Home Novel Cinta MY HEROINE TUANKU PUTERI
MY HEROINE TUANKU PUTERI
Angel_k20
1/6/2021 11:38:48
33,821
Kategori: Novel
Genre: Cinta
BAB 2

Unit Kecemasan Khas, Malaysia Sport Centre Hospital.

"PROF., tolonglah buat sesuatu. Keadaan kapten semakin buruk," tekan Isbah.

Pagi ini, dia dikejutkan lagi dengan perkhabaran mengenai ritma jantung kaptennya semakin berentak tidak sekata. Sesekali, badan Ahwaz yang masih lagi berada dalam keadaan koma akan menggigil hebat dan tersentak-sentak. Sungguh keadaan terkini sahabat baiknya itu membuatkan dirinya berasa bersalah.

'Sepatutnya aku yang terbaring di situ, Kazz. Bukannya kau!' Isbah merintih pedih.

Masih segar di dalam ingatannya tempoh hari ketika insiden di RS berlaku. Dia yang memakai gelaran Night hampir dibunuh oleh Reaper dan geng-gengnya. Namun, dia terselamat apabila Ahwaz terlebih dahulu mematahkan serangan tersebut dengan bertindak menolaknya keluar dari game.

Tetapi, malang menimpa Ahwaz apabila di dalam game tersebut, Reaper terlebih dahulu berjaya memukul kuat kepalanya. Jadi, buat masa sekarang, dia sendiri tidak tahu kondisi sebenar kaptennya itu di dunia sana. Cederakah? Sakitkah? Tapi, apa yang dia pasti adalah Ahwaz akan mengalami amnesia.

"Kau tak sepatutnya berkorban, Kazz," keluhnya lagi.

Ahwaz Zulfan, kapten itu merupakan nadi e-sport negara bagi pelbagai jenis permainan maya. Tanpanya, pasukan atlet sukan maya bertaraf dunia itu takkan mampu bersaing dengan atlet negara lain.

Namun, apa yang penting adalah ia juga akan membawa musibah besar dalam dunia sukan maya digital jika Ahwaz gagal untuk keluar dari game baharu yang sedang menyambung nyawanya seterusnya sedar daripada koma!

"Profesor, kalau kapten tak berjaya keluar, nyawanya akan terancam." Gugup, pembantu penyelidik kejuruteraan perisian bertag nama Hariri menggenggam erat kedua-dua belah tangannya. Menggeletar!

"Ya, aku tahu! Tapi, siapa je yang mampu bawa keluar atlet kita si Ahwaz tu dari situ?" Stres, Profesor Zhou memicit dahinya.

Sakit kepalanya memikirkan perihal tersebut. Figura Ahwaz Zulfan, kapten pasukan Psychic Eagle yang terbaring kaku di atas katil dengan topi permainan maya berlabel Malaysia i-Sport dipandang penuh runsing. Sudah seminggu anak muda itu terperangkap di alam sana!

"Wardah. Ya, Dr. Wardah Azkiya mungkin boleh bantu." Tiba-tiba, Isbah bersuara setelah agak lama terpunduk walang.

"Tapi... dia." Hariri memandang tepat ke arah Isbah. Kemudian, dia berpaling pula kepada Prof. Zhou.

Ya Allah, sungguh hatinya resah. Betul, Dr. Wardah Azkiya dari Jabatan Psikiatri mungkin boleh membantu. Tetapi, mahu ke gadis itu mempertaruhkan nyawanya sendiri semata-mata untuk menyelamatkan Ahwaz sedangkan hubungan mereka tidak direstui oleh ibu kepada tersebut? Angkara perbuatan Puan Suhana, hubungan mereka berdua retak menanti belah.

"Kita dah tak ada pilihan." Prof. Zhou memicit pelipis.

