Home Novel Cinta MY HEROINE TUANKU PUTERI
MY HEROINE TUANKU PUTERI
Angel_k20
1/6/2021 11:38:48
33,819
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 7

Balairung Seri Istana Sukma, Negeri Sakti Kota.

BUNYI kicauan burung yang berkicau riang di luar istana mengganggu konsentrasi menungan Ahwaz. Sejak sedar daripada pengsan semalam, macam inilah dia. Termenung dan terpungguk sendirian tanpa tanda mahu bercakap dengan sesiapa pun. Masa yang ada pula dihabiskan di atas karpet yang dijadikan sejadah.

"Tuanku," tegur Panglima Tangkas.

Namun, malang baginya apabila teguran tersebut dibiarkan sepi tanpa sahutan daripada sang sultan. Pelik. Sejak sembuh daripada gering, Sultan Nadim Alam yang dikenalinya kelihatan berubah perangai. Baginda... kelihatan seperti orang lain. Tetapi, lelaki berkumis nipis dan berambut panjang itu bertindak mengabaikan sahaja perasaannya.

"Tuanku, saudagar permata dari negara China sudah pun sampai di pelabuhan," lapor pula ketua pengawal istana merangkap pembantu peribadi Ahwaz.

"Baiklah. Dalam masa tiga hari, panggil mereka menghadap beta." Tanpa perasaan, Ahwaz bertitah.

"Menjunjung perintah, tuanku." Si pengawal mengangkat sembah.

Dua langkah diambil ke belakang sebelum dia berpaling dari balairung seri. Ketika ini, kehairanan menyapa sukmanya. Bagaimanakah seorang sultan yang dikhabarkan sedang gering menanti mati sebelum ini tiba-tiba boleh bersemayam gah di atas singgahsana?

Dia baru saja balik dari sempadan negeri dua hari yang lepas. Dia balik pun kerana mendapat khabar bahawa sultan sedang gering. Sebagai orang kanan sultan itu, dia perlulah menunjukkan sisi baiknya sebagai seorang pembesar yang patuh kepada raja walaupun di dalam hati, dia memberontak hebat.

"Nanti!" Tiba-tiba, laungan daripada si sultan membejatkan langkahnya yang baru sahaja ingin melangkah keluar dari pintu balairung seri.

"Siapa sebenarnya beta, Hulubalang Kasturi?" soal Ahwaz tanpa ekspresi.

Mendengarkan soalan tersebut, Hulubalang Kasturi saling berbalas pandangan dengan Panglima Tangkas. Bagi mereka berdua, terbukti bahawa keadaan sultan mereka belum benar-benar pulih. Yalah, nampak agak pelik saja kondisi Sultan Nadim Alam ketika ini. Lagipun, kebiasaannya sultan mereka mana pernah bertitah secara baik.

"Tuanku adalah Sultan Nadim Alam. Penguasa tanah Sakti Kota," jawab Hulubalang Kasturi dengan hormat.

Oh? Jawapan daripada lelaki tersebut semakin membuatkan Ahwaz pusing. Seketika, dia memegang kepala lalu memicitnya perlahan. Otaknya semakin berasa senak dengan semua perkara pelik yang berlaku kepadanya. Apa semua ini? Kenapa dia boleh berada di sini? Namun, apa yang lagi penting adalah, tahun ini tahun ke berapa masihi?

"Tuanku." Panglima Tangkas menzahirkan rasa simpati.

Sejujurnya, pada awalnya dia berasa gembira atas nasib malang yang menimpa sultannya kerana pada hakikatnya, sultan itu merupakan sang penguasa yang teramat zalim di negeri ini. Kerana sang sultan, sudah tidak ada lagi anak dara cantik di negeri ini yang boleh dijadikan isteri.

Sultan Nadim Alam, nama tersebut sangat gah di seantero pelosok negeri termasuklah tanah jajahan takluk negara lain. Siapa saja tidak mengenali raja kasanova itu? Pantang nampak anak dara ayu lagi cantik, pasti gadis tersebut akan dijadikan gundik diraja. Disebabkan itulah, ada anak gadis di negeri ini berhijrah secara senyap-senyap ke negeri lain.

Namun, apabila melihatkan keadaan terbaru sang sultan pada hari ini, tiba-tiba rasa simpati yang sudah sekian lama terkubur menjengah kembali di dalam sanubarinya. Figura Sultan Nadim Alam yang kelihatan sasau dan bukan dirinya sendiri berterusan mengetuk sukmanya supaya kekal berada di samping sultan.

"Tapi, kenapa be... beta berasa yang beta bukan sultan?" Ahwaz memandang dengan pandangan redup kepada panglima tersebut.

Sungguh, dia masih keliru dengan semua ini. Semalam apabila dia sedarkan diri, figura wanita elegan dalam sepersalinan baju kebaya klasik hadir di depan matanya. Kemudian, apabila dia membuka mata sekali lagi, figura manusia berwajah sama dengannya pula menjengah mata.

