Terkebil-kebil mata Manisah menghadam suasana terkini setelah diheret ke suatu tempat dalam keadaan mata bertutup. Kedengaran titisan air dari saluran besi paip di dinding jatuh menitik ke lantai. Bau hapaknya menyerbu masuk ke dalam rongga hidung. Diperhatikan ruangan itu menyerupai sebuah bangunan kilang tinggal.
Ketiadaan Mawar digunakan dengan meronta-ronta melepaskan diri daripada ikatan tali jut. Sakit dirasakan pergelangan tangannya, pasti calar-balar dan luka dibuatnya. Ternyata usahanya tidak membuahkan hasil, Manisah jatuh terbaring ke atas lantai sambil merintih dan menangis tanpa air mata. Dia sudah penat dari mula diculik sampailah kini, hidupnya malang sahaja.
Tidak semena-mena dia menyalahkan takdir namun cepat-cepat beristighfar. Ini semua ujian hidup untuk membuatkan dia menjadi manusia lebih baik, fikirnya secara positif.
Bergaung-gaung bunyi tapak kasut tumit tinggi bersama dengan bunyi seretan sesuatu seakan bersifat besi, Manisah menunggu dalam debaran. Siapa lagi yang akan mendatang kalau bukan Mawar.
“Dah bangun dari tidur?” soal Mawar, duduk di atas kerusi terdapat di depan Manisah. “Kau tidur dengan nyenyak tak?”
Manisah tidak menjawab, pandangan matanya tepat kepada batang besi yang dipegang Mawar. Dia takut kalau-kalau Mawar bertindak gila, selama ni pun wanita itu memang bertindak gila dan licik menyembunyikan perbuatannya daripada orang lain terutama dari Zaqwan dan Zainuddin.
“Ini…” kata Mawar, mengusap lembut batang besi dibawa tadi. “… agak-agaknya, apa aku akan buat dengan benda ni? Ah, mesti sesuatu yang kejam, kan? Syhhh, aku akan beritahu apabila tiba waktu yang sesuai.”
Bibir Manisah bergetaran, kata-kata wanita itu memang kejam. Dia berusaha untuk bangun dan duduk. Malangnya, tetap sahaja gagal.
“Sebenarnya, apa yang menyebabkan kau membenci aku bertahun-tahun? Kau seksa aku dan rancang untuk membunuh aku dan suamiku! Apa sebenarnya kau nak?” jerit Manisah dengan penuh kemarahan, serta-merta terbayang segala seksaan yang diterima bertahun-tahun sampailah hari kematiannya.
Mawar membalas dengan ketawa terbahak-bahak sebelum berdiri mendekati Manisah lalu menarik rambut wanita malang itu dengan kuat sampai terdorong ke belakang.
Manisah mengetap bibir atas bawah menahan sakit, dia tidak akan mengalah dengan seksaan sebegitu.
“Nak tahu? Betul nak tahu?” provok Mawar sambil terbeliak biji mata mencekak rahang Manisah dengan kuat sebelum menghumban Manisah ke lantai dengan begitu kasar sekali.
Manisah mengerang kesakitan di atas lantai manakala Mawar yang masih berombak dada menahan marah duduk kembali di atas kerusi. Mawar menjerit sekuat hatinya secara tiba-tiba, dia menghamburkan segala kemarahannya. Kaki dihentak-hentak, memantul-mantul bunyinya di dalam bangunan.
Mata Dahlia tertutup rapat saat berdiri sendirian di tengah-tengah ruang pameran Galeri Seni Antonio yang hanya ditemani cahaya lampu malap.
Ting. Jarum jam berdetak dapat didengari dengan jelas di ruang pameran menunjukkan betapa sunyi dan senyapnya galeri pameran ketika ini. Waktu sekarang sudah menghampiri ke angka 8:00 malam.
Kelopak matanya terbuka mendadak, dia terpinga-pinga dengan keberadaannya di situ. Automatik, lampu sorot tertumpu ke arahnya menjadikan tempatnya berdiri cerah serta-merta. Dia menjadi seperti watak pelakon penting dalam sesebuah persembahan teater. Tunggu masa sahaja untuk dirinya beraksi mengikut skrip. Kepalanya terasa berat bagai dihempap batu, pening-pening lalat dibuatnya.
“Ini…” Dahlia tidak menyangka lukisan Si gadis pembunuh berada pada tempatnya, betul-betul di hadapannya.
Pandangan diliarkan ke sekeliling, ternyata lukisan lain yang dilaporkan hilang tempoh hari turut berada pada tempat masing-masing.
“Aku bermimpi ke?” Dahlia seakan tidak percaya, dia berjalan merapati lukisan Si gadis pembunuh.
Rasa taksubnya muncul, automatik matanya terbutang besar sambil menyentuh permukaan seperti sedang membelai-belai sesuatu berjasad.
“Akan aku simpan kau… di mana tiada siapa boleh usik dan memalsukan kewujudan kau,” Dahlia tidak dapat mengawal mulutnya daripada terus berkata-kata sesuatu yang bukan datang daripada sanubarinya.
“Kamu… kamu semua!”
Matanya galak memerhati lukisan-lukisan lain berhampiran sambil jari telunjuk menuding ke arahnya, dia bercakap seseolah semuanya bernyawa.
