Home Novel Cinta MY HEROINE TUANKU PUTERI
MY HEROINE TUANKU PUTERI
Angel_k20
1/6/2021 11:38:48
33,466
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 1

Dunia Digital, Ruth Seed (RS).

"KAPTEN, cepat keluar dari sini!" jerit Night.

"Kau orang selamatkan diri dulu!" laung Ahwaz sehabis kuat.

Suasana cemas di lapangan peperangan semakin mencengkam. Entah di mana silapnya, pasukan Psychic Eagle yang diketuai olehnya diserang hendap oleh kumpulan Black Greeth. Sumpah dia tidak menjangkakan bahawa strategi yang dirangkanya dapat dihidu oleh mereka.

"Kapten!" desak Night lagi.

Suara panik kawan baiknya membuatkan Ahwaz menarik nafas panjang seraya berusaha menahan diri daripada bertindak melulu. Tidak, dia tidak boleh bertindak bodoh dalam melawan Reaper, si ketua musuh yang sedang menyeringai galak kepadanya dalam riak mengejek.

"Aku akan pastikan kau takkan mampu kembali ke realiti, Kazz," tuturnya pula sambil mengacukan pedang ke muka Ahwaz.

"Tak guna!" Ahwaz menentang tajam mata lawannya.

"Sampai bila-bila pun, Malaysia akan kalah dengan Jerman. Kau ingat tu, kapten." Reaper menarik senyuman jahat lalu memulakan serangan.

Hiargh!”

Reaper menjerit lantang sambil melibas pedangnya bertalu-talu. Ahwaz mengelak, namun kemenangan bagaikan tidak mahu memihak kepadanya apabila Reaper semakin mengasak hebat tanpa tanda mahu memberikannya peluang untuk membuat serangan balas.

"Kau kalah, Kazz!' Jeritan gembira Reaper semakin menggila.

"Hiargh!" tempiknya lagi nyaring.

Slash!

Ahwaz berasa seperti sesuatu yang sejuk melalui dada bidangnya. Namun, rasa itu disertai pula dengan kepedihan maha hebat menjalar sehingga ke urat sarafnya. Tangannya dibawa menyentuh dada, kemudian matanya menganalisis sisa cecair merah yang melekat pada tapak tangannya. Darah.

'Cis!' Ahwaz menyumpah marah. Dia semakin terdesak!

Pertandingan permainan maya peringkat percubaan yang disertainya ini agak bahaya. Setiap pemain harus menjaga tubuh badan mereka sendiri terutamanya organ dalaman agar tidak tercedera. Jika tercedera di alam maya, maka kecederaan tersebut akan turut dirasai oleh badan di alam realiti.

Ya, itulah format pertandingan permainan maya digital peringkat antarabangsa yang dinamakan Ruth Seed atau singkatannya RS. Pertandingan ini bahaya kerana nyawa pemain boleh terancam, namun ia juga memberi peluang kepada para pengkaji bidang neurologi, psikiatri serta sains sukan untuk mendalami lagi bidang ini.

"Menyerah sajalah, Kazz. Kau takkan menang nak lawan aku!" Dengan angkuh, Reaper mendabik dada.

Melihatkan itu, Ahwaz semakin tertekan. Jika tidak difikirkan keselamatan anak-anak buahnya, mahu saja dia menghabiskan manusia sombong di hadapannya ini. Lagipun, bukannya susah mana pun mahu menamatkan riwayat kapten pasukan Black Greeth.

Reaper mempunyai kelemahan yang dia sendiri tidak menyedarinya. Sekali tombak saja, pemain Jerman itu akan berkecai di alam maya ini. Namun, oleh kerana dia berjaya menawan Night, maka Ahwaz perlu berhati-hati agar anak buahnya tidak dicederakan oleh anak buah Reaper.

"Kesian kau, Reaper."

Setelah beberapa detik berada dalam keadaan berkerut wajah, tiba-tiba Ahwaz menutur kata. Dan... seperti yang dijangka, serangan balasnya berupa ayat simpati berjaya mengetuk rasa marah pada sukma pihak lawan.

Bagus, ini yang dia mahukan. Dalam diam, dia menarik senyuman sinis di hujung bibir.

"Bodoh!" selar Reaper lalu menderam marah.

"Wah, kau dah macam anjing!" sahut Ahwaz seraya ketawa keras. Namun, dalam pada itu, pantas dia melirik kepada Night.

'Tiga saat, hentak kepala, lari.' Dia memberikan isyarat kepada anak buahnya supaya bertindak melarikan diri.

"Dahlah macam anjing, hodoh pula tu. Oh, patut aku cakap kau macam tikus mondok. Ya, tikus mondok lagi sesuai untuk kau," provoknya lagi.

Ktang!

Ahwaz melepaskan tombaknya ke tanah. Berdenting bunyinya, namun kuat lagi suaranya menyelar pula anak-anak buah Black Greeth. Dengan mimik muka sengaja mengundang amarah, dia menentang tajam seorang demi seorang ahli pasukan tersebut lalu mencerca lagi.

"Kau, Gigi. Kata nak kalahkan aku, tapi lembik macam jeli. Kau pondan eh?" provok Ahwaz.

"Kau pula, Bald. Ha, eloklah nama kau Bald sebab kau memang botak. Kesian. Aku dengar dah macam-macam tempat kau pergi tapi tulah, rambut pun malu-malu nak tumbuh. Mesti kau marah, kan?" sambungnya lagi.

