Home Novel Thriller/Aksi Si Gadis Pembunuh
Bab 22

Sebaik sahaja jarum jam menunjukkan ke angka 12 tengah malam, Mawar mencelikkan mata. Dia terasa seperti mahu membuang air kecil. Zaqwan di sebelah, sudah tidur pulas dan tiada tanda-tanda dia akan terjaga dalam masa terdekat. Sebelum menuruni katil, dia membetulkan selimut agar suaminya tidak kedinginan. 

Sepanjang menuju ke bilik air yang terletak di dapur, matanya sukar untuk dibuka akibat ngantuknya bergayutan. Selesai menunaikan hajat, tekaknya pula terasa dahaga. Satu gelas kaca bersih diambil dari para sebelum disuakan ke muncung air sejuk dari mesin Coway. Air sejuk penuh satu gelas diteguk sampai habis dengan rakus. Gelas itu dibiarkan sahaja di dalam sinki, esok pagi tahulah dia membasuhnya.

Baru tangannya menyentuh tombol pintu bilik, dia dikejutkan dengan pemain piring hitam yang tiba-tiba sahaja memainkan lagu Beethoven Symphony No. 9. Terbuka luas terus matanya, ngantuknya hilang mendadak. Dia menuju ke tempat pemain piring hitam lalu terus mencabut plug pada dinding.

“Bising. Malam-malam pun nak kacau orang tidur.”

Memang dia berasa hairan dengan kejadian pemain piring hitam memainkan lagu dengan sendiri. Tengah malam membuatkan dia malas peduli dan berfikir secara mendalam yang hanya mewujudkan ketakutan tidak masuk akal.

Ting! Kali ini dia dikejutkan dengan bunyi seperti objek diperbuat dari besi jatuh ke lantai menghasilkan bunyi denting. Dia dapat mengagak punca bunyi itu datang dari mana.

“Apalagi ni?”

Mawar mulai naik berang. Dia menuju ke sebuah bilik berhampiran bahagian dapur yang dijadikan sebagai studio mini di rumah oleh suaminya. Suis lampu bilik dipetik, terang benderang ruangan studio mini. Keadaannya tersusun seperti hari-hari biasa. Rak panjang di dinding menempatkan botol-botol besar warna asas akrilik iaitu merah, kuning, biru; berus-berus lukisan baru pelbagai saiz; pisau palette; dan beberapa kotak cat minyak di dalam tiub yang masih baru.

Di tengah-tengah bilik, terdapat meja sederhana besar. Di situ terdapat berus-berus direndam dalam cawan polistrene; bekas segi empat menempatkan warna-warna tiub cat minyak yang sudah digunakan; bahantara cat minyak iaitu turpentine di dalam tin besi; dan bahan pengilat iaitu minyak linsid di dalam botol. 

Berhampiran tingkap, sebuah kanvas direnggang telah siap terpasang pada easel. Beberapa karya lukisan tergantung pada dinding. Terdapat juga disandarkan sahaja di dinding kerana kekurangan ruang untuk menggantungnya. 

“Hmmm… tak ada apa-apa. Tikus kut,” komennya acuh tidak acuh, terus mematikan lampu dan menutup pintu studio mini.

Bulu romanya tegak apatah lagi lolongan anjing-anjing dari bukit berhampiran kedengaran secara tiba-tiba semasa melalui ruang tamu.

“Adakah…?” Tidak jadi melanjutkan kata-katanya, dia ketawa kerana kealpaan sendiri. “Kau… kan, yang aku sebut-sebut beberapa hari ni? Sudahlah detektif penyibuk tu muncul kembali. Kau pun… sama? Menyampahnya! Semua masalah nak muncul dalam masa yang sama.” 

Kosong. Tiada apa mahupun sesiapa. Namun, hatinya kuat mengatakan ‘dia’ di situ. Mawar memandang ke arah pemain piring hitam sebelum dilanjutkan pandangan pada dinding kosong yang pernah menempatkan potret milik arwah ibu mentuanya. Ingatannya melayang ketika potret lukisan arwah ibu mentuanya masih berada di situ.


Imbas kembali…

Majlis tahlil dan doa selamat sudah selesai. Para tamu mulai beransur pulang. Hampir setiap daripada tamu pasti akan menitipkan ucapan takziah dan semangat kepada Mawar dan Zaqwan. Tiap kali menerimanya, Mawar mulalah berlakon terlalu sedih dan menceritakan kebaikan arwah ibu bapa mentuanya. Dalam hati, dia mengutuk marah terutama kepada ibu mentuanya.

