Home Novel Cinta MY HEROINE TUANKU PUTERI
MY HEROINE TUANKU PUTERI
Angel_k20
1/6/2021 11:38:48
33,421
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 11

Taman Bunga Larangan, Istana Makmur Gelang Putih.

"TUANKU puteri, tolonglah turun. Bahaya!" rayu Inang Sejahtera.

Aduh, dia sudah pusing dengan ulah puteri asuhannya. Kenapa sejak kes hampir ditanduk oleh kerbau hari itu, baginda puteri bertukar perangai seratus peratus berlainan daripada asal? Jika dahulunya Puteri Indah Kencana sangat sopan orangnya, kini berperangai mengalahkan mambang!

"Eii, best apa duk atas pokok ni? Dapat udara segar... wohoo!" laung Wardah sambil mendepakan tangan.

Wah, serius dia sudah lama tidak merasai bayu angin menampar lembut pipi mulusnya. Kali terakhir dia merasai dingin angin segar membelai wajah adalah ketika menjalankan ekspedisi di Gunung Tebu bersama rakan-rakan doktornya. Sumpah dia rindukan masa itu.

"Tapi tuanku puteri, pokok tu banyak kerengga. Nanti kena gi..."

"Aaaaaaa!"

Tanpa sempat Inang Sejahtera menghabiskan ayatnya, Wardah terlebih dahulu berteriak sambil berjoget di atas pokok. Bukan joget gembira yang dijogetnya, namun joget kesakitan dek digigit kerengga. Aduh, malang betul nasibnya!

"Tuanku puteri!" Berjemaah, para inang menjerit ketakutan. Macam mana kalau Puteri Indah Kencana terjatuh? Matilah mereka dipancung oleh Raja Dewata Perwira!

"Aku okey!" laung balas Wardah sambil tangannya sibuk membuang kerengga yang menggigit.

Alahai, kerengga! Dia hanya mahu memetik buah jambu saja, bukannya mahu menebang pokok. Kerengga ini pun langsung tak mesra pengunjunglah. Bagilah peluang dia memanjat pokok. Lagipun, sudah lama dia tidak melakukan aktiviti fizikal. Sekali-sekala berperangai tomboi, itu pun salah ke?

"Turunlah tuanku puteri. Tuanku nak banyak mana buah pun, pengawal tuanku boleh tolong jolokkan," pujuk Inang Sejahtera dengan nada mendesak.

Haruslah dia mendesak puteri asuhannya supaya turun dari pokok kerana nun jauh di sana, matanya menangkap kelibat sekumpulan lelaki berbaju bangsawan sedang menghala ke sini. Dia tidak pasti siapakah gerangan mereka. Namun, dari segi gaya berjalan, dia pasti yang mereka semua merupakan orang istana.

"Tak sama tau petik sendiri dengan orang tolong petik. Aku tak kira. Jangan siapa pun halang aku. Kalau tak, aku baling sarang kerengga atas kau orang," ugut Wardah sambil tersengih suka.

Kerengga yang menggigit badannya sudah selamat menjadi rempeyek. Habis penyet badan serangga kecil tetapi menyengat itu dikerjakan olehnya. Itulah, siapa suruh kerengga itu cuba bermain api dengannya? Kalau sekadar lalu atas badan tak apalah, ini terus bagi sepit. Makanya, boleh terus ucap hailah kepada alam barzakh.

"Ampun tuanku puteri." Inang Sejahtera menggeleng resah.

Sesak nafasnya melihat lagak bahaya si Puteri Indah Kencana. Sumpah dia tidak tahu perancangan gila gadis tersebut. Tadi, manalah dia tahu yang gadis itu akan berlari keliling pokok jambu lalu dengan tangkasnya memanjat pokok. Maklumlah, dia memakai seluar panjang macam orang lelaki.

"Dah, dah. Nah, kutip buah ni. Aku nak cecah dengan gula melaka dan cili padi. Erm, sedapnya!"

Sambil membayangkan kesedapan colek buah jambu, dia melontarkan beberapa biji buah tersebut ke tanah. Sesekali, sebiji dua buah itu selamat juga memasuki anak tekak lalu turun ke perutnya. Tetapi, tidak kurang juga beberapa biji buah yang masak ranum dimasukkan ke dalam baju yang sengaja dibuat kilas.

"Banyak dah ni tuanku. Turunlah," panggil Inang Sejahtera. Tidak berputus asa dia memujuk sang puteri.