Dua minggu lalu, sebuah syarikat permainan digital dari Jerman berjaya meyakinkan pihak Majlis Sukan Negara supaya menerima baik cadangan mereka untuk menguji sistem permainan digital berasaskan penggunaan imaginasi. Dengan permainan ini, seseorang pemain boleh merasai sendiri pengalaman bermain di dalam dunia digital seolah-olah mereka berada di alam realiti.

Pihak kerajaan bersetuju untuk mencuba permainan gaya baharu ini memandangkan keberjayaannya pada pemain dari negara kesatuan Eropah. Malaysia akan menjadi negara Asia pertama yang akan menerima baik dan mencuba permainan digital ini. Ini kerana, jika projek ini berjaya, maka Malaysia akan menempa nama sebagai negara Asia pertama yang berani menyahut cabaran permainan maya digital berteknologi tinggi.

Akhirnya pada minggu lalu, berlangsunglah sesi percubaan permainan maya digital bernama Ruth Seed atau singkatannya RS. Permainan ini dijamin bebas keralatan. Jadi, untuk peringkat ini, pasukan atlet e-sport negara Psychic Eagle dipilih untuk mencuba permainan tersebut. Pasukan ini akan menentang pasukan Black Greeth dari Jerman.

Pada mulanya, permainan tersebut sangat mengujakan. Namun, pada suku masa kedua, ia mula menunjukkan tanda-tanda abnormal. 10 orang ahli daripada kedua-dua pasukan yang bertanding tiba-tiba kelihatan menggigil dan tersentak-sentak serta ritma jantung masing-masing tidak sekata. Skrin yang memaparkan situasi permainan juga mula kelihatan bergaris-garis.

Ketika itu, baik pihak Malaysia ataupun Jerman, kedua-duanya panik dan pasukan kejuruteraan perisian masing-masing terus berusaha mengeluarkan pemain mereka dari dunia digital. Namun, malangnya pada saat akhir, hanya tinggal Ahwaz sahaja masih belum berjaya dikeluarkan. Hasilnya, seperti hari inilah.

Kapten pasukan Psychic Eagle masih belum sedarkan diri dengan topi permainan digital kekal terpasang di kepalanya. Ini kerana, menurut pihak pengeluar permainan tersebut, adalah berbahaya untuk nyawa pemain jika topi tersebut ditanggalkan dalam keadaan pemain tersebut masih berada di dunia digital.

"Isbah, mari kita ke bilik pengarah. Hariri, pantau kondisi Ahwaz. Apa-apa hal, beritahu kami." Setelah lama termenung, akhirnya Prof. Zhou bangun dari kerusi lalu menuju ke pintu.

"Satu lagi, Hariri. Tanya Aina sama ada dia dah siapkan ke belum program akhir BTA2121. Lagi cepat, lagi baik. Itu usaha jitu kita untuk bawa pulang Kazz," arahnya pula seraya memulas tombol pintu.

Lantas, dengan jawapan balas berupa anggukan daripada Hariri, dia menapak keluar dari pejabatnya lalu berjalan laju ke arah bilik pengarah. Kini, misinya hanya satu iaitu memujuk bosnya agar memberi kebenaran kepada doktor psikiatri yang dipilihnya untuk masuk ke dalam permainan maya digital yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

BTA2121 peringkat akhir, itulah senjata yang akan digunakan untuk menyelamatkan Ahwaz Zulfan daripada berterusan terperangkap di dalam dunia digital walaupun sekarang Ahwaz sudah pun berada di dalam game tersebut. Jadi, walau apa pun yang berlaku, risiko besar ini harus diambil. Dan... satu-satunya cara yang ada adalah dengan menggunakan khidmat Wardah Azkiya.

Tetapi itulah... dia juga resah. Mahukah gadis itu menerima tawarannya jika hatinya sudah remuk-redam dikerjakan oleh ibu kepada Ahwaz? Oh, malang sunggguh nasib puteri kepada Encik Latif dan Puan Habibah. Hanya kerana ego, Puan Suhana menghukumnya dengan begitu teruk sampaikan gadis itu bertindak memutuskan tali pertunangan!



Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.