Home Novel Cinta MY HEROINE TUANKU PUTERI
MY HEROINE TUANKU PUTERI
Angel_k20
1/6/2021 11:38:48
33,363
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 5

Unit Kecemasan Khas, Malaysia Sport Centre Hospital.

"FUH, selamat!" Aina mengurut dada.

Hampir naik gila dia dan semua orang yang berada di situ tadi apabila melihat carta graf ritma jantung dan otak Ahwaz tiba-tiba turun naik tidak menentu. Ditambah pula dengan program permainan rekaannya turut menunjukkan paparan pergerakan ikon imej Ahwaz kekal statik, lagilah jiwanya haru-biru.

"Terima kasih, Wardah," ucapnya pula seraya memandang tubuh kaku Wardah yang lengkap bertopi i-Sport Malaysia.

"Jadi, macam mana keadaan boy saya, profesor?"

Suara bimbang tersebut memecah masuk sehingga ke dalam bilik ICU disebabkan kuatnya nada yang dikeluarkan. Namun, Aina faham kerunsingan wanita elegan penuh gaya itu terhadap kondisi anaknya si Ahwaz Zulfan. Apabila dimaklumkan semalam pun, terus saja Puan Suhana berteriak di telefon. Menangis mengongoi-ngongoi!

Hati ibu, dia arif sangat kerana dia pun seorang ibu muda. Anaknya baru berumur tiga tahun. Jadi, dia malas mahu mengambil pusing akan perkara itu dek di hadapannya sekarang, merpati dua sejoli yang terpisah kerana angkara jahat seorang ibu lagi penting. Pandai-pandailah nanti Prof. Zhou uruskan si keras kepala itu.

"Apa? Budak tu yang tolong my baby boy? Saya tak percaya!" Sekali lagi, melengking nada Puan Suhana memecah masuk ke dalam wad.

"Bertenang, puan. Dalam kes anak puan, memang Dr. Wardah saja dapat bantu. Kalau puan sayangkan anak puan, puan kena akur," pujuk Prof. Zhou.

"Masalahnya sekarang, saya tak suka budak tu. Prof. faham tak?" marah Puan Suhana.

"Apa masalah awak sebenarnya ni, hah? Awak faham tak yang budak tu boleh mati sebab nak selamatkan baby boy awak tu!" Kedengaran pula suara jerkahan milik Prof. Dr. Adnan.

Seketika, wad ICU persendirian bertukar menjadi hening seheningnya. Ini kalau jarum jatuh sekalipun, memang pasti akan kedengaran. Sudahnya, Aina memasang lagi telinganya untuk mengintip dengar drama sebabak di muka pintu.

"Kalau tak sebab Wardah sudi tolong, memang Ahwaz dah lama mati. Saya ulang sekali lagi, dia dah mati! Awak sedar tak yang awak tu ibu tak guna? Di mana awak ketika Ahwaz perlukan awak? Awak tak ada! Awak sibuk dengan suami baru awak di Australia sana!" sembur Prof. Dr. Adnan lagi.

Mendengarkan itu, Aina mengangguk-anggukkan kepalanya. Memang betul sangat apa yang diperkatakan oleh pengarah hospital tersebut. Seminggu yang lalu, sudah berkali-kali mereka cuba menghubungi wanita itu tetapi hasilnya hampa. Satu panggilan pun tidak bersambut!

"Awak berjoli sakan dengan suami baru awak. Honeymoon sana sini lepas tu upload dalam media sosial. Bahagia betul awak, ya? Tapi, kebahagiaan anak sendiri awak sekat. Awak ni memang manusia tak sedar dek untung!" Prof. Dr. Adnan meluahkan lagi rasa yang terbuku di hati.

Bagus, profesor! Ayat itu membuatkan Aina berasa ingin berjoget. Biar mama si Ahwaz ini sedar diri sikit. Sudah tua pun masih sibuk bermesra dengan jantan, tapi anak jantan sendiri disekat kebebasan. Ibu jenis apalah manusia bernama Puan Suhana ini? Agaknya, nak kena Ahwaz mati dulu barulah nak menyesal. Orang kata, sudah terhantuk baru tengadah.

