke dia dikawal ketat oleh para pengawal?

Tapi, tak apa. Dia sudah ada perancangan untuk melepaskan diri dari mereka semua. Seketika, dia mengulum senyum sambil hatinya berbunga riang. Alah, apa susahnya kalau setakat nak lari pengawal? Kalau pengawal dalam game 3D pun boleh kalah, takkan pengawal dalam dunia digital ini kebal sangat. Kan?



Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.