Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 60

“Kau mendengar semuanya? Bagus! Aku nak kau tahu… aku benci kau! Benci… benci!”

Kidman ketawa terbahak-bahak sampai terkeluar air mata. 

“Sampai mati pun?”

“Ya, sampai mati dan sampai bila-bila… kawan pengkhianat!”

“Kau masih belum puas sampai ke saat aku dah meninggalkan dunia ni?”

“Mestilah sebab aku tak pernah nak dapat Manisah! Sudahlah tak dapat… aku pula mahu dibunuhnya semasa bercuti di pantai hari tu! Kejam… kejam! Dunia ini kejam!”

Sofa kayu dipukul-pukul tanpa mempedulikan sakit tangannya.

“Argh!” jerit Kidman sekuat hati.

“Lantaran kau tak dapat Manisah… kau benarkan Mawar menjadi menantu kami dengan tujuan untuk mengambil nyawa ibu mentuanya? Kau tak sanggup untuk membunuh wanita kesayanganmu dengan tanganmu sendiri?”

Kidman berhenti daripada perbuatannya, dia jatuh terduduk bersama dengan linangan air mata. Esak tangis daripada perlahan menjadi kuat. Wajahnya diraup, hatinya terasa sakit sekali kenyataan diucapkan susuk tubuh itu.

Kidman terus menerkam susuk tubuh yang dipercayai sebagai Zainuddin itu. Dia benci dengan ingatan sendiri mengenai masa lalu. 

“Kenapa tak halang aku? Kenapa? Kau memang nak tengok aku memperbodohkan diri sendiri. Memang… memang akulah manusia paling bodoh! Tak dapat bina hidup bersama dengan orang yang aku cinta sebab kawan aku sendiri rampas dia daripada aku. Lepas tu… bila kau dah tahu semua kau… kau senyap je!”

Air muka Zainuddin serius, dia merenung tepat bola mata Kidman. Dalam beberapa saat mereka begitu, tiba-tiba Kidman melepaskan cengkaman pada kolar baju Zainuddin. Dia tersedar sesuatu lalu berundur beberapa tapak ke belakang. Air muka Zainunddin perlahan-lahan berubah menjadi wajah seseorang yang lain.

“Kau… kau memerhatikan aku selama ni?” Kidman terkejut. Dadanya berombak.

“Maksud kau… selalu memerhati selama setahun ini sehingga topeng kau tertanggal?” Tidak semena-mena, bibir Zainuddin menguntum senyuman misteri. Ayat yang diucapkan itu membuatkan Kidman teringat akan seseorang. Dia semacam dapat menangkap akan maksudnya. 

“Kau… masakan kau?” Terus terimbas dalam fikiran Kidman akan kejadian di pejabat. Ya, lelaki bernama Michael Angle itu! Erti kata lain, Michael Angle ialah Zainuddin tetapi dalam rupa yang lebih muda dan kacak sehingga sukar untuk dikenali.

“Betullah tu apa yang dalam fikiran kau, Encik Kamal. Walaupun kau bertukar-tukar nama dan memakai topeng getah… kau takkan mampu melarikan diri dari aku, kan… Kidman atau Encik Kamal. Pandai betul memohon kerja dan bekerja secara sah di sisi undang-undang semasa waktu siang. Identiti siapalah yang kau curi, kan? Lupa… dunia semakin canggih. Apa sahaja boleh kita buat dengan teknologi.”

Zainuddin sudah mulai berdiri dan berjalan perlahan-lahan ke arah Kidman.

“Jangan… jangan dekat! Kenapalah aku boleh terfikirkan orang yang dah mati hidup kembali sama macam Manisah! Kau tak wujud. Kau hanya dalam fikiran aku!”

Kidman menggunakan isyarat tangan untuk menghalang Zainuddin yang semakin mara. Segala yang ada di belakang, dilanggar secara melulu oleh Kidman yang sudah kelam-kabut fikirannya. Dia tidak mampu berfikir secara rasional.

Kidman menekup kedua-dua belah telinga dengan kuat. Suara orang ketawakan kebodohannya bergema kuat. 

“Mengambil nyawa orang bukannya hak kau.”

“Diam!” 

Dia ingin lari daripada dosa-dosa lama.


Encik Antonio sudah memandu masuk menggunakan jalan tanah merah berdebu menuju ke salah satu rumah di dalam hutan miliknya. Dia tidak habis-habis mencebik teringatkan Kidman yang tidak pernah serik untuk menyusahkannya. 

Jari-jemari menekan-nekan punat mencari siaran radio untuk menemaninya saat ini. Lagu-lagu diputarkan malam ini tidak menariknya untuk mendengar. Celoteh-celoteh DJ malam hari ini juga agak membosankan dan hampir membuatkan dia terlelap. 

Bum! Encik Antonio berasakan sesuatu menghentam bahagian depan kereta semasa dia leka mencari siaran radio. Automatik brek ditekan mengejut sehingga dia sendiri tersembam pada stereng. Dia mengadu kesakitan sebelum terbeliak melihat sesuatu seakan cecair mengalir pada cermin. Dengan keberanian yang ada, dia membuka pintu kereta untuk melihat objek yang dilanggar tadi.

“Kau… kau…” 

Encik Antonio menekup mulutnya, dia tidak menyangka akan melihat susuk tubuh adiknya berlumuran darah seluruh badan berada di depan keretanya. Nafas Kidman kedengaran berat, tangannya mahu menggapai Antonio untuk meminta tolong. 

Encik Antonio daripada keadaan terkejut tadi, tidak semena-mena menguntum senyuman sinis lalu berdengus. 

“Senang kerja aku. Tak perlu aku kotorkan tangan untuk hapuskan kau yang tak sudah-sudah menyusahkan aku.”

Bukannya mahu menolong sebaliknya, Encik Antonio kembali masuk ke dalam perut kereta. Sempat lagi dia menjeling bahagian bonet belakang kereta. Dia sahaja yang tahu apa isi di dalamnya.

“Nampaknya… aku tak perlu memusnahkan rumah kesayangan aku di sini. Ingatkan, nak bakar sekali kau dalam tu,” katanya tanpa belas kasihan.

Kereta diundur, dia berhenti untuk melihat sebentar keadaan Kidman yang sudah nyawa-nyawa ikan. 

“Alam ini akan temankan kau semasa maut menjemput. Selamat tinggal.”

Tinggalah Kidman sendirian menghadapi saat-saat terakhir di dunia. Mungkin memang inilah pengakhiran hidupnya atas segala kesalahan dosa yang pernah dilakukan selama ini. Matanya terpejam rapat dan nafasnya terhenti bersama dengan pekatnya malam.


 


Previous: Bab 59
Next: Bab 61

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.