Allahu Rabbi. Dalam hati, sudah berbakul-bakul rasa bersalah menghujani benaknya. Serius, bukan begini perangai sebenarnya. Dia hanya mencerca kerana ingin menyelamatkan Night kerana dengar katanya, pihak lawan sangat sensitif dengan kritikan walaupun sedikit.

"Kau dah melampau, Kazz!" Reaper meludah ke tanah.

Cubit peha kanan, peha kiri turut terasa. Sebagai ketua, dia terkesan dengan tohmahan Kazz terhadap anak-anak buahnya. Kerana itu, perasaannya ingin menamatkan riwayat si mulut lancang ini semakin berkobar-kobar. Tidak dapat tidak, dia perlu menghapuskan lawannya sejak azali ini baik di di alam maya ataupun realiti.

"Aku tak salah, okey? Kau yang mulakan dulu. Kau tak dapat terima kekalahan, Reaper!" Ahwaz menuding jari ke muka Reaper.

"Sial!" sumpah Reaper.

Serius, dia tercabar dengan omongan Ahwaz Zulfan. Memang betul pasukannya telah kalah pada minit terakhir pertandingan, tetapi dia tetap tidak mahu menerima kenyataan. Disebabkan itu, dia merosakkan sistem permainan dengan harapan lawannya akan terperangkap di sini selama-lamanya.

"Hero sebenar takkan main kotor." Ahwaz menarik senyuman sinis lalu membuka langkah.

Adat bertanding, memang ada menang dan kalah. Untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Cuma saja, berlapang dadalah jikalau menerima kekalahan. Jika menang pula, usahlah mendabik dada dan berlagak bagus. Semua yang berlaku atas izin-Nya Yang Maha Kuasa.

"Kau ceramahkan aku?" Turut sama melepaskan pedangnya ke tanah, Reaper turut membuka langkah Taekwando.

Jika dia melawan Kazz dengan senjata, maknanya dia pengecut. Disebabkan itulah, dia turut menjatuhkan senjatanya ke tanah walaupun dia benci dengan keadaan ini. Serius, dia semakin geram dengan tingkah bersahaja tetapi sinis Ahwaz Zulfan, seterunya sejak azali.

Ini semua berlaku kerana Wardah Azkiya. Disebabkan gadis itu, dia berazam untuk mengalahkan seterunya ini walau dengan apa cara sekalipun asalkan doktor psikiatri sekali gus pemain genius permainan maya itu dapat dimilikinya. Kazz dan Bunny, kedua-dua tak layak bergelar tunangan!

"Semestinya, bulu jagung," jawab Ahwaz bersahaja. Lantas, dia memulakan serangan.

Tendangan sisi, teknik sapuan. Dia menyepak, Reaper mengelak. Serangan diteruskan lagi dengan tumbukan pula ditujahkan ke muka dan badan lawannya, namun seperti tadi Reaper hanya mengelak dan berada dalam posisi bertahan tanpa membalas. Bagus, pelannya berjalan lancar!

"Night, sekarang!" arahnya apabila melihat anak-anak buah Reaper galak menyaksikan pertarungan tersebut tanpa mengawasi Night.

"Sial!" tempik Reaper.

Lantas, pantas dia berlari ke arah Night yang bagaikan lipas kudung berlari menyelamatkan diri daripada pasukan tersebut. Dalam berlari, sempat dia berpaling ke arah Kazz yang sedari tadi melontarkan senyuman puas hati dapat mengenakannya.

Sumpah, kemarahannya sudah mencanak naik! Lalu, tanpa berfikir panjang, dia mengeluarkan batang bet besbol dari dalam poket baju zirahnya lalu bersedia untuk melontarkannya ke arah Night yang masih lagi berlari tanpa henti. Dalam marah, dia menyeringai galak sehingga menampakkan gigi rongaknya.

"Mati kau!" jeritnya lantang seraya membaling batang bet tersebut tepat ke arah Night.

"Night!" Ahwaz berlari kencang ke arah Night lalu menolak pemuda itu ke tepi.

Bum! Street...

Ahwaz dan Night, kedua-duanya jatuh tergolek di atas tanah. Dua orang sahabat baik itu termengaduh sesama sendiri, tetapi Ahwaz terlebih dahulu pantas memicit butang kecil di alat pembuka permainan di pergelangan tangan Night.

"Pergi, Night!" ujarnya seraya tersenyum pahit sebelum perlahan-lahan, matanya memberat dan berubah kabur.

"Kapten..." Suara laungan Night terus sirna daripada pendengaran dek dalam sekelip mata, figura sahabatnya turut sirna di udara.

"Selamat meninggal, Kazz," ucap Reaper pula seraya menghilangkan diri.

'Ya Allah, adakah ini pengakhiran aku?'

Ahwaz tersenyum pahit sebelum perlahan-lahan, dia memejam mata. Dia... terlalu sakit untuk mengungkap kata. Akibat terkena balingan batang bet, kepalanya berasa teramat sakit bagaikan digodam bertalu-talu dengan batang besi.

Dia juga sudah tidak tahu lagi keadaan sekelilingnya. Apa yang dia tahu, formasi permainan digital maya RS sedang mengalami keruntuhan maha hebat.

Adakah dia... akan bersemadi di sini?



Previous: PROLOG
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.