Kini, seorang wanita lebih muda dari usia Mawar menghampirinya. Kebiasaan tetamu dalam majlis sebegitu, wajah mereka pasti akan sugul namun, berlainan dengan yang seorang ini. Dia bereaksi gembira dan sesekali Mawar bagai melihat senyuman sinisnya. 

“Seronok dengan pemergian mereka?” bisik wanita itu sebaik sahaja mereka berdua berpelukan.

Cepat-cepat Mawar meleraikan pelukan.

“Kau siapa? Kau bukan tetamu biasa,” ujar Mawar dalam nada yang masih terkawal sambil tidak lepas memerhati tetamu yang masih tersisa.

Dia tidak mahu perbualan mereka didengari lalu menjadi salah faham orang sekeliling.

Mawar terus dihambat kejutan. Tetamu wanita itu menariknya kasar ke dalam pelukan sebelum berbisik, “Betul. Aku memang bukan tetamu biasa.” 

“Jangan main-main dalam majlis macam ni,” marah Mawar, mencuba untuk meleraikan pelukan erat.

Bagaimanapun, tetamu wanita itu ketawa mengekek, “Kelakar… lakonan kau berkesan untuk orang bodoh tapi tidak kepada aku. Wajah kau nampak suci hakikatnya, hati kau busuk! Lebih busuk daripada bau mayat!”

“Kau salah orang nak bergurau. Lepaskan aku atau tidak… aku jerit. Kau yang malu nanti.”

“Hakikatnya… kau yang akan malu. Cuba lihat sekeliling kau. Mata-mata mereka memandang pelik kepada kau.”

Spontan Mawar memandang para tamu lain. Mereka sudah pandang semacam ke arahnya. Mawar kembali semula kepada tetamu perempuan itu sebaliknya tamu itu menghilang begitu sahaja dari depan mata. Bahunya terjungkit bila mana terasa dicuit seseorang dari belakang.

“Sayang, kalau awak penat… awak pergilah berehat,” saran Zaqwan, masih bengkak matanya akibat terlalu menangis satu hari ini.

“Abang…” Panggil Mawar sambil menyentuh belakang leher sendiri.

“Ya?”

“Abang ada nampak saya bercakap dengan siapa tadi?” soalnya dalam kekeliruan.

“Siapa? Awak bercakap seorang diri tadi. Saya risau awak macam tu sebab letih uruskan majlis.”

“Oh…”

“Rehat, ya?” usul Zaqwan sambil mengelus bahunya.

Dia meninggalkan Mawar terpinga-pinga untuk melayan tetamu lain yang mahu beransur pulang.

Mawar memegang pipinya sendiri, dia ingin berasai suhu badannya sendiri. Dia berasa seram sejuk.

“Ibu…” tegur Siti membawa sejambak mawar merah. “Ada kiriman buat ibu. Katanya dari kenalan lama ibu Manisah.”

Tanpa membalas, Mawar mengambil sejambak bunga mawar merah. Baunya harum semacam pada waktu malam menerbitkan aura seram. Ada kad ucapan yang tertulis, ‘Mereka sudah tiada di dunia tapi, dosa-dosa yang kau lakukan akan tetap menghantui kau.’

“Mawar…” tegur suara lain yang seperti pernah didengari selama bertahun-tahun.

Mawar mengangkat pandangan untuk melihat pemilik suara. Tidak semena-mena Mawar menjerit nyaring. Bunga dan kad ucapan tercampak akibat terkejut melihat susuk tubuh mirip arwah ibu mentuanya berdiri di depan dengan senyuman menakutkan. Dia menyeringai dalam persalinan hitam.

“Akulah tu yang akan mengingati kau dengan dosa kau!” ucapnya dan diakhiri dengan tawa nyaring membingitkan telinga.

Malangnya, tawa itu hanya didengari Mawar sahaja.

“Sayang!” tegur Zaqwan menepuk kedua-dua bahunya. “Kenapa awak menjerit?”

“Saya…” Mawar kehilangan kata-kata.

Seperti tamu misteri tadi, susuk tubuh mirip arwah ibu mentuanya lesap seperti dibawa angin. Mawar diasak rasa buntu, terpandangkan potret di dinding dalam keadaan kelam-kabut sebegitu. Senyuman arwah ibu mentuanya yang selalu manis dan menambat tiap hati yang memandang kini, bertukar menjadi senyuman menakutkan mirip orang psiko yang akan bertindak gila dalam masa terdekat.