"Saya kecewa dapat adik ipar macam awak ni, Suhana. Memang patutlah Ahwaz bencikan awak," tutur Prof. Dr. Adnan lagi. Kali ini, nadanya kesal.

Aina yang berada di dalam bilik Ahwaz sekali lagi mengangguk-angguk. Betul, menurut Wardah, Ahwaz membenci ibu kandungnya disebabkan perangai mengongkong tidak habis-habis sejak kecil sampailah besar. Kerana itulah, Ahwaz menyertai e-sport di pelbagai peringkat kejohanan semata-mata mahu melarikan diri daripada ibunya.

"Khusyuk nampak dengar orang berbalah. Tu, telefon kau bergetar sejak tadi," tegur Isbah seraya menggeleng kepala.

Dia pun dengar perbalahan tersebut dan seperti Aina, dia bersetuju dengan Prof. Dr. Adnan. Puan Suhana memang tidak patut membuatkan kaptennya terseksa macam itu sekali. Kasihan. Cinta yang sudah tersulam sejak sekian lama tiba-tiba dipaksa lerai oleh wanita tersebut atas alasan tidak sama darjat. Kebengangan apakah itu?

"Oh, ya!" pantas Aina mencapai telefon di atas meja lalu melihat nama pemanggil.

"Ya Allah, anak aku. Lupa! Isbah, kau tolong tengok-tengokkan budak berdua ni eh? Aku dah lewat nak ambil anak aku dekat pengasuh." Kalut Aina bersiap-siap untuk keluar.

"Kirim salam kat baby Nana ya. Cakap kat dia, Pak Cik Isbah kirim love banyak-banyak," pesan Isbah sambil ketawa.

"Pak Cik Hariri pula kirim heart! Piu!" sahut Hariri lalu memberi high five kepada Isbah. Geng!

"Banyaklah kau orang. Anak aku kecil lagi eh, baru tiga tahun. Nak love heart bagai dengan budak kecil, carilah bini," sambut Aina seraya membuka pintu. Hailah Isbah dan Hariri, macam-macam hal!

Dia bertembung dengan Prof. Dr. Adnan, Prof. Zhou dan Puan Suhana di muka pintu, namun dia hanya mengangguk sedikit sebagai menghormati orang atasannya. Lantas, dia segera berlalu pergi dari situ dek padanya, suasana tegang masih belum surut. Ia terbukti apabila riak tidak puas hati yang terlakar di wajah Puan Suhana lebih jelas terzahir berbanding dengan riak kesal.

Tolong jadi telinga aku eh. Aku nak tahu kesudahan cerekarama sebabak di muka pintu tadi. Nanti aku sampaikan love and heart kau orang berdua dekat Nana. Thanks. - Aina.

Kepada Isbah dan Hariri, mesej tersebut dihantar serentak berserta dengan ayat gula-gula. Dia pasti yang budak berdua itu akan sudi menjadi pengintipnya kerana kecomelan Nana adalah segala-galanya buat mereka. Seketika, dia tergelak kecil sebelum berlari-lari anak ke keretanya.

Hailah Nana, itulah siapa suruh jadi comel sangat sampaikan pak cik berdua itu termasuklah Ahwaz pun turut sama berasa mahu picit-picit saja pipi montelnya. Tapi, baguslah. Kadang-kadang, senang juga kerjanya jika pengasuh tidak dapat mengasuh pada hari-hari tertentu. Hantar saja Nana kepada pak cik- pak cik gamers, selesai masalah.

Setelah mendapatkan keretanya, Aina terus memandu keluar dari lot parkir lalu menuju ke rumah pengasuh anaknya. Namun, tanpa disedari tindakannya meninggalkan sekejap Ahwaz dan Wardah di dalam jagaan Isbah dan Hariri membawa masalah apabila tanpa mereka berdua juga menyedarinya, satu bugs kecil memasuki sistem permainan digital BTA2121.



Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.