"Ha, yalah." Setelah berpuas hati dengan hasil 'tangkapannya', Wardah akhirnya akur dengan suruhan tersebut. Lalu, dengan berhati-hati dia memijak dahan pokok untuk turun ke bawah.

Melihatkan itu, Inang Sejahtera menghela nafas kelegaan. Legalah hatinya melihat sang puteri akhirnya mendengar kata. Harap-harapnya, berita kenakalan dalam kepelikan puteri negeri Gelang Patah ini tidak tersebar ke negeri lain. Jika tidak, boleh hilang statusnya sebagai 'puteri kehormat'.

"Wah, merahnya yang tu!" jerit Wardah yang masih lagi berada di atas pokok.

Baru di pertengahan jalan menuruni pokok, anak matanya menangkap segugus buah jambu masak ranum di hujung julai. Kemahuannya melonjak, tamaknya menggunung. Dia tak kira, dia nak juga buah itu. Lagipun, sudahlah buah itu besar-besar, warnanya pula sangat menggoda mata yang memandang.

"Turun, tuanku. Jangan. Bahaya." Inang Sejahtera menekup dadanya sendiri.

Ya Tuhan, bagai mahu luruh jantungnya melihat aksi ngeri puteri asuhannya yang menapak pula ke hujung julai semata-mata mahu memetik buah paling ranum. Inilah akibatnya jika tiada ibu yang mengajar anak. Anak menjadi liar dan terlebih gula dalam badan. Hiperaktif betul Puteri Indah Kencana!

"Sikit je... je lagi..." Masih berusaha bersungguh-sungguh, tangannya cuba menggapai gugusan buah.

Oleh kerana buah tersebut berada betul-betul di hujung julai dan dahan untuk ke sana pula amat rapuh, Wardah terpaksa lebih berhati-hati. Dia tahu jika tersilap langkah, boleh patah riuk tulangnya kalau terjatuh ke tanah. Dia pernah patah kaki ketika kecil dahulu akibat terjatuh dari pokok mangga. Situasinya pun... macam inilah.

"Tuanku puteri!" tempik Inang Sejahtera pula. Dia gerun.

"Bising betullah minah tu," bebel Wardah perlahan.

Malas mahu mendengar seruan kerisauan para dayang dan pengawalnya, dia memekakkan telinga. Fokusnya kembali terarah kepada gugusan buah jambu merah yang masak ranum menggoda hati serta sedari tadi membisikkan kalimah 'pick me pick me up' tidak henti-henti. Dia... bagaikan sudah terpanah asmara si buah jambu!

"Gotcha!"

Wardah tersengih senang melihat buah jambu tersebut akhirnya berjaya dipetik. Perasaan berbunga-bunganya ketika ini seperti memenangi pertandingan e-sport peringkat Asia bersama Ahwaz saja. Manis sangat kenangan tersebut, namun manis lagi rasanya melihat wajah cuak dan takut orang di bawah. Hailah, dia kan pro panjat pokok? Takkan jatuh punyalah...

"I got it, yeah!" Dalam bahasa Inggeris, Wardah melaung puas hati kepada mereka di bawah.

"Apa yang tuanku cakap tu? Kita tak faham."

"Tuanku puteri disampuk jembalang pokok."

"Diamlah, tuan hamba semua!"

Cakap-cakap orang di bawah melatari pendengarannya ketika dengan penuh berhati-hati lagi, dia berpatah turun ke bawah pokok. Dahan demi dahan, julai demi julai. Dengan cekap dan pantas, dia menapak kemas menuruni pokok. Ketika ini, tiadalah apa yang mahu dibanggakannya kecuali skilnya dalam memanjat dan menuruni pokok masih belum berkarat sepenuhnya.

Namun, belum pun sempat dia memijak dahan terakhir, pinggang rampingnya bak kerengga berasa kesakitan berbisa yang luar biasa. Tak guna, ada lagi kerengga yang berani menggigitnya! Lalu dengan wajah berkerut, pantas Wardah melepaskan sebelah tangannya dari batang pokok lantas memicit kerengga yang masih berada dalam bajunya sepuas hati.

'Padan muka kau, kerengga!' omel hatinyanya puas. Penyet sudah kerengga itu dikerjakannya.

Setelah itu, dia kembali menuruni pokok. Tetapi, dia berasa agak pelik apabila suara para dayangnya yang sedari tadi memekak sudah tidak kedengaran lagi. Rasa ingin tahu bertamu, curiga bertandang. Disebabkan itu, pantas matanya difokuskan ke bawah. Dan... apa yang dia nampak memang mengundang debaran maha menggila.

"Kazz..." Dia hilang keseimbangan.



Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.