“Aku tahu apa yang kau pernah buat selama ini. Kau akan menemui jalan buntu sampai terduduk tidak mampu untuk bangkit semula.’ Potret itu seperti berbicara kepadanya.

Mawar menjerit histeria, dia berundur untuk menjauhi potret yang disangka berhantu. Suasana sedih menyelubungi rumah bertukar menjadi gamat dengan jeritan. Zaqwan bersama dengan Siti terpaksa menenangkan Mawar yang menjerit tidak tentu hala. 

“Hantu… hantu! Pergi kau dari sini!” jerit Mawar, tidak lepas memandang potret arwah ibu mentuanya.

Memandangkan tawa nyaring yang menyeramkan dari potret itu tidak mahu berhenti, Mawar seakan mendapat idea untuk menghentikannya. Dia pantas mencapai gelas kaca minuman yang masih berisi air manis milik tetamu di atas meja lalu dibaling dengan sepenuh hati ke arah potret arwah ibu mentuanya. Terbeliak mata masing-masing dengan tindakan Mawar.

“Diam… diam kau Si gadis pembunuh!” Laju sahaja terluncur dari mulut Mawar tanpa peduli perasaan suaminya.

Bermula malam itu, Mawar mulai diganggu dengan susuk tubuh seakan arwah ibu mentuanya. Dia sering melihat susuk tubuh itu melakukan apa sahaja yang Manisah pernah lakukan semasa hayatnya. Begitu juga pemain piring hitam sering terbuka dengan sendiri sehinggalah Mawar begitu tekad mencampaknya pun begitu, sempat ditegah Zaqwan.

Bila mana potret itu dibawa keluar dari situ oleh Zaqwan, Mawar berasa kemenangan besar berpihak kepadanya. 

“Terima kasih menggelarkan aku begitu. Aku suka dengan nama itu. Aku akan manfaatkan gelaran itu. Jangan risau, aku takkan kecewakan kau.” Terngiang-ngiang suara itu semasa Zaqwan membawa potret arwah ibunya keluar dari rumah.

Dan Mawar, dia sudah tidak peduli mahupun takut malahan, dia puas kerana menjadi satu-satunya permaisuri tunggal dalam rumah itu.

“Bye… bye ibu!” Mawar ketawa sepuas hatinya pada hari itu.


Pemain piring hitam berbunyi lagi. Mawar sudah tidak hairan, dia hanya menjeling sahaja ke arah pemain piring hitam tanpa mahu mematikannya kali ini. Ikutkan logik, ia tidak akan dapat berfungsi kerana Mawar sudah mencabut plugnya tadi. Biarlah, sama seperti tadi, dia malas mahu berdebat dengan logik akal pada waktu tengah malam.

“Pengecut… helah kau helah yang sama. Aku dah bosan! Cubalah helah baru. Contoh, helah kau bangkitkan Manisah dari kubur. Macam detekif penyibuk tu… aku ingat dah mati. Rupanya… hidup!”

“Syhhh…” 

Berderau Mawar mendengar desiran sebegitu dekat dengan telinga. Dia memandang sekeliling ruang tamu yang gelap tidak dipasang lampu semasa bangun membuang air.

Langsir automatik berterbangan ditiup angin malam yang dingin. Tingkap terbuka dan dia tidak tahu siapa yang terakhir berada di situ. Dia memberanikan diri untuk berdiri di depan tingkap. Kebetulan bulan mengambang penuh dan terang.

“Syhhh…” Dia mendengar lagi suara itu, “… selamatkan diri kau.”

Tengkuknya terasa dihembus angin sejuk membuatkan bulu roma tegak satu badan.

Sambung suara itu lagi, “Aku akan tunaikan hajat kau.”

Mawar mengumpul keberanian untuk bertanya, “Macam mana?”

Angin bertiup kencang dari luar. Dedaunan kering dari pokok berhampiran bertiup masuk ke dalam rumah menampar-nampar pipi Mawar. Awan mendung hitam menyelubungi bulan terang.

“Syhhh… tunggu. Kan seronok kalau ia rahsia!”

“Sayang!” tegur Zaqwan, mencuit bahu Mawar. “Lamanya awak pergi bilik air.”

Teguran Zaqwan melenyapkan suara misteri dan juga instrumental tadi. Mawar tidak habis-habis menerima kejutan di tengah malam.

Tiba-tiba, Manisah terduduk melihat kelibat mirip ibu mentuanya berdiri memegang bahu Zaqwan sambil menyeringai.


Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.