Home Novel Cinta MY HEROINE TUANKU PUTERI
MY HEROINE TUANKU PUTERI
Angel_k20
1/6/2021 11:38:48
33,765
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 13

Kamar Peraduan Sultan, Istana Besar Sakti Kota.

'SIAPA Kazz? Puteri Indah Kencana pun sebut nama tu. Tapi, kenapa puteri tu nampak agak pelik? Setahu aku, seorang puteri diraja takkan berperangai gila macam tu.' Ahwaz merenung jauh ke langit.

Gugusan bintang di malam hari memagari cahaya bulan nan purnama. Langit malam itu cerah bersinar dilimpahi cahaya nan terang. Jika diikutkan bulan Islam, malam ini adalah malam ke-15 takwim Hijri. Patutlah, sang rembulan kian memancarkan nur yang gilang gemilang.

Namun, keindahan malam itu tetap gagal untuk melenyapkan gundah hatinya. Apabila bersetentangan mata dengan si puteri tadi, dia bagaikan mandi tak basah, tidur tak lena. Tetapi, bukanlah kecantikan Puteri Indah Kencana yang dirinduinya malah hanyalah resah akan nasib sang puteri.

Pada hematnya, betullah puteri itu sangat cantik seperti yang dikhabarkan oleh orang ramai. Jika nak dibandingkan dengan 99 orang gundik Sultan Nadim Alam, tiada siapa pun yang dapat mengalahkan kecantikan puteri tersebut. Maka, memang wajarlah jika sultan nan celaka itu mahu memperisterikan Puteri Indah Kencana.

"Ampun tuanku sultan, patik datang menghadap," ujar satu suara.

Sebaik sahaja si empunya suara merafak sembah, perlahan-lahan dia berjalan ke arah Ahwaz yang masih lagi tenang merenung ciptaan Ilahi. Ahwaz pula apabila melihat lelaki tua yang pertama kali menyelamatkannya berada di sisi, terus dia tersenyum nipis. Lantas, dia menyalami tangan tua tersebut lalu memeluknya erat.

"Mamanda menteri," tegur Ahwaz.

Senyuman senang dilontarkan lagi kepada lelaki berusia tersebut. Sudah lama dia ingin bertemu dengan lelaki ini tetapi itulah, dia selalunya sibuk selepas terpaksa menjadi penyamar sultan. Jadi, mahu tidak mahu, dia terpaksa bersabar serta menggalas tugas sultan yang tiba-tiba sahaja diletakkan di atas pundaknya.

"Kenapa tuanku mahu jumpa patik?" soal Mamanda Gagah.

Sejujurnya, dia juga rindu mahu berjumpa dengan jejaka kacak yang berwajah persis seperti Sultan Nadim Alam ini. Namun, apalah saja kudratnya mahu meloloskan diri daripada si sultan sebenar jika dia yang terpaksa menguruskan semua hal sultan itu dari mula sampai akhir. Pada si sultan, dialah pembantunya.

"Mamanda..." Ahwaz memberikan isyarat agar jangan memanggilnya 'tuanku'.

"Tidak, tuanku. Patik hanya mengikut suruhan." Mamanda Gagah menolak dengan baik.

"Haih," keluh Ahwaz.

Baik sangatlah Mamanda Gagah di matanya. Selain Imam Lebai, lelaki tua ini pun salah seorang yang baik hati di negeri ini. Baguslah. Setidak-tidaknya, tidaklah dia keseorangan dalam menempuh cabaran penuh mendebarkan di sini. Yalah, dia kan penyamar. Manakan sama kuasanya dengan sultan sebenar.

"Jadi, apa yang tuanku mahu katakan kepada patik?" tanya Mamanda Gagah sekali lagi.

Figura lelaki tidak dikenali yang dijumpainya di tepi sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri tempoh hari dipandang lagi. Sungguh, walaupun jejaka yang dipanggil Satria ini berwajah sama dengan sultannya, namun perangai mereka jauh berbeza bagai langit dengan bumi. Jika diberi pilihan, dia mahukan Satria sebagai sultannya, bukan Sultan Nadim Alam.

"Mamanda tahu apa-apa pasal rancangan tuanku sultan? Hal Puteri Indah Kencana." Raut wajah Ahwaz bertukar serius.

Lantas, dia bergerak ke katil peraduannya lalu melabuhkan punggung. Kepada Mamanda Gagah, dia mempersilakan lelaki itu untuk duduk di kerusi yang disediakan di tepi katilnya. Ketika ini, dia mahu mendapatkan info secara terperinci mengenai rancangan gila sultan zalim tersebut.

"Ampun tuanku, patik kurang arif," selindung Mamanda Gagah.

Oh, sungguh dia berasa bersalah apabila terpaksa mengelak daripada menjawab soalan tersebut. Sebenarnya, dia bukannya apa. Dia tidak mahu merisikokan nyawa Satria. Padanya, jejaka itu hanyalah menjadi mangsa keadaan kezaliman Sultan Nadim Alam. Yalah, bagaimana mungkin Satria mampu melawan sultan itu dalam keadaan tidak berdaya sekarang?