Masih segar di ingatannya, dengan penuh memaksa lelaki berwajah sama dengannya memintanya agar menggantikan tempatnya sebagai sultan. Ketika itu, dek sakit kepala masih lagi menggigit, dia hanya mengangguk tanpa sedar. Tup-tup apabila tersedar semula pagi tadi, dia sudah dikelilingi oleh para pembesar negeri.

"Ada baiknya kalau tuanku berehat. Nanti patik panggilkan tabib diraja. Nampaknya, tuanku belum benar-benar sembuh daripada gering." Mengambil langkah selamat, Panglima Tangkas pantas menjawab.

Kemudian, dia berpaling ke arah Hulubalang Kasturi lalu memberikan isyarat agar mengikutnya keluar dari balairung seri. Ada hal mustahak, katanya melalui hujung mata kepada si hulubalang. Lantas, mereka berdua berlalu keluar setelah merafak sembah.

Ahwaz yang melihatkan ulah dua orang lelaki berpakaian zaman Melayu silam itu kian berterusan tenggelam di dalam fikirannya. Rasanya, dia perlu mengingat kembali apa yang berlaku sebelum mengambil tindakan selanjutnya. Dia yakin bahawa dunia ini bukan alam yang pernah didudukinya sebelum ini. Ya Tuhan, dia penasaran!

"Pengawal!" panggil Ahwaz.

"Panggil Imam Habib ke sini," suruhnya pula.

Pengawal yang mendengar arahan itu terus menunaikan perintah tanpa banyak bunyi. Laju-laju saja dia keluar dari situ lalu pantas berlalu ke suatu arah yang tidak dapat Ahwaz ketahui ke mana hala tersebut dibawa.

Sementelah peninggalan sang pengawal, Ahwaz kembali termenung dalam lautan dalam memorinya yang pecah berderai lalu membentuk fragmen-fragmen kecil seperti jigsaw puzzle.

Nama dia, Ahwaz Zulfan bin Yusri Idrus. Mamanya adalah Puan Suhana, CEO Azad Group. Bekas tunangnya pula adalah Wardah Azkiya. Dia mencintai gadis itu sepenuh hati tetapi disebabkan satu perkara, Wardah memutuskan tali pertunangan yang telah terikat sejak setahun. Permintaan gadis itu mendadak tetapi dia tahu, semua ini berlaku kerana mamanya.

'Apa lagi yang aku tak ingat?' Ahwaz memanggung kepala.

Dia mengingati semua momen yang berlaku di dalam hidupnya sejak kecil sampailah besar. Suka duka dan pahit manis kehidupan berjaya diingatinya dengan baik. Namun, dia tetap berasa ada sesuatu yang dilupakannya tetapi itulah, dia tidak ingat walaupun berkali-kali dia mencuba untuk mengingatinya. Cuma, hasil yang didapatinya adalah sakit kepala yang maha hebat.

"Ampun, tuanku."

Suara garau tetapi penuh kelembutan yang menyapa telinganya segera membuatkan Ahwaz tersedar daripada menungan. Figura lelaki Arab berjubah putih dan berserban itu dipandang sekilas sebelum dia menyuruh semua pengawal dan dayang supaya keluar dari situ. Dia... hanya mahu berbicara secara tertutup bersama manusia bergelar Imam Habib.

"Beta dengar, imam orang alim di sini. Jadi, ceritakan kepada beta, dosa apa yang beta buat selama ini kepada rakyat di sini," perintah Ahwaz.

Di atas singgahsana ini, dia adalah sultan paksa rela. Melihatkan kepada reaksi para pengawal dan dayang istana yang bagaikan ternampak hantu apabila melihat kehadirannya tadi, dia yakin bahawa manusia berwajah sama dengannya yang menyuruhnya agar menggantikan tempatnya sebagai sultan adalah seorang yang zalim.

Jadi, dengan kuasa yang dimilikinya sekarang, dia bertekad untuk menentang raja zalim itu dengan caranya sendiri. Amal makruf nahi mungkar, dia perlu mengaplikasikan konsep itu walau di mana saja dia berada. Padanya, kezaliman harus dibanteras sehabis daya walaupun nyawanya menjadi taruhan.

"Tuanku... ampunkan patik" Imam Habib melutut takut.

"Pilih, imam. Nak beritahu apa dosa beta sebelum ini ataupun... imam rela dipacung kepala?" ugut Ahwaz.

'Maaf, imam. Ini adalah cara aku dalam mengorek maklumat.' Dalam diam, Ahwaz menarik senyuman geli hati.

Alahai, imam. Dia Ahwaz Zulfan la, bukannya Sultan Nadim Alam. Ahwaz Zulfan berwajah tegas dan sinis, tetapi berhati baik. Tetapi, dengar-dengarnya sultan itu berhati hitam penuh kerak dengan dosa dan noda. Jadi, relaks sajalah. Dia tak makan orang, tapi makan nasi. Teringatkan nasi... tiba-tiba dia berasa lapar.



Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.