‘Dahlia… aku tahu kau sedang menyiapkan biografi hidup Zainuddin. Aku boleh bantu kau.’ Si gadis pembunuh separa berbisik kepadanya tanpa memperlihatkan jasad.
Ketika itu Dahlia sudah pegun, mata tidak berkelip memandang subjek matter Si gadis pembunuh.
“Macam mana?” soal Dahlia dengan teruja, masih seperti tadi, tidak sedar apa yang dituturkan.
Si gadis pembunuh ketawa, dia suka dengan pertanyaan penuh dengan keghairahan.
“Macam mana? Aku ada cara aku… kau hanya akan dapat hasilnya apabila buku itu sudah siap,” ujar Si gadis pembunuh.
Dahlia mengangguk, bersetuju dengan tawaran tidak jelas daripada Si gadis pembunuh.
Secara laju, perubahan situasi berlaku. Dahlia sedang mengendap seseorang di suatu sisi dinding Galeri Seni Antonio. Jeritan orang ketakutan dengan ilusi fobia masing-masing bergema di malam hari, digunakan untuk mengeluarkan satu persatu sebahagian lukisan di ruang pameran. Sebuah beg hitam besar digunakan untuk memasukkan lukisan-lukisan terpilih termasuklah Si gadis pembunuh.
Berat, memang berat namun Dahlia sedang dirasuki semangat Si gadis pembunuh tidak terjejas dengan bebanan sebegitu.
“Berseronoklah dengan cenderamata tu!” kutuk Dahlia, berhenti sejenak sambil menyadang beg hitam tadi, melihat Zamri dan Jaafar bergelut dengan ketakutan masing-masing.
Dengan penuh gaya dan selamba, Dahlia melangkah meninggalkan Galeri Seni Antonio. Sampai di pondok pengawal, Dahlia tersenyum sinis. Dialah yang mencabut ke semua wayar CCTV saat Zamri dan Jaafar masuk ke dalam galeri meninjau bunyi bising tadi. Dia ketawa, bermula daripada perlahan menjadi kuat terbahak-bahak mendongak langit. Misinya berjaya untuk hari ini.
“Lambat-laun… semua kegiatan busuk kau akan terbongkar… Kidman! Ucapkan selamat tinggal kepada semua kemasyuharan yang kau dapat selama ini!”
Biasan pada cermin kaca membuatkan Dahlia tersenyum sinis melihat wajahnya saat ini. Rambut pendek terjuntai pada dahi diusik-usik, fesyen rambut yang tidak mungkin akan dapat digayakan sebagai seorang Si gadis pembunuh.
“Terima kasih kepada kau yang membuka peluang kepada aku untuk membalas dendam. Sekarang, mari kita pulang dan anggap semuanya tidak pernah berlaku.”
Dahlia bersiul-siul, jalannya juga seperti seorang yang sedang dalam kegembiraan sambil menyadang beg hitam berisi lukisan-lukisan di malam hari.
Bum! Tumbukan kuat hinggap pada mukanya membuatkan dia jatuh terduduk. Anehnya, dia hanya ketawa terbahak-bahak seperti orang gila.
“Lagi… lagi!” cabarnya untuk mendapatkan tumbukan seperti tadi.
“Argh!” Dahlia menjerit sekuat hati mengejutkan Sarah yang berada di katil atas. Bergegas Sarah turun dari katil atas mendapatkan Dahlia yang baru terjaga setelah seharian tertidur tidak sihat.
Dahlia keliru di mana dia berada, dia memandang Sarah sambil berkerut dahi. Apa yang terbayang dalam mimpinya hanyalah samar-samar dan hampir tidak mengingati satupun.
Sarah menyentuh dahi Dahlia, dia menarik nafas lega.
“Demam kau dah kebah,” beritahu Sarah.
“Demam? Aku… bila?” soal Dahlia.
“Encik Antonio telefon aku siang tadi. Dia kata kau berperangai pelik… tiba-tiba tidur masa waktu pejabat. Tak pernah-pernah kau macam tu… siap tumpah lagi air kopi atas lantai. Kejut punya kejut, kau tak bangun-bangun juga, tu yang dia telefon aku. Bila bawa pergi klinik, kau demam kuat. Ni baru kebah,” cerita Sarah dengan bersungguh-sungguh.
Baru Dahlia ingat, awal-awal pagi tadi memang dia berasa begitu mengantuk dan tidak sabar untuk pulang ke rumah. Tak sangka sebegitu teruk demamnya.
“Dari maghrib tadi kau meracau-racau… takut pula aku dengar!”
Mendengar kata-kata Sarah menyebabkan Dahlia menjadi lebih bersemangat untuk mengetahui keadaan selama dia tidak sedarkan diri. Cepat-cepat Dahlia mengenggam tangan Sarah dengan kuat.
“Apa… apa yang aku sebut tadi?” desak Dahlia.
“Kau sebut gadis pembunuh ke apa tadi,” kata Sarah, tidak berapa yakin dengan apa yang didengar semasa Dahlia sedang meracau.
“Aduh, kalau aku boleh ingat apa yang aku mimpi!” keluh Dahlia sambil menepuk dahi.
“Selalunya kalau mimpi… mana kita ingat!” tempelak Sarah, menarik kembali tangannya.
Dahlia akui akan hal itu secara tidak langsung.