Menurut khabar daripada Tabib Sila, Satria selalu kelihatan seperti orang yang sedang menahan kesakitan. Tambah-tambah lagi, jika dia memikirkan hal berat. Kondisi sultan penyamar itu bukanlah terlalu bagus ketika ini. Satria selalu sahaja diserang sakit kepala nan dahsyat, katanya si tabib.

Namun, ada seperkara lagi yang membuatkannya mahu mengelak daripada membocorkan rahsia perancangan Sultan Nadim Alam daripada Satria. Sumpah dia tidak dapat membayangkan apa yang akan terjadi kepada jejaka itu jika sultan zalim tersebut dapat menghidu rancangannya yang mahu menyelamatkan puteri kerajaan Gelang Putih daripada cengkamannya.

"Beta tak percaya!" Bengis, Sultan Nadim menepuk keras kerusinya.

"Ampun, tuanku. Patik hanya mengkhabarkan perkara yang benar." Mamanda Gagah mengangkat sembah.

Melihatkan perilaku pembesarnya, Sultan Nadim mendengus kasar. Dari mana pula datangnya seorang lelaki tampan lagi tegap seperti yang dikhabarkan oleh orang ramai? Itu tidak apa, tetapi yang tidak bolehnya ialah rupa lelaki tersebut adalah serupa dengannya!

"Bawa jantan tu ke sini," arah Sultan Nadim sambil mengelap kasar mukanya yang berkerutu dan dipenuhi dengan gelembung cecair.

"Menjunjung perintah, tuanku." Sekali lagi, Mamanda Gagah mengangkat sembah.

Lantas, dengan penuh tertib lagi beradab, cepat-cepat dia berundur keluar dari balairung seri. Tidak betah lagi dia berlama-lama menghadap sultan zalim tersebut. Dia... serik dicambuk. Lagipula, dia juga tidak suka menghadap sultan berpenyakit kulit itu. Wajah Sultan Nadim sangat menyeramkan melebihi iblis!

Peristiwa dia menjumpai Satria lalu membawa ke rumahnya sampai ke telinga Sultan Nadim Alam. Pada mulanya, si sultan tidak berkata apa-apa. Namun, disebabkan mulut murai salah seorang pembesar rapatnya yang mengatakan bahawa wajah Satria menyerupai sultan, maka terus Sultan Nadim Alam naik berang.

Sultan negeri Sakti Kota itu memang diakui sangat tampan orangnya. Jadi, apabila terdapat berita yang mengatakan ada lagi lelaki lain yang lebih tampan daripadanya, dia murka. Dalam negeri ini, tiada siapa dibenarkan untuk menyaingi kekacakan wajahnya. Jika rakyatnya didapati kacak, maka hukumannya adalah pancung kepala.

Mungkin, doa orang yang dianiaya dimakbulkan oleh Yang Maha Kuasa. Pada suatu hari, wajah sultan itu dinaiki bintik-bintik merah seakan jerawat batu. Kemudian, ia merebak sehinggalah menjadi isi air dan nanah. Ada sesetengahnya pula pecah sehinggakan meninggalkan lubang-lubang kecil. Wajah berkerutu sultan itu sekarang tidak ubah seperti katak puru.

"Yakah? Tapi kenapa beta berasa yang mamanda sembunyikan sesuatu daripada beta?" Ahwaz menjongketkan kening.

Hei, dia tahulah apa yang menyebabkan lelaki tua ini tidak mahu berkongsi rahsia. Sudah pasti, Mamanda Gagah takutkan hukuman daripada Sultan Nadim Alam. Sudahnya, Ahwaz mencuba pula pendekatan barunya untuk mengorek rahsia daripada Mamanda Gagah. Untuk itu, dia menggunakan pula retorik pemujukan.

"Mamanda tak kesiankan beta ke? Beta dah macam kambing hitam tuanku sultan. Beta nak lari dari sini. Mamanda mesti tolong beta," pujuk Ahwaz panjang lebar.

Sebaik sahaja ayat tersebut meniti di bibir sang sultan penyamar, sekali lagi Mamanda Gagah menunduk gelisah. Ya, betul. Satria terpaksa menjadi boneka Sultan Nadim Alam. Dalam hal ini, Satria tidak bersalah. Jadi, dia berhak untuk melarikan diri sendiri. Tetapi, itulah. Macam mana pula dengan hubungan diplomatik bersama kerajaan Gelang Putih jika mempelai lelaki tidak muncul di hari perkahwinan?

"Mamanda mesti tolong beta," tekan Ahwaz lagi.

Serius, firasatnya kuat mengatakan bahawa dia mesti melindungi Puteri Indah Kencana daripada terpaksa berkahwin dengan Sultan Nadim Alam. Tidak dapat dia bayangkan macam manalah reaksi sang puteri pada malam pertama perkahwinan tersebut apabila melihat wajah sebenarnya suaminya nanti.

Kalau wajah sultan itu elok macam wajahnya tak apalah. Ini, tak. Buruknya menang tak boleh diungkapkan dengan kata-kata. Tetapi, itu okey lagi. Apa yang tak okeynya adalah... mampu ke Puteri Indah Kencana melarikan diri daripada cengkaman kuku besi Sultan Nadim Alam jika mereka berdua sah sebagai suami isteri nanti? Oh, seram pula dia membayangkannya!



Previous: BAB 12
Next: BAB 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.