Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 62

Malam – kegelapan semakin mencengkam, penghuni bumi sudah lama hanyut dibuai lena. Encik Antonio baru ingin meninggalkan pejabat. Dia menjeling jam dinding, sudah menunjukkan ke jarum 11:00. Tawa kecilnya kedengaran, memperlekeh diri sendiri. Wain merah bersisa dalam gelas, diteguk sampai habis. Beberapa biji anggur disuap masuk ke dalam mulut.  

Ngantuknya mengayuti di mata. Dia tidak ingin tidur di pejabat. Semasa dia berdiri, langkahnya terasa sumbang dek sedikit mabuk. Berjalanlah dengan terhuyung-hayang dalam perjalanan pulang hari ini.

Semasa dia melalui ruang pameran, dia terdengar suara ghaib mentertawakan dirinya. Bunyi cengkerik entah datang dari mana menghuru-harakan fikirannya. Encik Antonio turut sama ketawa mengekek sambil meraup wajah. 

“Aku dah terlalu mabuk. Bising betul suara dalam kepala aku. Ketawalah… ketawakanlah aku yang gagal ni!” 

Encik Antonio tidak kuat untuk berdiri, dia duduk. Dunianya terasa berputar dengan laju, dia menjadi pening. Subjek-subjek lukisan di ruang pameran silih berganti mentertawakannya. Subjek-subjek itu kelihatan mengeruminya. Dia berasa sesak. Pada masa yang sama, dia berasakan itu terjadi akibat dirinya yang mabuk. Dia tidak mampu berfikir dengan waras.

“Kejam betul. Aku bagi korang tumpang dekat tempat aku… korang ketawakan aku! Tak reti nak bersyukur,” rungutnya yang mulai merapu bukan-bukan.

Dalam banyak-banyak subjek lukisan, samar-samar dia melihat subjek yang seakan luput dari ingatannya. Tidak semena-mena, mata Encik Antonio terbeliak besar. Dia mengesot ke belakang dengan cemas.

“Kau… kau…”

Subjek itu tersengih. “Ya, aku antara yang hilang dari galeri beberapa bulan lepas.”

Kata-katanya disahut subjek lain secara beramai-ramai. “Aku pun…”

Bingit sampai Encik Antonio terpaksa menekup telinga. Tumit kasut seseorang berlaga dengan lantai marmar muncul sebegitu sahaja. Seseorang berhenti di depannya.

“Macam mana dengan aku?” tegur suatu suara.

Lantas Encik Antonio mendongak, dia dihambat kejutan berganda-ganda dengan kemunculan mendiang adiknya. Siapa lagi kalau bukan, Kidman yang sudah mati beberapa bulan lepas. Dia sendiri menyaksikan saat kematian menjemput lelaki itu.

“Kau…”

“Dah mati?” Potong Kidman tanpa sebarang riak di wajah. 

Wajahnya yang pucat tidak berdarah, bibirnya pecah di samping baju dipakai sama seperti hari kematiannya. Bauan menyerupai bangkai berjaya membuatkan Encik Antonio meluahkan segala isi perutnya. 

“Kau tak mungkin Kidman. Aku mesti mabuk berat hari ini. Aku berkhayal. Balik rumah, rehat dan semuanya akan baik-baik sahaja.”

Encik Antonio berfikiran positif, dia cuba bangun dan berusaha menyingkir imej-imej menakutkan. Tetap sahaja, mereka semua tidak hilang. Masing-masing kelihatan tidak sabar menerkam hidangan di depan mata.

Saat Encik Antonio mulai melangkah, mereka terus mencengkam kuat tubuh lelaki itu. Hanya Kidman sahaja memerhati seperti seorang ketua melihat anak buah membuat kerja.

“Kenapa ni? Lepaskan!”

Cengkaman mereka terasa begitu nyata membuatkan dia panik. 

“Kau takut dengan apa? Biar aku selesaikan,” celah suara lain dari belakang subjek-subjek mencengkamnya.

“Si gadis pembunuh!” jerit Encik Antonio, dia teringat akan mitos subject matter itu dari mulut Zamri. 

“Kemasyhuran… itu kan yang paling kau takut hilang? Tak kisahlah dengan cara bagaimana kau dapatkan kekayaan. Berbunuhan pun sanggup asalkan rahsia kau tak terbongkar.”

Hampir putus nafas mendengarnya. Dadanya mulai sakit dan kejutan tetap sahaja muncul. Si gadis pembunuh menjelma sebagai mendiang isterinya pula. Riaknya begitu sedih dan berputus asa, lebam-lebam menghiasi tepi bibir. Dengan begitu drastik, jelmaan isterinya menjatuhkan diri ke lantai sambil teresak-esak menangis.

“Suami yang paling saya cintai menghantar pembunuh untuk menamatkan nyawa saya. Apa salah saya yang hanya nakkan suami saya berhenti daripada perbuatan yang salah dari sisi undang-undang.”

Encik Antonio terkejut melihat jelmaan dirinya pula di situ. Jelmaannya terus menampar jelmaan isterinya. Dia memperlakukan wanita itu umpama binatang. Tidak jauh dari mereka, jelmaan seorang budak perempuan kecil di suatu sudut sedang duduk memegang lutut sambil menangis. Itulah permandangannya saban waktu dari kecil hingga alam remaja.

Dan, untuk melenyapkan kesedihannya, kanak-kanak itu berpura-pura tiada ingatan mengenai peristiwa tersebut.

Permandangan menjadi gelap. Tayangan jelmaan Encik Antonio yang rakus membelek gumpalan wang ringgit. Seseorang teman lama muncul di depannya.

“Thank you Antonio atas pertolongan kau.”

“No worries.”

Wang kertas dilalukan depan hidung, dihidu-hidu. Wangian yang paling membahagiakan meskipun dia tahu dia itu bukan dari sumber yang sah dari sisi undang-undang.

“Wang itu, awak mesti tahu apa?” 

Terkejut Encik Antonio, jelmaan isterinya sudah berdiri di sisi dengan penuh kemarahan. Dulu dia akan meradang, memukul dan memaki isterinya jika perkara itu dibangkitkan. Kini, dia begitu takut walaupun hanya berbicara sepatah kepada jelmaan yang dianggap hantu.

“Wang haram dari perniagaan judi kawan awak bercampur dengan wang hasil bidaan lukisan para pengkarya! Awak nak tolong kawan awak cuci wang haram. Awak lupa wang haram tu juga awak gunakan untuk makan pakai keluarga awak!”

Kenyataan itu membuatkan dia terpukul. Jelmaan isterinya terus menerkamnya. Matanya terbeliak merah, gigi taringnya begitu tajam sedia untuk mengokak leher. 

“Kau dera emosi anak kau! Tergamak kau memukul mamanya depan dia… binatang!”

Nafas Encik Antonio terasa begitu sempit. Sakit di dada makin mencengkam. Kejutan demi kejutan tidak mampu diterima lagi. 

“To… tolong,” rayunya kepada Kidman sedari tadi sebagai penonton.

Dia cuba menghulur tangan supaya disambut namun, akhirnya dia tewas. Senyuman sinis Kidman merupakan permandangannya yang terakhir. 



Previous: Bab 61
Next: END I

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.